Novel Bersiri : Indahnya Takdir Ini 7

 
NOVEL ISLAMI
NOR AISHAH BT NORRIFIN

BAB 7: Pertemuan Terakhir



27 hari kemudian....

            “Mira rasanya lepas ni, bila kita dah sambung belajar nanti, kau mesti akan lupakan aku," ujar Hana sambil menghampiri Amira yang sedang mengemas barang.
            Baju di tangan Amira  segera diletakkan di atas katil.
            “Hana, persahabatan bukannya seperti batang rokok. Apabila sudah habis digunakan, buang begitu sahaja. Persahabatan itu bagai tangan dan mata. Apabila mata menangis, tangan yang mengesat. Saat tangan terluka, mata menangis. Kaulah sahabat aku yang paling aku sayang, Hana. Walaupun, haluan kita akan berbeza selepas ini tapi ikatan ukhuwah yang kita simpul tidak dapat dirungkai,” kata Amira lalu menepuk bahu Hana di sebelahnya.
            “Mira, aku nak minta maaf kalau bersikap keterlaluan terhadap kau. Kadang-kadang aku susahkan kau, bergurau sampai kau terluka kadang-kadang. Semua itu, membuatkan aku rasa bersalah sangat. Kau terlalu baik. Sangat baik. Aku minta maaf. Minta maaf sangat-sangat, Mira,” kata Hana lagi.    
            Kali ini, air mata yang bergenang tidak dapat ditahan. Akhirnya bercucuran membasahi pipi mereka dua sahabat apatahlagi Hana yang sudah pun merah matanya.
            “Kau cakap apa ni? Kau tak pernah buat salah pada aku dan aku tak pernah rasa terkilan dengan kau. Kau sahabat yang selalu membahagiakan dan menceriakan. Kau sentiasa mewarnai hidup aku sepanjang kita menggali ilmu di sini. Kau ingat lagi kan hadis nabi,  Dari Nu’man bin Basyir r.a., Rasulullah SAW bersabda,
Perumpamaan persaudaraan kaum muslimin dalam cinta dan kasih sayang di antara mereka adalah seumpama satu tubuh. Apabila satu anggota tubuh sakit maka mengakibatkan seluruh tubuh menjadi demam dan tidak boleh tidur.” (Hadis riwayat Muslim),
Hana... Aku sayangkan kau. Sekalipun, kau pernah buat salah, aku tak pernah pendamkan. Aku sentiasa maafkan kau sebab kau sahabat aku dunia dan akhirat. Aku pun sebenarnya nak minta maaf. Aku ni bukannya insan yang sudah sempurna dan tak pernah buat salah. Kadang-kadang aku marah dekat kau. Maafkan aku, Hana,” kata Amira lalu mendakap Hana.
            “Dahlah tu. Aku dah maafkan dari hujung rambut hingga hujung kaki. Mira, jom kita jumpa ustazah-ustazah dan ustaz-ustaz buat kali terakhir sebelum kita balik esok,” kata Hana lalu melepaskan pelukan.
            “Jom,” balas Amira lalu mengukir senyuman. Air mata yang masih membasahi pipi itu mereka sapu. Tudung yang tergantung di dalam almari segera Amira sarungkan dan stokin segera dia kenakan. Maka, bermulalah langkah mereka ke kuarters mursyidah.


**********

            Setelah bertemu dengan Ustazah Fatimah, Ustazah Saleha, Ustazah Suhailah dan Ustazah Kamilah, kini mereka ingin bertemu dengan Ustazah Syiqqin yang kini berada di kamar lughah. Langkah diteruskan menuju ke kamar lughah yang terletak di tepi gelanggang badminton.
            “Assalamualaikum, Ustazah Syiqqin,”
            “Waalaikumsalam. Rajinnya kamu berdua datang jumpa ustazah. " kata Ustazah Syiqqin yang sentiasa dikenali sebagai seorang yang kaya dengan senyuman. Walaupun wajah Ustazah Syiqqin dilitupi tabir niqab. Lirik matanya sudah cukup menunjukkan kepada mereka senyuman pada wajah Ustazah Syiqqin.
            “Ustazah, hari ini hari terakhir kami di sini. Takkan kami nak lepaskan detik-detik emas ini untuk meluangkan masa bersama ustazah yang kami sayang,” kata Amira pula. Mereka sangat mesra.
            “Pandailah, kamu. Duduklah,” ujar Ustazah Syiqqin.
            “Ustazah, kami nak minta maaf. Kami tahu, kadang-kadang kami masuk kelas lewat. Kerja yang ditugaskan pun kami tak buat sesempurna yang ustazah harapkan. Kami mohon seribu kemaafan, ustazah. Halalkan ilmu kami,”
            Ustazah Syiqqin segera memegang tangan mereka berdua. Amira dan Hana dapat merasakan hangatnya kasih sayang ustazah.
            “Kamu berdua ni, murid ustazah yang baik. Ustazah sayang kamu berdua. Kesalahan itu semua perkara biasa. Ustazah sudah maafkan. Apa guna ustazah bagi ilmu pada kamu semua, tapi ustazah tak halalkan. Sayang, segala ilmu yang kamu pelajari di sini, gunakan sebaik mungkin dalam hidup kamu. Jangan sia-siakan segalanya. Ilmu ini adalah antara yang akan dibawa apabila terputusnya nyawa daripada jasad. Ingat tu,” kata Ustazah Syiqqin.
            “Terima kasih, ustazah,” balas Hana dan Amira serentak.
            “Ustazah ada titipan terakhir buat kalian. Sesungguhnya Islam ini mudah. Kalian berdua sudah bagus bertudung labuh dan ustazah suka itu. Tapi, ustazah berharap kalau kalian ingin kepada sesuatu yang lebih baik, apa kata pakai niqab. Berpurdah ini salah satu cara menjaga keselamatan diri. Jika makanan tak ditutup apa akan jadi pada makanan tu? Kotor dan mungkin dihurung lalat kan? Mesti makanan tu sudah tak boleh dimakan lagi kerana tidak bersih dan mungkin juga perlu dibuang. Makanan itu sama juga seperti seorang perempuan. Jika tidak ditutup dibiarkan terdedah maka banyak kotoran iaitu dosa akan melekat pada dia.”
            “Bukan ustazah katakan yang bertudung labuh itu masih belum mencukupi tetapi, niqab ini sebagai jaminan bahawa kita sudah menutup aurat. Barangsiapa berpurdah Allah akan tingkatkan nur wajahnya 13x ganda dari wajah aslinya. Kecantikan wanita terletak bila Allah letakkan nur pada wajahnya. Siti Fatimah berkata pada Rasullullah SAW
Jika seseorang itu dapat menjaga auratnya adalah lebih manis daripada madu tetapi untuk mengamalkannya adalah lebih halus daripada seurat rambut kerana untuk menjaga seurat rambut adalah payah.
Cuba kalian renungkan... ‘Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, sehingga kaum itu mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri’ (Surah ar Rad : ayat 11),” pesan Ustazah Syiqqin. 


Pesan Ustazah Syiqqin itu kuat tersemat di hati Amira sehingga kini. Jenuh dia memikirkan amanat ustazah itu. Untuk berniqab tidak susah tetapi untuk menyenangkan orang yang tersayang di sekelilingnya itu yang sukar. Adakah mama dan papa akan setuju? Amira merasakan adalah lebih baik dia tunggu sehingga masa yang sesuai tiba.
Alhamdulillah, Amira akhirnya selamat tiba di Putrajaya. Kebetulan, Abang Hafiz dan Kak Lisa pun balik rumah mama  dan papa. Rumah banglo milik papa kelihatan berseri sedikit dengan kehadiran menantu.
            “Kak Lisa. Jangan bohong Mira yang akak tak hamil. Perut akak dah nampak besar sikit. Ceritalah akak, berapa bulan?” Amira menyergah Kak Lisa yang sedang menyiram pokok bunga di halaman.
            “Mira. Astaghfirullah... Terkejut akak...Apa Mira cakap tadi? Hamil? Hmm... memandai je,” kata Kak Lisa sambil mengenyit mata kirinya .
            “Tak ada apa yang nak dirahsiakan, sayang.” Tiba-tiba Abang Hafiz datang menghampiri Kak Lisa lalu mengambil bekas berisi air dari tangan Kak Lisa.
            “Abang. Biarlah rahsia dulu. Ingat nak buat kejutan. Mama dengan papa pun belum tau.” Kak Lisa terus beralih wajah kepada Abang Hafiz.
            “Jadi betullahkan? Mira tahu walaupun, taklah besar sangat. Tapi, Mira dapat mendengar suara bayi yang bakal menceriakan suasana rumah ini,” ujar Amira yang dari tadi berada di atas buaian di halaman.
            “Yalah, Mira. Adik abang ni memang pandai meneka.” kata Abang Hafiz.
            Amira hanya tersenyum. Abang hafiz dan kak Lisa berbalas senyuman. Senang Amira melihat kebahagiaan abangnya bersama isteri pilihan hati. Dia masih ingat, sebelum Abang Hafiz mendirikan rumah tangga, Abang Hafiz pernah bercerita kepadanya tentang keinginannya dalam membina rumah tangga yang sakinah. Abang Hafiz berharap agar bakal isterinya nanti dapat menjadi teman tawa dan duka, yang setia dengannya dan paling penting dapat membezakan antara cinta manusia dan cinta terhadap Pencipta. Amira begitu bersyukur kerana hasrat abang kesayangannya itu tercapai. Allah telah memakbulkan doanya. Amira turut gembira apabila melihat abangnya gembira.
            “ Abang layak untuk kebahagiaan ini. Setelah abang bahagiakan mama, papa dan Mira…” monolog hati Amira sambil menyaksikan kegembiraan Abang Hafiz dan Kak Lisa.

**********

Selepas solat maghrib berjemaah di ruang tamu, Amira mengajak mama, papa, Abang Hafiz dan Kak Lisa untuk bersembang.
            “Assalamualaikum.” Amira memulakan bicara dengan ucapan salam.
            Kedengaran dari mulut masing-masing menjawab salam.
            “Sebenarnya, Mira ada sesuatu yang nak dibincangkan. Kalau nak katakan yang hal ini besar, taklah besar sangat dan tak kecil sangat. Tapi, Mira nak minta pandangan sekaligus izin untuk melakukan perkara ini,” katanya sambil merendah diri.
            Masing-masing memandang Amira dengan begitu fokus. Kata-kata Amira menjadikan mereka begitu tertanya-tanya tentang niat Amira.
            “Cakap saja sayang. Kami akan dengar dan sekiranya itu perkara yang terbaik untuk kamu, kami akan izinkan,” ujar mama.
            Amira mengambil sedikit masa sebelum mula bicara. Nafas ditarik sedalamnya lalu dihembus.  Lantas,  dia bangun dan menyuarakan keinginannya itu.
            “Hmm, Mira berhasrat untuk memakai niqab atau purdah mulai saat ini. Hati Mira sangat berkeinginan untuk berniqab. Lagipun, Ustazah Syiqqin menggalakkan kami di sana untuk berniqab,” kata Amira dengan lembut. Hatinya sangat risau sekiranya hasratnya itu  ditolak oleh ahli keluarganya. Bagi Amira restu daripada keluarga itu adalah segala-galanya.
            “Mama tak setuju!” kata mama tegas.
            Amira agak tersentak. Permintaanya ditolak mentah-mentah sebelum Amira menyuarakan sebab dengan lebih jelas. Tindakan mama bukan sahaja mengejutkan Amira, Abang Hafiz turut merasainya. Cubit paha kanan, paha kiri turut terasa. Papa hanya berdiam. Dalam keadaan begitu, dia tidak mampu untuk melawan keputusan mama.
            “Mama tak setuju. Mama tak sanggup nak tengok Mira kena hina, caci dan dikatakan oleh jiran tetangga. Mira tahu, setiap kali mama menyidai baju di ampaian, ada sahaja mulut jiran yang mengata-ngata tentang Mira. Tudung boleh buat selimutlah, tudung boleh jadi langsirlah. Mama tak sanggup nak dengar orang mencaci anak mama. Cukuplah Mira bertudung labuh, sayang. Mira dah cantik dah,” kata mama lalu bercucuran air mata. Amira segera mendekati mama.
            “Mama, bukan kecantikan yang Mira kejar tapi kecintaan Allah SWT. Biarkan jiran kita nak kata apa. Asalkan, kita masih pada jalan yang benar. Mira tak buat benda yang salah pun, mama,” kata Amira.
            “Betul kata mama kamu tu, Mira. Papa sebenarnya, boleh saja kalau Mira nak pakai niqab. Tapi, apabila papa fikirkan kata-kata mama kamu tadi, tak sanggup rasanya. Umur Mira pun dah meningkat dewasa. Anak papa ni dah boleh fikir secara matang, fikirkanlah,” kata papa pula.
            “Mira cuma nak minta izin. Tapi, keadaan tidak membenarkan Mira untuk berniqab. Kalau begitu, tak apalah. Nampaknya, hasrat itu tidak mendapat sambutan keluarga.” Amira berkata dengan nada yang perlahan sambil menghembus nafas kesal. Rasa kecewa mula menyelubungi diri. Dalam keadaan terkejut itu Amira memaksa dirinya untuk menerima keputusan keluarga.
            “Rasanya, Mira tak nak cakap apa-apa dah. Cukuplah sampai sini. Terima kasih sebab sudi mendengar. Mira naik atas dulu. Assalamualaikum,” katanya lalu memulakan langkah menuju ke anak tangga pertama. Lemah dia rasakan setiap langkah yang diaturnya. Luluh hati mengenangkan hasratnya ditolak bulat-bulat oleh keluarganya sendiri.
            “Mira!” Tiba-tiba terdengar suara mama memanggil Amira dengan lembut. Langkahnya terhenti. Secara tidak semena-mena, jantung Amira berdegup dengan kencang. Setelah menghembuskan nafas, kepalanya ditoleh ke belakang. Panggilan mama disahutnya dengan baik.
            “Ya, ma,”
            “Kalau Mira rasa berniqab itu sesuatu yang terbaik untuk Mira, mama benarkan. Tapi, Mira kena janji dengan mama. Mira kena kuat untuk hadapi kata-kata daripada jiran kita dan masyarakat di luar,” kata mama lalu mengukir senyuman pada wajahnya.
            “Mama. betulkah mama? Alhamdulillah. Terima kasih mama.” Amira terus berlari ke arah mama lalu memeluk.        
“In Sya Allah, Mira kuat hadapi semua ini.” Kata Amira di telinga mama.
            Melihat situasi itu, masing-masing turut berasa senang hati. Suasana yang tadinya tegang mula reda. Papa mengangguk tanda setuju.  Hati Amira yang tadinya sarat dengan rasa kecewa mula tenang.
Itulah antara saat yang paling bahagia dalam hidupnya. Entah mengapa dia rasakan sesuatu yang melegakan apabila mama membenarkannya untuk berniqab.
 Alhamdulillah.
            Semua yang berada di situ tersenyum dan menyatakan persetujuan mereka terhadap permintaan Amira. Mulai dari detik itu, Amira sentiasa ditemani purdah dan setiap langkah yang dijejakinya, hanya ketenangan yang menemani. Dia tidak peduli akan kata-kata jiran tetangga. Ada juga yang mengatakan berpurdah ini ketinggalan zaman. Aduhai, adakah mengikut perintah Allah itu ketinggalan zaman dan mengetepikan apa yang terbaik itu, terlalu mengikut arus masa.
            Tidak dapat dinafikan apabila orang Islam sendiri yang menyindir sebahagian golongan yang berniqab. Berniqab itukan jauh lebih indah kerana itu adalah amalan para wanita di zaman Rasulullah SAW. Teringat akan hadis Rasulullah SAW, Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah SAW:
            "Islam mula tersebar dalam keadaan asing. Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang orang yang asing".  H.R. Muslim
            Islam datang dalam keadaan manusia dibelenggu Jahiliyyah dan dilihat sebagai ajaran yang asing. Sekarang, ajaran Islam telah kembali dipandang asing apabila banyak ajaran Islam mula dipermainkan.  Manusia hari ini selesa berada di jalan yang salah tanpa rasa takut kerana ramai yang bersama mereka di jalan yang salah. Sebab itulah, beruntung manusia yang asing yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam hadis tadi. Orang yang 'asing' yang memberanikan diri berjalan di laluan kebenaran walaupun bersendiri.
            Jadi, siapakah orang yang asing itu?
            Dalam riwayat yang lain, baginda SAW bersabda lagi:
"Iaitu orang-orang yang menghidupkan-hidupkan apa yang telah dimatikan manusia dari sunnahku"  (HR Muslim, Ibnu Majah, dan at-Thabrani)

            Akan datang ketika di mana manusia yang berpegang teguh dengan syariat Islam ditertawakan. Mereka kelihatan asing di mata manusia dan mereka diasingkan. Itulah hakikatnya pada akhir zaman ini. Teruskan menghidupkan sunah-sunah Rasulullah. Bukankah sunah Rasulullah itu adalah fitrah yang sangat cantik. Teruskan berjalan di lorong kebenaran walaupun bersendirian. Jangan gentar. Yakin bahawa Allah Azza Wajalla itu sentiasa bersama.



 BERSAMBUNG...
* Maafkan salah dan silap yang terdapat dalam karya ini. 
Buang yang keruh, ambil yang jernih. In Shaa Allah.

Assalamualaikum


Thanks For Reading شكران.

0 400 is kind-heart: