Novel Bersiri : Indahnya Takdir Ini 16

NOVEL ISLAMI
NOR AISHAH BT NORRIFIN


BAB 16: Fi Hifzillah





“ Assalamualaikum…Zara..” Amira mengetuk pintu sambil memberi salam kepada Zara.
            “ Assalamualaikum…”
            “ Hai, dia ada di rumah ke tak ni? Hmm, penatlah aku hari ini. Kalau macam ni, bila aku nak cetak hasil tugasan? Tapi, aku yakin sangat yang aku dah letak dalam beg. Hmm…” bisik hati Amira dek salamnya tidak dijawab dari tadi.
           Lama dia menanti di hadapan pintu rumah Zara. Amira berfikir. Apakah patut dia pulang tanpa menyelesaikan tugasan tersebut. Pasti Zara akan bengang dengan dirinya. Tapi, Amira tidak mampu untuk lakukan apa-apa tanpa pendrive itu.
            Sedang dia sibuk memikirkan tindakan selanjutnya, pintu rumah Zara pun dibuka.
            “ Waalaikumsalam…Minta maaflah lama tunggu. Saya lagi kemas rumah. Masuklah, Mira,” Zara keluar dari rumahnya lalu menyambut kedatangan sahabatnya itu.
            Amira tersenyum lalu memasuki rumah tersebut dengan senang hati.
            “ Zara…Sebenarnya, saya nak mencetak tugasan kita tu. Tapi, saya baru perasan yang pendrive itu tak ada dalam beg saya. Sebab itu, saya datang ke sini. Saya rasa pendrive itu ada pada kamu,” jelas Amira kepada Zara.
            “ Oh ya. Pendrive itu sebenarnya, kamu tertinggal atas meja di pusat sumber. Jadi, saya ambil bawa pulang. Saya fikir mahu pulangkan kepada kamu tengah hari nanti. Tidak sangka ya, kamu sanggup ke sini,” ujar Zara.
            Amira menghembuskan nafas lega apabila mendapat tahu bahawa pendrive itu ada pada Zara.
“Huh.”
      “ Kalau begitu, kamu duduk di sini sebentar ya. Saya ambilkan pendrive,” ungkap Zara lalu mengangkat punggungnya daripada kerusi.
            Sementara itu, tekun dia meneliti di sekeliling ruang tamu kediaman Zara. Sungguh banyak gambar yang tergantung di dinding termasuklah yang didirikan di atas meja. Amira tekun melihat gambar tersebut satu per satu.
            Dahi Amira tiba-tiba berkerut tatkala melihat terdapat beberapa bingkai gambar yang diterbalikkan.
Hmm, salahkah kalau aku melihat gambar yang dijatuhkan ini. Hmm…” Amira berniat untuk melihat gambar tersebut.
            Dalam keadaan ragu-ragu, Amira pun mengangkat salah satu bingkai gambar yang dijatuhkan.
            “ Astaghfirullah hal Azim…” ungkap Amira sebaik melihat salah satu bingkai gambar tersebut.
“Apa semua ni?” Amira terkejut tatkala melihat wajah Furqan dalam gambar itu. Jantungnya tidak semena-mena berdegup dengan sangat kencang. Amira tidak faham mengapa ada gambar Furqan di sini.
Apa hubungan Zara dengan Furqan?” bisik hatinya yang mula tidak keruan.
            Amira mengangkat gambar yang lain pula. Jantungnya yang tadinya berdegup kencang kini terasa bagai ingin terkeluar dari posisinya.
Bukan satu, bukan dua tetapi banyak sangat gambar suamiku di sini. Apa maksudnya ni?” hatinya berbisik bercampur beribu persoalan aneh.
Amira masih dalam keadaan terpaku. Tiba-tiba, dia terdengar nafas manusia dari belakangnya. Amira menoleh…Mungkin, itu Zara.
Aaaahhhh!!!
Amira merasakan hentakan yang sangat kuat pada dahinya. Kepalanya mula berasa pening dan sakit. Matanya sudah seakan-akan tertutup. Amira sempat melihat kelibat seorang wanita. Namun, pandangannya terus gelap lantaran tidak sedarkan diri.

*********

Tidak lama kemudian, Amira mulai sedarkan diri. Dalam keadaan kesakitan itu, dia berusaha untuk membuka mata. Amira perasan bahawa tempat itu begitu ganjil. Amira yakin bahawa dia belum pernah sampai di situ. Keadaan itu membuatkan dirinya terus sedar secara total dari pengsannya. Namun, pergerakannya sangat terbatas. Dirinya terikat pada sebuah kerusi.
" Huuh…Hmm, tempat apa ni? Aduh.." kata Amira sendiri. Dia kembali merasakan kepeningan pada bahagian kepala. Kepeningan itu bahkan mengundang rasa sakit yang menyengat kepalanya.
Tiba-tiba, Amira tertarik untuk memandang sebatang kayu yang berduri yang berada pada sudut kiri bilik itu. Amira berpandangan bahawa kayu itu begitu sinonim kepadanya. Jenuh dia berfikir.
“ Aku pernah nampak kayu tu. Ya Allah, berikanlah aku petunjuk sekiranya benar jangkaanku ini...” kata Amira. Otaknya ligat mengimbau tentang kayu tersebut.
“ Ya Allah...Kayu itu. Itu...Kayu yang aku pernah nampak dalam mimpiku semalam. Astaghfirullah hal Azim. Apa maknanya semua ini, Ya Allah? Adakah mimpi itu petunjuk kepadaku? Bantulah hamba-Mu ini, Ya Allah,” monolog Amira sebaik berjaya mengingati kayu tersebut.
"Kau buat apa tu, ha! Hah! Bodoh!!!" suara misteri keluar secara tiba-tiba dengan nada yang sungguh tinggi. Namun, kelibatnya langsung tidak kelihatan… Mendengar suara itu, Amira pasti bahawa itulah suara yang pernah berbual dengannya menerusi panggilan misteri tempoh hari. Amira seakan-akan terbiasa mendengar suara tersebut sebelum ini. Tapi, siapa?
" Hahahah"
" Kau nak keluar dari sini?"
Suaranya yang tadinya kasar kini menjadi sangat lembut. Namun, di sebalik kelembutan itu ada makna yang tersirat.
" Aku dah suruh jauhkan diri daripada DIA…Aku dah kata yang dia milik aku… Kau tak faham-faham lagi ke? Sekarang jangan tanya, kenapa kau di sini…," kata-katanya itu mencucuk-cucuk hati Amira.
"Siapa kau ha? Kalau berani, munculkanlah diri kau. PENGECUT!!!," Amira menjawab dengan keras.
Seketika selepas itu, suasana menjadi sepi tanpa suara. Amira ternanti-nanti kewujudan wanita yang ingin merampas kebahagiaannya dan Furqan. Pandangannya sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. Dia berusaha untuk berwaspada.
            “ Tak mungkin…Zara, katakan yang ini semua bukan kerja kamu…” Amira bersuara dengan penuh rasa terkejut. Amira begitu tidak sangka dalang di sebalik semua ini adalah Zara, rakan baiknya
            Baru Amira teringat,  “GAMBAR FURQAN!!! Apa motifnya?”
            “ Aku bukan Zara…Namaku , Arissa. Sebenarnya, aku orang Malaysia, bukan Indonesia. Aku berpura-pura menjadi orang Indonesia di hadapan kau. Aku datang ke sini sebab aku dapat tahu Furqan dengan kau datang sini. Aku tinggalkan dia selama 1 tahun. Aku sangka dia akan tunggu aku, tapi…Dia kahwin dengan kau. Aku pendam perasaan ini lama!!! Bertahun-tahun kau tahu…”
“ Disebabkan dia, aku datang sini. Disebabkan dia aku ambil ijazah kedua dalam bidang Syariah supaya sama dengan kau. Disebabkan dia, aku berkawan baik dengan kau walaupun dalam hati aku ni membara-bara dendam. Supaya aku dapat balas dendam dekat kau. Kau dah rampas apa yang sepatutnya menjadi milik aku...” bisik Zara atau nama sebenarnya Arissa di telinga Amira.
“ A…Arissa. Jadi, kaulah yang menulis mesej, surat dan buat panggilan ‘misteri’ itu. Tak sangka. Aku tak sangka aku akan berjumpa dengan manusia begini. Aku hargai persahabatan kita selama ini. Aku percayakan kau sepanjang kita siapkan tugasan. Tapi, hari ini Allah dah tunjukkan segalanya dekat aku. Oh… Inilah sebabnya gambar Furqan ‘berserak’ dalam rumah kau…” balas Amira. Jauh di sudut hatinya, Amira masih sukar untuk menerima kenyataan.
“ Bukan tu sahaja. Aku yang ambil pendrive dari beg kau. Aku rancang nak suruh kau datang. Tapi, tak sangka kau datang tanpa dijemput. Makin mudah kerja aku. Hah!!!” ujar Arissa.
Amira memandang Arissa. Jauh di sudut hatinya, dia masih tidak dapat menerima hakikat bahawa teman akrabnya itu sanggup berbuat demikian.
“ Aku berpakaian menutup aurat semata-mata untuk dia. Aku bertudung semata-mata untuk dia. Aku tinggalkan disco, bar semata-mata untuk dia. Aku berubah sampai macam ni, semata-mata untuk dia. Tapi, ini balasannya. Ini yang Allah beri kepada aku. Sungguh, takdir ini tidak adil!!!” ujar Arissa.
“ Arissa, sabar. Dendam ialah satu perasaan benci  yang akan memakan diri kau sendiri secara pelahan-lahan. Tak gunalah kau berdendam dengan aku. Aku tak pernah kenal kau sebelum ini. Aku baru kenal kau. Dan, kau yang aku kenal adalah ZARA yang sangat baik, sopan dan tertib. Tiba-tiba, kau berubah menjadi Arissa dan hukum aku secara membabi buta. Adilkah aku terima semua ini? Siapa kau nak salahkan takdir? Hah!!!” kata Amira kepadanya.
" Aku cuma nakkan Furqan. Itu sahaja. Kau dengar tak?" kata Arissa sambil merenung mata Amira dengan begitu tajam.
" Arissa. Sudahlah. Aku memang tak tahu kisah silam kau dengan Furqan. Lupakanlah Furqan. Ini ialah takdir. Semuanya dah tercatat dalam qada’ dan qadar. Kau kena terima semua ini. Percayalah, ini pasti rancangan Allah yang terbaik untuk kau. Dalam Surah al-Baqarah, ayat 216, Allah berfirman, ‘ Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi kamu…’ Kalau Furqan tahu semua ini, dia pasti akan membenci kau…" kata Amira yang cuba memujuk jiwa Arissa.
" Tidak!!! Kalau betul Allah tahu yang terbaik, kenapa Dia jadikan Furqan itu milik orang lain sedangkan Dia tahu aku memendam perasaan kepada dia sekian lamanya…Ini semua tak adil!!! " Arissa seperti masih belum berpuas hati. Kali Ini suaranya bertambah kuat. Objek aneh di sekelilingnya mula diambil dan dicampak tanpa sesuka hatinya. Tindakannya bertambah agresif.
Amira tersentak apabila melihat dia mula mengangkat kayu besar berduri itu. Lebih mengejutkan, kayu berduri tersebut dilemparkan ke arah Amira. Amira tidak mampu untuk mengelak. Kayu tersebut tepat terkena dahinya lalu terjatuh atas ribanya. Darah mula menitis sedikit demi sedikit.
" Aduh.. Ahhh.. Hhh..Sakitnya, Ya Allah!!! Hmmhh..Abang!!!" Amira cuba untuk menjerit tetapi hanya uraian air mata yang mampu keluar. Amira mengenangkan nasib dirinya yang entah boleh atau tidak untuk bertemu dengan suaminya selepas ini.
Adakah pagi tadi merupakan senyuman terakhir daripadanya yang dapat kulihat, kata-kata sayang dari mulutnya dan belaian kasih sayang daripadanya.” Monolog Amira
“ Tolong!!! Tolong!!! Abang!!!!” jeritnya sekuat hati.
“ Jangan sebut nama dia depan aku!!!” jerit Arissa. Sekali lagi, dia mengangkat kayu itu lalu melemparkan ke arah Amira yang kaku terikat.
Allahuakbar!!!” batin Amira terjerit.
"Ahhhh…."
Kali ini, kayu tersebut dihayun dengan laju dan terkena bahagian betisnya. Kain yang menutupi kakinya terkoyak sehingga menampakkan kulitnya yang turut terkoyak.
Hasbunallah wa ni’mal wakeel..” bisik hati Amira. Dirinya semakin lemah. Amira tidak mampu lagi untuk memanggil mahupun menjerit. Kini, dia meletakkan pengharapan sepenuhnya kepada Pencipta yang Maha Tahu. Mata Amira seakan-akan tidak mampu untuk terbuka lagi.
“ Sayang!!!” tiba-tiba muncul satu suara. Suara itu mengejutkan Amira. Matanya meliar tercari-cari dari mana datangnya suara itu. Amira tahu, itu adalah suara yang cukup dekat di hatinya.
“ Abang…Abang…”tersenyum bahagia Amira mendengar panggilan daripada Furqan. Amira menyahut panggilan Furqan. Suaranya tidak cukup kuat untuk menjerit. Amira yakin Furqan pasti tahu jejaknya.
Arissa mula berasa gelisah. Lantas, dia keluar melalui pintu yang lain. Pintu utama itu dirempuh dengan kuat lalu terbuka. Amira melihat kelibat suaminya yang bergegas menuju ke arahnya . Melihat kelibatnya sahaja, hati Amira sedikit sebanyak terasa lega. Dia bagaikan penyelamat yang dikirim oleh Allah untuk membantu Amira. Namun, jangan sangka air yang tenang tiada buaya. Arissa muncul kembali dari belakang Furqan.
Amira bertambah terkejut apabila melihat pisau yang rapi digenggam oleh Arissa di tangan kanannya. Wajahnya bagaikan menyimpan tekad yang tinggi untuk mencederakan seseorang.
“ Abang!!! Hati-hati!!! Belakang abang…” jerit Amira sebaik melihat Arissa cuba untuk menghunus pisau ke arah Furqan. Amira tidak mampu berbuat apa-apa. Dirinya masih terikat pada kerusi tersebut.
Dengan pantas, Furqan memalingkan wajahnya ke belakang dan menangkis serangan tersebut. Furqan mematahkan tindakan Arissa dengan menahan tangan Arissa. Furqan berada di sisi Amira. Dia berusaha untuk menjaga Amira.
" Hah!!! Arissa!!! Kau rupanya. Masih tak berubah sikap kau…Dari dulu lagi…Lepaskan pisau tu, sekarang." kata Furqan dengan perlahan supaya meredakan keadaan. Namun, keadaan emosi Arissa yang sudah tidak boleh dikawal itu tidak dapat menjangka apa yang bakal dia lakukan selanjutnya.
“ Kau yang buat aku jadi macam ni. Kau!!! Aku tunggu kau lama. Tapi, kau pergi dengan orang lain. Seksa kau tahu!!! Seksanya tunggu kau…” kata Arissa sambil menghunus pisau ke arah Furqan.
“ Apa maksud kau?” balas Furqan dengan dahi yang berkerut.
“ Sudahlah. Tak guna aku jelaskan dekat kau. Yang pasti, kalau aku tak bahagia, kau dan dia pun tak akan aku biarkan bahagia. Lebih baik aku bunuh korang…Baru tenang hidup aku..Hahahaha…” Arissa bagaikan menggila. Jarinya menuding ke arah Amira. Dia mula bergerak dengan pantas ke arah Furqan. Pisau di tangannya dihayunkan dengan laju ke arah Furqan.
“ Abang… Jaga-jaga,” jerit Amira yang sangat lemah terduduk di atas kerusi . Kainnya berlumuran dengan darah. Dahinya terus diulit rasa pedih.
Dengan pantas Furqan mengelak. Dia menggunakan segala ilmu mempertahankan diri yang dipelajarinya untuk menundukkan Arissa.  Furqan cuba untuk mambalas serangan daripada Arissa. Kakinya tersadung apabila terkena objek yang berterabur di lantai. Arissa yang melihat situasi itu menganggap itu sebagai peluang untuknya membunuh Amira.
Amira ketakutan apabila melihat keadaan Arissa yang meluru ke arahnya sambil menghunus pisau di tangannya.
“ Abang...Abang...” Amira menjerit dalam keadaan yang lemah. Dia berharap Furqan bangkit dari jatuhnya.
Furqan lantas bangkit. Dengan pantas dia berlari ke arah Amira dan menarik kerusi yang diduduki oleh Amira. Arissa yang hampir menusuk pisau itu ke arah Amira terus terjatuh kerana sasarannya tersasar. Tanpa sedar, pisau di tangannya tersebut memakan tuan. Arissa tertusuk perutnya sendiri.
“Aaaahhhhh...” jerit Arissa.
Furqan pun segera mendapatkan Amira.
“ Mira…Sayang kena kuat. Abang di sini. Bertahan, ya,” kata Furqan memberi semangat kepada Amira. Keadaan Amira begitu lemah. Bibir Amira memucat. Tangan Furqan ligat membuka ikatan yang melilit tangan dan kaki Amira pada kerusi itu.
“ Abang…Mira sayangkan abang..” kata Amira dalam keadaan yang sangat lemah . Dia menggagahkan dirinya agar dapat terus bertahan. Darah yang berlumuran di dahinya sudah mula mengering.
“Shhhh…Jangan kata apa-apa. Sekarang, kita kena keluar dari sini dengan segera…” ungkap Furqan.
Ikatan itu akhirnya berjaya dileraikan. Furqan mengambil kain putih yang setia di bahunya. Dia mengoyakkan kain tersebut kepada dua. Salah satu daripadanya dibalut di dahi Amira. Manakala, satu lagi dibalutnya di kawasan lutut dan betis isterinya.
Saat itu, Amira betul-betul tidak mampu untuk bertahan. Penglihatannya semakin kabur. Lalu, tubuhnya seakan-akan tidak bermaya. Amira jatuh dalam dakapan suaminya dan terus tidak sedarkan diri.
Melihat keadaan Amira yang mula kaku dan tidak bergerak, Furqan bergegas mendapatkan kain selimut yang berada di kamar sebelah. Dia menghamparkan kain selimut itu pada tubuh Amira lalu mengangkatnya. Furqan memastikan bahawa aurat isterinya terpelihara. Mereka segera keluar dari rumah itu.



BERSAMBUNG...
* Maafkan salah dan silap yang terdapat dalam karya ini. 
Buang yang keruh, ambil yang jernih. In Shaa Allah.

Assalamualaikum


Thanks For Reading شكران.

0 400 is kind-heart: