Novel Bersiri : Indahnya Takdir Ini 26 [akhir]


 
NOVEL ISLAMI
NOR AISHAH BT NORRIFIN


BAB 26: Seindah TakdirMu



Pantas betul masa berlalu. Sedar tidak sedar, Amira sekarang sudah menjadi seorang isteri dan ibu. Kalau dahulu, dia hanya anak dara yang sentiasa mengharap kepada mama dan papa. Dirinya hidup hanya bertunjangkan tujuan untun menuntut ilmu. Amanahnya sebagai pelajar sudah lama berlalu. Walaupun hakikatnya menuntut ilmu itu adalah proses yang tiada titik noktahnya. Kini, lebih besar amanah yang tertanggung di bahu. Bukan sahaja, isteri, ibu , tidak lupa juga, amanahnya sebagai khalifah di muka bumi ini. Saat itu, Furqan dan Farhan tempat dia bergantung selain mama dan papa.Hampir 10 tahun mereka mendirikan rumah tangga. Namun, mereka masih terasa muda. Itulah indahnya pernikahan di usia muda.
            Sebaik sahaja usai Solat Maghrib, Amira, Furqan, mama, papa dan berehat di ruang tamu. Mama dan papa asyik melayan telatah bayi kecil, Farhan. Amira dan Furqan hanya berada di sisi Farhan melihat keriangan mama dan papa melayan telatah Farhan. Tiba-tiba mama membuka perbualan.
“ Kan betul tekaan mama, pa,” kata mama sambil mengusap-usap tangan Farhan.
“ Tekaan? Tekaan apa?” papa seperti kehairanan dengan kata-kata mama tadi. Bukan sekadar papa, Amira dan Furqan juga tidak memahami maksud mama.
“ Dulu, papa ragu-ragu untuk satukan Furqan dengan Mira. Hari ini, cucu depan kita menjadi bukti, pa. Mereka memang mencintai antara satu sama lain,” kata mama sambil tersenyum sinis.
Amira terasa malu kerana mama mengenang kembali kisah lama. Abang Hafiz, yang kebetulan mendengar perbualan mama terus masuk campur.
“ Abang pun dah kata. Tapi, Mira tak habis-habis nak marah abang setiap kali cakap fasal Furqan. Abang percaya, Mira memang sukakan Furqan. Abang dapat lihat wajah Mira semasa Furqan hadir ke sini bersama Pasukan Tilawah semasa Majlis Perkahwinan abang,” kata Abang Hafiz lalu mencuit bahu Amira.
“ Aduh.. Abang, apa ni. Itu semua benda lama. Sekarang ini, benda baru. Jangan tengok ke belakang boleh tak? Ini takdir namanya. Bukankah segala-galanya menjadi indah kerana Allah,”
“ Betul kata Mira. Tapi, Abang nak tahu juga, betul ke apa yang Abang Hafiz katakan tu?” tanya Furqan pula.
“ Betul apa?” tanya Amira. Amira terasa seperti tidak keruan apabila soalan itu diajukan.
“ Betul ke yang Mira memang sukakan abang dari dulu?” tanya Furqan sambil tersenyum sinis. Soalnya itu membuatkan Amira tergamam. Dia seakan-akan malu untuk mengungkit zaman mudanya itu.
“ Abang!!!! Haaa.. Hmm. Aduuhh. Abang sendiri tahu kan?” kata Amira segan silu.
“ Abang tak tahu pun,” Furqan membalas dengan nada nakal.
“ Abang!!!! Haaa,” Amira mula mencebik.
“ Abang gurau je…” kata Furqan lantas memujuk Amira di sisinya.
Mama, papa dan Abang Hafiz tertawa melihat perangai mereka suami isteri. Sungguh keputusan mereka untuk satukan Furqan dan Amira bukanlah satu kesilapan malah, itu adalah langkah yang terbaik untuk Amira.
           
*************

Farhan sudahpun memasuki usia 3 tahun. Dia sudah pandai berjalan dan berkata-kata dengan bahasa budak-budak. Amira masih teringat saat pertama kali melihat Farhan berjalan. Furqan bagaikan teragak-agak untuk melepaskannya. Namun, kekuatan serta keyakinan putera mereka itu akhirnya membantu anak kecil itu untuk bangun daripada lantai lalu mula bertatih dan seterusnya dapat berjalan di atas muka bumi ini dengan tapak kakinya sendiri. Amira gembira melihat anaknya mampu berdikari tanpa bantuan tangan sesiapapun semasa dia berusaha untuk berdiri.
            Kini, Amira reda dengan ketentuan Allah yang menjadikan dirinya isteri kepada seorang pegawai perubatan. Amira mulai memahami jadual kerja suaminya yang kadang-kadang membunuh masanya untuk bersama dengan Furqan. Dalam hatinya seringkali mengingatkan, tugas suami yang harus menjadi keutamaan.
Jalan ini yang telah kupilih, inilah harga pengorbanan yang harus dibayar untuk mencintai seorang pegawai perubatan, tugasnya bukan mudah. Banyak pahit yang harus ditelan. Namun, kadang-kadang yang pahit itulah penawar.”
            Furqan pernah berkata kepada Amira, " Bila oncall , maka bermulalah jihad serta dakwah abang terhadap islam.... " Itulah yang menguatkan Amira untuk melepaskan Furqan. Dia tahu bahawa Furqan bukan sekadar bekerja malah, tugasnya suci iaitu membantu saudara-saudara di luar sana yang lebih memerlukan kepakaran Furqan. Dia mula untuk belajar menerima hakikat bahawa Furqan bukan lagi miliknya sepenuhnya. Malah, sebahagian besar Furqan adalah milik masyarakat.
            Furqan juga sering menasihati isterinya supaya jauh daripada sifat benci kerana sifat itu akan mengeluarkan cas-cas negatif dalam badan. Ini mendorong kita menjadi lemah akal dan hati. Kelemahan akal dan hati ini akan membuatkan kita lupakan iman dalam diri.
            Amira tak nafikan memang penat berada di rumah. Mengurus rumah, mengurus anak. Pernah terkadang Amira menangis kerana terlalu letih mengemas rumah dan anaknya, Farhan pula meragam. Amira menangis sendiri. Namun, dia cuba untuk tarbiyah dirinya sendiri. Amira tahu itu pasti ujian daripada Allah kepadanya. Dia teringat kisah Saidatina Fatimah, puteri Rasulullah SAW yang juga pernah menangis kerana terlalu penat mengurus kerja rumah. Pesan Rasulullah adalah supaya mengamalkan zikir Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar dan La Ilahaillallah. Apabila Amira teringatkan pahala serta ganjaran yang Allah sediakan buat isteri yang menyediakan keperluan suaminya, hatinya menjadi tenang.
           
*************

Sedang Amira asyik menidurkan Farhan, tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi tanda mesej masuk. Melihat keadaan Farhan yang sudahpun lena, Amira pun bangun mendapatkan telefon bimbitnya.
            " Furqan? Ada apa ni?" soal hatinya sebaik melihat nama Furqan terpampang di skrin telefon bimbitnya. Lalu, Amira menekan butang 'lihat'.
            " Assalamualaikum, sayang. Penat ke hari ni?  Petang ini bersiaplah ya… Kemaskan baju Mira, abang dengan Farhan. Abang nak bawa sayang bercuti… Hehe. Abang balik awal sikit hari ini. Kita bertolak lepas Asar ye? Tunggu abang. kita Asar berjemaah
            Salam sayang, daripada suamimu - Furqan,"

            Amira aneh dengan mesej itu. " Tak semena-mena, nak berjalan-jalan pula…Apa pula yang merasuk suami aku kali ini??"
Namun, pada masa yang sama Amira turut dibelenggu rasa teruja. Dia terus menuju ke bilik untuk mengemas barang seperti yang disuruh. Menyusun pakaian dalam beg, itu mengenangkan Amira saat-saat suka duka dia dan Furqan di Mesir. Semuanya dalam kenangan.

**************

Perjalanan ke Pulau Langkawi sungguh menyeronokkan. Setelah turun di Butterworth, mereka terus menuju ke Kuala Kedah untuk menaiki feri ke sana. Feri-feri yang disediakan untuk ke Pulau Langkawi mewah-mewah belaka. Televisyen berinci-inci serta penghawa dingin yang menyelesakan.
            " Lena betul Farhan tidur. Mana taknya, dari tadi heboh sebab teruja sangat tengok air laut.," kata Furqan di sebelahnya.
            “ Betul tu abang. Dari tadi teruja tengok laut sampai tertidur. Abang, mesti penat juga. Sandar atas bahu Mira ni,” kata Amira sambil menarik kepala Furqan ke atas bahunya.
“ Hmm, tak payahlah. Abang tak penat pun. Tak gentleman lah, kalau lelaki sandar atas bahu perempuan. Betul tak?” kata Furqan lantas mengangkat kepalanya dari bahu Amira. Amira hanya menggeleng melihat telatah suaminya.
“ Macam-macam lah abang ni. Gentleman lah sangat,” kata Amira lalu mencuit lengan Furqan.
Amira menikmati pandangan laut yang cukup indah. Cahaya matahari yang memantul ke permukaan laut menjadikan laut tersebut kelihatan bersinar dengan kerdipan cahaya. Cukup mempesonakan.
Tiba-tiba, Amira merasakan beban di atas bahunya. Amira menoleh. Dilihatnya, kepala Furqan baru sahaja berlabuh di atas bahunya, mata Furqan tertutup rapat.  Amira aneh dengan tingkah Furqan secara mengejut itu.
Apa hal abang ni?  Tadi kata tak gentleman lah. Sekarang sampai tertutup mata bagai,” bisik hati Amira sendiri. Amira memerhati sekeliling. Dia cuba mencari puncanya.
Oh, baru aku faham,” monolog Amira. Rupanya, ada seorang gadis barat berpakaian baju tidak berlengan dan berskirt pendek sedang menuju ke tandas.. Kebetulan melalui laluan di sebelah Furqan. Astaghfirullah hal Azim.
Alhamdulillah. Suamiku pandai menjaga mata. Semoga aku juga sepertinya, dapat menjaga mataku daripada perkara yang tidak sepatutnya. Ameen,” kata Amira sendiri dalam hatinya lalu tersenyum sambil menyatakan rasa lega.
“ Ehem..ehem .. Tadi kata tak gentleman. Sekarang ini, gentleman sangat ke?” sengaja Amira berbisik di telinga Furqan.
Satu daripada mata Furqan celik.
“ Huuuhh. Abang lebih rela jatuhkan status gentleman abang, daripada cemarkan mata abang ini dengan lihat gadis-gadis yang tak berpakaian tu. Lainlah kalau abang tengok isteri abang yang cantik ini,”
Amira terpamit dengan katanya.
“ Pandailah bodek sekarang ini. Mesti ada apa-apa ini..” kata Amira kepada Furqan sambil menjerling ke arahnya.
“ Mana ada bodek. Abang serius,” katanya lalu menatap mata Amira sedalam-dalamnya.
“ Hmm.. Ikut suka abanglah,” kata Amira. Sengaja dia tidak mahu menyatakan persetujuannya. Amira tahu telatah Furqan apabila menang dalam pertarungan dengan dirinya.
            Furqan tertawa perlahan lalu mencubit pinggang Amira.
            " Abang !!! Sakitlah.." katanya dengan perlahan di telinga Furqan.
            Furqan tersenyum sendiri. 
           
***********

            Kira-kira jam 2.00 petang mereka pun tiba di BayView Hotel. Indah betul pemandangan dari atas. Maklumlah Langkawi dikelilingi oleh laut. Sebaik check in di hotel, mereka pun berehatkan diri sebentar sebelum berjalan-jalan.
            " Farhan mandi dulu. Nanti dah siap, Farhan  panggil ummi. Ummi bagi tuala," kata Amira sambil membuka air.
            " Ok, ummi," Farhan pun terus masuk ke dalam bilik air dan menikmati mandian di dalam bath tub.
            Seketika Amira menikmati pemandangan dari jendela. Amira diulit ketenangan dek melihat deru ombak pecah berderai, mengulang pantai datang dan pergi. Kehidupan Amira yang sentiasa dipenuhi dengan kesesakan manusia mengejar duniawi sedikit sebanyak menyejukkan ruang mindanya sebaik melihat laut nan biru.
            “ Masya-Allah, Subhanallah, Allahuakbar...” ungkap Amira dek takjub melihat tanda-tanda kekusaanNya.
            Melihatkan, hamparan langit dan bumi yang terbentang luas, membuatkan Amira mula berfikir. Kita bukannya hidup di dunia ini keseorangan. Setiap manusia itu bergantung antara satu sama lain. Terlintas di fikiran akan sabda yang cukup indah daripada baginda SAW :
            “ Sebaik-baik manusia adalah manusia yang memberi manfaat kepada orang lain,”
            Itulah sabda Nabi Muhammad SAW yang menjadi pegangannya ketika menuntut ilmu di Mesir.
            Amira terus merenung menerusi jendela itu sambil menunggu puteranya yang sedang membersihkan diri. Tiba-tiba, Amira merasakan dirinya bagai dihampiri sesorang. Furqan yang baru memasuki kamar beradu mereka terus mendapatkan Amira di birai jendela.
            " Termenung apa tu?" bisik Furqan.
            " Abang… Bukan termenung. Fikirkan balik, perjalanan hidup kita. Dari kita belajar sama-sama di madrasah, kahwin, belajar di Mesir, dapat anak dan sekarang kita di sini. Jauh perjalanan kita dan memang banyak duri yang telah kita lalui. Tapi, hari ini duri-duri tersebut berjaya kita tanggalkan dan membawa kita kepada kuntuman mawar yang indah…"
            " Sayang… Memang jauh perjalanan hidup kita. Dulu, di Mesir kita susah. Nak harapkan duit simpanan daripada arwah Mak Ngah Diba, memang taklah. Tapi, ganjaran yang Allah bagi dekat kita hari ini semua hasil susah payah kita di Mesir dulu. Sekarang, senang hidup kita. Rumah ada, kereta ada, anak pun dah ada," kata Furqan.
            Amira tersenyum. Dia melihat suaminya itu yang cukup banyak berkorban untuknya. Dia sudah serik terhadap peristiwa hitam yang hampir memisahkan dirinya daripada Furqan. Kali ini, dia tidak mahu lagi kehilangan Furqan.
            " Dahlah… Abang mesti penatkan? Tidurlah dulu. Mira nak siapkan Farhan tu. Nanti, Mira kejut abang...” ujar Amira.
            " Tak. Abang tak penat sebab abang buat semua ni untuk orang yang abang cintai. Abang rasa sangat puas dapat buat Mira dan Farhan bahagia," ujar Furqan.
            Amira tersenyum mendengar luahannya. Sungguh begitu dalam rasa cinta Furqan terhadap dirinya dan cahaya mata mereka.
            “Mira memang isteri yang abang banggakan. Tak sia-sia abang menaruh perasaan terhadap Mira dahulu. Abang rasa macam bermimpi bersama dengan Mira hari ini. Kalau dahulu abang pernah terfikir sama ada kita akan bersama atau sebaliknya. Tapi, hari ini takdir Allah membuktikan segalanya. Sayang, abang sayangkan Mira sampai tamat riwayat hidup abang. Biarlah segala kesusahan kita hadapi bersama dan abang mohon jangan pernah tinggalkan abang,”
“ Abang, Mira takkan tinggalkan orang yang Mira cinta. Mira nak mohon maaf sekiranya sepanjang 10 tahun kita mengharungi alam perkahwinan, ini ada salah silap yang Mira lakukan. Mira harap abang maafkan Mira dan jangan pendamkan dalam hati. ” kata Amira pula. Furqan melepaskan pelukannya dari belakang dan bergerak ke hadapan Amira lalu memegang tangan Amira.
“ Abang sentiasa maafkan Mira. Segala yang telah berlaku kita jadikan pengajaran, sekarang kita buka lembaran baru. Kita kena ingat, cinta yang agung itu ialah apabila cinta tidak melebihi cinta kepada Allah dan RasulNya. Janganlah, kita hanyut dalam gelora cinta kita  sehinggakan taraf cinta kita jatuh hanya kerana kurangnya cinta Allah dan Rasul,”
Air mata Amira mula bergenang. Kata-kata yang diungkapkan oleh Furqan cukup mengharukan Amira.
" Terima kasih, abang sebab sentiasa ingatkan Mira. Terima kasih abang sebab sentiasa jadi yang terbaik untuk Mira dan terima kasih abang sebab setia kepada Mira," kataku lalu mencium tangan Furqan.
Kepala Amira diusap oleh Furqan dengan lembut.
Amira berasa sungguh tenang dalam kasih sayang Furqan. Dia tahu, sebelum Furqan hadir dalam hidupnya, dia hanya menaruh cintanya kepada dua jejaka sahaja. Iaitu papa dan Abang Hafiz. Kehadiran Furqan dalam hidupnya seakan-akan membawa sinar baru yang menerangi kehidupannya.
" Sudahlah.. Sekarang anggap kita berada dalam hidup yang baru. Jangan kita cemari kehidupan ini dengan maksiat. Biar semuanya dalam reda Allah. Kita datang sini bukan nak bersedih.. tapi nak bergembira dengan anak kita yang tercinta, yang sudah lama kita nantikan," kata Furqan.
Furqan mengesat air mata Amira yang hampir menitis.
Hari itu merupakan hari yang sangat bahagia baginya. Allah juga telah mengizinkan dirinya merasai nikmatnya hidup ini.
Alhamdulillah…Aku bersyukur kerana indahnya takdir ini.”

************

 Catatan Diari,
Taqiyyah Amira ^_^
7 November 2014, Khamis...

Oh ya, tidak lama selepas itu, aku dikurniakan seorang lagi cahaya mata. Itulah puteri yang bakal menjadi peneman dalam hidupku. Aku namakannya, Aisy Farhanah. Aku kerap berpesan kepada puteriku supaya sentiasa mengikat hati dengan tali Allah kerana apabila hati terikat dengan Allah, kembalilah wanita dengan asal fitrah kejadiannya, menyejukkan hati dan menjadi perhiasan kepada dunia , si gadis dengan sifat sopan dan malu, anak yang taat kepada ibu bapa, isteri yang menyerahkan kasih sayang, kesetiaan dan ketaatan hanya pada suami.
           Sungguh aku tidak pernah terbayang jalan kehidupanku bakal diwarnai dengan kehadiran insan-insan ini. Mereka bagaikan warna-warna yang selama ini kabur, kini terang menceriakan hidupku. Walaupun kekadang, ujian datang menghambat kami sekeluarga namun aku sedar itulah tanda kasih sayangNya. Peristiwa hitam yang pernah aku lalui dahulu sangat mengajar aku kekuatan dan kepercayaan dalam mengharungi ujian.
            Farhan membesar sebagai seorang hafiz al-Quran seperti aku dan Furqan, dia juga berjaya melanjutkan pengajiannya di Jordan dalam bidang kejuruteraan kimia. Aisy pula membesar sebagai seorang gadis yang sangat rupawan. Dia seorang yang berani dan tegas. Aku dapat lihat dia mampu menjadi seorang pemimpin yang berkalibar dan mampu mengubah dunia seperti Umar Abdul Aziz.
 Nurul Afifah Azwa, Adik Wawa sekarang mendapat keluarga angkat yang cukup baik terhadapnya. Dia sedang berada di Australia untuk menyambung pengajiannya dalam bidang Onkologi iaitu berkenaan diagnosis dan rawatan Kanser.
            Aku pula berpeluang menjadi pensyarah Syariah di Universiti Islam Antarabangsa. Kadang-kadang, aku membantu Abang Hafiz di pejabat. Abang Hafiz kini sudahpun menggantikan tempat papa di syarikatnya. 

Kehidupan ini mengajar aku betapa tingginya martabat al-Quran. Dengan al-Quran yang membalut akhlakku inilah yang telah memuliakan kedudukanku. Siapa kata, dengan mengaji pondok tidak akan berjaya. Abang Hafiz sendiri seorang pelajar pondok dan kini dia mampu menguruskan sebuah syarikat . Hebat!!! Sungguh hebat, Al-Quran, Kalamullah.


Siapa tahu? Allah merancang kehidupan aku bersama dengan Furqan. Allah menyediakan pelbagai ujian dalam kami mengharungi bahtera perkahwinan sebagai tarbiyah kepada hambaNya. Ikhlas!!! Itu yang paling penting kerana apabila sesuatu itu kita buat bukan kerana Allah, maka bersiap sedialah untuk merasa kecewa. Sepanjang aku melalui kehidupan sebagai seorang anak, pelajar, isteri, ibu dan juga hamba Allah, aku belajar untuk reda. Apabila kita reda walaupun pada sesuatu yang kita tidak suka, aku percaya Allah akan menggantikannya dengan sesuatu yang kita sendiri tak jangka. Setiap kali kita berasa duka, jangan dituruti perasaan itu kerana akhirnya perasaan itu akan menjauhkan kita daripada rasa syukur.
Furqan sentiasa mengingatkan aku bahawa sentiasa pastikan yang cinta kita kepada Allah dan Rasulullah SAW sentiasa bertakhta di hati. Rasulullah pernah bersabda , "Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga aku menjadi seorang yang dikasihi olehnya lebih daripada ibu bapanya, anak pinaknya, dan manusia seluruhnya."
(Bukhari dan Muslim)
Imam Al-Ghazali pernah mengingatkan :
Apabila kamu mendapati takdir Allah SWT sentiasa tidak menyebelahimu pada kenikmatan dunia, dan terlampau banyak penderitaan yang ditanggung, ketahuilah bahawasanya, kamu mulia di sisinya. Sesungguhnya, pada ketika itu Allah sedang meletakkan kamu di atas jalan wali-waliNya dan hamba-hambaNya yang terpilih dan Allah sentiasa melihat kamu ketika itu…Tidakkah kamu pernah mendengar ayat al-Quran yang bermaksud :
Sabarlah dengan ketentuan Tuhanmu kerana dikau sentiasa dalam pemerhatian dan pengawasan Kami
Buang yang keruh, ambil yang jernih.
Wallahua’ lam. Assalamualaikum

Kalam runcing,
Taqiyyah Amira.



-AKHIRULKALAM-
-SELESAI-

Assalamualaikum


Thanks For Reading شكران.

0 400 is kind-heart: