Novel Bersiri : Indahnya Takdir Ini 8

 
NOVEL ISLAMI
NOR AISHAH BT NORRIFIN

BAB 8: Takdir Menyapa



Furqan yang merupakan anak yatim piatu menetap bersama dengan Faiz, anggota Pasukan Tilawah. Keluarga Faiz sudah menganggap Furqan seperti anak mereka. Malah, Furqan meenggelar orang tua Faiz sebagai ibu dan ayah.
            Lagipun, Furqan membayar sekadar kemampuannya kepada keluarga Faiz setiap bulan. Keluarga Faiz tidak mengharapkan bayaran, tetapi sekadar menyenangkan hati Furqan, lalu mereka menerima bayaran tersebut. Harta yang diwarisi oleh Furqan juga masih belum habis. Bijak anak muda itu menyimpan untuk kegunaan masa hadapan. Sebahagian daripada harta tersebut disalurkan kepada rumah anak yatim terdekat.
            “ Furqan, ibu tengok Furqan asyik termenung sejak akhir-akhir ni. Ada apa-apa yang mengganggu fikiran Furqan ke?” sapa ibu dari belakang. Melihat Furqan sendiri di balkoni rumah, ibu datang menghampiri Furqan.
            Terjaga Furqan dari lamunannya dek sapaan ibu tadi.
            “ Eh, ibu. Hmm, tak adalah. Saja tenangkan diri,” ujar Furqan. Jauh di sudut hatinya tersimpan satu niat yang sukar untuk diungkap.
            Ibu hanya memandang. Dia tahu bahawa Furqan menyembunyikan sesuatu daripadanya.
            “ Ibu tahu, ibu bukan ibu kandung kepada Furqan. Tapi, apa salahnya ibu menjadi ibu kepada Furqan. Ibu terhutang budi kepada arwah mak Furqan. Hmm...Ibu tahu, kamu ada masalahkan?”
            “ Bu...Bukan macam tu. Furqan hargai sangat jasa ibu dengan ayah jaga Furqan selepas pemergian arwah mak dengan Mak Ngah Diba. Ibu dan ayah dah macam orang tua kandung Furqan. Cuma...” Furqan masih ragu-ragu untuk meluahkan isi hatinya.
            “ Ibu...Furqan tu nak suruh ibu pergi memetik bunga di taman...” Faiz mula menyampuk sebaik terdengar perbualan antara Furqan dan ibu.
            Furqan tersentak. Ibu pula berkerut dahi. Aneh dengan ungkapan daripada Faiz.
            “ Ha!!! Apa maksud kamu? Faiz? Ibu tak faham? Furqan nak suruh ibu merisik ke?” soal  ibu dengan penuh tanda tanya.
            Furqan menunduk malu. Dirinya bagai tidak keruan. Faiz memang banyak tahu isi hatinya. Furqan senang bercerita dengan Faiz kerana mereka sudah bagaikan adik-beradik yang sangat rapat.
            “ Tanyalah Furqan tu...Malu-malu, pula...” usik Faiz kepada Furqan.
            Ibu ternanti-nanti jawapan daripada Furqan. Begitu juga Faiz yang dari tadi tersenyum sinis.
            “ Hmm, sebenarnya...Betullah, apa yang Faiz cakap tu. Furqan suka pada seorang gadis ni. Kalau boleh, Furqan nak ibu dengan ayah tolong tanyakan keluarga gadis tersebut. Adakah dia sudah berpunya atau belum?” ujar Furqan.
            Tersenyum ibu mendengar penjelasan awal daripada Furqan. Sungguh teruja ibu apabila mendapat tahu bahawa Furqan sudah jatuh cinta kepada seorang gadis. Panjang lebar Furqan bercerita kepada ibu tentang gadis itu. Setelah berbincang dengan ayah, tarikh untuk merisik gadis pilihan hati Furqan pun ditetapkan.


Suatu petang, mama memanggil dia ke ruang tamu. Katanya, ada perkara penting yang hendak dibincangkan. Sebaik Amira turun ke ruang tamu, dilihatnya  mama, papa, Abang Hafiz dan Kak Lisa sudah sedia menunggu. Tidak semena-mena, dadanya berdebar-debar.
            “Duduklah, Mira. Ada perkara yang hendak kami bincangkan bersama kamu,” papa membuka bicara.
            “Apa sebenarnya, ni?” soal Amira yang dibelenggu tanda tanya.     
            “Begini Mira, sebenarnya ada rombongan yang akan datang merisik Mira hujung minggu ni. Jadi papa dan semua di sini mahukan kepastian daripada Mira,” papa berterus terang.
            Mira terkedu mendengar penjelasan papa. Dia bagaikan tidak percaya mendengar kata-kata itu. Masakan dia harus mengakhiri usia mudanya dengan sebuah perkahwinan.  Masih banyak lagi cita-citanya yang masih belum terlaksana. Jika boleh, dia mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi sebelum memikirkan soal perkahwinan.
            “Betul tu, Mira. Orang tu sendiri yang memberitahu abang tentang hasratnya. Abang harap Mira dapat membuat pertimbangan sewajarnya sebelum membuat sebarang keputusan,” sampuk Abang Hafiz.
            Amira bertambah keliru. Siapakah gerangan lelaki yang berani menyuarakan hasratnya itu kepada Abang Hafiz.
Adakah lelaki itu kawan kepada Abang Hafiz? Adakah aku pernah mengenalinya?”
            “Mira, mama berkenan dengan budak tu. Secocok dengan Mira. In Sha Allah Mira pasti akan bahagia jika hidup bersamanya. Apa yang penting, dia akan dapat membimbing Mira menjadi isteri yang soleha,” tambah mama pula.
            Sedari tadi, Mira sekadar mendengar dan belum sempat untuk bertanya sebarang soalan. Seorang demi seorang membuka mulut. Cuma Kak Lisa sekadar membisu dan menjadi pemerhati dalam perbincangan itu.
            “Mira tak tahu nak kata macam mana? Mira tak mahu terburu-buru untuk mendirikan rumah tangga. Lagipun, Mira nak sambung belajar jika mendapat keputusan yang cemerlang.”
            “Mira masih boleh belajar walaupun sudah berkahwin. Abang yakin, bakal suami Mira tu tak akan menghalang cita-cita Mira,” balas Abang Hafiz.
            “Mira dengar cakap papa. Jika Mira mahu sambung belajar ke Mesir, papa mahu Mira berkahwin terlebih dahulu. Sekurang-kurangnya, ada orang yang akan menjaga Mira di sana,” tegas papa.
            “Ya. Mama pun risau kalau Mira pergi belajar jauh-jauh tanpa mahram. Lagipun, macam-macam cerita yang kita dah dengar tentang negara tu. Bahaya itu siapa tahu.  Siapa yang akan  menjaga kebajikan Mira di sana kelak?” sambung mama.
            Mira serba salah. Keluarganya seolah-olah mendesaknya membuat keputusan. Sedangkan dia sendiri belum tahu siapakah lelaki yang hendak melamarnya.
            “Boleh tak Mira tahu siapa lelaki yang akan datang merisik tu?” soal Mira.
            “Mira tunggu saja hujung minggu ni. In Sya Allah Mira akan tahu juga nanti,” jawab Abang Hafiz.
            Dia pun tidak tahu apa lagi yang hendak dikatakan. Tunggu sahajalah hujung minggu ini. Tapi Amira masih tidak yakin untuk berkahwin pada usia yang masih mentah. Macam mana kalau aku dapat sambung belajar? Papa sudah beri kata putus. Jika dia mahu sambung belajar ke Mesir, dia mesti berkahwin. Tiba-tiba sahaja kepala dia berasa berat dengan pelbagai persoalan. Amira terus meminta diri untuk masuk ke bilik.
            Kini Amira sendiri berasa runsing dengan apa yang didengarnya tadi.
Apa yang perlu aku lakukan? Masakan aku hendak menerima lelaki yang tidak pernah aku kenali. Apatah lagi, untuk memikul tanggungjawab yang berat. Mahu tidak mahu, aku terpaksa lalui apa jua situasi yang mendatang.”


**********

Ya Allah... Betul ke semua ni? Aku masih tak percaya Furqan yang datang melamar aku. Sedangkan selama ini, dia tidak pernah mahu bertegur sapa dengan aku. Sikap dan gayanya seakan dingin terhadapku. Apa sebenarnya maksud dia?
            “ Tentu keluarga aku malu dengan tindakan aku tadi. Apa yang keluar dari mulut aku adalah ikhlas dari hati.  Memang benar aku sukakan Furqan tetapi tidak bermakna aku harus terburu-buru membuat keputusan. Aku terpaksa meminta masa sebelum memberikan jawapan kepada rombongan Furqan yang datang  tadi.” kata Amira sendiri setelah rombongan merisik daripada keluarga Furqan pulang.
Masih jelas di ruang mata, wajah keruh kedua-dua ibu bapanya termasuk Abang Hafiz. Mungkin mereka yakin Amira akan terus bersetuju sebaik mengetahui Furqan yang datang melamar. Namun jangkaan mereka meleset.
            Sebaik sahaja rombongan itu beredar, sekali lagi Amira terpaksa berhadapan dengan keluarganya. Mahu tidak mahu, dia terpaksa menyatakan pendiriannya. Dia inginkan peluang untuk dia menentukan masa depannya sendiri.
Keputusan untuk berkahwin bukanlah sesuatu yang mudah. Apatah lagi, mengahwini lelaki yang belum aku tahu hati dan perasaannya yang sebenar.”
            Hatinya berbelah bahagi sama ada untuk menerima atau menolaknya. Apa sebenarnya yang Furqan mahu? Bukankah selama ini, Furqan menjadi idola kepada Amira. Tapi kenapa apabila dia datang melamar, hati Amira sangsi dengan kejujurannya? Amira tidak mahu Furqan menerima dirinya hanya kerana desakan atau terpaksa. Amira runsing. Dia tidak tahu apa yang patut dia lakukan.
Isyy... Serabutnya fikiran aku. Puas sudah aku berfikir. Aku perlu mendapatkan penjelasan daripada dia.”
            Lalu, komputer riba di meja belajarnya dibuka. Dia tekad untuk bertanya kepada Furqan tentang niatnya yang sebenar.

            Assalamualaikum Furqan.
            Maaf sekiranya kehadiran emel ini mengganggu ketenangan awak. Lebih baik saya berterus terang, saya mahu tahu mengapa awak datang melamar saya? Adakah awak ikhlas untuk menyunting saya atau sebaliknya? Sebelum saya membuat sebarang keputusan, saya mahu jawapan  jujur daripada awak.
            Wassalam...    Taqiyyah Amira

            Amira setia duduk di hadapan komputer ribanya dari tadi menunggu balasan emel daripada Furqan. Hatinya gundah gulana menantikan jawapan daripada Furqan.
            “Apasal lambat sangat si Furqan ni balas emel aku? Dia dah baca ke belum ni?” Mira semakin gelisah. Tiba-tiba satu emel masuk dan Amira cepat-cepat membukanya.

            Waalaikumsalam...
            Jika awak mahukan jawapan daripada saya, sejujurnya saya ikhlas melamar awak. Bukankah awak perlukan mahram jika ingin menyambung pelajaran ke luar negara? Abang Hafiz sudah beritahu saya tentang perkara itu. Jadi saya rasa, apa salahnya kalau saya membantu awak untuk menyempurnakan impian dan cita-cita awak itu.
            Wassalam... Furqan.
           
            “Arghhh... Geramnya aku! Dia ni macam tak ada perasaan langsung pada aku. Dia ingat aku ni apa? Susah sangat ke nak beritahu tentang perasaan dia tu?” Hanya itu yang termampu Amira luahkan sebaik membaca balasan emel daripada Furqan.
            Mula-mula Amira membaca emel itu, hatinya bercampur baur, geram, marah dan juga sedih. Namun apabila dia memandang dari sudut positif, dia rasa okey juga. Sekurang-kurangnya impiannya untuk melanjutkan pelajaran ke Mesir pasti akan tercapai.
            “ Tak kisahlah sama ada Furqan sukakan aku ataupun tak. Yang penting, papa dan mama tak akan halang cita-cita aku lagi jika aku sudah bersuami.” monolog Amira.
            Dia kembali tersenyum. Khabar gembira itu dia khabarkan kepada mama dan papa. Kini dia sudah bersedia untuk memegang gelaran isteri. Fasal hubungan dia dengan Furqan, Amira serahkan kepada Allah.
            Malam itu, Amira bangun untuk tunaikan Solat Sunat Istikharah kepada Allah SWT. Dia memohon agar diberi petunjuk olehNya. Adakah keputusan yang bakal dia ambil ini, keputusan yang tepat ataupun tidak?
“ Ya Allah, aku memohon petunjuk daripadaMu dengan ilmuMu dan aku memohon ketentuan daripadaMu dengan kekuasaanMu dan aku memohon daripadaMu akan limpah kurniaanMu yang besar. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkaulah Yang Maha Mengetahui segala perkara yang ghaib. Ya Allah, seandainya Engkau mengetahui bahawasanya dengan menjadi isteri kepada Ahmad Furqan itu adalah baik bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, takdirkanlah ia bagiku dan permudahkanlah serta berkatlah bagiku padanya dan seandainya Engkau mengetahui bahawa pernikahan aku dengan Furqan itu mendatangkan keburukan bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, maka jauhkanlah aku daripadanya dan takdirkanlah kebaikan untukku dalam sebarang keadaan sekalipun kemudian redhailah aku dengannya".
            3 hari 3 malam Amira bertungkus-lumus memohon petunjuk daripadaNya. Mimpi? Entahlah. Amira langsung tidak menemui petunjuk melalui mainan tidur itu. Namun, di malam yang ketiga itu gerak hatinya begitu kuat untuk pernikahan tersebut. Dia yakin dengan keputusan itu. Dalam sujud terakhir itu, dia dapat melihat wajah Furqan dan Amira juga dapat melihat keikhlasan dalam hatinya. Kuat firasatnya mengatakan bahawa ini adalah yang terbaik untuknya.
“ Aku tekad dengan keputusan ini.”

**********

            “Alhamdulillah... Akhirnya anak mama sudah terbuka hati untuk menerima Furqan. Tentu papa dan Abang Hafiz gembira mendengar berita ini.”
            “In Sya Allah, ma. Semoga semuanya dipermudahkan,” balas Mira sambil tersenyum tipis. Dia sangat berharap agar petunjuk itu benar.
             Amira sudah beri kata putus, jadi dia harus menerima Furqan sebagai suami sehidup dan semati. Bak kata orang, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.
            Mama sudah tidak sabar-sabar lagi untuk menyediakan segala kelengkapan bagi hari bersejarah puterinya. Selepas perbincangan dengan kedua belah pihak, majlis pernikahan mereka akan dilangsungkan dalam tempoh tiga bulan lagi. Bagi Amira jangka masa itu begitu singkat.
            Dia serahkan semuanya pada mama. Apa yang baik bagi mama, dia turutkan sahaja. Cuma satu yang dipesan kepada mama, agar majlis pernikahan mereka nanti biarlah secara sederhana sahaja. Amira tidak mahu berlaku pembaziran dan yang penting keberkatan yang dicari.

            Hari demi hari, hatinya semakin gelisah. Melihatkan persiapan yang dilakukan mama, membuatkan dirinya berdebar-debar. Biarpun hanya tinggal beberapa minggu lagi sebelum dia menamatkan zaman bujangnya, dia mahupun Furqan tidak pernah menghubungi antara satu sama lain.
“Benarkah apa yang aku putuskan ini?”
Terkadang hadir persoalan sedemikian di benak hati Amira. Tidur malamnya kini tidak selena selalu. Mungkin terlalu banyak yang bermain di  fikirannya.  
            Masa terus berlalu, keputusan peperiksaan STAM juga sudah diumumkan. Alhamdulillah... Keputusan seperti yang telah dijangka oleh keluarga Amira. Keputusan cemerlang milik Amira dengan mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.79 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Furqan pula memperolehi Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0. Sudah tentu, Amira akan memohon untuk mengikuti program ijazah pertama di Universiti Al-Azhar, Mesir. Amira bercadang untuk mengikuti program Syariah Islamiah yang selama ini menjadi impiannya. Manakala Furqan bercadang menyambung pengajian dalam bidang perubatan memandangkan dia adalah pelajar aliran Sains Tulen.
             Hilang sebentar kegundahan yang melanda. Kini Amira hanya membayangkan keseronokan sekiranya dapat menyambung pengajian seperti yang dirancang olehnya. Hampir dia terlupa bahawa tidak lama lagi majlis pernikahannya akan berlangsung.
Mampukah aku teruskan rancangan ini? Aduhai...Macam mana agaknya ya, kehidupan aku nanti?”
            Rasa gundah yang melanda hatinya sedikit sebanyak mengundang keraguan. Hanya kepada Allah dia serahkan segala keresahan. Amira tahu, Allah sedang melaksanakan rancanganNya.

**********

“ Hai, termenung apa tu, bakal pengantin?” sapa mama.
            Amira masih tercegat di ruang tamu. Dirinya terpukau melihat keindahan singgahsana yang didirikan di ruang tersebut. Begitulah rasanya tatkala menyaksikan keindahan pelamin semasa pernikahan Abang Hafiz.
            “ Mama. Hmm, rasa macam baru semalam Mira berdiri di sini, menyaksikan singgahsana Abang Hafiz. Hari ini, singgahsana Mira tersergam indah di hadapan mata Mira. Ma... Mira takut.” Ujar Amira .
            “ Tak perlu takut, sayang. Mama, papa sentiasa mendoakan kebahagiaan anak mama,”
            “ Tapi ma. Kalau Furqan tu sebenarnya...”
            Shhh.. Mama meletakkan jari telunjuknya pada bibir Amira. Dia tidak mahu anaknya mengungkapkan kata-kata berbaur negatif.
            “ Jangan fikir bukan-bukan. Mira dah istikharah kan? Serahkan kepada Allah,” pesan mama.
            Amira mengangguk.

            Melihatkan persiapan pernikahannya hampir memuncak, rasa gelisah makin dahsyat bergolak di hatinya. Amanah yang bakal terpikul itu yang sering bermain ddi benak fikirannya. Dirinya sendiri tidak pasti sama ada dia bersedia atau tidak untuk memikul amanah tersebut. Yang pasti, pernikahan itu tetap akan berjalan seperti yang dirancang.



BERSAMBUNG...
* Maafkan salah dan silap yang terdapat dalam karya ini. 
Buang yang keruh, ambil yang jernih. In Shaa Allah.

Assalamualaikum


Thanks For Reading شكران.

0 400 is kind-heart: