Novel Bersiri : Indahnya Takdir Ini 20

 
NOVEL ISLAMI
NOR AISHAH BT NORRIFIN


BAB 20: Sayang Adik Wawa

Kini, sudah genap dua minggu mereka di bumi Malaysia. Kadang-kadang Amira tidak percaya bahawa dirinya dan Furqan telah melalui jerih perih di bumi Mesir dan menamatkan segalanya dengan baik sekali. Betapa syukur tidak terhingga dipanjatkan oleh Amira kerana berjaya menamatkan pengajiannya. Tambahan pula, Amira meninggalkan Univerisiti Al-Azhar dengan pangkat Jayyid Jiddan.  Manakala, Furqan pula telah berjaya menamatkan pengajiannya dengan pangkat Mumtaz.
Masih ligat bermain di benak fikiran Amira saat terakhir dia menjejakkan kaki di bumi Ardu’ Kinanah itu. Berbaki beberapa langkah sebelum menuju ke dalam pesawat yang tersedia untuk menerbangkan mereka ke Tanah Air. Rasa hiba menyuntik kalbu Amira. Dia bagaikan sukar untuk meninggalkan bumi yang telah banyak mengajarnya erti kehidupan. Bumi itu juga yang telah memulakan kehidupannya bersama dengan Furqan, suaminya. Bumi itu juga yang telah memulakan kehidupannya sebagai seorang ibu yang mengandung.
Selangkah sebelum menaiki pesawat, Amira memandang wajah Furqan. Furqan mengangguk sambil tersenyum. Amira gagahkan dirinya untuk meneruskan langkah terakhir itu. Jejak itu kini hanya tinggal kenangan. Kenangan yang tidak akan pernah luput dari ingatannya. Sebak Amira meninggalkan Egypt. Sungguh sekejap masa berlalu. Pejam celik, pejam celik, saat itu tiba jua.
" Terima kasih Cairo…Terima kasih, Mesir… Terima kasih atas segala memori," itulah kata-kata akhir yang diucapkan oleh Amira kepada Bumi Anbiya’ itu sebaik pesawat mula berlepas.

            Ketibaan sepasang suami isteri itu disambut dengan penuh keseronokan dan kesyukuran. Mama, papa, Abang Hafiz dan keluarga begitu bahagia dapat bertemu semula dengan anak dan menantu. 6 tahun berpisah bukanlah jangka masa yang pendek. Kepada Tuhan jua diserahkan segala rasa rindu yang terkadang bertaut di hati.           
            2 bulan pertama, Furqan dan Amira tinggal di rumah banglo papa. Sepanjang tempoh itu, mereka berusaha mencari-cari rumah untuk mereka sendiri. Malah, tidak lupa juga untuk mendapatkan lesen memandu.
             
            Amira dan Furqan merancang untuk melawat Adik Wawa di Rumah Anak Yatim al-Latiff di Kedah. Perjalanan terlalu jauh. Amira yang sedang mengandung hampir 3 bulan kekadang berasa mual dek keadaan jalan raya yang tidak menentu. Furqan yang melihat keadaan isterinya demikian, mengambil langkah untuk berehat di R&R dengan harapan Amira dapat merehatkan fikiran.
            Oleh sebab, perjalanan terlalu jauh, Furqan menyarankan Amira untuk melelapkan mata supaya tidak berasa mual yang melampau. Jauh di sudut hati Amira berat untuk meninggalkan Furqan memandu sendirian. Namun, perasaan mualnya itu semakin membuak-buak. Amira tiada pilihan lain selain menurut saranan Furqan.
            Hampir 7 jam diambil untuk tiba di sana. Furqan lantas parkir kenderaan di sebelah rumah anak yatim tersebut dengan baik lalu menarik gear P. Perlahan-lahan Furqan meregangkan tangannnya yang serba lenguh setelah memandu berjam-jam. Nafas ditariknya sedalam-dalamnya lalu dihembus. Wajahnya terus mengalih ke arah Amira di sebelahnya. Tersenyum dia melihat Amira yang masih lena tidur di sebelahnya. Furqan mengejut Amira perlahan-lahan.
            " Sayang.. sayang.. bangun, sayang. Kita dah sampai. Ayuh, kita keluar sekarang,"  Amira yang terjaga membuka matanya perlahan-lahan. Sengal menusuk pingang Amira. Setelah puas meregangkan badannya, dia pun keluar dari kenderaan dalam keadaan yang bersemangat. Dalam benak fikiran Amira, hadir sejuta reaksi yang bakal dia saksikan daripada wajah Adik Wawa sebaik melihat ketibaan Furqan dan Amira memandangkan  mereka tidak melawatnya untuk sekian lama.
            Furqan memimpin langkah Amira menuju ke dalam Rumah Anak Yatim Al-Latiff. Mereka bergerak bersama-sama menuju ke situ.
           
            Sebaik sahaja tiba di dalam bilik pengurus panti...
“ Assalamualaikum, Puan Syafinaz. Saya, Taqiyyah Amira. Ini, suami saya. Ahmad Furqan,” Amira mula memperkenal diri sebelum masuk kepada topik yang ingin dibualkan. Niqab yang menutupi wajahnya disingkap agar mudah Puan Syafinaz mengenali Puan Syafinaz.
“ Waalaikumsalam. Amira, Furqan. Sudah lama tak datang sini…,” sapa Puan Syafinaz dengan begitu lembut lalu menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Amira.
Puan Syafinaz sungguh mengenali mereka . Kekerapan mereka berkunjung ke panti tersebut sebelum ke Mesir telah merapatkan hubungan mereka dengan pengurus panti tersebut.
“ Bukannya tak nak datang. Cuma, saya sambung belajar dengan isteri di Mesir selama 6 tahun. Jadi, kami tidak dapat pulang ke Malaysia sepanjang 6 tahun di sana. Semuanya kerana masalah kewangan. Alhamdulillah, sekarang dah balik. Itu yang nak jenguk keadaan Wawa. Di mana dia sekarang,” Furqan menyambung bicara.
“ Oh, Wawa. Hari-hari dia tanya tentang kamu berdua. Keadaan dia tak berapa sihat. Kami nak bawa ke klinik, dia tak mahu. Jadi, kami hanya mampu menjemput doktor ke sini. Itupun, sekadar memberi ubat,” ujar Puan Syafinaz sambil menunjuk ke arah Bilik Sakit.
            “Tidak sihat!!! Apa yang terjadi padanya?” penjelasan Puan Syafinaz menerbitkan rasa khuatir dalam hati Amira.
“ Boleh saya ke sana sekarang?”
“ Ya, silakan,” kata Puan Syafinaz membenarkan mereka menjenguk Adik Wawa. Puan Syafinaz segera mengatur langkah menunjuk jalan ke bilik sakit.
Tiba di depan pintu, Furqan memulas tombol pintu tersebut. Amira setia di samping Furqan. Rasa tidak sabar mula membuak-buak dalam hati Amira. Sungguh dia ingin tahu kondisi Adik Wawa saat itu.
“ Assalamualaikum,”
Amira melihat Adik Wawa dan 2 kanak-kanak lain yang turut berada dalam bilik itu.
“ Waalaikumsalam. Abang Furqan, Kak Mira….” Reaksi Adik Wawa ketika itu sukar untuk digambarkan. Yang pasti, wajah Adik Wawa seakan-akan tidak mempercayai kehadiran Amira dan Furqan ketika itu.


“Abang Furqan, Kak Mira, tahu tak berapa lama adik tunggu sini. Tapi, abang dengan akak tak datang pun. Adik ingat akak dengan abang dah lupakan adik dekat sini,” kata Adik Wawa yang terus terbangun sebaik saja melihat wajah-wajah yang pernah menabur kebahagiaan dalam dirinya suatu masa dahulu.
Mendengarkan kata anak kecil itu, rasa sebak mula menyelubungi diri Amira. Dia bersalah kerana meninggalkan Adik Wawa sendirian untuk sekian lama tanpa sebarang khabar. Amira menyepi menahan rasa sebak di hati. Dia membiarkan Furqan menyambung bicara.
“ Adik, bukannya abang tak datang. Abang ada urusan dekat luar,” kata Furqan yang mula mendekati Adik Wawa.
Amira pula terus berada di sampingnya di tepi katil
“ Urusan apa? Sibuk sangat ke, sampai tak ada masa nak jenguk adik dekat sini. 6 tahun, abang dengan akak tak datang sini, telefon pun tak apatah lagi surat. Jangan harap,”
Amira tidak terkejut dengan respon tersebut. Dia sudah mengagak dari awal lagi. Hati siapa yang tidak terluka? Apabila ditinggalkan untuk jangka masa yang lama tambahan lagi, tidak mengkhabarkan pemergian.  Amira cuba menenangkan jiwa Adik Wawa.
“ Adik… tak baik macam tu. Akak dengan abang bukannya tak nak datang tengok adik dekat sini. Sebenarnya, kami berdua sambung belajar di Mesir. Jauh Mesir adik, bukannya dekat-dekat sini. 6 tahun kami di sana, tanpa balik ke sini. Kami bukannya bermain-main di sana. Kami belajar, sayang. Janganlah macam ni,” Kepalanya diusap oleh Amira dengan lembut.
“ Akak dengan abang? Kenapa akak dengan abang pergi mana tu.. aa.. Mm..Meeessir.. bersama-sama?” tanya Adik Wawa sambil mengesat air mata. Hadir persoalan dalam benak fikiran Adik Wawa.
“ Ha!!! Itu dia, Adik Wawa tak tahu lagi. Sini, abang nak cerita. Tapi, janji jangan marah dekat abang dengan akak dah. Senyum ...” kata Furqan lantas duduk di atas kerusi yang disediakan untuk bercerita kononnya.
“ Ya lah. Senyum...” kata Adik Wawa lantas terukir senyuman pada wajahnya.
            Hati Amira  mulai tenang melihatkan ukiran senyuman indah pada wajah manis Adik Wawa. Wajah yang cukup dirindui olehnya.
 “ Macam ni. Sebaik sahaja tamat pengajian abang dengan akak di sini. Kita orang pulang ke rumah masing-masing. Rumah Kak Mira di Putrajaya. Rumah abang dekat Perak. Alhamdulillah, kami berdua telah lulus Imtihan Qalbu ke Universiti al-Azhar dan berjaya dimasukkan ke sana. Tapi, sebelum kami ke sana, Allah pertemukan jodoh kami. Sebelum berangkat, kami berdua dikahwinkan. Jadi, kami ke sana dalam keadaan sah suami isteri, ” kata Furqan diikuti  dengan pergerakan tangan dan memek muka yang lengkap. Bijak Furqan menarik perhatian insan bergelar kanak-kanak.
" Hmm.. Susah adik nak faham. Tapi, adik faham situasi abang dengan kakak dan…Uhuuk, uhuuk,” batuk yang menyerang Adik Wawa menghentikan bicaranya.
Amira tersentap mendengar batuk yang berdekah-dekah daripada Adik Wawa. Dengan cemas, Amira segera menepuk-nepuk belakangnya. Furqan pula menuangkan air ke dalam gelas yang tersedia.
“ Nah, minum air ini,”
Batuknya mula reda. Adik kembali senyum.
“ Adik, adik dah besar. Tahun ini dah masuk 12 tahun. Fikiran adik sudah menuju ke arah yang lebih matang. Adik sebenarnya sudah dapat beza antara baik dan buruk. Adik kena ingat yang adik cuma perlu berfikir positif. Contohnya, abang dengan kakak tak datang jenguk adik. Jangan fikir yang kami lupakan adik. Fikir positif. Ha, fikir yang kami mungkin ada hal yang tak dapat dielakkan. Adik ingat lagi kan pesan akak, masa awal-awal kita jumpa dekat bawah pokok tu. Akak kata yang adik cuma perlu fikir perkara yang baik sahaja. Ingat, hati mengawal pemikiran, pemikiran mengawal tindakan. Kalau adik tak jaga hati, habis semuanya. Hati raja kepada anggota kita. Sebab tu, adik kena jaga hati betul-betul,” kata Amira sambil mengusap-usap belakang Adik Wawa.
“ Betul, apa yang akak cakap. Pemikiran adik kena mula matang. Jangan ingat adik kecil lagi. Selagi adik tak berfikiran matang, susah adik nak mencari identiti dan memahami tujuan hidup,” sambut Furqan.
“ Abang, akak. Adik minta maaf sebab salah sangka dekat abang dengan akak. Adik tak sedar yang adik dah besar. Adik minta maaf kak, abang,” kata Adik Wawa lalu mengambil tangan Amira lalu mendekatkan kepada bibirnya. Hangat kucupan yang hinggap pada tangan mulus  Amira.
“ Tak apa. Lagipun, abang dengan akak tak bagi tahu adik dulu sebelum pergi. Sekarang, abang dengan akak nak tengok adik senyum. Abang tahu, adik dah banyak bazirkan air mata sepanjang abang dengan akak pergi,” kata Furqan.
Seketika selepas itu, Furqan keluar untuk dapatkan sesuatu.
 “ Taraaa.. Tengok abang bawa apa? Abang ada bawa aneka jenis biskut untuk adik. Ini adik simpan. Sekarang, kita makan nasi goreng udang yang abang baru beli ini” kata Furqan sambil mengusik Amira.
 “Sudah. Jom kita makan di pondok luar,” kata Furqan mengajak mereka berdua menuju ke arah pondok.
Senang hati Amira dapat melihat Adik Wawa yang berselera menikmati nasi goreng udang.
            “ Ya Allah, Engkau jauhilah rasa sedih daripada menjengah diri adik. Engkau berikan dia ketenangan. Permudahkan urusan hidupnya. Peliharalah dia di bawah naunganMu. Semoga Engkau merahmatinya. Ameen,” Amira berdoa sendiri dalam hatinya .
Sebaik sahaja matahari mula menghilangkan diri, Amira dan Furqan mula bersiap untuk pulang.
“ Adik. Kami tidak tahu, bila lagi kami dapat datang ke sini. Tapi, memang kami akan datang ke sini lagi. Adik kena janji, belajar rajin-rajin. Ingat, belajar-belajar juga, sembahyang jangan tinggal, al-Quran jangan lupa, Sunnah nabi amalkan selalu. In Sya Allah, hidup sentiasa diberkati. Berdoa dengan Allah selalu. Allah pernah kata, “ berdoalah kepadaKu, nescaya aku perkenankan,” Itu janji Allah. Sama ada cepat atau lambat itu urusan Allah. Kita berserah segalanya kepadaNya. Allah tahu apa yang terbaik,” kata Amira kepada Adik Wawa sambil memeluk tubuh kecil Adik Wawa seerat-eratnya.
“ Akak, adik janji adik akan belajar bersungguh-sungguh. Adik nak ke Mesir macam akak dengan abang. In Sya Allah, adik ingat pesan Kak Mira dan Abang Furqan. Adik sentiasa doakan kesejahteraan abang dengan akak,” kata Adik Wawa lantas melepaskan dirinya daripada dakapan Amira dan Furqan.

************

            Mereka ditemani suasana malam dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur.
            " Mira, tadi abang sempat sembang dengan Puan Syafinaz. Katanya, Adik Wawa akan dipindahkan ke Rumah Anak Yatim as-Suhadah di sekitar Kuala Lumpur," ujar Furqan.
            " Ha!!! Rumah Anak Yatim as-Suhadah… Rasanya tak jauh dari tempat kita. Hmm… Tapi, kenapa?"
            " Sebenarnya, penyakit Adik Wawa tu teruk. Jadi, Puan Syafinaz ingat nak bawa dia ke hospital di Kuala Lumpur. Rawatannya lebih bagus.  Jadi, rumah anak yatim tu hanya sebagai persinggahan. Lebih kurang 2 bulan lagi kot.." ujar Furqan.
            Pelbagai perkara berlegar di fikiran Amira…

Apa sebenarnya penyakit Adik Wawa?… Teruk sangat ke sampai nak dapatkan rawatan di Kuala Lumpur? Ya Allah, Engkau berikanlah kesihatan yang baik kepada Nurul Afifah Azwa..”


BERSAMBUNG...
* Maafkan salah dan silap yang terdapat dalam karya ini. 
Buang yang keruh, ambil yang jernih. In Shaa Allah.

Assalamualaikum


Thanks For Reading شكران.

0 400 is kind-heart: