Novel Bersiri : Indahnya Takdir Ini 21

 
NOVEL ISLAMI
NOR AISHAH BT NORRIFIN


BAB 21: Doktor Furqan




Setelah surat panggilan untuk bekerja keluar, Furqan mula sibuk dengan urusan luar. Dia harus menjalani imtihan. Kemudian, mendapatkan surat sokongan pengajian beserta credit hour, transkrip peperiksaan dan surat pengesahan tamat pengajian daripada pihak universiti. Furqan juga perlu melapor diri di pihak tertentu, dan mendapatkan sijil. Dengan adanya sijil tersebut bermulalah gelaran pelatih pegawai perubatan berjawatan UD41.
            Setelah melalui bidang praktikal, akhirnya Furqan baru merasai dunia kedoktoran yang sebenar. Barulah dia berhadapan dengan pesakit dengan sendiri berbekalkan ilmu di dada. Saat itu, dia mula merasakan bahawa  "ini adalah amanah daripada Allah yang aku harus jaga dengan baik".  Setiap pesakit itu menaruh harapan yang tinggi terhadap insan yang bergelar doktor ini selain meletakkan sepenuh kepercayaan kepada kuasa Dia yang mencipta, Allah Maha Kuasa.
            " Tahniah, abang. Usaha abang membuahkan hasil. Sekarang, cita-cita abang menjadi kenyataan. Semoga abang dapat pikul amanah sebagai doktor dengan baik." ujarku tatkala mengenakan tali leher pada pakaiannya..
" Abang belajar medic bukan untuk kejar harta  atau pangkat. Abang nak bantu orang lain yang dalam susah. Biarlah ganjaran tak seberapa, asalkan apa yang abang nak lakukan Itu tercapai sebelum abang meninggal," kata Furqan.
            " Bagus Doktor Furqan…" ungkap Amira dengan usikan mesra. Senyuman di wajahnya mula terukir. Sungguh manis wajah itu. Kemanisan pada wajahnya itulah yang selalu menghiasi pagi Amira.
            " Abang teringat pesan arwah mak … Dunia ini hanya persinggahan. Nikmat di dunia yang kita lihat hari ini cuma fatamorgana semata-mata. Cantik di mata tetapi hakikatnya tidak bernilai langsung di mata Allah SWT. Jadi, kita kena cari sesuatu yang dapat menjadi bekalan kita di akhirat. Abang rasakan, menjadi doktor ini In Sya Allah dapat membantu abang mendapatkan pahala, Minat pun dah ada, jadi abang teruskan sampailah ke peringkat ini. Alhamdulillah, niat abang tercapai,"
" Subhanallah.. Hebat. Fikrah suamiku ini sungguh hebat. Semoga Allah permudahkan urusan abang. Mira akan sentiasa doakan abang yang terbaik… In Sya Allah, abang boleh. Allah sentiasa bersama dengan abang,"  bisik hati Amira.
            Tersenyum si isteri melihat suaminya yang sudahpun bersiap untuk berjuang di medan pekerjaan.
Rasulullah SAW pernah bersabda:
Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain” (HR. Ahmad, Thabrani, Daruqutni)
Sabda baginda yang cukup mulia itulah yang menjadi antara dorongan Furqan bertahan dalam dunia perubatan semasa di Mesir. Ranjau yang sentiasa menerpanya dianggap sebagai cabaran bukan halangan.
Tangan Amira tanpa sedar berada dalam sentuhan erat jari jemari Furqan. Genggaman itu membuatkan Amira kuat untuk terus menanti saat kelahiran insan bergelar cahaya mata ini.
                       
************

            Pada suatu petang yang hening, Amira berada di halaman rumah banglo milik papa dan mama sambil menghirup udara petang. Petang itu, dia sendiri tanpa ditemani Furqan. Kebiasaannya, petang sebegini mereka akan meluangkan masa bersama di ruang tamu sambil berkongsi cerita masing-masing. Tetapi, hari ini Amira sedar bahawa dia  perlu menerima hakikat waktu petang tanpa insan bernama Furqan. Bukan untuk hari ini sahaja, malah untuk hari-hari yang mendatang.
            Setelah mendapat izin daripada Furqan, Amira pun pergi ke rumah papa dan mama. Sekurang-kurangnya, Amira ada peneman di sana. Indah saja pemandangan di halaman rumah papa. Luas, menghijau, kicauan burung di sana sini. Sungguh mendamaikan hatinya yang bakal menerima kunjungan naluri keibuan.

Nyamannya udara di sini. Kalau di Mesir, sekejap sejuk, sekejap panas. Keadaan tak menentu. Suasana sesak dengan kerenah manusia yang sentiasa sibuk… Alhamdulillah, Malaysia aman sentosa,” kata hati Amira sendiri sambil berjalan-jalan sekitar halaman rumah yang luas.
Sedang dia berjalan, terlihat Kak Lisa yang duduk termenung di gazebo, sebelah penjuru kanan halaman rumah.
" Hmm… Kenapa dengan Kak Lisa ni. Mana Abang Hafiz? Macam ada masalah je…" bisik hati Amira.
 Dengan berhati-hati, Amira mengatur langkah mendekati Kak Lisa.
 “ Assalamualaikum, kak,”
“ Waalaikumsalam. Mira, Hmm…Furqan mana?” Kak Lisa bagaikan terbangun dari lamunannya apabila Amira menyapa. Lamunannya terlalu jauh melayang sehinggakan dia lupa bahawa Amira bertandang ke rumah papa sendirian.
“Oh, Furqan…Dia dah mula kerja. Kak lupa ya?”
Kak Lisa segera menepuk dahinya sendiri. Kepalanya turut digelengnya dek kecuaian dirinya yang terlupa akan ketiadaan Furqan bersama Amira. Nafas Kak Lisa dihembusnya perlahan. Amira hanya memerhati Kak Lisa dari tepi.
“ Kak Lisa, kenapa termenung sendiri? Macam memikirkan masa depan je, kak. Kalau perlu untuk diceritakan, ceritalah dengan Mira. Mira perempuan macam akak, Mira juga seorang isteri macam akak dan Mira juga bakal menjadi seorang ibu macam akak. Mira akan dengar apa sahaja luahan hati akak,” kata Amira kepada Kak Lisa.
Kak Lisa kembali termenung seperti tadi. Dia membisu seketika…
 “ Kita beza, jauh berbeza. Akak dah ada 3 anak. Pertama, Umar Asyraf. Kedua, Nadia Humairra. Ketiga, Khalisy Zubair. Pada mulanya, akak rasa kuat lagi. Sekarang, akak rasa lemah. Malah, kadang tu, akak rasa akak dah gagal mendidik anak-anak,” Kak Lisa mula menceritakan perihal dirinya kepada Amira.
Khusyuk Amira mendengar ujaran daripada Kak Lisa.
“ Akak cakap tentang Asyraf ke? “ tanya Amira kepada Kak Lisa.
“ Betul. Asyraf itu, dah 7 tahun. Macam-macam masalah dia timbulkan. Baru-baru ini, dia tolak seorang budak perempuan sampai trauma budak itu dibuatnya. Akak rasa bersalah sangat. Akak dengan Abang Hafiz bukannya tak ajar dia agama. Akak selalu tegur, bagi nasihat. Dia? Dia buat tak endah je. Akak tak faham, kenapa jadi macam ni? Salah ke, apa yang Kak Lisa dengan Abang Hafiz didik dia selama ni? Abang Hafiz itu sabar je dengan perangai dia. Akak tak boleh tengok anak-anak akak macam itu. Apa akan jadi dengan masa depan dia?” kata Kak Lisa. Amira dapat lihat bagaiamana riak wajah seorang ibu yang mengenang kisah anak-anaknya. Mata Kak Lisa kelihatan mula bergenang air mata.
“ Akak, saya baru nak ada anak. Itupun, belum tentu keluar ke tidak.. Saya tak dapat nak katakan apa-apa tentang Asyraf. Tapi, saya ingat kisah Sultan Muhammad al-Fateh. Akak tahu kan kisah Sultan Muhammad al-Fateh?  Beliau seorang yang hebat, berkarisma dan berjaya. Sehinggakan Nabi kita sendiri pernah sebut tentang beliau dalam hadis yang berbunyi, “Konstantinopel akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera dan rakyatnya adalah sebaik-baik rakyat." Hadis riwayat Imam Ahmad. Tapi, akak percaya tak dia juga pernah lalui zaman kanak-kanak yang nakal. Sultan Murad, ayahanda beliau inginkan puteranya itu diberi ilmu agama, ilmu peperangan supaya dapat meneruskan perjuangan baginda menakluk Konstantinopel. Tapi, Sultan Muhammad masih kecil ketika itu, kehendaknya hanyalah main, main dan main. Sudah ramai ulama dihantar untuk mengajar beliau, tetapi tidak diendahnya. Beliau sangat degil ketika itu. Sehinggakan didatangkan kepadanya seorang ulama’ yang tegas dan diberi kuasa kepada ulama itu untuk memukul Sultan Muhammad sekiranya masih berdegil. Sultan Muhammad akhirnya akur dengan kehendak ayahandanya iaitu mempelajari ilmu agama dan peperangan setelah dia dimalukan di hadapan rakan-rakannya dengan peristiwa dia dipukul oleh ulama’ yang bernama Syeikh al-Kurani,” panjang lebar Amira menceritakan kepada Kak Lisa kisah Sultan Muhammad al-Fateh. Kak Lisa tekun mendengar lagi menghayati kisah yang disampaikan oleh Amira.
Amira sambung lagi perbualan dengan kak Lisa.
“ Akak, tengoklah Sultan Muhammad sendiri pernah nakal semasa zaman kanak-kanak sehingga dipukul. Cara akak dengan abang didik anak-anak tak salah tapi, mungkin perlu ditingkatkan lagi. Mereka masih kecil, biarkan mereka rasai zaman kanak-kanak. Tapi, kalau melampaui batas, akak dengan abang mungkin perlu lebih tegas. Doa!!! Tak cukup kalau didik saja. Doa pun penting. Doa seorang ibu mustajab. Berdoalah, Allah berfirman, “Berdoalah kepadaku nesacaya, aku perkenankan,”. In Sya Allah, Allah perkenankan sama ada cepat atau lambat. Itu urusan Allah,” kata Amira kepada Kak Lisa.
“ Kak takut Mira. Akak takut kalau Asyraf membesar menjadi....” ujar Kak Lisa. Air matanya sedikit demi sedikit menitis membasahi pipi.
“ Shhh...” Amira menghentikan kata-kata Kak Lisa. Amira tidak mahu Kak Lisa berfikiran bukan-bukan.
“ Kak...Pernah tak akak terfikir. Kenapa Allah nak bagi akak ujian begini. Kenapa Asyraf? Hmm?” ujar Amira. Dia cuba untuk memberi ruang kepada Kak Lisa untuk berfikir.
Kak Lisa menggeleng dengan perlahan.
“ Akak kena kuat. Allah jadikan Asyraf sebagai ujian  kepada Kak Lisa. Sedar tak, akak sedang menangisinya. Sekiranya akak mendoakan kebaikan, In Sya Allah, Allah akan angkat doa akak. Doa ibu kepada anaknya adalah mustajab apatahlagi, akak berdoa bersama iringan air mata disulam harapan agar Asyraf menjadi insan yang soleh.  Jangan fikir yang bukan-bukan. Doa yang baik-baik, kak,” ujar Amira.
Kak Lisa terdiam seketika. Fikirannya masih memikirkan kata-kata Amira.
“Hmm...Betul. Apa yang Mira cakap tu semua betul. Kenapalah akak tak pernah terfikir apa yang Mira fikir? Akak harap akak dapat jadi macam Mira,” Kak Lisa mula menunjukkan senyuman pada wajahnya. Air mata yang tersisa di wajahnya disapu perlahan dengan jari jemarinya yang halus.
Amira terasa pelik dengan kata-kata Kak Lisa sebentar tadi. Hmm…
" Hhh.. Apa maksud kak? Nak jadi macam Mira? " soal Amira.
" Mira seorang yang tinggi motivasi. Banyak ilmu. Anak Mira nanti mesti terdidik dengan baik…"
“ Tak ada apa-apa sangat ah, akak. Mira masih belum rasa apa yang akak rasa. Mulut hanya boleh mengungkap, hati jua yang melalui jerihnya. Akak dah jadi ibu, jadi akak dah memiliki hati seorang ibu. Akak, kuatkan semangat tau. Mira tengok muka akak tadi, tak bersemangat rasanya. Kalau akak ceria, semua orang akan ceria. Akak kena kuat demi anak-anak akak dan suami akak sendiri. Bayangkan kalau mereka tahu yang akak sedih, dia orang mesti tak tenang. Mungkin ini semua ujian untuk akak. Allah ada variasi ujian terhadap hambaNya. Akak mungkin dapat ujian melalui anak-anak. Allah uji hambaNya kerana sayang. Akak kena sentiasa fikir yang positif terhadap Allah. Allah berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 286, “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya." Cuba akak fikirkan balik ayat-ayat cinta Allah kepada kita. Itu janji Allah. Kita berpegang pada janji itu, In Sya Allah, kita akan berasa kuat menjalani ujian dariNya,” kata Amira lagi lalu memeluk bahu Kak Lisa.
Kak Lisa tersenyum bahagia. Dalam hatinya, menahan sebak yang membuak-buak. Sungguh dia tidak menyangka, detik bersama Amira itu telah menemukannya dengan mutiara kekuatan.
Allah mungkin sedang memujuk jiwaku,” bisik hati Kak Lisa.
“ Akak tak tahu nak cakap apa. Alhamdulillah, akak rasa kuat sekarang. Terima kasih, Mira sudi luang masa dengan akak, borak dengan akak dan kongsikan ilmu. Patutlah Abang Hafiz selalu cerita tentang Mira yang Mira ini selalu bagi motivasi dekat dia. Sekarang akak sendiri rasa apa yang Abang Hafiz selalu rasa dulu. Akak beruntung sebab dapat adik menakan macam Mira,” air mata yang membasahi pipi Kak Lisa mula disapunya. Kelihatan senyuman yang indah mula menghiasi wajah Kak Lisa.
“ Kita kan keluarga. Kalau akak dalam susah wajar untuk Mira tolong akak. Abang Hafiz mesti banyak mengutuk Mirakan? " ujar Amira.
" Eh, mana ada! Abang Hafiz selalu cerita telatah Mira. Kadang-kadang, akak pun rasa cemburu," kata Kak Lisa.
"Hah, tak perlu nak cemburulah, kak. Abang Hafiz tu kan menjadi milik akak sekarang. Jaga dia dengan baik. Mira yakin abang sayang akak lebih daripada sayang Mira. Akak kena percaya tu!!!"
Amira tahu bahawa Kak Lisa kuat menjalani ujian daripada Allah ini kerana hakikat seorang wanita ialah tabah dan kuat. Biarpun secara fiziknya, wanita itu dipandang lemah. Namun, jauh di sudut hatinya tersimpan satu kekuatan yang luar biasa dalam diri insan bergelar hawa. Kekuatan itulah yang mengukir senyuman walau terluka. Kekuatan itulah yang membahagiakan walau dikecewakan. Subhanallah.

*************

            Furqan di tempat kerjanya…
            " Encik, bagaimana rasanya hari ini? " Furqan mula menyapa seorang pesakit yang dikenakan 50 jahitan akibat kemalangan motor di kawasan kampung kecil.
            " Alhamdulillah…Semakin pulih. Tapi, kadang-kadang rasa mengilu di tempat jahitan. Masih basah lagi kot?" ujar pesakit tersebut.
            " Oh, encik jangan bergerak banyak. Kita takut nanti, jahitan itu terbuka. In Sya Allah, nanti setelah sembuh sebetulnya, kita buka benang itu semula. Berehat secukupnya," ujar Furqan.
            Furqan tidak menjadikan kerjayanya sekadar merawat pesakit, malah kerjayanya sebagai doktor dijadikan sebagai medium untuknya berdakwah. Segala ilmu yang dia perolehi di Mesir, dikongsinya bersama dengan rakan sejawat dengannya serta para pesakit bawah tanggungannya. Baginya, inilah masa yang sesuai untuk menyebarkan apa yang dia peroleh sepanjang keberadaannya di Mesir.
            Pertama kali, Furqan melalui on-call, dia mulai sedar bahawa dirinya kini bukan sekadar milik isterinya, Amira. Malah, sebahagian besar dirinya adalah milik masyarakat. 



BERSAMBUNG...
* Maafkan salah dan silap yang terdapat dalam karya ini. 
Buang yang keruh, ambil yang jernih. In Shaa Allah.

Assalamualaikum


Thanks For Reading شكران.

0 400 is kind-heart: