Novel Bersiri : Indahnya Takdir Ini 17

NOVEL ISLAMI
NOR AISHAH BT NORRIFIN


BAB 17: Seindah Nil




Amira terjaga setelah lama terbujur di atas katil itu. Suasana pada ketiku itu kelam. Amira cuba untuk membangunkan dirinya. Baru dia sedar bahawa kakinya masih terluka. Kepalanya ternyata masih berasa sakit. Pandangannya berlegar-legar dari satu ruang ke ruang lain. Tanpa sedar, Furqan sedang duduk di samping katilnya.Kepala Furqan terbaring di birai katil Amira. Furqan kelihatan sungguh penat dalam lenanya. Tersenyum tipis Amira melihat dia. Sejenak, Amira terkenang saat Furqan hadir menyelamatkan dirinya. Di saat hatinya berasa tiada lagi harapan untuk bertemu dengan si suami, saat itulah Allah menghantar dia untuk selamatkan dirinya. Sekali gus Allah menunjukkan kepadanya  bahawa ajal maut itu di tanganNya.
 Amira teringat kata-kata Furqan, kata-kata yang terungkap saat dirinya lemah dalam tangisan...
            “Abang kan ada. Abang akan jaga Mira dengan izin Allah,”
            Amira mendapatkan tangan Furqan. Perlahan-lahan Amira mengusap tangan itu. Tangan itulah yang pernah mengusap air mata yang pernah mengalir di pipinya. Tangan itu jugalah yang sentiasa menenangkan dirinya dalam setiap keadaan.
            “ Alhamdulillah. Aku bersyukur ya Allah kerana dia milikku kini. Terima kasih, abang…” bisik hati Amira bertemankan senyuman nipis di bibir.
            Tanpa sedar, Furqan terjaga daripada tidurnya. Furqan meregangkan tangannya.  Amira yakin, suaminya  pasti kelenguhan kerana tidur dalam keadaan demikian.
            “ Sayang dah bangun. Alhamdulillah… Mira rasa apa sekarang? Baik atau teruk?” Furqan mendekati Amira lalu bertanyakan keadaannya.
            Dengan senyuman di bibir Amira pun menjawab, “Alhamdulillah, rasa macam bertambah baik…”
            Furqan tersenyum lega sambil mengangguk sendiri. Dia bersyukur kerana isterinya itu kembali sedar. Furqan menyedari peristiwa hitam yang berlaku terhadap isterinya itu berpunca daripada dirinya.
            “ Abang…” sapa Amira. Furqan mulai duduk di samping Amira. Dia bersedia untuk mendengar segala luahan isterinya itu.
            “ Ada sesuatu yang abang sembunyikan daripada Mira ke?” soal Amira.
            “ Apa maksud Mira?” Furqan kehairanan.
            Amira menarik nafasnya. “ Boleh Mira tanya sesuatu?” soal Amira lagi.
            “ Tanyalah..”
            “ Hmm…siapa Arissa? Apa hubungan abang dengan dia?”
            Riak wajah Furqan berubah. Dia seolah-olah menolak untuk menjawab soalan tersebut. Tetapi, dia tahu bahawa Amira berhak untuk mengetahui fasal Arissa.
            “ Arissa. Dia sangat rapat dengan arwah Mak Ngah Diba sejak kecil lagi. Tapi, dia ni anak orang kaya. Mak ayah dia jenis yang tak kisah apa yang terjadi dekat anak dia orang. Sebab tu, dia lebih senang duduk dengan Mak Ngah Diba. Jadinya, Arissa ni membesar dalam keadaan yang kurang baik. Dia terdedah dengan disco, hiburan tanpa mengenali bahawa hidup ini memerlukan kita untuk beribadah. Tapi, sumpah yang abang tak tahu langsung yang dia ada perasaan  dekat abang sampailah hari tu…” jawab Furqan.
            Amira mengangguk tanda faham. Baginya, itu sudah cukup untuk dia mengenali diri Arissa.
            “ Hmm...Abang. Salahkah kalau Mira kata yang peristiwa ini membuatkan Mira sedar yang Mira masih belum kenal abang sedalamnya?” ujar Amira.
            Furqan mengerutkan dahinya. Aneh dengan kehadiran soalan tersebut daripada isterinya.
            “ Kenapa Mira cakap macam tu?”
            “ Kalau betul Mira kenal latar belakang abang...pasti Mira akan kenal Arissa. Kan, abang?”
            “ Allahuakbar. Mira, Arissa tu bukan sesiapa pun dalam hidup abang ni. Pertalian darah pun tak ada. Untuk apa abang ceritakan fasal dia dekat Mira sedangkan abang pun dah hampir lupakan dia. Peristiwa ni membuatkan abang ingat balik perempuan tu,” jelas Furqan.
            Bibirnya yang pucat itu mula mengukir senyuman. Amira sedar bahawa tiada apa yang patut dia perdebatkan dengan Furqan kerana segala-galanya jelas. Betapa leganya hati Furqan sebaik melihat senyuman pada wajah isterinya.
            “ Jadi…macam mana pula abang tahu yang Mira ada di rumah Arissa?” soal Amira lagi.
            Furqan mula senyum sendiri.
            “ Hmm. Abang kan hebat!!!” balas Furqan dengan nada kecindan. Dia tidak mahu suasana perbualan antara mereka serius.
            Amira tidak berpuas hati dengan jawapan daripada Furqan. Kepala Amira menunduk. Dia menginginkan jawapan yang sebenarnya. Furqan melihat isterinya yang menunduk. Lalu, Furqan membuka cerita.
            “ Ya lah. Biar abang ceritakan. Subuh hari tu, lepas Mira ceritakan segalanya, abang takut kalau ugutan misteri itu mengancam keselamatan Mira. Jadi, abang buat laporan polis. Dalam perjalanan pulang, abang nampak Mira di depan rumah Arissa. Jadi, abang agak yang mungkin Mira tak lama di situ. Abang pun tunggu di kerusi depan rumah Arissa. Abang ingat nak pulang sama-sama dengan Mira. Tapi, abang rasa macam dah lama sangat abang duduk situ. Abang pun bangun dan ingat nak balik terus. Tapi, abang terdengar jeritan. Miralah yang menjerit panggil abang. Hah!!! Abang dah rasa macam ada yang tak kena. Abang pun mengendap di sebalik semua tingkap. Abang ternampak Mira dalam satu bilik di belakang sedang terikat. Abang pun memecah masuk rumah tu dalam keadaan yang sangat cemas…”
            Dalam hati Amira berkata… “Boleh percaya ke dia ni???”. Amira memandang Furqan dengan pandangan sinis. Furqan pula hanya tersengeh bak kerang busuk.
            “ Ye lah tu…” balas Amira.
            “ Ehh.. Tak percaya ke? Abang jujur sehabis jujur dah ni. Terpulanglah nak percaya ke tidak. Tulang empat kerat abang inilah yang angkat Mira ke hospital tahu…” ujar Furqan.
            Kata-katanya menarik perhatian Amira. Dia baru teringat bahawa dirinya terpengsan selepas kejadian itu.
Apa??? Dia mengangkatku!!! Ya Allah, aku ni bukannya ringan. Hmm..”
            “ Errmm…Abang angkat Mira. Hmm, tak berat ke?” soal Amira dalam keadaan malu.
            “ Heh…Berat tu memanglah berat. Tapi, waktu tu isteri abang ni dah macam tak bernyawa. Lembik sangat. Abang risau betul. Sebab tu, abang kuatkan diri untuk dukung Mira sampai ke hospital. Alhamdulillah, Allah memanjangkan usia Mira dan memanjangkan jodoh kita berdua,” ujar Furqan.
            Dalam fikirian Amira, jenuh memikirkan situasi yang digambarkan oleh Furqan. Ucapan syukur tidak lekang dari bibirnya kerana memikirkan bahawa dia masih mampu bernafas hari ini dan masih mampu untuk melihat wajah si dia. Tubuh Furqan segera Amira dakap. Amira merasakan kehangatan kasih sayang Furqan terhadapnya. Begitu juga yang dirasakan oleh Furqan. Melalui eratnya tangan yang memeluk tubuh Amira, dia tahu cinta Furqan kepadanya begitu besar. Ternyata keraguan Amira terhadap cinta Furqan sebelum mereka bernikah adalah tidak benar. Amira sentiasa mengingati bagaimana cinta ini mula bersemadi dalam hidup mereka. Bermula dengan angan-angan dan doa, sehinggalah termakbulnya doanya. Amira sungguh bersyukur kerana Furqan merupakan jodohnya yang ditetapkan oleh Allah SWT.
            " Ya Allah, aku tak akan pernah mempersiakan cinta yang ditabur oleh suamiku ini. Rahmatilah kami, Ya Allah,"
Rasa cinta kepada manusia itu akan wujud tanpa diminta.
Rasa cinta kepada manusia itu adalah kebahagiaan yang Allah beri kepada kita.
Namun, cintailah mereka kerana cinta kepada Pencipta Cinta.

Siapa kita untuk membuang rasa cinta dihati?
Siapa kita untuk menidakkan takdir Illahi?
Siapa kita untuk melawan rasa fitrah insani?
            Reda dengan ketentuanNya dan sentiasa berfikir baik terhadapNya. Ujian dan dugaan itu lumrah yang perlu dilalui oleh seorang manusia. Dalam surah al-Ankabut Allah berfirman dalam ayat 2
" Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan ' kami beriman ' dan mereka tidak diuji?"
 Bersyukurlah sekiranya kita masih diuji kerana Allah masih memandang kita. Amira sentiasa berkata kepada dirinya bahawa, setiap ujian dan kesusahan yang Allah timpakan kepada seseorang itu, Allah jualah yang memudahkannya dan Dia selitkan hikmah di sebalik setiap ujian yang ditimpakan.

**********

Sudah tiga hari selepas Amira dilepaskan daripada hospital. Dia masih mengingati saat pertama kali mula berjalan. Sungguh derita rasanya. Luka tersebut menyukarkannya untuk menegakkan kakinya. Namun, Furqan setia di sampingnya. Mengiringi Amira pulang ke rumah.
Kini, dia sudah pun pulih. Amira mula menghadiri kuliah seperti biasa. Begitu juga Kelas Talaqqi yang sangat dirinduinya. Namun, kejadian hitam itu pasti terimbau di benak fikirannya tatkala Amira membelek pendrive miliknya.
            “ Ya Allah tenangkanlah aku,” bisik hati Amira.       
            Tiba-tiba, Amira dicuit dari belakang. Siapa lagi? Kalau bukan Furqan.
            “ Jom kita jalan-jalan. Dah lama kita tak keluar,” ujar Furqan sambil menarik tangan Amira.
            Amira aneh dengan tingkah Furqan. Tidak semena-mena mengajak dirinya keluar. Sebelum ini, Furqanlah manusia paling sibuk membelek tulang di tempat belajarnya. Amira terdiam seketika sambil merenung matanya.
            “ Haih!!! Apa pandang macam nak makan orang ni? Nak keluar ke tak?” kata Furqan memecah kesunyian sebentar tadi.
            “ Oh!!! Hmm, Mira bersiap ya. Tunggu tau!!!” Amira pun bersegera ke almari untuk mendapatkan pakaian yang sesuai

**********

Amira bagaikan tidak percaya bahawa hari ini dirinya dapat melihat Sungai Nil secara terang-terangan di hadapannya. Sebelum ini, dia hanya mampu untuk melihat dari jarak jauh ataupun lihat dari dalam bas ketika dalam perjalanan ke mana-mana. Kali ini Amira betul-betul di Tebing Sungai Nil. Amira tersenyum sendiri melihatnya. Dalam hatinya, tidak terkira berapa kali ucapan syukur dipanjatkannya..
            Mereka berdua pun duduk di atas kerusi yang tersedia. Amira terlalu asyik memerhati suasana Sungai Nil yang terpampang di hadapannya sampaikan langsung tidak menyedari bahawa tiada perbualan antara dirinya dengan Furqan. Sungai itulah yang menghidupkan Mesir. Tiada Sungai Nil, tiadalah Mesir hari ini.
            “ Abang…Mira teringat kisah Nabi Musa dihanyutkan di sungai ini. Mira tak dapat nak bayangkan. Ibunya sungguh yakin dengan janji Allah kan, abang?” Amira memulakan bicara.
            Furqan mengangguk.
            “ Betul tu. Kita sepatutnya mencontohi dia, Yukabid, ibu kepada Nabi Musa. Kita inikan hamba kepadaNya. Sepatutnya, kita percayakan Tuhan kita yang satu, Allah. Dia Maha Mengetahui . Dia tidak pernah tertidur walaupun sesaat. Setiap rancangannya pasti yang terbaik untuk kita hambaNya,” ujar Furqan.
            “ Hmm… Kalaulah manusia ini bulatkan segala pengharapan kepada Tuhan setelah berusaha bersungguh-sungguh, pasti Allah akan membantu macam Yukabid. Untuk apa Tuhan tidak membantu melainkan sebagai satu cara untuk menguji hambaNya. Sungguh Yukabid yakin kepada Allah sehinggakan dia sanggup menghanyutkan anaknya sendiri yang masih kecil di sungai ini setelah menerima perintah daripada Tuhan. Dia tahu risikonya tapi kepercayaannya kepada janji Allah mengatasai gundah di hatinya…” Amira menyambung bicara Furqan.
            “ Ya…Akhirnya, Allah pun membalas kepercayaan Yukabid itu tadi. Musa yang ditemui oleh Asiah, isteri Firaun itu akhirnya dipertemukan dengan Yukabid sebagai ibu susuannya. Walaupun pada saat itu, dia tidak dikenali sebagai ibu kepada Musa tetapi pertemuannya dengan Musa cukup membahagiakan dirinya..” balas Furqan.
            Amira cuba menyingkap jiwa seorang ibu. Ibu yang bernama, Yukabid.
            “ Hmm… Mira faham naluri tu. Naluri seorang ibu. Naluri yang sangat kuat..” ungkap Amira kemudian mendiamkan diri. Tanpa sedar air mata mula bergenang di kelopak matanya.
            “ Mira…senyap je?” cuit Furqan.
            “ Abang… Bila Mira dapat naluri tu? Mira teringin nak rasa. Teringin sangat…” perlahan Amira bersuara. Pandangannya tidak lepas daripada memandang aliran sungai itu.
            " Sayang…" ungkap Furqan. Tanpa sedar, tangan  hinggap di jejari mulusnya.. Amira rasakan hangatnya tangan Furqan sehangat kasih sayangnya terhadap Furqan.
"…bila-bila sahaja Allah boleh berikan naluri keibuan kepada Mira. Tapi, itu bukan urusan kita. Kita hanya mampu usaha. Cukup!!! Setelah itu kita berserah kepadaNya. Jangan sampai usaha yang melampau sebab melampau tu boleh membawa kepada khurafat," sambung Furqan.
Genggamannya makin erat. Amira yakin, Furqan juga menaruh keinginan untuk memiliki naluri seorang ayah. Apabila Amira mengingatkan kembali kisah Yukabid, dia mulai sedar. Dia sepatutnya membulatkan pengharapannya itu kepadaNya yang mengatur segala-galanya. Amira yakin Dia pasti mempunyai rancangan yang jauh lebih baik daripada apa yang Amira kehendakkan. Sekiranya kita merancang, lalu menjadi realiti pasti kita seronok kerana rancangan kita berjaya. Tapi, sekiranya kita merancang, lalu hasilnya indah khabar dari rupa. Sepatutnya, kita lebih seronok kerana itu adalah rancangan daripada Allah SWT.
Amira menjatuhkan kepalanya ke atas bahu Furqan di sebelahnya. Rasa syukur yang tak terperi lahir di benak hati Amira kerana Allah menitipkan seorang suami yang bukan sekadar suami. Malah, dia jugalah penawar kepada setiap duka dan pengubat di setiap lara.
Tak pernah terbayangkan
bersamamu saat ini
bertahun kuharapkan
bersamamu

Tak ingin kulepaskan
kehidupanku denganmu
dalam hening kuucap
doa-doa

Semoga Tuhan dengarkan doaku
membelaimu menjagamu
kan kuukir ingatan indah
bersamamu

Kalaupun kumenangis
itu kerana kubahagia
memimpikan dirimu
bersamamu...

Alief- Bersamamu.
            Asyik Amira menghayati setiap bait lagu itu.
Eh, sekejap!!! Lagu? Hmm, Furqan menyanyi? Biar betul?” Terangkat kepala Amira. Asyik dirinya dibelai makna lirik nasyid itu sehinggakan tidak sedar dendangan itu daripada suaminya sendiri.
Mata Amira tidak lepas memandang ke arah Furqan. Dia masih tidak percaya bahawa Furqan menyanyi
            “ Abang??? Abang menyanyi?” ungkap Amira.
            Tertawa kecil Furqan di sampingnya. Melihatkan reaksi Amira yang tersentak sungguh mencuit hati Furqan.
            “ Amboi, terkejut betul. Mira ingat, budak tahfiz macam abang ni tak tahu bernasyid..” balas Furqan.
            Amira masih lagi terperanjat. Bukan sekadar suaranya yang merdu bahkan, makna yang terselit di sebalik nyanyiannya begitu mendalam. Persis kehidupan mereka berdua.    
“ Cakap sajalah yang suara abang merdu. Susah sangat ke? Heh,” nada Furqan bagaikan membangga diri. Itulah nadanya yang paling Amira menyampah. Suaranya akan berubah begini apabila Amira mula memujinya.
Eeeiii....Bangganya. Ingatkan nak puji tadi. Tak jadilah. Nanti makin melampau perasan dia...” bisik hati Amira.
        “ Ehem…Hmm. Sedap? Bolehlah. Tak adalah sedap macam Ustaz Fakhrul UNIC. Hehehe,” balas Amira.
       Furqan mengkerutkan dahi. Hadir persoalan di mindanya lantas disuarakan tanda tanya yang bermain di fikirannya itu kepada Amira.
            “ Fakhrul? Siapa dia? Sedap sangat ke suara dia berbanding abang ni? Mira....” ungkap Furqan dengan persoalan yang bertubi-tubi.
            Amira tidak mengendahkan soalan Furqan yang tidak penting itu. Kerana Amira tahu, suara Furqan sememangnya merdu. Tiada siapa yang dapat menyangkal itu. Malah, suara Furqan itulah yang pernah menarik hati Amira suatu masa dahulu sehingga selamanya.
Matanya terus menikmati pemandangan Sungai Nil yang terbentang di hadapannya. Mereka meluangkan masa di sekitar kawasan tersebut. Kesyukuran yang amat tinggi dizahirkan oleh Amira kerana keinginannya untuk ke situ menjadi kenyataan.

Hari itu sangat indah. Lebih mengejutkan, apabila Furqan mengajaknya menaiki kapal mewah. Segalanya terjadi sebelum waktu berbuka tiba.
            “ Abang...” Amira memanggil Furqan. Dia masih ragu-ragu dengan hasrat Furqan mengajaknya menaiki kapal mewah itu.
            Furqan memandang ke arah Amira. Dia tersenyum lalu mendapatkan tangan Amira. Amira menuruti Furqan. Mereka terus menuju ke dalam kapal mewah tersebut. Perasaan teruja Amira mula membuak-buak sebaik langkah pertama mula menjejak kapal mewah itu
            Pemandangan dalam kapal mewah itu sungguh indah. Lampu yang bergemerlapan menambahkan seri dalam kapal mewah itu. Cruise tersebut memulakan pelayaran menyusuri Sungai Nil. Amira tidak sangka bahawa dirinya kini berada di atas Sungai Nil. Sungai yang menjadi titik permulaan kepada kemahuannya untuk ke Mesir. Kisahnya bermula semasa Amira di Maktab Pendidikian Al-Quran Al-Ghazali di Kedah. Ketika itu, Ustaz Jamal menyampaikan tazkirah pagi tentang Amirul Mukminin dan Sungai Nil.
            " Sudah menjadi kebiasaan masyarakat Qibti iaitu penduduk Mesir untuk melakukan upacara korban apabila tiba musim kemarau. Hal ini demikian kerana pada musim kemarau, Sungai Nil yang menjadi sumber pergantungan masyarakat tersebut tidak mengalir.  Mereka berpendapat bahawa melalui upacara korban, mereka akan mendapat keberkatan rezeki. Dalam keadaan ini, anak-anak dara sering menjadi mangsa korban.”
“Amru bin Ash yang kebetulan pada masa itu merupakan gabenor di situ menghalang perbuatan syirik itu berlaku. Apabila tiba musim kemarau, Amru memaklumkan perbuatan masyarakat Qibti itu kepada Saidina Umar al-Khattab. Amira Mukminin sungguh tegas dalam menegakkan yang benar dan menidakkan yang batil. Amirul Mukminin lantas menghantar surat maklum balas. Salah satu surat yang diterima adalah beralamat " Buat Sungai Nil ". Surat tersebut diminta untuk dicampakkan ke Sungai Nil. Isi kandungannya iaitu :
            Daripada Hamba Allah, Amirul Mukminin Umar kepada Nil Mesir. Jika engkau mengalirkan kerana kehendakmu semata-mata, maka janganlah engkau mengalir lagi, tapi jika Allah yang Maha Esa lagi Gagah yang mengalirkanmu maka kami memohon kepada Allah yang Maha Esa lagi Gagah Perkasa agar mengalirkanmu semula.
            Dengan izin Allah, pada musim kemarau , sungai itu terus mengalir tanpa kering. Penduduk Mesir tidak lagi melakukan amalan syirik itu lagi."
            " Subhanallah.. Allah itu sungguh Maha Kuasa," ujar Amira yang teruja mendengar kisah yang diceritakan oleh Ustaz Jamal.
            Mulai detik itu, Amira mula menjadikan Sungai Nil sebagai ikon dalam hidupnya. Sungai Nil, sungai yang pernah menjadi saksi keajaiban dan kekuasaan Tuhan sehingga ke hari ini. Tenang airnya yang mengalir menyingkap pelbagai cerita yang sukar diterjemah dengan kata-kata. Sungai Nil yang menghidupkan Mesir. Sungai yang menjemput peningkatan tamadun di bumi Egypt.
            Amira ingin dirinya diumpamakan bagai Sungai Nil yang sungguh banyak jasanya kepada manusia. Bagi Amira, dia ingin menjadi mujahidah yang dapat menyumbang jasa sebesar jasa Nil kepada agama yang syumul itu.
            Melihatkan Amira termenung sendiri, Furqan tidak lepas memandang Amira dari sisi sambil berfikir...
            “ Apa lagi yang dia menungkan ni? Hmm...” getus hati Furqan. Lalu, Furqan mencuit pipi Amira.
            “ Astaghfirullah hal Azim...” ungkap Amira terkejut. Dia menghembuskan nafas lalu memandang ke arah Furqan. Furqan memandangnya dengan riak tidak bersalah.
            “ Kenapa abang ni? Sengaja nak cari fasal dengan Mira, ye,” kata Amira yang sebal kepada Furqan kerana mengganggu igauan angannya.
            “ Janganlah marah. Abang sunyilah. Apa yang Mira fikirkan? Abang bawa Mira ke sini untuk lepaskan segala beban dalam fikiran tu. Lapangkan fikiran yang kusut. Tapi, lain pula yang jadi...” ungkap Furqan.
            “ Mira tak marah abang lah. Mira tak fikirkan apa-apa pun. Cuma teringat macam mana, Sungai Nil ini menjadi pembakar semangat untuk Mira datang sini. Abang, Mira seronok.” Jelas Amira.
            Furqan tersenyum. Sekurang-kurangnya dia tahu bahawa isterinya bahagia.
            “ Abang...” ucap Amira.
            Furqan memandang ke arah Amira. Dia menantikan ucapan yang bakal meniti di bibir Amira.
            “ Terima kasih...” bisik Amira.
            Sekali lagi, Furqan tersenyum bahagia. Melihat Amira senang itu cukup membahagiakan Furqan.
            Azan Maghrib berkumandang. Amira dan Furqan menikmati hidangan berbuka puasa sambil ditemani suasana Mesir yang cukup meriah. Sinaran lampu yang menghiasi kawasan kota sebagai persiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi. Mereka turut dihidangkan Tarian Arab oleh penari lelaki yang cukup berbakat. Segala pengalaman di atas kapal mewah itu cukup menggamit hati Amira.

            Dari jauh sudah kelihatan tempat kapal mewah akan menamatkan pelayaran. Berat hati Amira untuk meninggalkan kapal mewah itu. Bukan kerana kemewahan yang terdapat pada kapal tersebut, tetapi kerana saat-saat yang dilalui olehnya bersama Furqan sangat berharga. Andai masa dapat dihentikan, sungguh Amira ingin berbuat demikian. Hakikatnya, kehidupan harus diteruskan. Setiap detik indah dalam kapal mewah itu akan diabadikannya dalam lubuk hati.

BERSAMBUNG...
* Maafkan salah dan silap yang terdapat dalam karya ini. 
Buang yang keruh, ambil yang jernih. In Shaa Allah.

Assalamualaikum


Thanks For Reading شكران.

0 400 is kind-heart: