Novel Bersiri : Indahnya Takdir Ini 14

 
NOVEL ISLAMI
NOR AISHAH BT NORRIFIN


BAB 14: Siapa Dia?




Tugasan mereka hampir selesai. Sudah  hampir dua minggu mereka melakukan kajian. Banyak masa dihabiskan di pusat sumber. Amira juga sangat beruntung kerana Zara seorang yang mahir IT. Gadis itu dapat meneroka sedalam-dalamnya laman web di Internet untuk mendapatkan maklumat tentang tugasan mereka yang bertajuk ‘Hudud’.
            “ Pendrive ini, biar saya yang simpan, ya?” kata Amira sambal mengemas barang di atas meja di pusat sumber.
            Zara mengangguk.
           
            Cuaca di Kaherah hari ini cerah seperti biasa. Amira bagaikan sudah terbiasa dengan rasa panas di sini ditambah lagi dengan keadaan jalan raya yang sesak dan bising.  Cukup menguji kesabaran.
            Amira berdiri penuh kekuatan di perhentian bas menanti ketibaan bas untuk membawanya pulang. Hendak mendapatkan teksi? Wang saku tidak mampu menampung bil teksi. Biarlah bersusah dahulu.
Sedang dia berdiri menghadap mentari, telefonnya berdering tanda mesej masuk. Amira tersenyum sendiri. Disangkanya, Furqan mengirim mesej kepadanya.
            “ Ini mesti Furqan…Hai, dah rindu ke?” Amira bermonolog sendiri.
            Sangkaanya meleset. Dahinya berkerut dek aneh dengan nombor yang terpampang pada skrin telefon bimbitnya. Nombor itu sangat tak dikenalinya.
            “ Siapa ini?” Amira bertanya pada dirinya sendiri.
            Tanpa ragu-ragu, dia pun menekan butang ‘read’ untuk melihat mesej tersebut.
            Dahinya yang tadinya berkerut tidak berhenti di situ sahaja. Kali ini, ditambah dengan perasaan takut dan risau. Mesej tersebut seakan-akan menakut-nakutkan dirinya.
            “ Pergi daripada DIA !!!”
            Tiga patah perkataan itu menghadirkan beribu persoalan di ruang minda Amira.
            “Mesej ni nak ugut aku ke? Siapa ‘DIA’ yang dia maksudkan?” bisik hati Amira.
            Dengan segera, telefon bimbitnya ditutup lalu disimpan semula dalam beg tangannya. Amira cuba untuk berfikiran positif. Dia tidak mahu fikir yang bukan-bukan.

**********

Setelah pulang dari masjid, Amira hanya duduk sendiri di meja belajarnya. Keadaannya yang bersendirian telah menjemput kembali mesej aneh yang diterimanya tadi ke fikirannya. Amira masih belum habis fikir. Siapa pemilik nombor tersebut? Apa tujuan mesej sedemikian diberikan kepadanya?
Aku ada ambil apa-apa daripada dia ke?”
            “ Amira!!! Tenangkan diri. Kau ada banyak lagi kerja yang nak kena buat. Daripada kau fikirkan mesej sesat tu lebih baik kau fikirkan tugasan kau yang tak siap lagi,” suara dari hatinya mendesak agar dia kembali tenang.
            Amira menarik nafas sedalam-dalamnya lalu membuka komputer riba untuk menyambung tugasan di meja belajar.
            Furqan dari tadi memerhati gelagat Amira. Padanya, Amira sangat lain hari itu. Kepulangan Amira daripada kuliah tidak seceria selalu. Wajahnya seperti tidak keruan. Furqan dapat melihat bahawa ada sesuatu yang tidak kena pada isterinya. Dia cuba untuk mendekati isterinya, tapi dia risau akan mengganggunya yang sedang menyiapkan tugasan.
            “ Mungkin, dia serabut memikirkan tugasannya,” bisik hati Furqan.
            Furqan kembali fokus pada tugasannya.
            TiitDit…TiitDit…TiitDit
            Bunyi itu menandakan bahawa mesej masuk dalam peti masuk telefon bimbit Amira. Bunyi itu bukan sekadar menarik perhatian Amira. Furqan turut menoleh.
            Sekali lagi, Amira menerima mesej daripada nombor yang sama. Diikutkan hatinya, tidak mahu menekan butang ‘ read’. Entah mengapa dia berasa takut untuk membaca. Nombor yang sama menghantar mesej kepadanya.
            “ Ya Allah, peliharalah aku dan jauhkan aku daripada syaitan yang direjam…” itu saja yang sempat Amira ungkap dalam hati sebelum melihat mesej tersebut.
            Amira memejam matanya seerat-eratnya. Kemudian menghembus nafas sepuasnya. Matanya dibuka kembali. Dengan perlahan, dia membaca teks tersebut.
            “ Aku dah suruh kau pergi daripada DIA. Kenapa kau masih di situ. Tak faham lagi ke? Aku tahu kau di mana… Kalau kau tak nak pergi daripada DIA!!! Biar aku buat DIA pergi daripada kau…Faham!!!” dirinya bagai dihambat belati yang tajam. Dia begitu tersentap dengan teks yang dibacanya tadi.
            Hati Amira bertambah gelisah. Kepalanya menjadi serabut. Air matanya menitis tanpa sedar. Amira mula yakin, ‘DIA’ yang dimaksudkan adalah Furqan. Furqan, suamiku.
Tak mungkin aku pergi daripada dia. Dia milikku. Milikku selamanya. Tidak!!!
            Amira tidak mampu untuk meneruskan kerjanya. Segera dia menutup komputer riba  di hadapannya tanpa menekan butang ‘ shut down’. Amira hanya terpaku sendiri tanpa memandang sekeliling. Hatinya yang gelisah, menarik dirinya menuju ke katil. Dia meneyelimuti diri sepenuhnya. Badannya terasa mengigil-gigil. Amira tidak takut pada mesej itu…Tapi berpisah dengan Furqan adalah kegusarannya yang sebenar-benarnya.
            Furqan terus memerhati gelagat Amira yang ganjil. Dia perasan bahawa isterinya sedang menghadapi masalah.
            “ Aku perlu lakukan sesuatu…” bisik hati Furqan. Dia membiarkan isterinya terbaring di atas katil. Baginya,  itu dapat melegakan fikirannya yang serabut.

**********

“ Sayang, bangun tahajjud…” suara itu mengejutkan Amira daripada tidur.
            Kebiasaannya, Amira pasti akan terjaga terlebih dahulu. Malam itu, sebaliknya yang terjadi. Fikirannya terlalu penat memikirkan hal semalam. Dia berharap agar hari ini, masalah tersebut lenyap dari hidupnya.
            Furqan mengimami Qiamullail mereka pada pagi itu. Suasana pagi itu sungguh syahdu. Dalam setiap doa, Amira membayangkan saat mereka solat berjemaah buat kali pertama dalam bilik. Suasana sungguh syahdu persis hari itu. Setiap bait doa yang dilafazkan oleh Furqan dihayatinya sehingga mengalir butiran air mata jernih di pipinya. Setiap kali Amira mengesat air mata yang gugur, pasti ada yang menuruti.
            “ Ameen…”
            Tangan Furqan, Amira gapai lalu dikucupnya dengan sepenuh hati.
            Furqan dapat merasakan kucupan daripada isterinya kali ini sangat lama. Dia juga dapat merasakan sesuatu yang basah pada tangannya saat dikucup oleh Amira. Apabila Amira mengangkat wajahnya, alangkah terkejutnya dia apabila melihat wajah Amira dibasahi air mata. Amira terus menunduk kerana tidak mahu menunjukkan wajahnya kepada Furqan.
            “Sayang… Pandang abang,” panggil Furqan sambil menyentuh dagu Amira.
            Amira menurut lalu menatap wajah Furqan. Melihat wajah Furqan, air matanya semakin deras mengalir. Dia cuba untuk menahan dengan kudrat yang dimilikinya.
            “ Sayang… Ada apa-apa yang terjadi? Abang nampak Mira lain sangat sejak semalam lagi. Hmm?”
            Terdiam Amira. Kaku tidak tahu apa yang patut dijawab. Amira menggeleng. Dia tidak mampu untuk berkata-kata..
            Furqan mendekati Amira. Wajah Amira dibelainya dengan penuh kelembutan. Dengan perlahan Furqan menyapu saki baki air mata di wajah Amira.
            “ Sayang… Kalau tak ada apa-apa, takkan menitis air mata sebanyak ini. Abang inikan suami Mira,” tangannya mengesat air mata dengan lembut di pipi Amira.
            “ Hhh… Hmm.. Sebab, abang suami Miralah, Mira menangis. Mira terkenangkan pertama kali abang mengimamkan Mira di bilik kita di rumah. Mira sayangkan abang…Sangat!!!” itu sahaja yang mampu diungkapkan walaupun sebenarnya terpendam lagi beribu perkara dalam hatinya.
            Furqan tahu, hakikatnya masih tersirat sesuatu di benak hati isterinya. Dia memberi ruang kepada Amira untuk menenangkan diri. Furqan yakin akan tiba waktu yang sesuai untuk Amira menyingkap segala yang tersirat itu.

**********

Hampir dua jam Amira dan Zara berada di pusat sumber. Akhirnya, tugasan yang selama ini mereka lakukan bersama selesai. Alhamdulillah. Zara menyemak hasil kajian mereka buat kali terakhir.
            “ Alhamdulillah, akhirnya kita berjaya siapkannya,” ujar Zara.
            “ Alhamdulillah. Biar saya sahaja yang cetak hasil tugasan kita. Kamukan sudah banyak membantu saya mencari maklumat. Saya simpan pendrive ini, ya,” kata Amira. Zara mengangguk.
            “ Kita kan sama-sama buat kerja. Yalah, kamu simpan pendrive itu,” balas Zara.
            Amira dan Zara mula mengemas meja tersebut. Pendrive itu diletaknya di bahagian tepi beg sandangnya. Tiba-tiba, ada seorang gadis muda yang datang menyapa Amira. Sekeping sampul surat dihulurkan kepada Amira. Zara yang berada di hadapan Amira hanya memerhatikan surat itu.
            Lama Amira merenung sampul surat tersebut.
            “ Kenapa kamu tidak mahu membuka surat itu?” soal Zara.
            “ Hmm…Saya…Saya… Saya takut. Zara, saya sudah tidak sanggup untuk melihat semua ini…” ujar Amira.
            “ Lihat apa?” soal Zara yang masih kehairanan.
            Amira menggeleng. Dia yakin, Zara pasti memahami bahawa dirinya sedang dirundung masalah. Amira tidak mahu sesiapa pun tahu tentang hal ini. Dia tidak mahu membebankan fikiran orang yang disayanginya. Zara, sahabatnya mahupun Furqan, suaminya.
            “ Hah...Huh...” Amira menarik nafas sedalam-dalamnya sebelum menelaah surat tidak bernama itu.
            Perlahan-lahan, dia membaca isi surat tersebut. Seperti yang Amira jangkakan. Surat tersebut menyampaikan mesej yang sama seperti dalam mesejnya semalam. Tanpa berfikir panjang. Amira mengoyak surat tersebut kepada serpihan kecil. Zara yang memerhati aksi Amira dari tadi terkejut dengan reaksi Amira yang mengoyak kertas tersebut.
            “ Amira… Kamu baik-baik saja?” soal Zara.
            “ Hmm… Saya mahu pulang sekarang… Minta maaf, Zara,”
            Kali ini Amira merasakan, hatinya disiat-siat dengan sembilu yang tajam. Amira begitu ingin tahu gerangan yang berani menulis perkara sebegini kepadanya.
Dia ingat dia siapa nak ugut aku begitu. Furqan itu kiriman Allah untukku. Tiada siapa boleh merampasnya melainkan ajal daripadaNya.”monolog Amira.
            Amira berjalan ke arah perhentian bas. Pelbagai perkara mengganggu fikirannya. Pada ketika itu, berjuta persoalan menghambat dirinya bertubi-tubi. Di saat itu, telefon bimbitnya berdering. Kali ini, nombor yang sama mula berani menelefon dirinya. Tanpa ragu-ragu Amira menjawab panggilan itu.
            “ Hai…Berani angkat telefon. Aku ingat kau nak campak saja telefon kau. Hah. Puas terima buah tangan daripada aku. Hei, kau dengar baik-baik eh… Aku dah bagi kau warning 3 kali tahu. Jangan sampai aku bagi warning sekali lagi. Siap kau…” suara misteri itu menghambat deria pendengaran Amira.
            “Suara itu seakan-akan aku pernah dengar. Ya, sangat dekat dengan aku. Tapi, siapa?” bisik hati Amira.
            “ Sudahlah. Siapapun kau, aku tak kisah. Kau rasa dengan cara ini kau akan dapat Furqan? Mimpi sajalah. Aku tahu kau pasti orang Malaysia yang duduk sekitar kawasan ni bukan? Kau ingat aku takut dengan warning kau tu!!! Sudahlah, buang masa saja kau buat kerja ni…PENAKUT!!!” jawab Amira dengan penuh rasa geram dan benci terhadap insan di talian itu.
            “ Kita tengok siapa yang PENAKUT. Kau ingat aku tak berani… Tunggu…” itu merupakan kalamnya yang terakhir sebelum dia menutup talian.
            “ Astaghfirullah hal Azim,” Amira beristighfar kerana bertindak melulu demikian. Kata-katanya sangat kesat. Namun, rasa geram yang amat dahsyat dalam dirinya itu telah mendorongnya berbicara demikian.
            Amira begitu yakin, dia pernah berbicara dengan gerangan pemilik suara misteri itu.

Aku kenal suara itu.Ya Allah, berikan aku petunjuk…”


BERSAMBUNG...
* Maafkan salah dan silap yang terdapat dalam karya ini. 
Buang yang keruh, ambil yang jernih. In Shaa Allah.

Assalamualaikum


Thanks For Reading شكران.

0 400 is kind-heart: