Cerpen : Menjadi Bidadari Dunia

“ Andai tangan ini dapat mencapai pelangi di langit. Andai diriku dapat terbang ke angkasa. Pasti aku akan melakar namamu di sana. Dengan itu, seluruh dunia tahu betapa bahagianya imanku kerana memiliki saudara sepertimu,”

            Alisya menamatkan coretan diarinya. Lalu, kalam berwarna merah jambu itu ditutup rapi. Sejenak, dia merenung ke arah langit yang membiru dihiasi kapas-kapas awan. Tersenyum gadis itu dek teringat kisah lampau persahabatannya  yang masih harum di benak hatinya. Sehinggakan tanpa sedar, air mata mula bergenang di kelopak matanya.

Remaja. Itulah zaman yang dilalui oleh Alisya ketika dia asyik bermain cinta bersulam nafsu. Hidupnya ketika itu seakan-akan tidak bertuhan. Siang dan malam hanya memikirkan dia yang bernama kekasih hati, Farid. 3 tahun menjalin hubungan cinta tanpa memikirkan halal dan haram menjadikan Alisya buta untuk melihat jalan kebenaran.
            “ Farid…Dah tengah malam ni. Jom kita balik…Nanti bonda I berleter. Tak sanggup I nak tadah telinga dengar ceramah dia…” pujuk Alisya kepada Farid. Saat itu mereka asyik menari di dalam sebuah pusat hiburan di ibu kota.
            “ Hmm…Nak balik dah? Relaxlah…Baru 12.00 malam. Nanti I hantar you balik. Ok?...” jawab Farid dalam keadaan separuh mabuk.
            Alisya dan Farid sering bertandang ke pusat hiburan setiap kali malam minggu. Bonda kepada Alisya, Puan Izzah sudah berkali-kali menegur malah mendenda anak gadisnya dek perbuatan liar Alisya. Namun, sedikitpun tindakan bondanya itu tidak terkesan kepada perangai Alisya. Alisya yang merupakan anak tunggal yang sudah ketiadaan bapa ini bukannya anak yang nakal pada mulanya. Dia sangat sopan, baik budi pekerti.
            Namun, setelah bapanya meninggal dunia, gadis 19 tahun itu seakan-akan tidak dapat menerima kenyataan sehingga hampir hilang kewarasan akal disebabkan oleh tragedi yang menimpa bapanya. Kehadiran Farid dalam hidupnya seakan-akan mengembalikan keceriaan hidup Alisya. Perkenalannya dengan Farid bukan sahaja menyemai rasa cinta dalam hatinya, sekaligus mengubah gaya hidup Alisya.
            “ Sudahlah tu. Dah berapa banyak botol you minum ha! Stop it…Jom balik!!!” tegas Alisya kepada Farid yang asyik menikmati minuman haram itu dalam keadaan mabuk.
            “ Ish…You ni, dari tadi nak balik. Esok cuti kan….Tak payah bising-bisinglah. I nak bagi you minum, you tak nak. Lebih baik you diam…” jawab Farid sambil menunjuk-nunjuk gelas minuman alkohol itu kepada Alisya.
            Memang Alisya hanya menurut Farid ke mana sahaja dia pergi. Namun, prinsip Alisya begitu kuat iaitu dia tidak akan sesekali minum sebarang minuman di pusat hiburan.
            Alisya bengang dengan jawapan daripada Farid. Dia tahu, Farid sudah mabuk sepenuhnya.
            “ Kalau macam ni, sampai ke pagi pun dia takkan hantar aku. Lebih baik, aku balik sendiri…” monolog Alisya memikirkan sesuatu.
            Setelah fikir sepuas-puasnya, Alisya lantas bangun meninggalkan tempat itu.
            “ Eh..You nak pergi mana tu?” sapa Farid dalam keadaan yang longlai.
            Alisya tidak mengendahkan Farid dan meneruskan langkahnya keluar dari sangkar maksiat itu.

Keadaan lalu lintas ketika itu sangat sepi. Maklumlah, jam hampir menunjukkan 2.00 pagi. Alisya menanti ketibaan teksi yang baru sahaja dia telefon sebentar tadi. Matanya meliar memandang ke kiri ke kanan. Keadaan yang gelita itu menghadirkan rasa gentar dalam hatinya. Seketika kedengaran bunyi cengkerik memecah suasana sunyi di situ.
            Melihat kelibat sekumpulan lelaki meluru ke arahnya menambahkan lagi rasa gentar dalam dirinya. Semakin hampir kelibat sekumpulan lelaki itu kepadanya, semakin jelas suara-suara sumbang yang disuarakan oleh mereka. Dari segi suara sumbang itu, mereka seakan-akan cuba untuk mengacau Alisya.
            “ Mamat-mamat ni mesti mabuk. Lebih baik aku pergi dari sini…” monolog Alisya. Dia bingkas bangun dan berjalan dengan pantas dari situ.
            “ Nak pergi mana tu….” Jerit salah seorang daripada sekumpulan lelaki itu.
            Alisya menjadi takut lalu membuka langkah seribu. Tindakan Alisya itu menarik perhatian sekumpulan lelaki mabuk itu untuk mengejarnya. Dalam hati Alisya, gundahnya hanya Tuhan yang tahu.
            Alisya berlari dengan penuh ketakutan sehinggakan tidak perasan akan batu di hadapannya. Kakinya lalu tersadung. Badan Alisya rebah. Lututnya yang terdedah itu mula mengalirkan darah.
            “ Aaahh…Sakitnya,” jerit hati Amira.
            Belum sempat dia bangun, dirinya sudah dikepung oleh sekumpulan lelaki tadi. Ketakutan Alisya semakin menjadi-jadi. Dia tidak tahu nasib apakah yang bakal menimpa dirinya malam itu.
            “ Tolong!!! Tolong!!!” jerit Alisya. Dia tahu jeritan itu tiada gunanya. Saat pagi-pagi buta itu, siapalah yang melalui jalan itu.
            “ Hahaha….Panggil siapa adik. Hmm…” kata lelaki yang berkepala botak dalam keadaan yang longlai.
            Alisya hanya mampu mendiamkan dirinya di situ. Dalam keadaan kakinya yang kesakitan, Alisya hanya pasrah ketika itu. Dia tidak mampu untuk bergerak ke mana-mana.Satu sentuhan hinggap di bahu Alisya mengejutkan dirinya. Lalu, dengan spontannya, Alisya menepis sentuhan itu dengan kasar.
            “ Hah!!! Main kasar ye…Aku berlembut dengan kau. Rupanya, kau nak aku berkasar…” ujar lelaki berjambang yang sentuhannya ditepis oleh Alisya tadi. Dalam kemarahan lelaki tadi menampar Alisya dengan sekuat hati.
            Pang!!!!
            Belum sempat lelaki itu menampar buat kali kedua, satu tendangan hinggap dari belakang lelaki itu.  Alisya terkejut dengan situasi itu. Dengan penuh tanda tanya, Alisya menoleh wajahnya mencari gerangan yang mematahkan tamparan lelaki biadab itu.

“ Hmm…Terima kasih banyak-banyak. Saya tak tahu macam mana nak balas budi awak. Pandai awak berlawan walaupun awak perempuan…” ujar Alisya kepada gadis yang membantunya tadi.
            “ Tak adalah. Saya belajar ilmu silat sejak kecil lagi. Arwah ayah saya ajar. Awak baik-baik saja kan? Saya, Busyra.” Kata gadis bernama Busyra itu sambil menghulurkan tangan.
            “ Oh…Saya, Alisya…”
            Alisya tidak mampu untuk memandang wajah Busyra dengan lama. Dia berasa malu melihatkan cara pemakaian Busyra yang sungguh sopan dan menenangkan. Sedangkan dirinya, bak kata orang kain tak cukup benang.
            “Busyra, macam mana awak boleh tahu saya ada dekat situ?” soal Alisya.
            Dengan senyuman, Busyra menjawab.
            “ Sebenarnya, saya baru pindah dekat kawasan ni. Abang saya dapat kerja dekat sini. Saya anak yatim, tak ada mak dan ayah. Sebab tu, saya ikut saja abang. Malam tadi, abang saya tak sihat. Saya keluarlah nak cari ubat dekat mana-mana farmasi. Maklumlah, orang baru lagi dekat kawasan ni. Dalam perjalanan balik, saya  tersesat sampailah dekat tempat awak tu…” jelas Busyra.
            “ Nasib baik awak ada…Kalau tak…Hmm, tak tahulah saya,”
            “ Bukan!!! Bukan nasib baik. Alhamdulillah. Allah yang tolong awak tadi. Saya ni perantara je…” jawab Busyra.
            Alisya terdiam. Dalam hati, dia membenarkan kata-kata Busyra sebentar tadi.
            Alisya tidak tahu mengapa tenang dia rasakan saat berbual dengan Busyra. Mungkin senyuman yang sentiasa menghiasi wajah Busyra. Atau bicaranya yang lembut. Yang pasti, tingkah rakannya itu menarik perhatian Alisya.

Sebaik tamat kuliah, Alisya terus menuju ke kafeteria. Kebiasaannya, Alisya akan menunggu Farid di situ dan mereka akan pulang bersama.
            “ Hei…Kenapa monyok je ni?” sapa Farid yang baru tiba di kafeteria.
            “ Kenapa you tak call I langsung dua hari lepas ha? Sibuknya mengalahkan perdana menteri. Mesej pun tak. You langsung tak nak ambil tahu keadaan I kan!!!” kata Alisya dengan wajah yang mencebik.
            “ You ni…Takkanlah sebab I tak call, you merajuk. I punya fon hilang masa balik club hari tu. Entah ke mana…” jelas Farid.
            “ Itulah you, mabuk sangat sampai lupakan I. You tahu tak apa jadi dekat I malam tu? I hampir diratah manusia binatang malam tu!”
            Farid sekadar tersentak begitu sahaja. Baginya, tiada apa-apa yang perlu dikisahkan sekiranya kejadian itu berlaku. Namun, demi menjaga hati Alisya, Farid meluahkan rasa kesal dan simpati di atas apa yang terjadi kepada Alisya.
            “ Dahlah…Jom balik,” ujar Alisya.
            Farid terdiam. Wajahnya berubah menjadi tidak keruan. Alisya memandang Farid dengan riak aneh.
            “ You ni kenapa?”
            “ Erm…Sebenarnya, hari ni I tak boleh hantar you balik. I ada urusan lainlah…Sorry,” jelas Farid kepada Alisya.
            Kening Alisya berkerut. Nafasnya dihembus tanda kesal.Dirinya tidak mampu menghalang Farid daripada berbuat demikian. Jadi, Alisya hanya mampu membiarkan Farid pulang sedangkan dirinya terus menunggu ketibaan pemandu peribadinya tiba.
            “ Eh…Alisya. Assalamualaikum,” sapa seorang gadis.
            Wajah Alisya yang tadinya tegang terus mengukir senyuman sebaik melihat insan yang pernah menyelamatkannya.
            “ Busyra..Awak buat apa dekat sini?” ujar Alisya dengan teruja.
            Alisya menjemput Busyra duduk.
            “ Awak tak jawab salam saya lagi…” kata Busyra lembut.
            Tersenyum Alisya malu lalu menjawab salam daripada Busyra.
            “ Tak adalah…Saya baru pindah ke kampus ni. Tak sangka awak pun belajar dekat sini….”  jawab Busyra.
            Suasana tiba-tiba menyepi. Alisya yang dari tadi terdiam terus merenung ke arah sarung tangan berwarna hitam yang dipakai oleh Busyra.
            “ Alisya??? Awak termenung apa tu?”
            “ Oh..Tu, yang awak pakai dekat tangan awak tu…Kan awak dah pakai baju lengan panjang, buat apa awak pakai yang tu lagi. Panaskan…”
            Tersenyum Busyra mendengarkan ungkapan Alisya. Busyra sedar Alisya ialah insan yang kurang tarbiyah agama. Busyra memikirkan aturan kata-kata yang sesuai untuk menjawab pertanyaan Alisya.
            “Alisya…ini sarung tangan. Betul, saya dah pakai baju lengan panjang. Tapi, lengan panjang ni tak memastikan yang kulit tangan saya tertutup. Kan kita wajib tutup aurat dari hujung rambut hingga hujung kaki kecuali t.a.p.a.k tangan dan muka. Jadi, tangan ni pun aurat. Memanglah panas tapi, neraka lagi panaskan…”jawab Busyra.
            “ Hmm… sarung tangan ye…” jawab Alisya lalu terdiam.
            “ Alisya… awak tahu tak. Martabat kita ni sangat tinggi. Rasul tercinta kita, Muhammad SAW yang menaikkan martabat kita. Dulu, perempuan dibunuh, dirogol sesuka hati, dijadikan hamba dan manusia anggap perempuan ni bawa sial. Bayangkan, perempuan dahulu sanggup menjahit kemaluan mereka untuk menjaga maruah diri mereka. Hari ni, kita tak perlu pun nak buat macam tu. Sebab, ajaran Islam yang mengangkat darjat perempuan sampaikan dalam Al-Quran ada satu surah khas tentang perempuan, Surah An-Nisa’. Allah dah terangkan kepada kita tentang pemakaian dan pergaulan untuk kita. Nampak tak, betapa Allah nak jaga kita sebab Allah tahu perempuan itu perhiasan dunia. Perempuan itu fitnah dunia tapi, yang solehah itu bidadari dunia…” jelas Busyra dengan penuh hikmah.
            Terdiam Alisya mendengarkan kata-kata daripada Busyra. Sedikit sebanyak hatinya terkesan dengan kata-kata daripada Busyra.
            “ Patutlah…Awak cantik. Bidadari dunia rupanya di hadapan saya ni…” ungkap Alisya.
            “ Ha? Saya tak layak mendapat gelaran tu. Alisya? Awak tak nak jadi bidadari dunia? Allah tu, sayang sangat dekat hamba Dia. Innallaha Maa’na. Allah bersama dengan kita. Dia tak pernah tinggalkan hambaNya sendiri dalam kegelapan. Cuma kita yang sentiasa lari daripada cahayaNya,” ujar Busyra.
            Lama mereka berbual di kafeteria. Alisya langsung tidak berganjak dari kafeteria. Sungguh hatinya rasa tenang tatkala mendengar kata-kata Busyra.
           
Petang itu, Alisya disekat oleh bondanya daripada keluar. Gadis itu mula memberontak kerana kehendaknya disekat.
            “ Bonda…Lisya nak keluarlah…”
            “ Alisya!!! Dengar cakap bonda baik-baik. Bonda takkan sekat Alisya keluar rumah kalau Alisya tak balik lewat malam. Bonda dah puas tegur Alisya, tapi Lisya tetap liar…”
            “Liar? Mana ada. Lisya tak minumlah. Pergi club je dengan Farid. Dia boleh jaga Lisya lah…”
            “ Itu satu lagi. Bonda tak nak, Alisya rapat dengan Farid. Cukup sampai sini saja!!! Dia bukannya jadikan Alisya lebih baik, tapi makin menjadi-jadi. Putuskan hubungan dengan dia. Faham!!!” tegas bonda.
            Alisya terdiam seketika. Wajahnya menunjukkan bahawa dia tidak berpuas hati dengan keputusan daripada bondanya.
            “ Bonda tak boleh buat Alisya macam ni. Ini keputusan Alisya!!!” tengking Alisya lalu terus keluar daripada rumahnya.
            “ Alisya!!! Alisya!!! Nak ke mana tu? Bonda kata jangan keluar!!!” jeritan bondanya tidak meninggalkan kesan. Alisya tetap dengan pendiriannya. Dia terus meluru keluar tanpa arah tuju. Langkah kakinya terus berjalan tanpa henti. Dalam langkahnya, Alisya tidak henti-henti menitiskan air matanya. Kata-kata daripada bonda masih terngiang-ngiang di telinganya.

Alisya berhenti di sebuah taman tasik. Kerusi batu yang tersedia di situ menarik Alisya untuk duduk di atasnya. Bertemankan tasik, Alisya cuba untuk tenangkan dirinya. Uraian air matanya masih belum berhenti mengalir. Sejenak, dia membelek telefon bimbit yang berada dalam genggamannya dari tadi. Butang hijau pada telefon bimbitnya ditekan sebaik nama Farid dijumpainya pada telefon bimbitnya.
            “Hello…Farid…”
            “ Eh, Alisya! …..You menangis ke?”
            “ Erm…I ada problem. Please come here…”
            “ Ha! Sorry, I tak dapat datanglah. I sibuk sangat ni. I tengah attend event mummy. Relax, ok. Alisya???” ujar Farid.
            Alisya terdiam seketika. Dalam hatinya penuh rasa kesal kerana Farid tidak mampu untuk menenangkannya saat itu. Alisya cuba untuk memahami Farid.
            “ Oh, ya. Ok, fine. Bye,” balas Alisya pendek lalu terus menamatkan panggilannya.
            Alisya kembali terdiam. Tasik yang kebiruan itu direnungnya. Seketika dia tersedar bahawa air matanya mula berhenti. Keadaan yang sunyi itu dipecahkan oleh satu suara dari belakang.
            “ Abang pergilah dulu. Ara tertinggal sarung tanganlah…”
            Alisya menolehkan kepalanya untuk melihat gerangan pemilik suara itu.
            “ Oh…Busyra.” Getus hati Alisya sebaik melihat Busyra di situ.
            Alisya berniat untuk memanggil Busyra namun, melihatkan kesibukan Busyra, terbatal niat Alisya itu. Belum sempat Alisya menoleh semula, Busyra terpandang ke arah Alisya. Haluan Busyra yang tadinya ingin pulang ke rumah berubah ke arah Alisya di taman.
            “ Assalamualaikum, Alisya,” teruja Busyra memberi salam kepada Alisya.
            “ Waalaikumsalam…” balas Alisya pendek. Saki baki air matanya dikesat agar tidak dilihat oleh Busrya.
            Busyra memandang Alisya dengan penuh rasa ganjil.
            “ Awak menangis ye? Kenapa duduk sorang-sorang dekat sini? Bahayalah…” ujar Busyra.
            “ Hmm…mana ada nangis. Saja duduk dekat taman, nak tenangkan hati. Awak buat apa dekat sini?”soal Alisya.
            Tertawa kecil Busyra mendengar soalan itu.
            “ Kenapa awak ketawa?” soal Alisya aneh.
            “ Tak adalah…Setiap kali kita berjumpa, awak mesti tanya soalan tu.”
            Alisya turut tertawa sebaik menyedarinya.
          “ Sebenarnya, saya tinggal dekat kawasan perumahan tu.  Saya dengan abang saya nak ke masjid tadi...Ada halaqoh.  Awak pula?” ujar Busyra. Jari telunjukknya menunjuk ke arah kawasan perumahan yang hampir dengan taman tasik tersebut.
            Alisya terdiam. Dia tidak tahu cara untuk menjelaskan keadaannya kepada Busyra.
            “ Alisya…Awak ada masalah?” panggil Busyra dengan lembut.
            Haaahh…Huuuh.
            Alisya percaya, Busyra mampu menenangkan hatinya yang dilanda badai itu. Lalu, Alisya menceritakan segalanya kepada Busyra. Malu. Itu memang dirasakan oleh Alisya kerana cerita hidupnya pasti jauh beza dengan kehidupan Busyra. Namun, Alisya tahu Busyra bukanlah manusia yang suka merendahkan orang lain. Busyra setia mendengar setiap ungkapan yang keluar daripada mulut Alisya
            “ Nah…ambil ni.” Busyra menghulurkan sapu tangan berwarna violet itu kepada Alisya. Melihatkan air mata yang berjuraian itu, Busyra memahami hati dan perasaan Alisya ketika itu.
            Sapu tangan itu disambut oleh Alisya. Dengan lembut, dia mengesat air mata yang membasahi pipinya.
            “ Alisya… kalau kita sedih, kita perlukan sesuatu yang menenangkan. Itu fitrah manusia. Dalam Surah Ar-Rad ayat 28. Allah berfirman ‘Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah lah, hati menjadi tenang,’. Allah adalah pemilik kesejahteraan. DaripadaNya kita memohon kesejahteraan. Kalaulah masa lapang kita buat maksiat, masa sempit kita nanti siapa yang nak bagi kesejahteraan, ketenangan, kemudahan. Kalau bukan Allah. Sebab tu, masa kita sihat, ada masa lapang, kita berusaha melawan nafsu daripada maksiat yang menjadikan Dia murka kepada kita. Takut-takut, kesengsaraan, kesempitan, kesusahan yang kita alami itu kafarah kepada dosa kita…” ujar Busyra.
            “ Jadi…Apa yang saya patut buat sekarang?” soal Alisya.
       “ Tinggalkan maksiat. Bertaubatlah. Bukan Alisya je yang perlu bertaubat. Saya pun perlu bertaubat. Setiap manusia sentiasa buat silap. Tinggalkan lelaki yang menawarkan cinta berselimut nafsu itu. Turuti perintah ibu yang pada kakinya terletak syurga, yang pada rahimnya pernah menanggung diri kita 9 bulan tanpa putus asa,” jelas Busyra.
            Tergamam Alisya.
            “ Hmm…Susah awak. Susah,” ujar Alisya.
            “ Jodoh itukan ketetapan Allah. Sekarang bukan masanya untuk awak bermain cinta sedangkan masih banyak urusan dan tanggungjawab yang perlu diselesaikan. Alisya nak tahu tak? Nanti, akan datang satu hari tiada naungan selain naungan Allah SWT. Pada saat itu hanya ada 7 golongan yang mendapat naungan Allah. Antaranya, lelaki yang menolak ajakan perempuan berzina atau perempuan yang menolak ajakan daripada lelaki. Lalu mereka berkata ‘Inni Akhafullah’ Aku takut kepada Allah. Macam mana Alisya nak mencintai makhluk lain sedangkan awak masih belum cukup mencintai diri sendiri? Macam mana awak nak mencintai diri sendiri sedangkan awak belum cukup mencintai Allah SWT? Dia kan Pemilik Cinta…” ujar Busyra.
            Sedar tidak sedar, air mata Alisya mula mengalir. Kali ini, Alisya menitiskan air mata penyesalan atas segala maksiat yang dia lakukan selama ni. Busyra yang melihat keadaan Alisya yang menangis lagi, terus mendakap rakannya itu. Dakapan daripada Busyra itu disambut oleh Alisya dengan hati yang terbuka.
            “ Ya Allah…Inikah titipan daripadaMu kepadaku agar aku kembali kepadaMu. Ya Rabb,” bisik hati Alisya tatkala menitiskan air mata dalam dakapan Busyra.
            Busyra memberi masa kepada Alisya untuk meredakan esakan tangisnya. Seketika, Busyra menjerling ke arah jam tangannya.
            “ Busyra ada urusan ye. Pergilah…Saya baik-baik saja dekat sini,” kata Alisya.
            Busyra terdiam memikirkan sesuatu lalu berkata…
            “ Hmm. Jom, ikut saya,”
            “Ha? Nak ke mana?”
       “ Awak kan tengah mencari ketenangan…Jomlah ikut saya…” Busyra menarik tangan Alisya. Harapannya Alisya menurut.


Pagi itu terasa sungguh berbeza daripada pagi-pagi yang sebelumnya. Alisya hanya berkurung dalam bilik. Kalamullah yang sudah lama tersimpan di atas meja itu menjadi zikir di mulutnya, halwa di telinganya dan penawar di hatinya. Ketenangan yang dicarinya selama ini ternyata sentiasa ada bersama dengannya. Cuma, dia tidak pernah mencari ketenangan yang abadi daripada As-Salam, Maha Sejahtera.
            “Sadaqallahul ‘Azim…” Al-Quran Kareem itu ditutup lalu diletakkan rapi di atas mejanya. Alisya mula menolehkan pandangannya ke arah katil. Ditenungnya, jilbab dan sarung tangan yang dihadiahkan oleh Busyra petang lalu. Kembali dia teringatkan suasana usrah di masjid bersama dengan muslimah yang lain di masjid. Itulah kali pertama dia menyarungkan tudung di kepala.
            “ Ya!!! Aku perlu tamatkan semua ni…” monolog Alisya. Telefon pintar yang tersimpan rapi di atas katilnya itu lalu digapai. Dicarinya nama Farid untuk dihubungi.
            “ Hello…Alisya…” Farid membuka bicara sebaik menerima panggilan.
            “ Assalamualaikum, Farid,”
            “ Err…Waalaikumsalam. Kenapa you ni? Tiba-tiba je call I.” ujar Farid.
            “ Oh. Minta maaflah kacau you. Sibukkan…Tak apa. You jangan risau. I takkan pernah kacau you lepas ni. Ini adalah panggilan terakhir antara kita berdua. Lepas panggilan ni, kita bukan sesiapa. Melainkan saudara seagama sahaja!”
            “ Ah!!! What!!! Alisya, apa yang you cakap ni? You minum eh.” Sentak Farid mendengar penjelasan daripada Alisya.
            “ No!!! I tak pernah minum. Ingat tu. Dan ini serious. Cukuplah selama ni kita bermaksiat tanpa kita sedar. I tak nak ada apa-apa hubungan dengan you. Enough until here!!!…”
            “ Hah…Stop joking lah Alisya. Sudahlah…Merepeklah you ni!!!” tegas Farid
            “ I tak merepek. Terserahlah, you nak terima atau tak. Oh, baru I sedar. You dah jumpa fon, ya. Hah…Itu bukan masalah I pun. Assalamualaikum,” bicara Alisya lalu menamatkan panggilan.
            Lega. Itulah rasanya setelah meluahkan kehendaknya kepada Farid. Apa yang akan terjadi seterusnya, Alisya serahkan kepada Allah SWT. Pandangannya mula beralir ke arah hadiah daripada Busyra. Jilbab yang berada di atas katil itu didapatkannya. Perlahan-lahan dia menuju ke arah cermin. Dengan senyuman, Alisya cuba untuk menyarungkan selendang mengikut kaedah yang diajarkan oleh Busyra tempoh hari.
            “ Subhanallah…MasyaAllah. Cantiknya bidadari dunia…Kenapa aku tak pernah sedar selama ni?” monolog Alisya. Tanpa sedar air mata mula bergenang di kelopak matanya. Sungguh terharu gadis itu melihat dirinya berjilbab. Indah dirasakannya saat syariat Allah dihidupkan.

Berhijrah itu memang banyak halangannya. Bagi Alisya, halangan itu bukan titik noktah tetapi cabaran untuk menjadi lebih baik. Alisya bersyukur kerana dia dikelilingi oleh Busyra dan ramai lagi rakan-rakan yang menyokong perubahannya itu. Malah, Alisya senang hati mengikuti halaqoh bersama dengan Busyra di masjid bersama-sama. Dari situ, Alisya menambahkan ilmu-ilmu agamanya yang selama ini dia pandang sebelah mata. Dia mula melabuhkan tudung, mengenakan sarung tangan dan memakai stoking setiap kali keluar. Setiap detik, Alisya berasa senang bersama dengan Busyra.
            Sudah 2 minggu setelah Alisya berhijrah. Bonda kepada Alisya turut senang hati melihat perubahan pada diri puterinya. Sungguh si ibu bersyukur dan sentiasa berdoa agar Alisya terus kekal dalam penghijarahannya.
            Malam-Malam yang diharungi oleh Alisya kini bertemankan tangisan keinsafan. Tikar sejadah menjadi saksi sujudnya hamba Allah yang istiqamah dengan taubatnya. Tekad di hatinya ingin melengkapkan 30 hari 30 malam Tahajjud di sepertiga malam.
            “ Awak dah habis kelas?” soal Busyra.
     “ Alhamdulillah. Jom, kita pergi sekarang.” Ujar Alisya. Seperti kebiasaannya mereka akan terus ke masjid setelah tamat kuliah.
            “ Jom..”
            Belum sempat masuk ke dalam kereta. Satu suara memanggil Alisya dengan keras.
            “ Alisya!!!”
            Mereka berdua menoleh mencari-cari pemilik suara itu. Terbeliak mata Alisya melihat kelibat Farid dengan wajah yang tegang.
            “ Ada apa lagi Farid? Kan I dah bagitau yang kita dah tak ada apa-apa hubungan,” ujar Alisya dengan tenang.
            “ Senangnya. Macam tu je. You ingat I ni sampah. Boleh buang suka hati you?”
            “ Bukan you je, I pun sampah. Tapi dulu. Sekarang I cuba untuk jadi berlian. I nak keluar daripada kehidupan sampah kita dulu. Sedarlah Farid. Selama ini kita bermaksiat dengan cinta kita. Tak gunalah Farid. You kena terima semua ni, macam I terima semua ni. Memang susah, Farid. Tapi, you kena kuat. In Sya Allah, Allah akan tolong kita…” jelas Alisya. Dalam diam, dia cuba untuk menarik Farid ke jalan yang sedang dilaluinya. Jalan yang penuh cahaya bukannya kegelapan yang nyata.
            “ Heh!!! I bukan nak dengar ceramah. I nak ambil you daripada perempuan tu!!! Dia kan yang dah rampas you daripada I!”tegas Farid. Tergamam Busyra apabila dirinya ditunjuk sebagai perampas.
            “ Farid!!! I tak nak berkasar dengan you. Tapi, you dah paksa I untuk berkasar. Dia, Busyra. Bukan dia yang rampas I daripada you. Allah!!! Allah yang tarik I, keluar daripada sarang maksiat. Sekarang I rasa ‘cerah’ dengan cahaya hidayah. Dan cahaya itulah yang membuatkan I sedar betapa gelapnya hidup I dulu!!!” tegas Alisya.
            “ Alisya..” panggil Busyra dari tepi sambil menggeleng. Busyra tidak mahu keadaan menjadi kelam kabut. Dia yang melihat keadaan tegang antara Alisya dan Farid berniat tidak mahu masuk campur. Lalu, beredar menuju ke arah kereta yang terletak beberapa langkah dari situ.
            “ Sudah!!! I tak nak dengar semua ni..” tengking Farid.
 Tanpa sedar, tangan kirinya sedang menggenggam sebilah pisau. Alisya perasan tingkah Farid yang cuba menghunus pisau itu ke arah Busyra.
“ Busyra!!!” Alisya menjerit memanggil nama Busyra supaya berhati-hati. Busyra yang mendengar lantas menoleh.
Alisya sedar, jeritannya sahaja tidak cukup. Lalu, Alisya mempercepat langkahnya menepis tikaman daripada Farid. Alisya cuba menghalang. Namun, malang tidak berbau. Pisau yang dihunus oleh Farid tertusuk badan Alisya .
Tergamam Busyra melihat keadaan Alisya tertusuk pisau di dada sebelah kirinya. Segalanya berlaku sekelip mata dan Busyra tidak mampu berbuat apa-apa. Dirinya masih terkejut dengan situasi tersebut. Dia seakan-akan tidak percaya akan kejadian tersebut. Busyra melihat dengan mata kepalanya sendiri bagaimana pisau itu ditusuk oleh Farid.
Farid bagaikan tidak keruan. Bukan niatnya untuk menikam Alisya. Langkahnya menjadi tak teratur. Farid lantas meninggalkan tempat itu.
“ Aaahhhh…Hhhh…” getus Alisya kesakitan. Darah terus-menerus mengalir tanpa henti. Busyra terus merebahkan dirinya mendekati Alisya.
“ Alisya…Ingat Allah. Kita kena ke hospital sekarang. Awak kena kuat, Alisya,” ujar Busyra di telinga Alisya. Melihat keadaan Alisya yang perit menahan kesakitan, Busyra tidak dapat menahan air mata yang mula bergenang.
Dengan penuh kudrat Busyra memimpin Alisya menuju ke dalam kereta. Lemah. Itulah kondisi Alisya ketika itu. Hanya bisikan kekuatan daripada Busyra yang sedikit sebanyak memangkin semangatnya untuk teruskan langkah menuju ke dalam kereta.
Dengan had laju 97 km/j, Busyra memandu menuju ke arah hospital yang berdekatan. Seketika memandu, Busyra sempat menoleh ke tepi melihat keadaan Alisya. Matanya terpejam dengan sungguh kuat. Busyra tahu, rasa tikaman itu sangat pedih.
Lampu isyarat terakhir sebelum memasuki KPJ Metropolitan. Lampu merah memaksa Busyra untuk menghentikan kenderaan. Brek tangan ditarik.
“ Huh” Busyra berasa lega kerana hampir tiba di hospital. Memandang ke sisi, air mata Busyra seakan-akan tidak mampu untuk berhenti.
“ Alisya…Saya minta maaf. Saya tak dapat pertahankan awak tadi…Huh…” ujar Busyra.
Mata Alisya yang tadinya terpejam, diusahakannya untuk buka. Wajahnya = cukup menjelaskan lemahnya badan Alisya ketika itu. Bibirnya mula memucat. Dahinya dibasahi keringat. Perlahan-lahan, Alisya mendapatkan tangan Busyra.
“ Busyra, tidak…Bukan salah awak. Inikan takdir Allah. Rancangan Allah itu indah kan…Ahhh…In Shaa Allah, saya kuat. Bidadari dunia kena kuatkan?...” ujar Alisya sepatah demi sepatah.
Busyra mengangguk sambil tersenyum.

Puan Izzah, bonda kepada Alisya tiba seketika setelah dikhabarkan keadaan Alisya. Sebaik tiba di hospital, Alisya terus dimasukkan ke ruang kecemasan. Busyra yang melihat kejadian yang menimpa rakannya itu lantas menceritakan segalanya kepada Puan Izzah. Jelas kelihatan riak geram pada wajah bondanya terhadap lelaki bernama Farid. Puan Izzah mengambil keputusan untuk membuat laporan polis di atas kemalangan yang menimpa puterinya itu. Apa-apapun, mereka ingin memastikan keadaan Alisya benar-benar selamat dan stabil.
            Sudah hampir 4 jam Alisya dimasukkan di ruang kecemasan. Melihatkan jam menunjukkan 7.30 petang, Busyra menuju ke surau untuk tunaikan solat Maghrib.
            Dalam sujudnya, hanya mengharapkan pertolongan daripada Rabbul Izzati. Busyra tidak henti-henti menitiskan air mata. Air mata pengharapan dan penghambaan kepadaNya.
            “ Ya Rabb…dia, Alisya Wardina binti Khairuddin. Dia ialah hambaMu yang masih dahagakan ilmu. Masih mendambakan redhaMu. Masih mentah melihat indahnya agamaMu. Maka, Engkau berikanlah dia kesempatan untuk meneruskan kehidupannya di muka bumi ini sebagai bidadari dunia yang sentiasa didambakan oleh setiap insan bergelar wanita. Sekiranya aku tukarannya, aku bersedia untuk berganti tempat dengannya. Sesungguhnya, Engkau telah merancang yang terbaik untuk kami. Aku serahkan segalanya kepadaMu. Ya Rabbal a’lamin…” Bingkisan doa itu dilafazkan dalam hati Busyra dengan penuh pengharapan kepadaNya. Tangisannya menjadi saksi betapa kasihnya dia kepada sahabatnya itu.

“Kenapa ni, mak cik? Ada apa-apa perkembangan Alisya?” Busyra yang baru tiba dari surau menjadi tertanya-tanya. Dia melihat keadaan bonda kepada Alisya bagaikan putus harapan.
            “ Hmm, Alisya…Alisya. Doktor tak boleh nak jamin yang Alisya dapat bertahan. Tikaman pisau tu terkena jantung dia sekaligus, banyak darah yang hilang. Alisya memerlukan darah dan jantung. Masalahnya sekarang, pihak hospital baru sahaja kehabisan stok darah jenis O.” jelas bonda kesal.
            “Ha!!! Subhanallah…Sekejap. Darah jenis O? Mak cik, saya!!! Jenis darah saya O.” ujar Busyra.
            Riak bonda juga menjadi lebih bersemangat. “ Busyra…kamu nak dermakan darah kamu? Hmm?”
            “ Ya. Selagi saya dapat bantu Alisya untuk terus hidup, saya sanggup buat apa saja. Selebihnya kita tawakal kepada Allah,” ungkap Busyra. Kemudian, langkahnya mula diatur menuju ke kaunter untuk bersiap sedia untuk proses pendermaan darah.

“ Alhamdulillah. Cik Busyra, kami telah selamat mengambil darah Cik Busyra. Syukur, darah cik dengan cik Alisya sama dan sesuai untuk cik Alisya. Sekarang, cik boleh rehatkan diri sebelum keluar,” kata jururawat yang menguruskan pengambilan darah Busyra.
            “ Alhamdulillah…Jadi, rasanya keadaan Alisya selepas ini bertambah baiklah kan?” soal Busyra dengan senyuman.
           “ Bertambah baik untuk jangka masa yang pendek. Cik Alisya memerlukan jantung. Tapi, In Sya Allah, darah yang akan kami salurkan dalam badan Cik Alisya selepas ini dapat membantu dia untuk bertahan, tapi kita tak tahu sampai bila…Selagi, dia tidak mendapat jantung derma” jelas jururawat tadi.
            Tergamam Busyra mendengarkannya. Dia masih belum mampu menghembuskan nafas lega. Busyra terus merenung ke atas sambil terbaring di atas katil memikirkan keadaan Alisya.

“Apa khabar hatimu? Masihkah ia seperti embun di dinihari? Merunduk tawadhuk dipucuk- pucuk daun? Masihkah ia seperti karang di lautan? Berdiri tegar menghadapi gelombang ujian. Apa khabar imanmu? Masihkah ia seperti bintang di malam gelita? Terang -benderang menerangi kehidupan. Semoga Allah sentiasa melindungi dan menjagamu, sahabatku. 

Teruskan berjuang menjadi bidadari dunia…”

            Menitis air mata Alisya setiap kali membaca kalam runcing daripada Busyra. Sudah 6 tahun berlalu. Itulah bingkisan pertama dan terakhir daripada Busyra. Perkenalan dengannya cukup singkat. Namun, didikan tarbiyah yang disemai oleh Busyra kekal hingga hari ini. Alisya tahu, untuk mencari sahabat seperti Busyra itu bagaikan mencari mutiara di lautan yang luas.
            “ Rancangan Allah cukup indah…Dia melihat aku sendiri dalam kegelapan. Kemudian, dia titipkan aku bidadari yang penuh dengan cahaya. Cahaya itulah yang memimpinku kembali ke lorong Hidayah. Aku tahu, bidadari itu Cuma titipan. Engkau mengambilnya kembali kerana Engkau tahu aku sudah mampu untuk melalui lorong ini dengan cahaya yang ditinggalkannya…Alhamdulillah,” bisik hati Alisya.
            “ Mama…Menangis, ya?” sapa Busyra dari belakang.
            “ Taklah…Mama bahagia. Sebab mama jumpa dengan bidadari…” ujar Alisya kepada puterinya.
            “ Ha? Bidadari? Mana? Busyra pun nak jumpa juga…Siapa mama?” soal budak itu dengan penuh rasa teruja.
            Tertawa kecil Alisya melihat riak wajah puterinya yang begitu ingin tahu tentang bidadari.
            “ Ni…Depan mama ni. Inilah bidadari mama. Busyra…. Tak adalah, mama gurau je, sayang,” ungkap Alisya dengan senyuman.
            Busyra mencebik
            “ Mama ni, suka bergurau. Mama, tadi papa panggil. Kita nak keluar kejap lagi…” ujar Busyra.
            “ Ye lah, sayang. Busyra pergi siap-siap dulu…” kata Alisya kepada Busyra.

# Setelah Busyra mendapat tahu bahawa Alisya memerlukan jantung untuk terus hidup. Busyra tekad untuk mendermakan jantungnya kepada Alisya. Ketentuan Allah itu memang tepat. Jantung Busyra sangat sesuai untuk Alisya.
            Busyra fikir semasak-masaknya sebelum menjalani pembedahan. Dia tidak mahu pergi begitu sahaja. Lantas, Busyra menitipkan wasiat kepada Alisya.  Antaranya, Busyra ingin Alisya menjadi isteri kepada abangnya kerana Busyra tahu abangnya mampu untuk mendidik dan menjaga Alisya sepertimana menjaga dirinya sebelum ini. Hasil pernikahan mereka, maka lahirlah seorang puteri sebagai cahaya mata sulung dalam keluarga mereka. Lalu, dinamakan puteri itu ‘ Saidatul Busyra binti Basheer’.
            Alisya terus menjalani kehidupan tanpa kehadiran Busyra di sisi. Namun, darah yang mengalir di tubuhnya serta jantung yang berdegup dalam tubuhnya membuatkan dirinya terasa begitu dekat dengan Busyra. Kehidupan harus diteruskan. Alisya reda dengan jalan takdir yang dilaluinya kerana dia tahu bahawa masanya juga akan tiba nanti.

            Manusia merancang, Allah juga merancang. Sesungguhnya, rancangan Allah itu jauh lebih baik kerana Dia Maha Mengetahui. Adakala, jalan takdir itu tidak seperti yang kita rancangkan. Usahlah bersedih, sebaliknya bergembiralah kerana Allah sedang merancang untukmu dengan cintaNya…
Wallahua’lam :)


1 April 2015
-A.I.S.H.A.H-            



Thanks For Reading شكران.

0 400 is kind-heart: