Novel Bersiri : Indahnya Takdir Ini 24

 
NOVEL ISLAMI
NOR AISHAH BT NORRIFIN


BAB 24: Sebenarnya...





“ Mira...kau macam tak sihat je?” ujar Hana.
            “ Erm.. Ok je. Jangan risaukan aku...” balas Amira. Dalam diam, Amira menahan rasa sakit pada perutnya. Perutnya bagaikan ditarik-tarik sehingga menegang terkadang.
            Hana risau melihatkan keadaan Amira yang selalu menyendiri. Wajahnya pucat lesi. Bibirnya kekeringan. Matanya kelihatan sembap. Dalam situasi tersebut, bukan sahaja keadaan Amira yang dirisaukan oleh Hana,  malah juga kondisi kandungan Amira.
            " Hana, boleh kau bawakan aku ke Rumah Anak Yatim as-Suhada?"
            " Ha? Oh, aku selalu lalu di kawasan tu. Kau ada urusan apa di sana?"
            " Aku perlu berjumpa dengan seseorang…Tolong Hana," pujuk Amira.
            Akhirnya, Hana pun bersetuju untuk membawa Amira ke sana . Lagipun Hana sedang melalui musim cuti semester. Niat yang terkubur lama di hati Amira akhirnya dapat ditunaikan. Itulah, Amira sudah lama ingin menjenguk keadaan Adik Wawa di sana.

************

            " Assalamualaikum,”
            “ Waalaikumsalam.”
“ Nama saya Taqiyyah Amira. Boleh saya berjumpa dengan pengurus panti?" ungkap Amira. Hana setia menunggu di luar.
       “ Puan Amira. Saya, Nisha Murni. Boleh panggil saya Puan Nisha. Sayalah pengurus panti ini. Ada yang boleh saya tolong?"
            Amira berjabat tangan dengan Puan Nisha yang sungguh peramah.
           " Boleh saya melawat Nurul Afifah Azwa. Dia baru dibawa ke sini, saya dengar. Boleh saya berjumpa dengan dia?"
         Wajah Puan Nisha berubah sebaik nama Adik Wawa disebut oleh Amira. Wajah tersebut seakan-akan memberitahu Amira bahawa ada sesuatu yang berlaku. Amira mula tertanya-tanya dan bingung. Pintanya tadi masih belum dijawab oleh Puan Nisha.
            " Puan? Bagaimana?"
            " Oh, Puan Amira…Hmm, sebenarnya Azwa sudah dibawa ke hospital untuk menjalani pembedahan. Sudah hampir 2 minggu lepas begitulah. Maafkan saya,"
            Amira tersentap apabila dikatakan bahawa Adik Wawa sudah dibawa ke hospital dan akan menjalani pembedahan. Amira bingung.
Apakah yang sedang berlaku ini?” gumam Amira.
Amira mengambil kesempatan ini untuk mengambil tahu tentang penyakit Adik Wawa.
        " Puan Nisha, bolehkah puan beritahu kepada saya tentang penyakitnya? Saya kakak angkat dia sejak di Rumah Anak Yatim al-Latiff lagi. Saya rasa saya berhak untuk tahu…"
            " Maaf sangat, Puan Amira. Saya diberitahu oleh Puan Syafinaz, agar tidak memberitahu kepada sesiapa pun tentang penyakit Azwa. Minta maaf sekali lagi. Saya pegang amanah ini untuk merahsiakannya,"
            " Puan, saya kenal dia sejak dia kecil. Sekarang, dia dah besar, saya tak diberitahu tentang penyakit dia. Tolonglah, puan…" nada suara Amira memujuk Puan Nisha agar memberitahunya penyakit Adik Wawa.
            " Puan Amira, jangan desak saya macam ni…Tolonglah faham, ini adalah amanah…" tegas Puan Nisha.
            Kepalanya terus tertunduk sebaik Puan Nisha menegaskan bahawa dia tidak akan memberitahu tentang penyakit Adik Wawa. Hampa Amira mendengarkan jawapan daripada Puan Nisha. Dia tahu bahawa kedatangannya ke situ hanyalah sia-sia. Amira mula menyusur keluar dari bilik tersebut.
            " Saya boleh ceritakan tentang penyakitnya…"  suara itu menarik perhatian Amira. Tapi, suara itu bukan milik Puan Nisha.
            Amira pun memandang kelibat yang berusuara sedemikian. Lama Amira tenung wajah wanita itu. Pakaiannya sungguh segak. Penampilannya cukup kemas. Lagaknya bagaikan profesionalis. Wanita itu melontarkan senyuman kepada Amira. Amira membalas senyuman itu.
 Namun, ukiran senyuman yang terbentuk di bibirnya itu tidak kekal. Dia mula teringat bahawa wanita itulah yang pernah dilihatnya bersama dengan Furqan. Hasratnya untuk mendengar penjelasan tentang Adik Wawa bagaikan lenyap serta-merta. Dengan pantas, Amira mengatur langkahnya untuk meninggalkan tempat itu. Wanita itu tangkas mendapatkan tangan Amira.
“ Lepaskan tangan saya!!!” tegas Amira.
“ Puan!!! Dengar dulu penjelasan saya. Jangan terus tenggelam dengan bayangan fitnah...” balas Doktor Izzati.
Sejak mendapat kes Adik Wawa di hospital, Doktor Izzati sering bertandang di Rumah Anak Yatin As-Suhada. Dia perlu untuk mendapatkan dokumen-dokumen penting tentang Adik Wawa yang dipos daripada Rumah Anak Yatim Al-Latiff. Kebetulan, pada hari itu Doktor Izzati melawat Rumah Anak Yatim As-Suhada untuk memeriksa keadaan salah seorang anak yatim di situ yang sakit.
Sebaik beliau mendengar bualan antara Amira dengan Puan Nisha, beliau terus mengenal insan yang selalu diceritakan oleh Furqan dan Adik Wawa kepadanya.

**************

" Sebenarnya, Nurul Afifah Azwa telah dibawa ke Hospital Selayang untuk melalui pembedahan hati. Dia mengidap penyakit kanser hati peringkat awal.” Ujar Doktor Izzati.
          Terkaku Amira mendengarkan penjelasan daripada Doktor Izzati. Amira terdiam. Dia membiarkan Doktor Izzati untuk terus memberi penjelasan.
“ Sebenarnya, kes tersebut menjadi tanggungjawab saya. Namun, saya selaku pegawai perubatan atasan, melihat prestasi Doktor Furqan sungguh memberangsangkan. Oleh itu, saya telah serahkan kes ini kepadanya. Sejak hari itu, Doktor Furqan menjadi pegawai yang perubatan yang perlu saya perhatikan dari semasa ke semasa. Jadi, hari demi hari saya perlu hubungi beliau untuk mengetahui maklumat adik Nurul Afifah Azwa," jelas Doktor Izzati.
Sukar untuk Amira bertentang dengan wanita yang dianggapnya sebagai  PERAMPAS.
            " Jadi, bagaimana keadaan dia sekarang?" soal Amira.
            " Puan jangan risau…Hari ini, Azwa akan menjalani pembedahan…Ya, Doktor Furqan yang menguruskan pembedahan tersebut, Puan A.M.I.R.A,"
            Terpacak bulu roma Amira sebaik namanya disebut oleh Doktor Izzati. Amira tidak tahu bagaimana beliau mengetahui namanya sedangkan, mereka belum pernah bertentang mata mahupun bersua kenal sebelum ini?
            " Awak kenal saya?" soal Amira lagi.
            " Semestinya… Saya sungguh mengenali isteri kepada rakan sejawat saya, Furqan. Kami berdua tidak pernah punya apa-apa hubungan atau perasaan. Kami hanyalah rakan sekerja. Saya mula mengenal Furqan setelah saya mendapat kes Nurul Afifah Azwa. Tugas saya adalah memerhati kerja Furqan kerana, dia masih lagi baru dalam dunia perubatan. Ya, dia seorang yang dedikasi dalam kerja dan sentiasa ceria. Kerana katanya, pesakit akan rasa tenang sekiranya, masyarakat sekeliling mereka turut tenang. Tapi, satu hari saya perasan yang Furqan bersikap murung dan tidak banyak bercakap. Sukar untuk saya nyatakan bagaimana keadaanya. Apabila ditanya, dia tidak menjawab. Namun, saya mendapat tahu hal yang sebenar daripada pesakitnya, Nurul Afifah Azwa. Saya terkejut apabila kemurungannya, melibatkan saya,"
            Amira tersentap mendengar kata Doktor Izzati. Dirinya seperti tidak dapat menerima jawapan daripada mulut orang yang pernah sakitkan hatinya.
Apa yang sebenarnya dia cuba katakan?” bisik hati Amira. Dia bagaikan cuba untuk melawan kenyataan.
           " Awak tak tahu apa-apa. Lebih baik awak berhenti daripada menyebut nama suami saya…"
            " Tidak!!! Awak yang tak tahu apa-apa. Awak cuma pentingkan diri dan berharap agar Furqan sentiasa ada masa untuk awak. Sedangkan, dia seorang doktor. Bukannya, cikgu tadika. Awak tahu betapa terkejutnya Furqan apabila mendapati Nurul Afifah Azwa mengidap penyakit kanser hati dan dia sendiri yang akan menjadi doktor kepada pesakit itu? Awak tahu bagaimana riak wajahnya sebaik saya menyerahkan fail pesakit kepada dia? Awak tahu tak? Awak faham tak perasaan suami awak waktu itu? Berat hatinya…Perangainya mula berubah sejak awak tinggalkan dia" tegas Dr Izzati..
            Amira tersentak sekali lagi dengan kata-katanya. Dia mula rasakan beratnya dosa yang terpikul di bahunya selama ini. Perbualan mereka berhenti sejenak. Amira merenung jauh memikirkan Furqan, suaminya yang masih dia cintai.
            " Ya Allah, jadi itulah sebabnya Furqan tidak lalu untuk makan, pulang dengan wajah yang tegang…Itukah sebabnya? Ya Allah, aku berdosa kepada suamiku…" jerit hati Amira. Air mata mula mengalir dek mengenang betapa dirinya sangat teruk di mata Furqan saat ini. Dia rasakan bahawa dirinya tidak layak untuk digelar isteri setelah dia tinggalkan Furqan sendiri di rumah tanpa sebarang khabar.
Badannya mula melemah. Perutnya tiba-tiba terasa sakit yang mencengkam… Sesekali, perutnya rasa seperti menegang…Amira mula bergerak ke tandas…Meninggalkan Doktor Izzati perlahan-lahan.
            " Tunggu, darah awak mengalir ke lantai…Puan Amira," jeritan Doktor Izzati menghentikan langkah Amira. Doktor Izzati bergerak mendekati Amira.
            Amira yang mula melihat darah yang menitis ke lantai, mula berasa pening. Doktor Izzati memimpin Amira ke arah kerusi agar dapat duduk dengan tenang.
            " Sabar puan…Berapa usia kandungan puan?"
            Jantungnya berdegup dengan cukup pantas. Itu membuatkan dirinya sukar untuk bernafas.
            " Sepatutnya minggu lepas saya melahirkan menurut jangkaan doktor," balasnya pendek.
            " Mungkin ini tanda puan akan melahirkan. Biar saya bawa puan ke hospital. Kita perlu bersegera sebelum air ketuban pecah," Doktor Izzati memimpin Amira dengan sungguh cermat dan berhati-hati ke arah keretanya.
Di fikiran Amira hanya terbayang wajah Furqan. Dia sungguh berharap agar Furqan ada di sisinya saat ini. Setelah dia tinggalkan Furqan, Amira sangat berharap masih ada sekelumit cinta dalam hati Furqan kepadanya. Sungguh, Amira ingin mendapatkan Furqan saat ini.  Dia ingin melafazkan kemaafan kepada suaminya atas segala tingkah bodohnya selama ini.
            Dalam  kereta Amira terbaring di tempat duduk belakang. Dia mengurut-urut dengan perlahan perutnya itu.
            " Doktor…saya minta maaf banyak-banyak kerana salah faham tentang doktor. Saya mengambil keputusan dengan terburu-buru sampaikan saya tinggalkan suami saya…Maafkan saya, doktor," air mata yang bergenang di kelopak mata Amira  seakan-akan sudah tidak mampu untuk tertahan lagi.
            " Puan Amira, saya tidak pernah terasa dengan semua itu. Tapi, puan kena ingat…Suami puan!!! Dia yang banyak menanggung derita. Siang sibuk di hospital, malamnya pula sendiri di rumah…Puan, berdoalah agar puan diberi masa untuk meminta ampun daripadanya," kata Doktor Izzati sambil memandu.
            Amira mula teringat akan kata-kata Hana kepadanya sepanjang tempoh hari. "Mana-mana wanita (isteri) yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya meredhainya, maka ia akan masuk ke dalam syurga." (Riwayat-Tirmizi, al-Hakim dan Ibnu Majah).
            Ya Allah, janganlah Kau menarik nyawaku sebelum aku mendapat reda dan ampun daripada suamiku, ya Rabb. Air mata bercucuran mengenangkan dosa yang dia lakukan kepada Furqan, mengenangkan beratnya derita yang Furqan lalui.

************

            Hana terus mengekori kenderaan Doktor Izzati dari belakang. Sebaik tiba di lorong kecemasan, Amira terus didudukkan di atas kerusi roda dan ditolak oleh Dr Izzati. Kelihatan beberapa orang jururawat lain yang mengekori Doktor Izzati dari belakang.
Perutnya kini terasa sangat menegang.
            " Puan, sakit ke?" soal Doktor Izzati.
            " Saya rasa saya masih boleh tahan sakit ini…" balas Amira dengan lemah. Pintu lif terbuka. Mereka tiba di tingkat satu di mana terletaknya dewan bersalin. Amira hanya menurut ke mana sahaja Doktor Izzati mendorongnya.
Setelah lama menunduk, Amira mengangkat kepalanya. Matanya ligat memandang ke kiri dan kanan. Dia seakan-akan mencair seseorang. Pandangannya tiba-tiba tertumpu ke arah satu kelibat yang cukup dikenalinya. Pergerakkannya saling tak tumpah seperti Furqan.. Badan Amira ketika itu sangat lemah. Dia terus menundukkan pandangan sebaik kelibat tersebut kembali menghilang.
Amira terus ditolak oleh Doktor Izzati. Amira teringat tunjuk ajar Ustazah Syafiqa semasa mengajar topik Munakahat. Katanya, wanita yang hendak bersalin, bagus diamalkan bacaan 3 Qul, Surah Tariq, Surah Maryam, Yaasin dan ayat Kursi. Amira berasa sungguh beruntung kerana menjadi Hafizah al-Quran. Dia mampu untuk membaca kesemua surah itu tanpa melihat mushaf al-Quran.
            Sedang Amira ditolak oleh Doktor Izzati, dia bertembung dengan seorang pesakit yang sudah terbaring di atas katil. Doktor Izzati memberhentikan kerusi roda tersebut untuk memberi laluan kepada pesakit tersebut. Katil tersebut ditolak dengan cukup pantas. Dari jauh lagi,  Amira merenung wajah insan yang berbaring itu. Sehinggalah, wajahnya bertentangan dengan wajah pesakit tersebut.
“  Masya-Allah..Adik Wawa..”
Pandangan Amira tidak putus daripada melihat katil tersebut. Tanpa sedar, salah seorang doktor yang turut mendorong pesakit tersebut ialah Furqan.
            " Abang…" perlahan Amira menuturkan kata itu. Menitis air matanya saat melihat susuk tubuh Furqan. Dia yakin itu adalah suaminya. Namun, Amira tidak mampu untuk memanggil suaminya dengan kuat. Kelibat Furqan terus berlalu. Badannya sangat lemah ketika itu.
            Furqan seakan-akan mendengar suara Amira. Langkahnya terhenti. Dengan perlahan, Furqan memalingkan wajahnya ke arah Amira. Furqan terpaku melihat isterinya yang sedang duduk di atas kerusi roda dalam keadaan tidak bermaya.
" Doktor!! Doktor!! " sapa salah seorang jururawat yang bersama dengan Furqan dalam misi pembedahan Adik Wawa.
" Hmm… tolong teruskan. Saya akan menyusul kemudian…"
“ Baiklah,” jururawat tersebut terus meninggalkan Furqan.
Wajah Furqan cukup menjelaskan kepada Amira betapa terkejutnya suaminya itu sebaik melihat dirinya. Doktor Izzati yang melihat situasi itu mengangguk ke arah Furqan. Beliau memahami keadaan tersebut lalu, membiarkan Amira sendiri.


" Abang…" Amira memanggil Furqan dari jauh. Amira dapat melihat kebahagiaan pada wajah Furqan saat melihat isterinya berada di hadapannya. Furqan berlari menuju ke arah Amira. Dia mendapatkan tangan Amira. Digenggamnya dengan erat. Amira tidak berfikir panjang. Air matanya sudah deras mengalir. Tangan Furqan itu diciumnya dengan sepenuh hati. Amira tahu, kucupannya yang hinggap pada tangan suaminya itu masih belum dapat menebus segala dosanya kepada Furqan. Bagi Amira, dosanya sebagai isteri bagai butir pasir di lautan. Bahkan, sekiranya dihitung belum tentu seluruh alam mampu menanggungnya.
Aku tidak mahu melepaskan tangannya. Aku telah berdosa padanya.” jerit hati Amira.
            " Sayang…Sudahlah tu, abang dah tahu segalanya…Raihanah yang ceritakan segalanya kepada abang. Abang sangat risaukan Mira sampaikan, abang hampir nak buat laporan polis…"
            “ Ya Allah...Setelah apa yang aku lakukan kepadanya. Dia masih memanggilku sayang...” rintih hati Amira.
            " Abang…Mira dah banyak sangat salah dekat abang. Maafkan Mira, bang..Maafkan Mira. Redai Mira, abang," ujar Amira tanpa melepaskan tangan Furqan.
            " Sayang, kenapa sayang nak minta maaf. Abang yang salah. Abang tak sedar yang abang dah lukakan perasaan isteri abang. Abang tinggalkan Mira sendiri di rumah, kemudian bila abang balik, abang jarang melayan Mira…Abang mula sedar tentang tu apabila berbual dengan Adik Wawa… Abang tekad nak minta maaf kepada Mira, tapi bila abang balik, rumah dah kosong, gelap, sunyi… Abang risau apabila Mira masih belum balik keesokan paginya sampaikan abang tekad nak ke balai polis. Tapi, sebelum sampai sana, Hana dah telefon abang dan katakan yang Mira ada dengan dia dan Hana dah ceritakan semuanya pada abang…"
            Furqan juga menyatakan bahawa sepanjang ketiadaan Amira di sisinya, Adik Wawalah yang menjadi tempat meluahkan perasaan. Adik Wawa banyak menyimpan kisah antara Furqan dan Amira. Dan inilah sebabnya Doktor Izzati turut mengetahui hal suami isteri mereka.
        " Tak abang…Ini salah Mira…Mira terlampau ikutkan perasaan sampaikan lupa tanggungjawab dan mula tidak ikhlas memegang amanah sebagai isteri. Ya Allah, Mira bersyukur sangat sebab masih diberi kesempatan untuk berjumpa dengan abang. Maafkan Mira, sayang..."
            Tanpa sedar, mata Furqan mula bergenang air mata. Setitis demi setitis air matanya gugur menitik di pipinya.
            " Sudahlah, jangan menangis. Anak kita akan keluar tak lama lagi. Jangan risau, abang dah maafkan Mira dari hujung rambut hingga hujung kaki…"
           Furqan terus membawa Amira dalam dakapannya. Amira terasa seperti belayar di lautan indah sehinggakan dia lupa tentang kondisinya. Dakapan Furqan itu membuatkan dia langsung lupa akan sakit yang tadinya mencengkam dirinya. Pelukan itu membuatkan Amira terlupa akan bumi yang dipijak. Amira seakan-akan tidak mahu melepaskannya. Namun, apabila Amira sedar bahawa Furqan bertanggungjawab atas pembedahan Adik Wawa, perlahan Amira keluar dari dakapan itu.
            " Abang, pergilah.. Laksanakan tugas abang,"
            " Tapi, sayang…"
            Furqan berbelah-bagi, sama ada ingin teruskan pembedahan Adik Wawa yang sudah menanti di Bilik Bedah ataupun, menemani isterinya bertarung nyawa di Bilik Bersalin.
Amira sedar, seorang suami itu akan setia di samping isterinya tatkala isterinya itu berperang nyawa saat melahirkan seorang cahaya mata. Namun, dirinya  sudah serik dengan mainan emosi yang telah menenggelamkannya dari kenyataan. Kini, Amira tekad untuk melepaskan Furqan. Dia reda Furqan tiada di sisinya saat menyambut cahaya mata mereka yang pertama. Kini, Amira mula memahami erti sebenar keikhlasan dan erti reda.
Amira merenung wajah Furqan yang serba salah untuk meninggalkan dirinya sendiri, bertarung nyawa dalam bilik bersalin itu. Amira tersenyum lesu kepada suaminya walaupun dalam keadaan tidak bermaya.
            Tiba-tiba, Amira dapat rasakan tegangan yang sungguh kuat dalam perutnya sehinggakan akhirnya…
            Dugusshhh!!!
            Air ketuban mula pecah lalu melimpah ke lantai. Doktor Qistina yang meihat situasi tersebut segera menghampiri Amira.
            " Abang, pergilah. Mira percaya abang boleh selamatkan adik dengan bantuan Allah. In Sya Allah. Pergilah, abang. Biarkan Mira sendiri…Doakan Mira selamat bersalinkan anak kita," Amira memberikannya kata-kata semangat agar Furqan teguh dengan pendiriannya untuk menguruskan Adik Wawa di Bilik Bedah.
            Furqan mengangguk. Sakit yang Amira tanggung makin lama makin menyengat. Dia tidak dapat menahan lagi. " Sayang, walaupun abang tiada di sisi Mira saat melahirkan, ingatlah yang abang sentiasa menemani Mira di jiwa dan hati. Doa abang sentiasa mengiringi Mira…Keluarlah dengan selamat, zaujahku, sayang dan cahaya mataku. Fi Hifzillah, " Furqan menggenggam tangan Amira seeratnya. Dengan perlahan genggaman itu dileraikan.  Amira terus ditolak oleh Doktor Izzati ke dalam bilik bersalin. Di sana, Amira diserahkan kepada Doktor Huda untuk menyambut kelahiran anak sulungnya.
            “ Abang...Mira patut untuk sendirian di sini. Setelah Mira biarkan abang sendirian di rumah. Mira memang patut untuk terima semua ini,” bisik hati Amira saat terbaring dalam bilik bersalin.



BERSAMBUNG...
* Maafkan salah dan silap yang terdapat dalam karya ini. 
Buang yang keruh, ambil yang jernih. In Shaa Allah.

Assalamualaikum


Thanks For Reading شكران.

0 400 is kind-heart: