Novel Bersiri : Indahnya Takdir Ini 22

 
NOVEL ISLAMI
NOR AISHAH BT NORRIFIN


BAB 22: Apabila Emosi Berbisik




Masa terus berlalu. Usia kandungan Amira kini menjengah 8 bulan lebih.
            " Masya-Allah, bosannya di rumah… Aku nak buat apa sekarang?" bisik hati Amira setelah selesai membersihkan rumah.
            " Assalamualaikum…" suara seseorang memanggil salam dari luar. Amira terus mengintai dari tingkap untuk melihat gerangan yang bertandang ke rumahnya itu.
            " Mama rupanya…" kata hati Amira spontan .
            Amira menjemput mama masuk ke rumah.
            " Mama, datang seorang saja? Papa tak ikut?" soal Amira.
         " Papa tu bukannya free man. Sibuk orangnya. Lepas satu kerja selesai, datang kerja yang lain pula. Mama tak tahulah bila papa nak serahkan syarikat tu dekat orang bawah dia…"
            " Bukankah, Abang Hafiz yang akan pegang syarikat lepas ni?" soal Amira.
            " Betullah tu. Cuma, papa kamu tu masih nak gagahkan diri bekerja. Walhal, badan tu dah penat," ujar mama.
            Amira gembira melihat mama datang. Tiba-tiba mama memanggilnya dengan lembut.
            " Mira…"
            Pandangannnya lalu tertumpu ke arah mama.
            " Kamu ini tak bosankah duduk di rumah seorang diri?" kata mama.
            Kata-kata itu sedikit menyentap diri Amira yang sememangnya bosan berada di rumah seorang diri.
            " Hmm… bosan itu mungkin ada. Tapi, nak buat macam mana. Suami Mirakan kerja. Mira duduk rumah je lah…"
            " Rumah??? Kamu tak kerja?" suara mama bernada sinis. Amira menjadi kaku untuk menjawab soalan mama.
            " Bukannya tak kerja. Mira kan pregnant. Furqan yang suruh Mira berehat sementara tengah sarat mengandung ini. Lepas pantang, In Sya Allah, bolehlah mula bekerja,"
            Amira berharap kata-katanya menenangkan mama.
            " Mama bukannya apa… Mama kesian tengok kamu. Belajar 5 tahun di Mesir. Tinggalkan keluarga sepanjang 5 tahun. Sampai Malaysia, kamu tak buat apa-apa. Mana hasilnya kamu belajar di Mesir? Mama tak nampak.." kata-kata mama itu sekali lagi bernada sinis.
            Ternyata harapannya untuk menenangkan mama tidak tercapai. Amira faham apa yang mama cuba untuk sampaikan. Amira bersabar dan menelan pahitnya dari ungkapan mama tadi. Lama masa dia ambil untuk sambung bicara.
            " Hmm…Mama. Kan Mira kata yang Mira akan bekerja sebaik lepas berpantang…." Amira tidak mampu untuk berkata panjang.
            " Sayang mama, jangan ingat senang nak dapat kerja bila usia meningkat…"
            Amira menjadi runsing mendengarkan nasihat daripada mama. Hatinya berbelah bahagi sama ada mendengar nasihat mama ataupun perintah seorang suami….
            Bukankah keluarganya yang begitu beria-ria melihat pernikahannya dengan Furqan. Kini, apabila amanah sebagai isteri mula terpikul di bahu, mama mempertikaikannya. Sukar untuk Amira fahami situasinya ketika itu. Terkadang,  bisikan-bisikan ganjil muncul di benak fikirannya.
            “ Salahkah keputusan aku berkahwin dengan Furqan?”
            Allahuakbar!!! Berbolak-balik hatinya sekarang.
           “ Ya Rabb, Engkau terangilah hatiku ini agar tidak buta untuk membuat keputusan. Dan jangan sesekali keputusan yang aku lakukan ini dipengaruhi oleh hawa nafsu...”
           
**************

" Apa yang mama cuba sampaikan tu…Arghh!!! Aku tidak kisahlah apa yang mama nak katakan. Aku hanya menurut kata suamiku. Aku yakin ada baiknya pesan Furqan itu," Amira bermonolog sendiri dalam bilik sebaik selesai solat Maghrib. Air mata terus menitis tatkala mengenang kata mama tadi. Sungguh kata-kata itu meninggalkan parut  pada hatinya
            Amira yakin Allah pasti ada rancangan yang jauh lebih baik buatnya selepas ini. Amira hanya bersabar menanti janjiNya.
 Setelah itu, Al-Quran di atas rak digapai olehnya untuk dibaca.

            Setelah selesai menghabiskan 4 muka surat dalam Surah Maryam, Amira memerhatikan jam dinding.
            " Abang masih belum balik? Sekarang sudah hampir masuk waktu Isyak. Kalau ada apa-apa pasti dia menelefonku…Hmm???" bisik hatinya berbaur cemas.
            Sejak akhir-akhir ini, Furqan sering pulang lewat. Ada kalanya, di pagi-pagi buta lagi mendapat telefon supaya ke hospital. Terkadang, Amira rindu akan gurau sendanya, gelak tawanya serta bicaranya yang menggamit hati. Kini, sukar untuk dia merasai suasana itu lagi. Menyesal? Amira berharap agar dirinya jauh daripada perasaan itu.
            Sungguh bukan mudah dia melalui semua itu. Saban hari dia berperang dengan perasaan. Perasaan sayang, luka, marah, geram, cemburu semuanya bercampur aduk. Jiwanya sentiasa keliru antara kewarasan akal dan emosi. Pedih hatinya hanya Tuhan yang tahu. Kepada-Nyalah Amira memohon kekuatan untuk menempuhi segala kepedihan itu. Kepada-Nyalah dia meminta kerahmatan dan kasih sayang, semoga keresahan hatinya akan berkurangan. Kepada-Nya jualah Amira meminta agar kepercayaannya kepada suami berkekalan.

************

Jam hampir menunjukkan pukul 12.00 tengah malam. Kelibat Furqan masih belum kelihatan. Amira ternanti-nanti bunyi kereta yang masuk ke dalam garaj. Namun, tidak juga kedengaran. Badannya mula kepenatan, mata mula mengantuk.  Amira terus ke dapur untuk menyimpan lauk pauk ke dalam peti ais supaya tidak basi. Setelah itu, dia pun masuk ke dalam bilik untuk tidur.
            Sesekali, Amira berasa hampa kerana Furqan tidak pulang sehingga lewat malam begini. Paling tidak pun, tinggalkanlah pesan kepadanya supaya dia tidak risau.
            Di atas katil, kakinya yang berasa lenguh, dirutnya perlahan-lahan. Membayangkan saat Furqan mengurut kakinya semasa hari-hari pertama mereka tiba di Malaysia.
Amira membaringkan badannya ke atas katil. Susah pula matanya untuk tertutup dan tidur. Dia memaksa dirinya untuk tidur namun masih tidak boleh. Sedang Amira cuba memejamkan mata, fikirannya mula memikirkan kata-kata mama petang tadi yang masih berbekas di telinganya. Amira cuba untuk berperang dengan kata-kata itu agar tidak menguasai emosinya. Dia cuba untuk memikirkan hal lain. Furqan!!! Hmm, Amira membayangkan wajah suaminya dengan bersungguh-sungguh.
            " Bagaimana keadaan Furqan sekarang? Baik-baik saja ke? Ya Allah selamatkanlah dia,"

*************

            Jam menunjukkan pukul 1.32 pagi.
            " Assalamualaikum," Furqan memberi salam sebaik melangkah masuk ke dalam bilik.
            Selangkah demi selangkah Furqan atur jejak memasuki kamar beradunya. Dari jauh dia sudah melihat isterinya terbaring di atas katil. Sebaik menghampiri Amira, dengan lembut dia menyisir rambut Mira dengan jari jemarinya.
            " Kesian, isteri abang. Sudah tidur rupanya. Maafkan abang, sebab pulang lewat hari ini, sayang… Abang call Mira banyak kali, kenapa sayang tak angkat. Hmm, Mira…Mira," bisik Furqan.          
Furqan segera membersihkan diri . Sebelum menuju ke katil beradunya, sempat Furqan mengerjakan Solat Sunat Tahajjud, Solat Sunat Taubat dan Solat Sunat Witir. Teresak-esak air matanya menitis memikirkan tanggungjawab baru yang harus dipikulnya. Rasa terkejut masih berbengkak di hatinya. Sungguh dia tidak percaya bahawa kes tersebut menjadi tanggungjawabnya. 
 “ Kalau Mira tahu...Hmm, bagaimana agaknya reaksi dia? Lebih baik aku rahsiakan dahulu. Itu lebih baik,” monolog Furqan.
Allah ingin tunjukkan sesuatu kepadaku. Hmm...Ya Allah, berikan kekuatan kepadaku,” bisik hati Furqan. Dirinya sudah terbaring di samping Amira. Matanya berkedip-kedip merenung siling rumah. Tugasan kerjanya itu terus bermain di fikirannya.

**************

            Errhhh…
           Amira mula menggeliat sebaik terjaga jam 5.30 pagi. Dia memandang ke tepi, melihat suaminya yang nyenyak tidur di sampingnya.
            " Furqan dah balik…Agaknya, dia balik jam berapa semalam…Mesti penat. lepas Mira mandi, Mira kejutkan abang," katanya sambil merenung wajah Furqan yang kelihatan sungguh kepenatan.
            Setelah berkali-kali menggerak Furqan sehinggakan, Amira selesai Solat Subuh akhirnya Furqan pun bangun. Badannya jelas keletihan. Amira tidak mahu menanyakan soal kelewatannya pulang semalam sebaik melihat keadaannya yang masih penat. Furqan bersegera bersihkan diri, solat dan bersiap.

            Jam sudah menunjukkan jam 7.30 pagi.
            " Abang, pergi kerja lagi. Bukan semalam, abang balik lewat malam?" soal Amira.
            Amira terasa ganjil dengan soalan yang dia ajukan kepada Furqan.
Patutkah aku bertanya demikian?” monolog Amira.
            " Mira… Abang kerja, sayang…." jawab Furqan dengan lembut sambil mengenakan butang pada pakaiannya. Amira pula hanya merenungnya dari birai katil.
            " Oh, sayang, lupa nak cakap. Abang call Mira semalam banyak kali, kenapa tak angkat? Abang hantar mesej pun tak balas. Abang nak cakap yang abang ada urusan yang sangat penting dan mungkin abang balik lewat,"
            Kata-kata Furqan itu membuka mata Amira. Telefon bimbitnya masih berada dalam beg tangannya dalam keadaan belum bercas. Amira segera mendapatkannya. Dia berasa kecewa dengan dirinya sendiri.
            " Oh, Mira letak fon dalam beg dan tak cas lagi…Sorry, abang,"
            " Tak apalah. Lepas ni pastikan, phone tu sentiasa di sisi. Senang abang nak contact. Abang pergi dulu, jaga diri baik-baik…Assalamualaikum," kata Furqan lalu memberikan ciuman pada pipi Amira. Tersenyum lesu Amira sama ada ikhlas ataupun tidak.
            Setelah kelibat kereta dipandu oleh Furqan hilang dari pandangan, Amira pun melangkah masuk ke dalam rumah.
            Tiba-tiba, pelbagai suara yang aneh seakan-akan berbisik di telinganya.
            " Abang, macam terlalu sibuk dengan kerjayanya. Sehinggakan aku dibiarkannya sendiri sahaja di rumah. "
            "Aku pula tidak dibenarkannya bekerja. Sekiranya aku bekerja, mungkin sedikit sebanyak terubatlah rasa bosan ini,"
            " Adakah kasih sayangnya padaku sudah berkurang?
" Aku sudah tidak secantik dahulu ke?"
            Pelbagai kenyataan dan persoalan emosi datang menghambat fikiran. Amira bagaikan tidak dapat menahan gangguan emosi ini lagi. Dia menangis sendiri di ruang tamu memikirkan hal tersebut.

***********

            Furqan masih teringat akan peristiwa malam itu. Malam yang telah memberi tamparan hebat pada dirinya.
            " Assalamualaikum, Doktor Furqan. Saya mendengar prestasi kerja anda begitu baik sejak akhir-akhir ini. Walaupun, anda baru bekerja selama 5 bulan lebih, namun pujian daripada pihak atasan menarik perhatian saya," ujar Doktor Izzati.
            " Waalaikumsalam. Terima kasih atas pujian itu. Saya hanya menjalankan tanggungjawab saya sebagai doktor. Tidak lebih dari itu. Saya tidak perlukan pujian sedemikian, saya tidak layak untuk itupun,"
            " Tak apa…Lebih baik saya teruskan dengan fokus bicara yang hendak saya katakan,"
            " Baiklah, teruskan.." jawab Furqan.
            " Sebenarnya, kita ada pesakit baru. Dia mengidap penyakit ketumbuhan pada hatinya. Jadi, saya ingin awak memegang tugasan ini untuk menjalankan pembedahan membuang ketumbuhan pada hati pesakit. Oleh sebab, penyakitnya ini masih pada peringkat awal, mudah untuk disembuhkan. Nah, ini fail maklumat pesakit. Doktor boleh tengok," Doktor Izzati menghulurkan fail tersebut kepada Furqan.
            Furqan menyelak halaman fail tersebut dengan perlahan. ' Masya-Allah '
            Furqan terpana sebaik melihat nama Nurul Afifah Azwa terpapar dalam fail tersebut. Dia seperti tidak dapat berkata apa-apa. Dia tidak sangka yang dia akan menjadi pegawai perubatan kepada adik angkatnya sendiri
            " Doktor!!! Dengar tak?" Doktor Izzati memanggil Furqan sambil memetik jari.
            " Oh, ya. Saya dengar. Di manakah pesakit sekarang?" Furqan seperti tergesa-gesa ingin melihat keadaan Adik Wawa.
            " Ward 5 , tingkat 2," ujar Dr. Izzati.
            Furqan terus bergerak ke tempat yang diberitahu.

**************

            Hari itu, Furqan pulang lewat sedikit. Banyak perkara yang perlu diuruskannya di hospital. Terutamanya, melakukan persiapan sebelum Adik Wawa menjalani pembedahan tidak lama lagi.
            " Assalamualaikum," Furqan memberi salam sebaik melangkah masuk ke dalam rumah. jam sudah menunjukkan pukul 8.30 malam. Wajahnya jelas memaparkan betapa penatnya dia bekerja.
            " Waalaikumsalam. Abang dah balik…Sini beg," kata Amira lalu menyambut kepulangan Furqan. Wajahnya langsung tidak ceria. Pada riak wajahnya, terpampang rasa gelisah bercampur gundah. Hati Amira menjadi tidak senang melihat keadaan suaminya sedemikian.
            “ Kenapa dengan abang hari ni?” bisik hati Amira.
            Amira meletakkan tangannya pada dahi Furqan untuk merasakan sama ada Furqan sihat atau tidak. Keadaanya baik-baik sahaja. Furqan terus menuju ke kamar mandi untuk membersihkan diri tanpa banyak bicara. Tidak banyak perkara yang dibualkannya. Tanpa berkata panjang,  Amira pun menyiapkan makanan untuk makan malamnya.
            Furqan makan sedikit sahaja malah berbeza daripada sebelum ini.
            Sebaik mengemas dapur, hadir beribu persoalan yang mengganggu emosiku…
            " Dia sudah lupa bahawa aku sedang mengandungkan anaknyakah?"
            " Dia tidak tahu, betapa aku sunyi di rumah ini, kemudian dia pula pulang dalam keadaan begini…"
            " Kalau dulu, setiap kali dia pulang dari kerja, wajahnya tidak terlalu tegang,"
            "Kalau dulu, setiap kali aku bercakap dengannya, pasti dia balas dengan wajah yang menyenangkan,"
            " Kalau dulu, setiap kali menjamah masakanku, dialah yang akan memuji masakanku,"
            " Apa sebenarnya masalah suamiku ini? Adakah dia benar-benar tidak sayangkanku? Adakah dia…Arrhhh, serabut kepala aku memikirkan hal ini. Lebih baik tidur. Furqan pun sudah tidur…Hmm…"
            

BERSAMBUNG...
* Maafkan salah dan silap yang terdapat dalam karya ini. 
Buang yang keruh, ambil yang jernih. In Shaa Allah.

Assalamualaikum


Thanks For Reading شكران.

0 400 is kind-heart: