Novel Bersiri : Indahnya Takdir Ini 9

  
NOVEL ISLAMI
NOR AISHAH BT NORRIFIN


BAB 9: Saat Lafaz Sakinah



Di ruang tamu sudah kedengaran bunyi riuh rendah. Terlalu cepat masa berlalu, hari penyatuan antara Amira dan Furqan tiba jua. Amira bersendirian sahaja di dalam biliknya ketika itu. Amira merenung dirinya sendiri pada cermin. Jubah berwarna putih gading bersulam manik berwarna merah jambu diperhatinya. Tudung labuh berwarna merah hati itu sungguh sedondon dengan jubahnya.
            “ Ya Allah…indahnya pakaian ini. Masya-Allah…Allahuakbar. Dengan pakaian inilah aku akan bergelar zaujah kepada Furqan. Pandu aku ke jalan yang lurus Ya Rahim…” monolog Amira sambil menatap dirinya pada cermin.
            Dengan perlahan dia menarik nafasnya lalu menghembuskannya. Amira sudah tidak keruan dan perasaannya masih berbelah bahagi sama ada untuk meneruskan perkahwinan ini ataupun membatalkannya sahaja walaupun di saat-saat kecemasan begini. Rasa takut mulai terbit dalam hatinya.
“ Betulkah keputusan yang kuambil? Bagaimana kalau Furqan langsung tiada perasaan pada aku? Aku tidak sanggup membayangkan hidup sebumbung dengan orang yang tidak menyayangiku.” Kata Amira.
Memang awalnya Amira menerima sekadar memenuhi syarat agar dapat menyambung pengajiannya ke Mesir tetapi bila dia fikir-fikirkan semula, sebuah perkahwinan itu adalah untuk selamanya.
            Amira juga mengimpikan sebuah rumah tangga yang bahagia. Dia ingin menjadi teman, isteri dan ibu yang terbaik buat suami dan bakal anak-anaknya nanti. Pernah dia terbaca sebuah hadis yang berbunyi;
            “Seorang wanita datang kepada Rasulullah SAW kerana hajat tertentu. Apabila selesai, Rasulullah SAW bertanya: Adakah kamu mempunyai suami? Dia menjawab: ya.
Sabda baginda: Bagaimanakah kamu dengan dia?
Dia menjawab: Aku tidak melalaikan haknya melainkan jika melibatkan apa yang tidak mampu kulakukan.
 Sabda baginda, kamu perlu lihat keadaan kamu daripadanya. Sesungguhnya suamimu adalah syurga dan nerakamu.” (Hadis riwayat Ahmad dan al-Nasaai )
            Amira ingin menjadi seorang isteri yang soleha yang memahami hak-hak suami dan berusaha menunaikan semua hak itu semata-mata mengharapkan keredaan Allah. Jadi mana mungkin dia mampu lakukan, jika suaminya kelak tidak pernah menganggap dia sebagai isteri. Amira mengharapkan keberkatan dan kebahagiaan dalam rumah tangga hingga ke syurga. Bukankah reda Allah itu terletak pada reda seorang suami?
            “Assalamualaikum, Mira.” Mama memberi salam lalu memulas tombol pintu bilik. Lamunan Amira terhenti sebaik melihat pintu itu terbuka.
            “Waalaikumussalam.” Debaran di dadanya semakin memuncak. Pasti Furqan sudah tiba. Ingin sahaja Amira meluahkan segalanya kepada mama. Namun melihat senyuman bahagia mama, tidak sampai hati Amira untuk berbuat demikian.
            Kain niqab berwarna putih kapas yang tersedia di birai katil segera Amira dapatkan. Dengan cermat, dia kenakan kain niqab itu pada wajahnya. Lama Amira merenung wajahnya pada cermin. Dia bagaikan tidak percaya bahawa saat ini akan tiba.
            “Mira sayang, mari turun. Furqan sudah sampai. Cantik anak mama. Mama doakan yang terbaik buat Mira dan Furqan. Moga anak mama akan bahagia selamanya. Mama sayangkan Mira. Mama harap Mira akan menjadi seorang isteri yang soleha. Taat pada suami dan jangan sesekali membelakangi suamimu, nak.”
            Mendengarkan kata-kata mama membuatkan Amira hampir menitiskan air mata. Sebak dadanya mendengar ungkapan mama. Bertambah kesedihan yang dirasakannya. Amira gagahkan dirinya meneruskan setiap langkah menuju ke arena akad nikah.
            Mama memimpin tangan satu-satunya puterinya itu ketika menuruni tangga. Semua mata tertumpu kepada Amira. Dirinya bagai puteri dalam kisah dongeng. Cukup indah kerana wajahnya yang terselindung di balik niqab berwarna putih. Amira sempat memandang sekilas pada kelibat Furqan yang sudah siap sedia berhadapan dengan kadi.
Ooh... Tidak. Tinggal beberapa langkah sahaja lagi untuk aku menghampiri anak tangga terakhir.”

“Mira, duduk sayang.” Kata mama.
Amira membatukkan diri. Mama menarik tangan Amira supaya duduk tetapi dia tetap berdegil.
Kali ini aku tidak kira, aku perlu berhadapan dengan Furqan dan mendapatkan penjelasan daripadanya.”
            Mama kembali berdiri dan merenung tajam ke arah Amira. Semua tetamu memandang dirinya dengan penuh tanda tanya. Amira turut berfikir bahawa tentu Furqan turut melihat tindakan bodohnya itu.
           “Mama, izinkan Mira bercakap dengan Furqan dulu sebelum pernikahan ini dijalankan. Tolonglah ma, demi masa depan Mira,” pinta Amira.
            “Erm... Pengantin perempuan, bolehkah kita mulakan majlis?” Tiba-tiba kadi bersuara melihatkan tingkah laku Amira yang ganjil itu.
            “Maaf, nanti dulu... Boleh tak izinkan saya berbincang sebentar dengan pengantin lelaki?” ujar Amira. Jenuh dia menebalkan mukanya untuk berhadapan dengan situasi tersebut.          
            Semua mata memandang ke arahnya. Mama sekadar menggeleng. Papa dan Abang Hafiz juga kelihatan serba tidak kena. Mungkin mereka bimbang andai Amira membuat keputusan yang akan memalukan mereka.
            “Baiklah, tapi boleh cepat sikit sebab saya ada urusan di tempat lain pula.”
            Pantas Furqan berdiri dan mengikuti langkah Amira. Mereka menuju ke sudut rumah agar jauh sedikit daripada  para tetamu.
           “Furqan, tolonglah beritahu saya mengapa awak ingin memperisterikan saya dan adakah awak benar-benar ikhlas?” soal Amira tanpa memandang wajahnya.
            “Masya-Allah... Kenapa awak masih ragu-ragu dengan keputusan ni?”
            Amira sekadar membisu. Masih mengharapkan penjelasan sebenar daripada Furqan.
            Melihat Amira mendiamkan diri, Furqan terus menyambung bicaranya, “Mira, sudah saya beritahu pada awak bahawa saya ikhlas menerima awak. Saya memilih awak menjadi pendamping saya di dunia dan akhirat sebab saya cintakan awak kerana Allah.”
            “Mungkin selama ni, sikap saya dingin terhadap awak. Tetapi apa yang saya lakukan adalah untuk mengelakkan sebarang fitnah. Bukankah Allah menjadikan manusia berpasangan dengan rahmat-Nya. Bagaimanapun hubungan yang terjalin itu biarlah dilunaskan mengikut syariat yang dibenarkan. Sebab itu, saya ingin menikahi awak untuk mendapat rahmat Allah SWT.”
            Terdiam Amira mendengarkan penjelasan Furqan. Bergenang air mata di kelopak matanya.
            “Terima kasih, Furqan. Saya sudah bersedia menjadi isteri awak,” ujar Amira sebak. Tersenyum Furqan mendengarkan jawapan itu.
            “Sudahlah, sapu air mata awak tu. Mari, kita teruskan.”
            Tisu yang berada di tangannya digunakannya untuk menyapu air mata yang tadinya bergenang. Melihatkan, Furqan mula bergerak, Amira hanya menuruti langkah bakal suaminya itu. Dengan perlahan, Amira duduk bersimpuh di samping mama. Kini dia benar-benar yakin dengan keputusan yang diambil olehnya. Semoga Allah mempermudahkan segalanya.

***********

“Alhamdulillah... Aku telah pun sah menjadi isteri kepada Furqan. Terasa seperti berada dalam dunia mimpi. Dia yang selama ini aku kagumi, kini menjadi milikku. Terima kasih ya, Allah.” Kata Amira sendiri.
            Dia dapat merasakan yang inilah kebahagiaan yang Allah janjikan kepada mereka yang ikhtiar, berdoa dan bersabar. Akhirnya, mereka disatukan dengan ikatan nikah yang sah.
            Ketika Amira dan Furqan berehat seketika di dalam bilik, terdengar suara-suara nakal dari luar.
            “Pengantin baru, cepat keluar! Banyak kerja di luar ni. Awal lagi ni, jangan lama sangat dalam bilik.” Usik Abang Hafiz.
            “Abang ! Aduuh…” Amira sempat merengus. Dia malu sendiri. Furqan yang dari tadi memerhatinya hanya tersenyum.
            “Mira, cepatlah bersiap. Bolehlah kita turun sama-sama.” Ujar Furqan.
            Amira tercari-cari niqab. Setahunya, dia meletakkan di atas meja solek sebaik masuk ke dalam kamar.
            “Nah. Mira, abang bersyukur sangat kerana Mira telah berniqab. Pertama kali abang melihat Mira telah berniqab, hati abang cukup tersentuh.” kata Furqan sambil dihulurnya niqab yang sengaja diambil oleh Furqan dari meja solek itu tadi.
            “Terima kasih, awak,” ucap Amira sambil menyambut huluran Furqan.
            “Mira, mulai hari ni panggil saya, abang. Bukankah abang sudah menjadi suami Mira?” ujar Furqan sambil merenung mata Amira.
            Amira jadi tidak keruan. Macam mana nak panggil Furqan ‘abang’. Kelu lidahnya untuk memanggil Furqan dengan gelaran abang. Inilah kali pertama dia berkata-kata dengannya berdua-duaan dan kali pertama ini juga dia harus memanggil Furqan, abang.
            “Insya-Allah... Aaabang,” jawabnya tergagap-gagap. Furqan pula tersenyum nipis. 
            Setelah bersiap, mereka pun keluar dari bilik. Furqan membantu pekerja katering mengemas meja. Amira pula sibuk di dapur, membungkus lauk pauk untuk tetamu dan saudara mara.
            “Di sini rupanya, Mira. Ingatkan di dapur, rupanya dengan Abang Hafiz,” kata Furqan yang baru datang.
            “ Tadi Mira dekat dapur. Ada apa awak?” ujar Amira.
            Mendengar kata-kata Amira sebentar tadi, Furqan sedikit kesal.
           “ Dia tak panggil aku abang. Erm, lupa agaknya,” monolog hati Furqan.
            “Tak ke mananya Mira ni, Furqan,” balas Abang Hafiz sambil menepuk bahu Furqan.
            Amira menjeling tajam ke arah Abang Hafiz. Dia pasti, ini pasti idea Abang Hafiz yang ingin menyakat dia dan Furqan sempena perkahwinan mereka.
            Amira terus memalingkan perhatiannya  kepada Furqan.
            “Abang penat? Nak air?” soal Amira dengan penuh kasih sayang tanpa memandang wajah Abang Hafiz. Entah mengapa perasaan malu dalam diri Amira  masih menebal. Namun, Amira cuba berlagak selamba di hadapan Furqan walaupun kelihatan janggal.
            “Abang dah minum air sirap tadi,” jawab Furqan.
            “Pengantin baru jangan penat sangat tau!!!” usik Abang Hafiz.
            Merah padam muka Amira dibuatnya. Rasa geram dalam hati ini semakin membuak-buak. Amira hanya mampu menahan perasaan geram tersebut.
            “Mana ada kita orang penat. Biasa je kan, sayang?” jawab Furqan membalas usikan Abang Hafiz.
            Terpaku Amira mendengar jawapan itu. ‘ Sayang’. Itulah pertama kali Furqan memanggilnya sayang. Amira tidak sangka bahawa Furqan akan membalas usikan itu sedemikian. Terpana Amira dibuatnya. Sedangkan, dirinya sendiri belum mampu untuk memanggilnya dengan panggilan abang. Apatahlagi, sayang. Berderau darah mengalir di tubuh Amira. Kata-katanya mula menjadi tidak teratur.
            “Be... Be... Betul betul tu.”
            " Yelah tu. Kali ini Mira selamat. Tunggu, abang ada banyak lagi cara nak kenakan adik abang ni. Dulu, Mira kacau abang sampai merah padam muka abang. Abang tak lupa dik," kata Abang Hafiz sedikit sebanyak menggerunkan hati Amira. Abang Hafiz mula meninggalkan tempat itu dengan senyuman sinis. Keberangkatannya dari situ sedikit melegakan hati Amira. Terkadang, dia berasa menyesal kerana menyakat Abang Hafiz semasa hari perkahwinan Abang Hafiz dan Kak Lisa.
            " Ini baru sikit, sayang," Furqan pula membisikkan sesuatu ke telinga Amira.
Kata-katanya Itu menambahkan lagi degupan jantung Amira. Bulu romanya terus terpacak tegak. Air liur seakan-akan susah untuk ditelan.
            Furqan hanya tersengeh sendiri lalu beredar dari situ.
            Amira belum pernah melihat perangainya demikian. Jantungnya yang dari tadi berdegup kencang kini bertambah kencang.  
            “ Ya Allah…Mula-mula, abang. Lepas tu, sayang. Semua itu aku dengar dalam masa satu hari. Tenangkan jiwa ragaku…”
            Perasaan gerunnya kepada Abang Hafiz tidak sehebat perasaan takutnya dia menghadapi Furqan selepas ini.
            “ Ya Allah, berikan aku kekuatan untuk menjalankan amanah sebagai isteri…Jadikan aku isteri yang soleha,”

Malam itu merupakan permulaan detik perkenalan antara Amira dan Furqan. Pada mulanya, langkah Amira terasa berat untuk memasuki kamarnya. Dia tidak tahu bagaimana harus berhadapan dengan Furqan. Malu. Tetapi, kesedarannya sebagai seorang isteri itu menewaskan rasa malu dan gundah dalam hatinya.
            “ Assalamualaikum...” Furqan datang menyapa Amira di birai katil.
            “ Waalaikumsalam...” Amira menjawab walau dirinya masih diulit malu. Itu merupakan pertama kali dirinya berhadapan dengan Furqan dengan begitu hampir. Hanya satu jari yang memisahkan jarak mereka ketika itu.
            “ Puan Taqiyyah Amira binti Azman... masih ragu-ragu dengan abang?” soal Furqan.
            Jauh di sudut hati Amira, dia tidak mahu menjawab soalan itu. Malu dalam dirinya menebal mengenangkan apa yang pernah dia lakukan sebelum ini. Jenuh Amira memikirkan kata-kata yang terbaik yang patut dia berikan sebagai jawapan kepada soalan suaminya itu.
            Lama Furqan menunggu...
            “ Hmm?” getus Furqan.
            “ Ehem... Ermm, Mira...Mira. Mira yakin dengan ketentuan Allah. Kalau ini yang Allah rancangkan untuk Mira, Mira terima. Sebab, Dia lebih mengetahui...” balas Amira dengan jawapan yang cukup mudah.
      “ Jadi, awak nak kata yang awak kahwin dengan saya secara paksa...Begitu?” ujar Furqan.
            “ Eeehh..tak!!! Saya tak kata macam tu...”
            “ Habis? Awak masih belum menjawab soalan saya tadi. Maksudnya, ada sesuatu yang masih awak sembunyikan daripada saya...”
            Amira terdiam. Perlahan-lahan dia mengangkat wajahnya lalu menatap wajah suaminya itu. Nafasnya ditarik sedalam-dalamnya lalu dihembus. Amira meneruskan bicara.
            “ Abang...” Amira berusaha untuk mengungkapkan kata itu.
            Furqan tersenyum mendengarkan perkataan abang itu. Dia tahu, Amira sudah sedar dan bersedia untuk menerimanya sebagai suami.
            Furqan ternanti-nanti kata-kata yang bakal terucap di bibir isterinya itu.
            “ Abang...Sebenarnya, Mira kahwin dengan abang bukan kerana paksa mahupun desakan keluarga. Jujur dari sanubari Mira sendiri, Mira cintakan abang. Dalam diam, Mira tertarik dengan sifat, ilmu, akhlak, ketampanan dan gaya abang. Mira cuma mampu untuk diam. Lagipun, abang sangat dingin dengan Mira waktu di maktab dulu...” ujar Amira dengan penuh keberanian.
            Tersenyum Furqan mendengar luahan hati isterinya itu.
            “ Alhamdulillah...Mira. Abang pun macam tu. Dalam diam abang tertarik dengan kesopanan, ketegasan, keayuan, kelembutan serta kecantikan yang membaluti diri Mira. Susah abang menahan perasaan ini. Kepada Allah abang serahkan segala-galanya. Abang hanya mampu berdiam saat itu kerana abang tahu, ketika itu Mira adalah milik Allah. Jadi, abang minta kepadaNya di setiap doa dan setiap sujud...”
            Amira diulit rasa bahagia apabila dirinya mula mengetahui kenyataan. Sungguh dia tidak mengangka bahawa Furqan turut menyimpan perasaan yang sama terhadapnya.
            “ Jadi, mari kita mulakan...” ujar Amira.
            Furqan tidak memahami ungkapan Amira.  Keningnya berkerut.
            “ Mulakan? Apa?” gumam Furqan.
            Amira tersenyum lalu menjawab.
            “ Sesi perkenalan. Kitakan baru nak bercinta...”
            Furqan tertawa kecil mendengarkan jawapan Amira.
            “ Kenapa ketawa? Lucu ke?”
            “ Tak... Ok, abang minta maaf...Mari kita mulakan...”
            Dengan senyuman, Amira menghulurkan tangan lalu berkata, “Saya, Taqiyyah Amira binti Azman,”



BERSAMBUNG...
* Maafkan salah dan silap yang terdapat dalam karya ini. 
Buang yang keruh, ambil yang jernih. In Shaa Allah.

Assalamualaikum


Thanks For Reading شكران.

2 400 is kind-heart:

Atiqah said...

Aishah! Hampa punya cerita ni berapa ratus page? Wohooo! Kami ada banyak soalan nak tanya nih........

Aishah Norrifin said...

@AtiqahHIHI... Adalah dalam 200++ pages. Huhu