Novel Bersiri : Indahnya Takdir Ini 18

 
NOVEL ISLAMI
NOR AISHAH BT NORRIFIN


BAB 18: Eid Mubarrak de Cairo




Malam itu, Amira dan Furqan bersama membersihkan rumah sambil mendengar laungan takbir Aidilfitri dari Masjid Wallidain. Cuti Aidilfitri baru sahaja bermula. Mereka berdua sibuk mengemas rumah sebagai persiapan menyambut Aidilfitri esok. Furqan mengemas ruang tamu dan bilik, Amira pula sibuk di dapur dalam memasak juadah Aidilfitri esok.
            Sementara menunggu ketupat masak, Amira menjenguk keadaan Furqan dalam bilik.
            " Sini.. Mari Mira tolong abang. Hati-hatilah sikit cik abang.." kata Amira sambil memegang tangga yang dinaiki Furqan. Risau Amira melihat Furqan memanjat tangga sendiri.
            Menjadi kebiasaan, di malam Aidilfitri, Amira dan Furqan akan bergotong-royong bersihkan rumah. Setelah 4 tahun menyambut Aidilfitri tanpa keluarga, Amira bagaikan sudah tahu persiapan yang perlu dilakukannya untuk menyambut Aidilfitri. 4 tahun bergelar isteri telah mengajarnya erti amanah seorang isteri.
            " Alhamdulillah.. Siap pun," kata Furqan lalu duduk di atas sofa.
            " Alhamdulillah.. Banyak betul kerja yang abang buat. Kuat rupanya suami Mira ni," puji Amira kepada Furqan. Dirinya masih di dapur.
            "... suami siapa lah ye!!! …Petang tadikan, Mira masakkan juadah berbuka. Malam ni, abang tolong kemaskan rumah pula. ," ujar Furqan kepadaku.
            Amira senang dapat berkhidmat untuk rumah tangga. Namun, kadang-kadang masa menghimpit mereka berdua sehingga menyukarkan Amira untuk melayan Furqan setiap masa. Tapi, Amira tahu bahawa Furqan sangat memahami. Walau bagaimanapun, Amira tetap akan mencari masa untuk berbual-bual, makan bersama dan melayan Furqan. Penat! Memang penat. Tapi, penat itu tiada apa-apa berbanding ketenangan yang Amira rasa setelah berkhidmat untuk rumah tangga.
            Kata Ustazah Norhafizah Musa dalam rancangan Al-Hidayah, antara cara mendapatkan ketenangan adalah apabila dapat melakukan ihsan. Bayangkan sekiranya, segala kerja yang sepatutnya kita lakukan diserahkan kepada orang lain. Pasti, kita tidak akan rasakan kepuasan sekali gus ketenangan itu akan semakin menjauh.

*************

Malam itu Amira tersedar. " Pukul 3.45 pagi. Hmm, ingatkan subuh dah masuk. Hmm," kata Amira sendiri dengan perlahan sebaik terjaga di awal pagi.
            Amira pun bangun. Belum sempat Amira menuruni katilnya, baru dia perasan. Furqan tiada di sebelahnya. Pandangannya berlegar-legar mencari kelibat suaminya.
            " Abang dah bangun tahajjud ke?" hadir persoalan di hati Amira.

            " Ya Allah, ya Rashid.. Aku hanyalah hambaMu yang kerdil. Siapalah aku tanpa nikmat kurniaan Mu. Ya Allah, aku mendoakan kesejahteraan ibu dan ayahku termasuk keluarga mertua yang berada jauh di pangkuanku. Engkau peliharalah mereka dengan iman…
            Ya Allah, ya Fatih… Aku bersedih kerana Ramadhan yang Engkau titipkan kini sudah pergi ya Allah. Aku mohon ya Allah, jadikanlah Syawal yang menjelang ini sebagai hari kemenangan buatku serta sekalian muslimin dan muslimat. Engkau kuatkan Imanku serta ketaqwaanku sepertimana Engkau kuatkan aku seperti dalam bulan Ramadhan …Engkau berikan aku ketabahan selepas ini sepertimana engkau berikan ketabahan kepada Rasulmu dalam menegakkan syiar Islam.
            Ya Allah, ya Kareem…aku bersyukur kepadaMu kerana aku dikurniakan zaujah yang sentiasa menenangkanku. Dialah permata yang dicari selama ini. Dia yang sentiasa hadir dalam doaku dan sentiasa meniti di bibirku setiap kali seusai bermunajat kepadaMu. Ya Allah, Engkau rahmatilah bahtera perkahwinan yang terbina antara aku, Ahmad Furqan dan isteriku, Taqiyyah Amira. Janganlah sampai cinta antara kami melebihi cinta kami kepadaMu. ..," pinta Furqan dalam doanya. Air matanya menitis tanpa sedar.
            Amira yang berada di belakang Furqan, terdengar doa yang dilafazkan oleh Furqan.
“Dia hadirkan namaku dalam doanya.” Bisik hati Amira.
 Sebak rasanya. Menitis air mata di pipi ini.
“Aku tahu dia ikhlas memilikiku. Aku tak sepatutnya meragui keputusannya menikahiku dahulu....” Monolog Amira.

************

Pagi itu, Amira dan Furqan masing-masing sibuk mengurus diri untuk menyambut Aidilfitri.
" Abang, baju apa yang abang pakai tu?"
" Hmm.. Baju raya tahun lepas. Abang lupa nak beli baju raya. Hehe," kata Furqan lalu tersengeh sendiri.
Amira menggeleng sendiri mendengar alasannya. Sambil mendengar kata-kata Furqan, Amira mengeluarkan sesuatu daripada almari sambil tersenyum. Lalu segera menghampiri suaminya .
" Abang, Mira rasa baju ini lebih sesuai untuk abang pakai di Aidilfitri Ini. Betul tak? Ujar Amira kepada Furqan sambil menunjukkan sepasang baju melayu berwarna hijau turqoise
" Mana Mira dapat baju ni? Cantik betul warnanya. Sayang?…" Furqan diselubungi tanda tanya tentang dari mana Amira dapatkan baju Itu. Amira hanya tersenyum sambil melihat riak wajah suaminya  yang kehairanan.
" Abang, Mira sayangkan abang. Mira ingat nak ajak abang keluar bersama ke pekan beli pakaian untuk hari raya. Waktu tu cuaca panas sangat. Abang pula demam. Masa awal Ramadhan. Mira keluar sendiri pergi pekan beli baju ni. ," jelas Amira kepada Furqan dengan senyuman.
" Sayang, terima kasih banyak-banyak. Abang tak sangka Mira sentiasa ingatkan abang walaupun dalam soal baju raya," Furqan seperti teruja.
" Mira inikan isteri abang. Mestilah Mira ingat abang. Abangkan yang ketiga dalam hidup Mira setelah Allah dan Rasul." Ujar Amira.
Tersenyum Furqan mendengarkan ungkapan Amira. Tangannya masih rapi memegang baju Melayu tersebut
Amira membiarkan Furqan sendiri dalam bilik itu, lantas bergerak ke dapur untuk menyiapkan juadah di hari raya. Amira hanya perlu untuk menghidangkan segelanya di atas meja. Makanannya tidaklah seberapa. Mungkin sekadar ketupat buatan sendiri, nasi impit berserta kuah kacang. Niat di hati Amira ingin membuat rendang ayam. Tapi, hajat tak kesampaian apabila kerisik tidak dijumpai di pasar.

" Abang, lamanya bersiap…Makanan dah siap ni," Amira memanggil Furqan yang masih belum keluar dari bilik.
Panggilannya seakan-akan tidak disahut. Amira mula mengangkat punggung lalu bergerak ke kamar untuk melihat Furqan.
Sebaik pintu dibuka, Amira melihat Furqan masih berdiri di hadapan cermin.
" Adeeiihh, bersiap mengalahkan orang perempuan. Tengok tu, butang pun masih belum kena. Sini, Mira pasangkan butang," Amira pun mendapatkan butang di dalam laci lalu mendekati Furqan untuk mengenakan butang tersebut pada baju melayunya itu.
Amira yang fokus memasukkan butang pada lubang di kolar bajunya langsung tidak sedar bahawa Furqan dari tadi memerhatinya.
" Bukannya lama bersiap. Tapi, abang nak pastikan abang segak dengan baju yang Mira beli ini. Nanti rugi pula kan.." bisik Furqan.
" Abang tak perlu nak memastikan apa-apa. Abang sentiasa segak di mata Mira. Acuan al-Quran yang sudah sebati dalam jiwa abang lagi membuatkan abang bertambah segak. Akhlak murni yang membaluti diri abang menjadikan diri abang bertambah-tambah segak. Abang tahu tak, abang sangat cukup di mata Mira. Abang tak perlu nak jadi orang lain," kata Amira sambil menyarungkan butang pada baju Melayu Furqan.
" Terima kasih sayang…" lembut sahaja bahasa itu keluar daripada mulut Furqan.
" Hmm.. siap. Sudahlah, tak payah nak berjiwang sangat pagi raya ini. Jom, kita makan. Nanti terlepas solat Aidilfitri di masjid pula,"

************

Amira masih teringat suara imam yang mengimami Solat Sunat Aidilfitri tadi. Seperti tahun-tahun yang lepas, imamnya membaca dialek Arab dan bacaannya sedikit meleret. Kali ini, bacaannya lunak dan sangat merdu.
" Suara imam itu tadi persis suara Furqan. Saling tak tumpah. Indah saja saat solat Aidilfitri tadi. Hmm, pak arab mana yang suara macam Furqan ni…" bisik hati Amira.
Kain telekungnya dilipat.  Amira merenung wajahnya di cermin. Niqabnya dibetulkan. Sambil menyiapkan diri, Amira terdengar bualan jemaah wanita yang lain.
            Amira mengecam bahawa mereka asyik berbicara soal imam solat sunat sebentar tadi.  Entah mengapa Amira harus berasa cemburu apabila mendengarkan kata-kata wanita tadi.
“Imam tadi bukannya suamiku. Cuma, suaranya persis suara Furqan. Sudahlah, jangan nak cemburu tak bertempat.” Monolog Amira.
Namun, hati Amira kuat mengatakan bahawa imam tadi adalah suaminya. Amira mendapatkan telekungnya yang sudah terlipat. Lalu, langkah diatur menuju keluar masjid. Furqan sudah setia menanti di bawah pohon. Amira bergerak menuju ke arah suaminya.

"Sedap betul suara imam tadi. Untungkan, siapa yang menjadi makmumnya," kias Amira.
" Hmm? Apa maksud Mira?" Furqan ternyata tidak memahami maksud Amira. Furqan mengerutkan dahinya. Ganjil rasanya soalan itu.
" Abang yang menjadi imam tadi kan?" tanya Amira. Dahi Furqan yang tadinya berkerut terus kembali kepada keadaan asal. Senyuman di bibir mula terukir.
" Oh, Itu yang Mira maksudkan. Hmm...Sheikh dari Lubnan lah yang jadi imam tadi. Abang ni tak layak langsung nak jadi imam dekat sini. " kata Furqan.
            “ Eiikk...Ye ke? Biar betul, abang ni? Aku yakin, imam tadi tu Furqan!!! Hmm...Nak rahsia ye...” monolog Amira. Dia masih teguh dengan pendiriannya mengatakan bahawa imam tadi adalah Furqan.
            Langkah mereka terus menuju pulang ke rumah. Kebiasaannya, mereka akan terus menziarahi saudara Malaysia yang turut berada di situ. Rancangannya, setelah selesai Solat Jumaat baru mula berziarah. Barulah senang hati.

*************

" Abang, Mira nak minta maaf dari hujung rambut hingga hujung kaki. Selama 4 tahun lebih kita dalam bahtera perkahwinan ini, kalau Mira ada terlepas cakap atau lalai dalam menjaga abang, Mira minta maaf sangat. Halalkan makan minum. Terima kasih kerana menjadi suami yang sangat baik dan bertanggungjawab," Amira bersalam dengan Furqan.
            " Taqiyyah Amira, isteri abang dunia dan akhirat In Sya Allah. Mira telah banyak berkorban untuk abang sepanjang kita berada di sini. Abang sudah lama memaafkan Mira dan halalkan makan minum serta nafkah abang kepada Mira. Mira adalah seorang isteri yang sangat abang banggakan. Mira bijak mengurus rumah tangga juga bijak menawan hati abang. Terima kasih kerana bersabar dengan kehidupan kita, sayang," ujar Furqan lalu mengucup dahi mulus Amira.
            Tubuh Furqan segera Amira dakap. Hangat kasih sayang Furqan dirasakan oleh Amira. Melalui eratnya tangan yang memeluk tubuhnya, Amira tahu cinta Furqan kepadanya begitu besar. Amira sentiasa mengingati bagaimana cinta ini mula bersemadi dalam hidup mereka. Bermula dengan angan-angan, sehinggalah termakbulnya sebuah doa.
            " Ya Allah, aku tak akan pernah mempersiakan cinta yang ditabur oleh suamiku ini. Rahmatilah kami, Ya Allah," bisik hati Amira tatkala berada dalam dakapan suaminya.
            Dunia ini adalah penjara bagi orang mukmin. Ada kala, peristiwa yang kita lalui itu manis, bersyukurlah. Ada kala, pahit menimpa. Reda dengan ketentuannya dan sentiasa berfikir baik terhadapNya. Ujian dan dugaan itu lumrah yang perlu dilalui oleh seorang manusia.
Dalam surah al-Ankabut Allah berfirman dalam ayat 2
" Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan ' kami beriman ' dan mereka tidak diuji?"
Bersyukurlah sekiranya kita masih diuji kerana Allah masih memandang kita. Sentiasa ingatkan diri kita bahawa ujian itu datangnya daripada Allah. Bukan untuk menzalimi hambaNya tetapi untuk kembalikan hambaNya ke jalan yang benar. Sebab itu, Dia jualah yang memudahkan kesusahan yang kita lalui. Allah itu tidak kejam!!!


Setelah usai Solat Jumaat, Amira dan Furqan pun berkunjung ke rumah Firdaus. DI situ, selalunya dijadikan tempat berkumpul semasa hari Raya Aidilfitri oleh warga Malaysia. Keluasan rumah itu menjadikannya selesa untuk berkumpul. Kebanyakan yang menjadi tetamu di sana adalah mereka yang sudah mendirikan rumah tangga.
            “ Amira...Ana dengar anta masuk hospital tempoh hari...” soal Nurul kepada Amira.
            “ Oh...Haah. Alhamdulillah, sekarang ana dah sihat. Sudahlah. Tak perlu dikenang peristiwa yang sudah berlalu,” ujar Amira. Kalau boleh, Amira tidak mahu mengingati semula peristiwa hitam itu.
            Rancak mereka berbual. Ada yang bercerita tentang kehidupan di Mesir, masalah pembelajaran, rancangan mendirikan rumah tangga bagi yang mahu bernikah di situ dan macam-macam lagi.
            “ Furqan...Suara anta masih tak tumpah sama seperti dahulu. Kalau begitulah, pasti imam masjid sini tak mahu lepaskan anta. Maklumlah, dah ada calon imam yang sangat berkalibar...” ungkap Firdaus. Rakan Furqan yang dahulu pernah mengaji bersamanya.
            Amira yang terdengar bualan itu, secara tidak sengaja membuka telinga.
            “ Eh...Tak adalah. Biasa saja. Ana Cuma gantikan sheikh dari Lubnan yang kemalangan tu. Siapalah ana nak dibandingkan mereka di sini. Ramai lagi yang hebat-hebat. Ana masih mentah...” ujar Furqan dengan rendah diri.
            Amira tersengeh sendiri mendengar ungkapan Furqan.
            “ Kan betul...Hehe...” bisik hati Amira.
            Lama mereka bertandang di situ. Amira turut membawa masakannya ke situ untuk dinikmati bersama. Jadinya, juada Aidilfitri menjadi bertambah meriah. Ada yang bawa kuih-muih, roti dan juadah Aidilfitri Malaysia seperti lodeh dan macam-macam lagi


Malam itu, Amira menyediakan hidangan ala kadar sahaja. Memandang juadah Aidilfitri tadi masih belum habis.
            “ Abang...Kalau nak makan, makanlah dulu. Mira sakit perutlah...Rasanya nak datang bulan kot” ujar Amira.
        
            Furqan mengangguk lalu menuju ke meja makan. Niatnya ingin menunggu Amira di meja makan. Apabila tudung saji dibuka. Dilihatnya terdapat sekeping kertas kecil yang tercatat nota padanya.
            “ Sheikh dari Lubnan kemalangan ye...Anda sudah TERTANGKAP!!!
            Tertawa kecil Furqan sebaik membaca nota pada kertas tersebut. Dia tahu, Amira pasti sudah mendapat tahu hal sebenar.
            “ Iyaaaahhhhh....” Amira datang dari belakang menyergah bahu Furqan.
            Furqan tersentak dengan aksi Amira tadi.
            “ Allahuakbar!!”
            “ Oh...Abang tipu Mira ye...Motif?” Tangannya melilit leher Furqan dari belakang.
            Furqan masih tertawa kecil. Dia tidak sangka sampai begini sekali Amira bertindak.
            “ Ahahah. Sajalah...Abang nak tengok Mira kata apa. Ingatkan Mira nak puji suara imam tu. Lepas tu, Mira akan kata yang suara dia lagi sedap daripada abang. Tapi, Mira dah syak awal-awal lagi. Abang malaslah nak kata yang abang yang jadi imam tadi...” jelas Furqan.
            Amira melepaskan lengannya dari leher Furqan. Dia mula mengambil tempat di meja makan. Furqan terus memandang Amira. Dia masih tertawa dengan aksi Amira yang seakan-akan kanak-kanak.
            “ Apa yang lawak sangat ni? Dah lah tu...” kata Amira . Dia ganjil melihat Furqan dari tadi tertawa sendiri.
            “ Tak adalah...Mira ni istimewa sangat untuk abang. Walaupun tirai menjadi hijab dalam masjid tadi, tapi Mira masih kenal suara abang. ..” ujar Furqan.
            Amira meletakkan lauk pauk ke dalam pinggan Furqan sambil mendengar kata Furqan.
            “ Mestilah...Abangkan imam kepada Mira. Suara abang tu dah jadi sebahagian daripada halwa telinga Mira ni...Dari dulu lagi, Mira selalu dengar suara abang di surau maktab. Sampaikan waktu tu, ramai sangat yang suka dengan suara abang. Tak tahulah, Mira ni macam satu dalam sejuta agaknya ...” ujar Amira.
            “ Abang pula lain daripada Mira… Abang tak pernah dengar suara Mira dulu, sehingga suatu masa kita digandingkan bersama sebagai pengacara Majlis Tilawah Quran Peringkat Daerah yang dilaksanakan di madrasah kita. Itu pertama kali abang mengenali diri Mira. Abang sudah lama jatuh hati pada Mira. Susah untuk abang jaga hati ini. Tapi, abang sentiasa doa semoga Allah menjaga hati abang dan sekiranya abang jatuh hati, abang minta agar hati ini terpaut kepada insan yang turut menjaga hatinya kerana Allah,” ujar Furqan.
            Amira tersenyum melihat wajah Furqan.

            “ Kalau boleh, Mira nak suara abang, hanya Mira saja yang dengar kemerduannya. Tapi, apakan daya. Mira sedar. Abang bukan milik Mira sepenuhnya. Abang juga adalah milik masyarakat. Ummah hari ini memerlukan abang,” bisik hati Amira.



BERSAMBUNG...
* Maafkan salah dan silap yang terdapat dalam karya ini. 
Buang yang keruh, ambil yang jernih. In Shaa Allah.

Assalamualaikum


Thanks For Reading شكران.

0 400 is kind-heart: