Novel Bersiri : Indahnya Takdir Ini 25

 
NOVEL ISLAMI
NOR AISHAH BT NORRIFIN


BAB 25: Penantian Berakhir...



Ya Allah sakitnya, peritnya sakit bersalin Itu. Amira terkenang saat mama melahirkan dirinya.
Ya Allah, begitu banyak dosaku kepadanya. Begitu banyak kesan calar pada hatinya yang telah aku lakukan. Ampunkan dosa mama, ya Allah. Jangan Engkau campakkannya ke dalam nerakaMu.’
            Saat melahirkan, Amira dapat rasakan kesakitan yang selama ini didengarnya di mana-mana. Namun, demi insan tercinta,  insan bergelar hawa ini mampu mengatasi rasa sakit yang dirasainya. Sungguh dirinya tidak dapat menafikan bahawa, golongan hawa merupakan golongan yang sangat hebat dari segi kekuatan mental. Sakit bersalin begini mampu dihadapinya demi melihat kebahagiaan insan yang disayangi terutama suami.
            Push!!! Push!!! Push !!!
            Masih terdengar suara itu. Doktor Huda terus mendorong Amira untuk terus kuat meneran. Jelas kedengaran di telinga Amira, bunyi gunting memotong isinya.
            “ Puan...Kuat lagi puan. Kepalanya sudah kelihatan...” kata Doktor Huda dengan tenang.
Amira bermandi keringat di saat bertarung nyawa. Dia terbayang sekiranya Furqan berada di sebelahnya pada saat ini,  pasti tangannya yang menjadi penaik kekuatannya, suaranya menjadi pemangkin semangat, tangannya juga yang bakal mengelap keringat yang membasahi kepala Amira.
            Amira masih ingat, jam 3.00 petang dia dibawa masuk ke dalam bilik bersalin dan sekarang sudah menunjukkan jam 9.45 malam. Namun, dirinya masih belum mendengar tangisan seorang bayi. Amira yakin dia masih lagi kuat untuk bertarung selagi tangisan anaknya tidak kedengaran.
            Push !!! Push !!! Push!!!
            Amira hanya menurut kata Doktor Huda. Katanya, sebelah tangan sudah berjaya dikeluarkan. Amira terus meneran. Saat itu kesakitan bukan lagi ketakutannya, namun kematian itu yang menjadi penentu takdirnya. Amira berdoa agar diberi kesempatan untuk berbahagia dengan Furqan bersama dengan cahaya mata pertama mereka.
Sekalipun dia harus meninggalkan dunia ini, janganlah Engkau bawa bersama dengan anakku. Biarkan dia merasa bagaimana kehidupan dunia dan menemani Furqan, ayahnya.”
            " Arhhhh!!!…" itulah jeritannya yang terakhir ……….. sehingga Amira mendengar suara bayinya yang menangis. Sungguh lunak tangisan bayi itu. Mendengarkan kelunakan tangisan itu membuatkan Amira lupa akan segala  perit yang telah dia lalui sepanjang perjuangan menlahirkan anaknya itu. Tersenyum lesu Amira dapat melihat susuk tubuh kecil anaknya yang dibersihkan oleh jururawat.
Sempat Amira merenung jam yang tergantung di dinding, jam sudah menunjukkan pukul 12.07 malam.
            “Ya Allah sungguh hebat perjuanganku. 9 jam aku bertarung dalam bilik ini semata-mata untuk melahirkan insan yang suci”.
            Tidak lama kemudian, bayi tersebut dibawa ke dakapan Amira yang kini sudah bergelar ibu. Tersenyum Amira melihat wajah puteranya yang putih kemerah-merahan. Hidungnya membulat, bibirnya bagai permata merekah, keningnya halus dan gelap matanya, biru kegelapan. Saling tak tumpah seperti wajah Furqan.
            " Puan, tahniah. puan mendapat anak lelaki,"
            " Terima kasih, doktor.. Terima kasih.." ujar Amira dengan perlahan. Rasa lemah masih ada. Tersenyum seluruh warga hospital yang telah membantu perjuangannya menyambut kelahiran putera sulungnya itu.
            " Sama-sama. Tetapi, yang paling banyak membantu adalah Dia yang berada di atas. Serta puan sendiri yang kuat menghadapi semua ini. Tahniah  sekali lagi," kata Doktor Huda bersulam senyuman di wajahnya.

**************

            Furqan pula masih bersama pasukan pegawai perubatan dalam bilik bedah yang giat berusaha membuang ketumbuhan pada hati Adik Wawa. Perasaan Furqan buat pertama kali mengendali pembedahan memang gementar. Namun, apabila dia fikirkan kembali akan keselamatan Adik Wawa serta pengharapan isterinya terhadapnya, Furqan telah berusaha dengan sebaik mungkin agar semuanya berjalan dengan lancar. Lagipun, bersamanya juga ada pegawai perubatan profesional yang lain. Baginya, dia hanya mampu berusaha dengan bersungguh-sungguh dan selebihnya, Furqan tawakal kepada Allah.
           
************

Amira terlena dalam bilik selepas selamat bersalin.
            Furqan yang sudah tamat melakukan pembedahan, terus melakukan pendaftaran isterinya di kaunter. Setelah segalanya selesai, Furqan datang mengunjungi Amira di ward E11. Perlahan Furqan membuka pintu. Dalam bilik itu hanya Amira dan 2 pesakit lain yang masih menanti saat untuk bersalin…Furqan menghampiri isterinya yang masih terbaring. Tangannya hinggap di ubun-ubun Amira. Perlahan diusapnya lalu berkata…
            " Kesian. Sayang bertarung sendirian tadi… Terima kasih, Mira.." bisik Furqan.
            Usapan itu menjagakan Amira dari lenanya. Dengan perlahan, Amira membuka matanya.
            " Abang… Lama dah abang datang? " Amira lantas bersalam dengan Furqan. Dia cuba untuk membangunkan dirinya.
            " Jangan… Mira baring saja. Sakit tu belum reda lagi, berehatlah," kata Furqan menahan Amira dari bangun.
            Seketika selepas itu…
            " Abang… Mira minta maaf sangat dekat abang sebab salah sangka dekat abang. Mira ingat abang sengaja balik lewat, tak pedulikan Mira di rumah, dan Mira ingat abang dah tidak sayangkan Mira. Rupanya ada sebab abang jadi macam tu.. Mira minta maaf sangat abang. Mira tak dapat kawal emosi," kata Amira.
            " Sayang… abang dah lama maafkan Mira. Semua ni bukan salah Mira. Abang pun salah sebab tak cakap dekat Mira awal-awal. Abang pening fikirkan masalah Adik Wawa. Bila abang dapat tahu yang adik hidap penyakit ketumbuhan pada hati, abang menjadi buntu. Hari-hari abang fikir dan berusaha mengubati adik sampailah hari pembedahan," kata Furqan.
            " Adik!!! Bagaimana keadaan Adik Wawa?"
            " Jangan risau…Alhamdulillah, 8 jam dalam bilik bedah, akhirnya kami berjaya membuang ketumbuhan pada hatinya… In Sya Allah, kalau adik ikut peraturan dan disiplin selepas ini, dia mungkin boleh sembuh…Sekarang Adik Wawa dalam bilik ICU untuk pemerhatian. Esok, dia akan ke wad biasa, In Sya Allah," ujar Furqan.
            Amira menghembus nafas lega sebaik mendengar bahawa keadaan Adik Wawa baik-baik sahaja.
            " Abang.. Sudahlah. Sekarang kita lupakan semua kisah lama. Hari ini, kita berdua sudah bergelar ummi dan abi. Kita patut lebih matang supaya dapat jadi contoh untuk anak kita," kata Amira.
            " Ye lah.." kata Furqan lalu mencuit hidung Amira. Terukir senyuman di wajah Amira. Dia sungguh rindu akan usikan itu. Sudah lama dia tidak merasakan usikan daripada Furqan.  Dan hari ini, rindunya berakhir. Furqan sudah kembali kepada Furqan yang dia kenali sebelum ini…
            " Hmm.. Hana dah call keluarga kita. Mereka dah tahu yang Mira selamat bersalin. Hana pun dah balik. Esok diorang datanglah.."
            Amira terus teringat akan rakannya itu, Raihanah yang sudah banyak membantunya. Dialah yang memberikannya kata-kata motivasi agar dirinya kembali ke pangkuan Furqan dahulu.
            " Terima kasih, Hana," bisik hati Amira.
            " Tadi, abang dah tengok anak kita. Indah wajahnya. Alhamdulillah kita mendapat seorang pahlawan yang hebat. Wajahnya memang sekacak abinya," ujar Furqan.
            Amira tersenyum mendengar katanya.
            " Yelah tu abang. Kacak sangat !!! Abang, apa nama untuk anak kita? Mira rasa lebih baik abang namakannya. …"
            " Hmm…abang dah lama fikirkan… Ahmad Taufiq Farhan bin Ahmad Furqan.  In Sya Allah, nama ini baik untuk anak kita… Abang ingat satu hadis….         
Dari Abu Dardaa’, ia berkata : Telah bersabda Rasulullah SAW :
Sesungguhnya kalian akan dipanggil pada hari kiamat dengan nama kalian dan nama bapa-bapa kalian. Maka baguskanlah nama-nama kalian".
 Ahmad bermaksud yang terpuji, Taufiq bermaksud petunjuk manakala Farhan bermaksud bergembira. Abang ingin anak kita menjadi soleh dan difasihkan lidahnya untuk membaca dan menghafaz Quran seperti kita," kata Furqan.
            “ In Sya Allah...abang,” balas Amira.
           Amira tersenyum mendengar harapan Furqan yang tinggi menggunung. Senyuman yang terukir pada bibirnya, itulah yang sungguh ingin Amira lihat dari dahulu. Senyuman seorang ayah yang bahagia dengan kehadiran cahaya mata. Hari ini, penantiannya berakhir….Allah telah menunjukkan kuasaNya. Sungguh penantian itu menyeksakan tetapi, Amira percaya kepada janji Allah iaitu...
            Allah sentiasa bersama dengan orang yang bersabar...
Furqan mendekatkan wajahnya kepada Amira lalu hinggaplah satu kucupan hangat di dahi isterinya itu…seraya dia berkata…
            " Terima kasih banyak-banyak sayang sebab sayang kuat melahirkan di saat abang tak ada di sisi sayang tadi. Abang yakin Mira kuat untuk semua ini. Abang minta maaf kalau ada kesan yang masih tercalar dalam hati Mira… Abang minta maaf sayang…" bibirnya masih dekat di dahi Amira. Air mata yang mula mengalir pada wajah Furqan menitis pada wajah Amira. Amira menutup matanya dengan erat menahan sebak dalam dirinya.
            Amira menggenggam erat tangan Furqan. Amira menggeleng.
            " Tidak, abang. Abang sentiasa di sisi Mira walaupun bukan jasad tapi kasih sayang, hati, jiwa abang sentiasa dekat dengan Mira …..  Sayang sentiasa terbaik untuk Mira," kata Amira memujuk hati Furqan.
            Furqan mengangkat kepalanya.
            " Baiklah, abang keluar dulu… Abang nak tengok Adik Wawa. Sayang, rehat ya. Tidurlah…" katanya sambil mengusap-usap kepala Amira sebelum beredar dari situ.
            Amira tidak peduli kiranya tudungnya menjadi tidak betul dek usapannya. Tenang sahaja dia rasakan saat Furqan berada di sampingnya. Kerana Amira yakin kasih sayangnya kepada Furqan tertakluk di bawah naungan kasih sayangNya, yang sentiasa merancang yang terbaik untuknya dan Furqan.
            Amira tersenyum bahagia. Dia mengenangkan betapa indahnya perancangan Allah. Di sebalik setiap kejadian itu pasti diselitkan hikmah sebagai pengajaran buat hambaNya. Dan itulah yang mengajar hambaNya untuk terus tabah menghadapi kehidupan di dunia yang penuh dengan ujian.
           
**************

            Keesokkan pagi, Hana datang melawat Amira.
            " Miraaaaa…. Alhamdulillah, selamat bersalin. Bagaimana pengalaman melahirkan anak pertama? Waah, mesti seronokkan dah kahwin… Aku ni, Allah belum temukan jodoh lagi," terlindung wajah ceria Hana di sebalik tabir niqab.
            " Masya-Allah, Hana. Cerianya hari ini.. Bukannya Allah sengaja lambatkan pertemuan itu tapi, Allah mungkin nak kau persiapkan diri dulu. Matangkan fikiran dan ilmu…In Sya Allah, cepat atau lambat itu urusanNya. Jangan kita kacau. Berusahalah, Hana…"
            " In Sya Allah… Tadi, aku dah tengok anak kau. Wah, comel sangat macam umi dengan abi dia…"
            Hana sungguh bahagia. Rasanya, sudah lama Hana tidak melihat wajah Amira yang sebahagia itu. Bertahun-tahun mereka terpisah. Allah pertemukan dirinya dengan sahabatnya itu dalam keadaan yang tidak dijangkakan. Ternyata Allah ada perancangan yang jauh lebih baik. Inilah takdirNya.
            " Hana…"
            Hana terus merenung wajah sahabatnya itu sebaik dirinya dipanggil.
            " Aku minta maaf kalau selama ini, aku banyak susahkan kau. Aku kacau hidup kau dan serabutkan fikiran kau dengan masalah aku…Maafkan, aku," ungkap Amira.
            " Perkara tu dah berlalu..Lupakan. Aku, ikhlas tolong kawan aku ni. Tapi, aku minta maaf sebab aku tak rahsiakan perkara ini. Aku terus beritahu Furqan pada hari kedua. Aku jumpa nombor Furqan dalam beg kau dan ceritakan semuanya pada Furqan supaya dia tidak risaukan kau. Maafkan aku,"
            " Ya Allah…Hana, terima kasih untuk itu…Langkah kau memang tepat. Terima kasih, sebab menjaga aku sepanjang aku berada di rumah kau…Terima kasih banyak-banyak"
            " Sudahlah..Sekarang, waktu untuk bergembira sebab kawan aku ni, dah selamat bersalin baby boy. Dah ada nama ke?"
            " Hana…Hana…Sentiasa ceria. Alhamdulillah, Furqan letakkan nama cahaya mata pertama kami dengan nama Ahmad Taufiq Farhan bin Ahmad Furqan,"
            " Indah nama tu..Semoga akhlaknya juga seindah namanya,"
            Amira mengaminkan doa Hana. Dia turut berharap perkara yang sama. Bahagia Hana tatkala melihat senyuman indah mula terukir di wajah sahabatnya itu. Masih bermain di matanya, wajah cengkung Amira ketika ditemuinya di masjid tempoh hari. Keadaan Amira ketika itu sungguh membimbangkan Hana. Kini, Hana tahu bahawa Amira sedang mengecap kebahagiaan yang selalu diidamkannya selama ini.
            “Mira.. aku seronok tengok kau bahagia...”
            Amira merenung wajah Hana. Dia merasakan bahawa sesuatu yang tidak kena pada kata-kata Hana sebentar tadi.
            “ Kenapa ni, Hana?”
            “ Tak. Aku  bahagia sangat dapat tengok kau senyum macam ni.  Ya Allah, lama sangat kita tak jumpa kan...Aku tak nak, kalau lepas ni aku jumpa kau dalam keadaan yang bersedih lagi...”
            Amira mendapatkan tangan Hana.
            “ Hana...Jangan cakap macam tu. Aku sayang sangat dekat kau. Kaulah sahabat aku, dunia dan akhirat...” ujar Amira.
            “ Kau pun, Mira. Aku nak sekarang, kau lupakan segala parut yang membekas di hati kau. Lupakan segala lubang hitam yang pernah menjatuhkan kau. Lupakan segala memori yang telah menitiskan air mata kau. Fokus pada apa yang kau hadapi sekarang. Berusaha sehabis baik agar perkara itu dapat menyempurnakan senyuman kau...”

            Senyum Amira ditemani uraian air mata. Kata-kata yang terucap di mulut temannya itu betul-betul meninggalkan impak pada hatinya. Kehadiran Hana dalam hidupnya membuatkan Amira sedar bahawa tiada babak indah dalam kehidupan ini tanpa perjuangan dan pengorbanan.



BERSAMBUNG...
* Maafkan salah dan silap yang terdapat dalam karya ini. 
Buang yang keruh, ambil yang jernih. In Shaa Allah.

Assalamualaikum


Thanks For Reading شكران.

0 400 is kind-heart: