Novel Bersiri: Indahnya Takdir Ini 23

 
NOVEL ISLAMI
NOR AISHAH BT NORRIFIN


BAB 23: Itukah Suamiku?



Kini hampir seminggu Amira melihat perubahan pada suaminya. Timbul perasaan dalam hatinya untuk ke tempat kerja Furqan.
Agaknya, apa yang Furqan buat sekarang di hospital. Aku teringin untuk ketahui kerja apalah sangat yang dia lakukan…Cantik sangatkah jururawat dan doktor perempuan di sana sehinggakan aku sendiri dibuat tidak endah sahaja di rumah..” itulah kata-kata yang sering bermain-main di ruang fikiran Amira.
       Emosi Amira seakan-akan tidak dapat dikawal. Dirinya mula berprasangka terhadap suaminya. Namun, dia tidak mengetahui hal yang sebenarnya. Amira lantas menuju ke hospital di mana tempat Furqan bekerja. Dalam keadaan sarat mengandung 8 bulan lebih, dia kuatkan dirinya untuk ke sana.
            Lama Amira termenung. Sehinggalah telefon bimbitnya mengeluarkan nada zikir Astaghfirullah, Hafiz Hamidun. Tersentap Amira. Dia mulai tersedar akan bisikan syaitan yang telah menghanyutkannya dalam lautan fitnah.
            “ Astghfirullah hal Azim...” ungkap Amira. Tidak terkira berapa kali dia mengungkap ungkapan itu. Amira terus menuju ke bilik air. Segera dia menyucikan dirinya daripada hasutan iblis. Air wudhuk itu disapunya ke selurung anggota wudhuk.
            Segar. Itulah rasanya berada dalam selimut wudhuk. Tersenyum Amira sendiri. Al-Quran Tafseer yang tersusun rapi di atas meja itu digapainya. Lalu, dialunkannya sebagai pengubat hati yang berombak itu.
            “ Alhamdulillah...Hmm. Lebih baik aku masak untuk Furqan. Sekurang-kurangnya Furqan dapat makan tengah hari bersamaku hari ini...” monolog Amira sebaik selesai membaca 4 halaman Kalamullah itu.
            Dengan rasa bahagia, langkah mula diatur menuju ke dapur. Yang pasti, menu kegemaran Furqan itu akan menjadi masakan utama, pucuk paku masak lemak. Lauk sampingan Amira fikirkan kemudian.

*************

            " Abang Furqan, tolong jangan beritahu Kak Mira tentang penyakit adik. Tolonglah…Biarlah antara kita berdua saja yang tahu," pesan Adik Wawa yang terbaring atas katil.
            Furqan merenung kata Adik Wawa.
            " Hmm…In Shaa Allah. Adik, kena tabah dan banyakkan berdoa. Abang akan berusaha sebaik mungkin untuk sembuhkan adik. Selebihnya, serahkan kepada Allah untuk memberikan kesembuhan kepada adik,"
            " Terima kasih, abang kerana telah berkorban untuk adik. Malam itu abang balik lambat sangat semata-mata untuk temankan adik. Kesian Kak Mira di rumah. Pasti Kak Mira sedih sebab duduk seorang diri saja di rumah,"
            Mendengarkan kata-kata itu, Furqan mulai tersedar. Dia  kembali teringat bagaimana tingkahnya terhadap isterinya sejak akhir-akhir ini. Dia sedar bahawa dirinya sentiasa murung. Mereka juga jarang berbual mesra. Terbit rasa bersalah yang mendalam dalam diri Furqan terhadap isterinya. Furqan tahu bahawa bukan niatnya untuk bertindak demikian. Mungkin kerana terlalu terkejut menerima tanggungjawab tersebut dan tambahan pula, amanahnya kali ini melibatkan Adik Wawa. Bebanan fikiran Furqan bertambah berat.
            " Betul…Kesian Kak Mira. …" balas Furqan pendek.
            Setelah selesai memeriksa keadaan Adik Wawa, Furqan menuju ke ruang pejabatnya. Furqan tidak henti-henti menelefon Amira. Namun, tidak satu pun panggilannya diangkat. Ke hulu dan ke hilir, Furqan berjalan di ruang pejabatnya. Furqan tekad untuk meminta maaf kepada isterinya sebaik pulang nanti.
            Tiba-tiba, Doktor Izzati datang menyapa.
            " Doktor!!! Kenapa ni? Ada masalah ke?"
            " Heemmm!!! "


" Agak lama tak memandu, Alhamdulillah, masih boleh memandu lagi.."  gumam hati Amira. Mangkuk tingkat yang berisi nasi dan lauk pauk diimbas oleh Amira sesaat. Bahagia dirasakannya ketika itu.
            Terdetik di hati Amira untuk menghubungi Amira. Harapannya agar Furqan ketahui niatnya untuk melawat suaminya di tempat kerja.
            " Mana ni?" ujar Amira. Tangannya ligat mencari-cari telefon bimbit dalam beg tangannya.
            “Baru aku teringat ternyata aku tertinggal telefon bimbitku di dalam bilik. Hai, Mira!!!Mira!!! kau memang senang lupa..” Amira mulai teringat.
" Eh, rasanya. Inilah, tempatnya. Akhirnya, tiba pun. Semoga semuanya berjalan dengan lancar," pinta hatinya sebaik membelok masuk ke tempat parkir di hospital itu.


" Bagaimana dengan keadaan pesakit, Nurul Afifah Azwa? Doktor dah buat persiapan sebelum pembedahan?" perbualan antara Furqan dengan Dr Izzati masih belum selesai. Doktor Izzati bertanggungjawab memerhati kerja Doktor Furqan. Jadi, Dr Izzati berhak untuk tahu tentang perkembangan pesakit Nurul Afifah Azwa.
            " Alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan dengan baik. Tadi, saya baru sahaja selesai mengambil darah pesakit. In Sya Allah, 2 minggu lagi pesakit akan dibawa ke Bilik Bedah untuk proses pembedahan…Saya akan lakukan yang terbaik, In Sya Allah," kata Furqan.

Amira yang berbadan dua pula sudah melangkah masuk ke ruang hospital. Ke sana dan ke situ, dia mencari-cari suaminya dengan keringat yang ada. Baru terdetik di hatinya untuk bertanya kepada salah seorang jururawat. Setelah diberitahu oleh jururawat itu, Amira pun bergerak.
            Mangkuk tingkat itu rapi berada dalam pegangan Amira. Langkahnya diperhati dengan elok agar tidak tersalah langkah. Tiba di tingkat 2, Amira terus terlihat kelibat Furqan yang samar-samar.
            " Itu abang.. Ya, itu Furqan…" Amira mempercepat langkahnya untuk menghampiri Furqan. Dengan berbadan dua itulah dia bergegas ke arah Furqan. Kelibat wanita yang berdiri di samping Furqan itu menarik perhatian Amira. Amira terus merenung mereka dari jarak yang jauh. Pelahan-lahan, sangkaan negatif mula mucul di benak fikirannya. Emosinya mulai menjadi kacau dan berkecamuk. Amira bagaikan tidak dapat menahan sangkaan negatif tersebut daripada membaluti fikirannya
            " Mesranya berbual. Jadi inilah dia puncanya…Punca balik lewat, punca tidak ceria dan punca abang berubah!!! Heeerrhhh, tak sangka ini sikap abang di belakang Mira…" Amira bermonolog sendiri. Dirinya mula dibelenggu sangkaan acuan iblis.
Dirinya mula tidak bermaya untuk meneruskan langkah menghampiri Furqan. Air mata mula bergenang di bawah kelopak matanya. Berat hatinya menyaksikan hakikat yang terpampang di hadapannya.
            " Itukah suamiku?" gumam Amira.
Persoalan negatif terus mencengkam hatinya. Dia langsung tidak dapat mengawal mainan emosinya pada ketika itu. Amira lantas menoleh. Dengan serta-merta dia membatalkan hasratnya untuk berjumpa dengan Furqan. Tanpa berfikir panjang, Amira menuju ke arah tempat parkir kenderaan. Setiap langkahnya ditemani uraian air mata dek bayangan Furqan bersama kelibat wanita misteri itu bermain di sudut mindanya.
Ya!!! Doktor wanita itu sungguh jelita.Aku tidak dapat menerima kenyataan bahawa ini yang Furqan lakukan di belakangku.”
            Setiap kali Amira mengesat air mata, pasti ada lagi air mata yang keluar. Tanpa berfikir panjang, kereta itu terus dipandu keluar dari kawasan hospital. Yang pasti destinasinya bukan untuk ke rumah.
Amira memerlahankan kenderaannya di simpang tiga itu dan menyusur masuk ke kawasan Masjid Jamek Ar-Raudah. Kenderaan CRZ berwarna merah itu diparkir dengan kemas di ruang parkir.
Amira memejamkan matanya. Berkali-kali dia mencuba untuk mencampakkan bayangan negatif itu namun bayangan itu terus-menerus menghasut emosinya. Perlahan-lahan, dia menarik nafas lalu menghembusnya. Niqab pada wajahnya dibetulkan sambil mengesat air mati yang berbaki di wajahnya. Lalu, dia meninggalkan kenderaanya itu dan mengatur langkahnya menuju ke musolla itu.

**************

            " Ya Allah, aku hambaMu yang lemah. Aku mohon petunjuk daripadaMu. Engkau berikan aku kekuatan untuk menghadapi ujianMu ini. Engkau tunjukkanlah aku kebenaran, janganlah kau sembunyikannya…" air mata itu bercucuran mengalir saat doa itu dilafazkan oleh Amira. Di benak fikirannya, hanya terbayang wajah Furqan. Sukar untuk dirinya menerima kenyataan apatahlagi senario itu dilihat dengan matanya sendiri.
            Seorang wanita berjubah biru cerah berniqab putih terus merenung Amira dari jauh. Jauh di sidut hatinya, dia dapat merasakan bahawa ada sesuatu yang ada pada diri Amira. Sesuatu yang membuatkan wanita itu berasa sangat dekat dengan Amira. Wanita itu seakan-akan memahami emosi Amira yang sedang menderita. Tanpa berfikir panjang, wanita itu bangun lalu mendekati Amira.
            " Assalamualaikum…" sapa wanita itu.
            Amira mengesat air matanya. Wajah wanita itu terus dipandang.
            " Waalaikumsalam.." Amira pun bersalam dengannya.
            Lama Amira merenung wajah wanita yang tidak dikenalinya itu. Dari kerdipan mata itu membuatkan hati Amira terusik. Mereka bagaikan telah lama berkenalan. Begitu juga wanita berniqab itu. Mereka saling bertentang mata. Fikiran masing-masing ligat berfikir.
            " Hana?" gumam Amira.
            " Amira?" balas wanita tersebut.
" Subhanallah, lama betul kita tak jumpa," ternyata wanita itu ialah Raihanah. Itulah teman baik kepada Amira selama 6 tahun semasa berada di Maktab Pendidikan Al-Quran Al-Ghazali.
            Mereka berpeluk bahagia. Rasa rindu yang kian lama bertandang di sudut hati mereka akhirnya terubat. Kasih antara dua sahabat itu Allah tautkan kembali dalam rumahNya yang suci itu.
 “Ya Allah, sungguh aku tidak mahu melepaskan pelukan ini. Saat aku bersedih, kau titipkan seseorang yang kau tahu mampu menjadi penawar kepada dukaku.” Bisik hati Amira dalam dakapan Raihanah.
 Air mata yang hampir kering kini bercucuran kembali. Amira tahu Allah mendengar doanya. Dia sungguh yakin bahawa setiap yang terjadi itu tertakluk di bawah perancangan Allah Azza Wajalla.
Raihanah merasakan perbezaan pada diri Amira. Amira yang dikenalinya bukanlah insan yang mudah menitiskan air mata. Hana tahu bahawa Amira seorang yang tabah.
Ini mesti ada apa-apa ni...Kawan aku bukannya wanita yang lemah begini...” monolog Raihanah.
            " Mira, kenapa bersedih ini. Patutnya, kita kena seronok sebab berjumpa lagi setelah berpisah bertahun-tahun…"
            Lama Amira berfikir. Dia berbelah-bahagi sama ada, patut atau tidak untuk dia menceritakan peristiwa hitam yang mengganggu dirinya.
            " Susah untuk Mira ceritakan…Tapi, kau kena tolong aku…"
            Amira pun menceritakan hal sebenar kepada Raihanah. Rasa terkejut terbit dalam diri Raihanah sebaik mendengar penjelasan daripada Amira. Puas Hana memujuk rakannya itu. Dia tidak mahu kandungan Amira menjadi buruk disebabkan oleh mainan emosi yang mengganggu diri Amira.
            " Sudahlah tu, Mira. Cuba untuk berfikiran positif. Siapa tahu, Furqan sedang ada urusan yang penting dengan perempuan tu. Jangan terlampau membesarkan sesuatu perkara yang kecil..Hmm?" pujuk Hana.
            " Aku tak rasa ini perkara kecil. Susah untuk aku terima ini. Aku perlukan masa untuk tenangkan fikiran…Kau kena tolong aku,"
            " Tolong apa?"
            " Aku nak minta untuk tumpang rumah kau buat sementara waktu ini…Aku tak boleh balik rumah. Banyak benda yang merunsingkan kepala aku di rumah tu,"
            Lama Hana mendiamkan diri, memikirkan keputusan yang patut dia buat. Tambahan lagi, Hana tidak mahu Amira menjadi isteri yang derhaka.
            " Mira? Biar betul, Mira? Tak kesian dekat Furqan, sendirian di rumah…Jangan jadi isteri derhaka..."
            Amira seperti tidak pedulikan semua itu, dia terlalu ikutkan perasaan sehinggakan lupa tanggungjawabnya sebagai isteri. Senario antara Furqan dan wanita itu membuatakan hatinya untuk melihat pahala dan dosa.

*************

Malam itu Furqan pulang dengan penuh pengharapan. Mangkuk tingkat itu dibawa bersamanya. Amira sengaja meninggalkan nasi berserta lauk pauk kepada jururawat di kaunter pertanyaan. Apabila Furqan terserempak dengan jururawat tersebut, dihulurkannya mangkuk tingkat itu kepada Furqan. Melihat lauk pauk yang terbungkus dalam mangkuk tingkat itu, Furqan cukup tahu bahawa itu adalah pemberian Amira.
Harapannya tinggi untuk berjumpa dengan isterinya. Tombol pintu rumah dipulas. Kaki kanannya memulakan langkah masuk ke dalam rumah. Furqan begitu tidak sabar untuk menemui isterinya. Dia begitu bersemangat untuk menyapa dan meminta maaf kepada isterinya.
            " Assalamualaikum, sayang. Abang balik,"
            Salam Furqan tidak dibalas. Suasana rumah begitu sunyi dan gelap.  Furqan aneh dengan suasana rumahnya yang sunyi. Padanya, 7.00 petang itu masih terlalu awal untuk Amira tidur. Perlahan Furqan menuju ke arah biliknya untuk mencari Amira sambil memanggil-manggil.. " Sayang…Sayang…"
            " Sayang?"
            Timbul tanda tanya dalam fikiran Furqan,
            " Haih...Keluar ke? Tapi, dia tak bagi tahu pun..Mira.... " jerit hati Furqan.
            Hampa dalam hatinya tidak terkata. Furqan tidak habis fikir, ke mana perginya isterinya? Dia tahu bahawa Amira pasti akan meminta izin daripadanya sekiranya hendak ke mana-mana.
Jam hampir menunjukkan pukul 1.00 pagi. Tubuh seorang suami itu sanggup menanti kepulangan isterinya. Namun, tiada sebarang tanda bahawa Amira akan pulang. Furqan mulai risau dan berniat untuk melaporkan hal tersebut kepada pihak polis.  Apatahlgi, keluarganya tidak tahu menahu tentang keberadaan Amira. Furqan mulai cemas dan terus bergerak ke balai polis pagi-pagi itu.

*************

Hari demi hari berlalu. Fikiran Amira kusut memikirkan Furqan. Ada kala perasaan risau muncul di benak hatinya. Dia tahu, Furqan memerlukan dirinya di sisi. Tapi, apakan daya, setiap kali Amira cuba untuk memaafkan Furqan, dirinya seakan-akan terdengar bisikan yang menghasutnya agar melupakan Furqan.
            Kondominium yang Hana tinggal itulah menjadi sarang sementara buat Amira. Amira cuba untuk tidak menyusahkan Hana yang masih belajar. Dia sedang menyambung Master di Universiti Islam Antarabangsa.
            " Mira, sampai bila Mira nak duduk sini?" soal Hana.
            " Hmm…Hana, tak suka Mira tinggal sini ke?"
            " Bukan macam tu Mira. Sudah hampir 2 minggu Mira tinggalkan rumah. Kandungan Mira tu menunggu masa nak meletop je.  Sekarang ini, perkara yang paling penting adalah tanggungjawab. Tanggungjawab Mira sekarang adalah menjadi seorang isteri dan tempatnya adalah di sisi suaminya. Tapi, apa yang Mira buat sekarang ini adalah mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri. Rasulullah pernah bersabda ' Mana-mana wanita (isteri) yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya meredhainya, maka ia akan masuk ke dalam syurga." (Riwayat-Tirmizi, al-Hakim dan Ibnu Majah). Tapi, isteri yang derhaka, tempatnya adalah di neraka…"
            Amira merenung setiap bait kata Hana kepadanya. Dia tahu amanahnya sebagai zaujah kepada Furqan. Terdiam Amira memikirkan tindakan yang patut dia lakukan selepas ini.
 Kemudian Hana sambung lagi.
            " Jangan diikutkan emosi itu. Sekarang, Mira tengah hamil. Mungkin itu antara faktor Mira melalui gangguan emosi. Tak lama lagi, Mira akan bersalin. Mira perlukan Furqan, dia suami Mira…Ingat, tanggungjawab sebagai pegawai perubatan bukan mudah. Furqan pasti ada alasannya sendiri mengapa dia berbuat demikian. ," pesan Hana.
            " Mungkin kebosanan dan perasaan sunyi sekali sekala menghantui jiwa Mira sekarang. Bersihkan jiwa Mira  dari belenggu itu. Apakah matlamat yang lebih mulia dalam hidup ini selain untuk mendapat keredhaan Allah, kasih sayang suami dan keluarga. Terutamanya suami, dalam membina keluarga bahagia…Sedangkan, Khadijah r.a sendiri selalu ditinggalkan Rasulullah tatkala Rasulullah SAW berulang-alik ke Gua Hira' Namun, Khadijah tidak merungut, malah Khadijah memahami suaminya. Mira tahu? Apabila seseorang itu mula melakukan sesuatu bukan kerana Allah, maka bersiap sedialah untuk kecewa…Dan itulah yang Mira rasakan. Mira masih tidak ada rasa redha dalam diri," ungkap Hana lagi.
            Kata-kata itu pernah menjadi motivasi dalam dirnya. Amira masing ingat bait itu. Apabila kita melakukan sesuatu bukan kerana Allah, maka bersiap sedialah untuk kecewa.
            “ Mungkin benar kata Hana, aku masih belum ada rasa redha dalam diri ini…” bisik hati Amira. Dia masih memikirkan pesan sahabatnya itu.

Perlahan-lahan dia menarik nafas sedalam-dalamnya. Ada kala, rasa rindu mengusik kalbu Amira. Dia masih rindu akan gelak tawa Furqan. Melihat celoteh Furqan. Merasai usik manja Furqan. Amira sangat merindui semua itu sejak Furqan bersikap dingin terhadap dirinya. Amira jenuh berfikir. Benarkah sikap dingin pada diri Furqan itu didorong oleh kejadian Furqan di hospital yang disaksikan oleh Amira? Atau ada sebab yang lain, yang Amira sendiri tidak tahu?


BERSAMBUNG...
* Maafkan salah dan silap yang terdapat dalam karya ini. 
Buang yang keruh, ambil yang jernih. In Shaa Allah.

Assalamualaikum


Thanks For Reading شكران.

0 400 is kind-heart: