Novel Bersiri : Indahnya Takdir Ini 6


NOVEL ISLAMI
NOR AISHAH BT NORRIFIN

BAB 6: Kala Subuh


Pagi itu, kejadian yang berlaku malam tadi menjadi berita hangat bualan pelajar-pelajar aspuri. Kejadian malam itu masih segar dalam ingatan Amira. Pagi hujung minggu itu diisi oleh semua pelajar untuk mengemas pakaian. Dua hari berbaki sebelum mereka mula bercuti, sementara Amira dan rakan-rakannya yang lain yang akan menduduki STAM pula makin merasai debaran musim peperiksaan yang bakal menjelang 5 hari lagi.
            “ Rasa macam tak percaya…” ujar Hana secara tetiba di meja belajarnya. Amira tertarik untuk menanyakan apa yang bermain di benak fikiran Hana.
            “ Hana… Apa yang kau rasa macam tak percaya tu?”
            “ Mm… Aku fikirkan jauh betul perjalanan kita di sini. Susah senang sama-sama kita lalui. Bagi aku, tahun yang paling mencabar adalah apabila kita sama-sama menjadi Lajnah Aspuri. Subhanallah..Allah saja yang tahu betapa beratnya amanah itukan? Dia yang memberi ujian kepada kita dan Dia juga yang akhirnya memudahkan  kita…”
            “ Itulah, roda kehidupan tidak pernah berhenti. Terus berputar. Sekejap kita di atas, sekejap kita di bawah. Yang pasti, kita kena sentiasa berusaha. Ingat, pesan Imam Syafie:
            ‘ Berusahalah kamu, sesungguhnya kemanisan hidup itu terletak pada apa yang diusahakan
Kita sama-sama dalam jalan mencari ilmu. In Sya Allah, Allah itu akan memudahkan jalan kita bersama…” ujar Amira.
            Mereka saling mengukir senyuman di wajah. Memang indah mengimbau nostalgia kerana nostalgia itulah yang banyak mematangkan kehidupan ini.  Bercakap soal nostalgia, Amira teringat saat dia masih mentah untuk memahami tujuan menuntut ilmu dalam kehidupan.

Ketika itu Amira baru berusia 7 tahun. Dia telah ditempatkan di sekolah harian biasa seperti orang lain. Namun, segalanya berubah apabila dirinya dipindahkan ke Sekolah Tahfiz Sains At-Taufiq pada tahun yang sama. Susah untuk dia menerima suasana yang baru itu. Apatahlagi, dia dipisahkan daripada mama dan papa seawal usia 7 tahun.
           
            “ Abang, saya takutlah. Betul ke, tindakan kita nak masukkan Amira ke sekolah tu. Tidak awal sangatkah dia perlu melalui suasana berasrama?” bincang mama di ruang tamu.
            “ Awak jangan risau. Kita kan dah bincang sebelum ini. Dalam hal ini, kita kena berkorban. Anak kita pun kena berkorban. Ini demi masa depan dia,” ujar papa.
            “ Macam mana kalau...”
            “ Shh...Cuba fikirkan benda yang baik. Awal-awal, biasalah. Lama-lama nanti Amira tu terbiasalah. Tengok Hafiz tu. Dulu pun macam Amira. Sekarang, bila dah biasa, tak adalah dia merungut,” ujar papa menenangkan hati mama. Jiwa ibu mana yang tidak sedih apabila harus melepaskan anaknya yang baru setahun jagung itu.
            Hujung minggu itu mereka merancang untuk melawat Amira di sana.
            “ Mama… Papa…” Amira kegirangan menerima kunjungan daripada mama dan papa setelah 2 minggu berada di asrama. Dia tekad untuk keluar daripada tahfiz tersebut. Dia sudah tidak tahan lagi dengan suasana yang memaksanya untuk menghafaz Al-Quran.
            Mama sebak melihat keadaan puterinya yang begitu bahagia melihat kedatangan mereka ke situ. Rasanya bagai terlalu lama mereka tidak bersua. Walhal, baru 2 minggu.
            “ Mira… Macam mana sayang? Sihat?” sapa mama dengan lembut. Papa turut berada di situ sambil memerhati gelagat puterinya.
            “ Tak!!! Tak sihat!!! Mira nak balik. Mira tak nak duduk sini. Tengok ni. Mira kena gigit dengan pepijat…” ligat Amira memikirkan cara agar dapat keluar dari tempat itu.
            “ Oh, biasalah tu. Lain kali, tepuk dulu bantal sebelum tidur. Papa dengan mama datang nak tengok keadaan Mira di sini. Sayang, sabar banyak-banyak di sini, ya. Dengar cakap ustaz dengan ustazah. Jangan membantah…” ujar papa dengan penuh kasih sayang.
            Jenuh Amira memikirkan cara lain agar mama dan papa membawanya pulang ke rumah. Namun, kesudahannya dia tetap kekal di situ. Hari demi hari berlalu. Amira sering menitiskan air mata kerana dia tidak menjumpai mutiara keikhlasan untuknya menghafaz al-Quran. Dalam keadaan keterpaksaan itu, dia gagahkan dirinya untuk menghafaz al-Quran. Sesungguhnya, Tuhan itu Maha Adil. Walaupun dalam keadaan terpaksa, Amira masih mampu untuk menghafaz lebih kurang 9 juzuk pada tahun itu.
         Dia pulang ke rumah berbekalkan 9 juzuk Kalamullah dalam ingatannya.
            “ Inikah, anak abang yang masuk tahfiz sains tu?” Pak Su Azrul yang menyinggah di rumah ketika itu sempat berborak-borak dengan mereka sekeluarga.
            “ Ya. Inilah dia, Taqiyyah Amira. Alhamdulillah, dia kuat untuk semua ini. Ini langkah pertama dia sebelum kami nak jadikan dia seorang hafizah. Memang itu impian abang dengan isteri. Kami tahu banyak cabarannya. Antaranya, dia sendiri. Bukan mudah dia nak terima suasana begitu. In Sya Allah, nanti dia akan faham tujuan kami bawa dia ke jalan ini,” ujar papa. Amira hanya mendengar tanpa memahami secara mendalam dek usianya yang masih setahun jagung. Mama setia berada di samping puterinya itu sambil mengusap-usap tangannya. Pak Ngah Azrul kelihatan tertarik kepada Amira yang mengaji di tahfiz sains seawal usia 7 tahun.
            “ Taqiyyah Amira… Dah hafaz berapa juzuk?” Pak Ngah Azrul mengajukan soalan kepada Amira.          
            “ 9 juzuk.” Balasnya ringkas.
            Senyuman mulai terukir pada wajah Pak Ngah Azrul sebaik mendengar jawapan gadis cilik itu. Amira tidak tahu mengapa semua orang bahagia dengan pencapaiannya sedangkan dirinya sendiri tidak dapat menerima keadaan itu sama sekali. Malah, berharap agar dia dapat keluar dari situ. Setahun di sana terasa bagai sedekad.
            Sebelum Pak Ngah Azrul pulang, dia hulurkan sejumlah wang bernilai RM 50 sebanyak dua keping. Sejak hari itu, setiap kali Amira menerima kunjungan tetamu, dia pasti menerima wang atau sebarang bentuk hadiah daripada mereka. Kadang-kadang dia sendiri aneh dan tidak memahami tujuan wang dan hadiah itu diberikan. Adakah supaya dirinya kuat untuk hadapi semua ini? Tapi kenapa?
            Suatu malam, mama dan papa melangkah masuk ke dalam bilik Amira. Mereka menghampirinya yang sedang duduk di birai katil.
            “ Sayang… tengok ni…” kata mama sambil menunjukkan kepadanya sejumlah wang. Setelah dikira, wang tersebut bejumlah RM 1200.00. Amira memandang wajah mama dan papa.
            “ Mira, ini rezeki daripada Allah SWT. Budak darjah satu susah nak terima duit sebanyak ini. Tapi, Allah angkat darjat Mira dan layak untuk terima ganjaran ini. Bukan sebarangan Allah angkat darjat Mira. Tapi, Al-Quran yang dah tersemat di jiwa Mira itulah yang telah meletakkan darjat Mira tinggi daripada orang lain. Ingat, kita ni tiada apa-apa. Tapi, Al-Quran telah menjadikan kita sesuatu yang bernilai…” nasihat papa begitu halus maknanya. Susah untuk dia fahami kata-kata daripada papa. Namun, Amira tahu mereka lakukan ini kerana sayang kepadanya.
            Jadi, Amira teruskan tahun berikutnya sehinggalah umurnya menjangkau 12 tahun. Sepanjang 6 tahun dia di sana, Amira kuatkan diri untuk menghafaz al-Quran walaupun dalam keadaan terpaksa. Apabila memikirkan mama dan papa, dia bersemangat untuk mengaji. Amira tahu bahawa 6 tahun dia di sana, dia gagal menemui mutiara keikhlasan.  Baginya, cukuplah sekadar menjadikan hasrat mama dan papa tercapai iaitu menjadikan dirinya seorang hafizah.
            Masa terus berlalu. Amira berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan. Akhirnya, dia berjaya ditempatkan di Maktab Pendidikan Al-Quran Al-Ghazali, Kedah. Kali ini, Amira harus merantau jauh ke utara meninggalkan mama dan papa. Pada mulanya, Amira sudah berasa tidak kuat lagi untuk teruskan perjuangan ini. Malah, dia hampir menyuarakan kekalahan kepada mama dan papa. Namun, Abang Hafiz seakan-akan memahami situasinya. Dia juga pernah berada di tempat Amira suatu masa dahulu. Bagaimana Amira lalui, begitu juga yang dilalui oleh Abang Hafiz semasa zaman kanak-kanaknya.
            “ Abang tahu, Mira ada masalah. Boleh abang dengar?” soal Abang Hafiz dengan lembut. Amira menunduk. Dia tidak tahu sama ada patut atau tidak untuk dia luahkan kepada Abang Hafiz.
            “ Hmm…Abang. Mira tak faham. Kenapa kehidupan kita lain daripada orang lain.”
            Abang Hafiz mengangkat kening sebelah kirinya sebaik mendengar kenyataan daripada adiknya. “ Lain? Apa yang lain?”
            “ Orang lain tak perlu ke sekolah yang jauh daripada keluarga. Orang lain tak dipaksa untuk belajar banyak-banyak. Orang lain sangat dimanjai oleh ibu bapa mereka…”
            “ Mira. Manja tak semestinya sayang. Mama dan papa sayang kepada kita. Sebab itu, mereka bawa kita ke jalan ini. Jalan yang menemukan kita kepada cahaya Al-Quran. Dunia ini sekejap saja. Akhirat jualah tempat yang kekal abadi. Jadi, bersusah-susahlah kita di dunia ini agar dapat kita bersenang-senang di syurga nanti. Ingat, pengorbanan itu penting dalam mujahadah kerana segalanya pahit dalam perjuangan. Tapi, penghujungnya nanti Mira akan temui kemanisan yang Mira harapkan…”
            Tekun Amira menghayati setiap bait kata Abang Hafiz. Hatinya masih berat untuk menerima semua itu. Abang Hafiz semakin dekat kepadanya. Tangan Amira diusapnya perlahan. Amira dapat rasakan bahawa Abang Hafiz begitu mendalami hatinya. Jauh di sudut hati Amira,  dia masih meraba-raba mencari butir-butir kecintaan dan keikhlasan dalam mengharungi perjuangan ini.
            “ Mira…Abang nak Mira tahu yang abang pun pernah lalui apa yang Mira lalui. Terpaksa tinggalkan zaman kanak-kanak. Berjauhan daripada keluarga. Susah juga untuk abang terima semua itu. Tapi, abang mulai sedar akan hikmahnya. Malah abang bersyukur kerana mama dan papa menuntun kita ke jalan ini…Adik…Ingat, Al-Quran itu mungkin kita lihat sebagai sebuah kitab semata-mata. Tapi, hakikatnya itu adalah Kalam Allah. Itulah yang akan menaikkan martabat kita. Itulah jua yang akan memberi syafaat kepada kita…Dengan itu juga, kita dapat membawa mama dan papa ke syurga Allah”
            Kata-kata Abang Hafiz kali ini membuatkan Amira terimbau kata-kata mama dan papa suatu masa dahulu. Kata-kata yang dahulunya sukar untuk dia tafsirkan maknanya. Kata-kata yang cukup halus …
            ‘Ingat, kita ni tiada apa-apa. Tapi, Al-Quran telah menjadikan kita sesuatu yang bernilai..
            Ya!!! Dia masih ingat kata-kata itu. Dia bergerak menuju ke laci meja solek. Laci itu dibukanya dengan cermat. Dapat dilihatnya sampul yang masih rapi tersimpan dalam laci tersebut. Amira mendapatkan sampul itu. Dengan perlahan, Amira membuka sampul tersebut. Menitis air matanya saat dilihatnya wang yang masih berada di dalam sampul itu. Inilah yang cuba dimaksudkan oleh mama, papa dan Abang Hafiz. Inilah nilai yang papa dan mama pernah katakan dahulu.
            “ Abang… Betul!!! Betul kata mama…papa…abang. Mira sepatutnya sedar lama dah. Ya Allah…kenapa selama ini aku buta untuk lihat semua ini? Aku tidak sedar yang Kau telah menaikkan darjatku di dunia. Ya, di dunia. Belum lagi di akhirat…Ya Allah…” juraian air mata mula membasahi pipi gadis itu. Air mata itulah yang menjadi saksi bahawa dia sudahpun menjumpai mutiara yang selama ini dicarinya. Mutiara keikhlasan…Mutiara kecintaan. Mutiara yang bakal menjadikan perjalanannya semakin bercahaya.
            Abang Hafiz tersenyum melihat adiknya. Dia mengangguk..
            " Menangislah. Abang tahu Mira nangis bukan sebab Mira lemah. Tapi, sebab Mira sudah menempuh jalan yang sangat panjang dan Mira kuat untuk itu..." Amira terus mendakap abangnya.
            “ Sekarang, Mira dah cukup matang untuk lalui semua ini. Teruskan perjuangan. Jangan patah balik kerana kita sudahpun menjejak ke garisan pemula. Berusahalah sehingga ke garisan penamat. Ingat, Allah sentiasa ada apatahlagi, Mira berada di jalan yang mendekatkan Mira denganNya. In Sya Allah, percaya kepadaNya dan bersangka baiklah kepadaNya…Ikhlaskan diri dalam perjuangan ini. Apabila manusia mula lakukan sesuatu bukan kerana Allah, maka bersiap sedialah untuk kecewa,”
            Sejak hari itu, Amira teruskan perjuangannya di negeri utara itu untuk menuntut ilmu bersama mutiara keikhlasan yang telah ditemuinya. Di sini, dia kuatkan lagi hafazan yang selama ini dihafaznya tanpa mengenal erti ikhlas. Banyak lagi ilmu baru yang dia terokai. Baru dia sedar, betapa bahagianya melakukan sesuatu apabila mutiara keikhlasan menemaninya. Amira mulai merasai ketenangan dan kemudahan dalam menuntut ilmu. Dia berpegang kepada kata orang tua-tua..Ikut resmi padi. Makin berisi makin tunduk. Sesungguhnya, walaupun seluas lautan sekalipun ilmu kita tuntut, hakikatnya kehidupan kita di dunia ini hanyalah sebagai Hamba Allah.

**********

“ Mira..bangun. Mira…Tahajjud,” Hana menggerakkan Amira yang masih lena diulit mimpi. Badannya mulai menggeliat.
            “ Aaahhhmmm. Dah jam 4.30 pagi. Hmm… Terima kasih, Hana. Kalau Hana nak ke surau dulu, pergilah. Aku nak mandi dululah. Segar sikit,” kata Amira dalam keadaan mata separuh celik.
            “ Eh, tak apa. Aku tunggu kau. Nanti, kita pergi sama-sama,” ujar Hana.
           
            Stoking yang terlipat rapi di bawah katilnya, diambil oleh Amira. Sedang Amira menyarungkan stoking itu, Amira membuka bicara.
            “ Mira...aku dengar Ustaz Don Danial akan jadi imam Tahajjud kita malam ini. Tazkirah pagi pun Ustaz Don sampaikan. Tak sabarnya...” ujar Hana dengan teruja.
            Senang hati Amira mendengarkannya.
            “ Oh, ya? Harapnya lebih baik lah ya. Jangan nanti ada aspuri yang lari masuk asrama sudahlah...”
            “ Harapnya, taklah...”
            Lalu, mereka memulakan langkah menuju ke musolla. Setiap kali melalui bilik yang masih gelap, Amira dan Hana akan mengetuk tingkap dan pintu sehinggalah terbuka lampu. Itulah rutin kedua-dua sahabat itu yang merupakan mantan Lajnah Aspuri.

            Suasana saat itu terasa sungguh syahdu. Kegelapan yang memenuhi suasana surau tersebut menambahkan lagi semangat tahajjud dalam diri para jemaah. Masing-masing yang sujud pada pagi itu sedar bahawa itu adalah pagi terakhir mereka bersama dengan kakak-kakak sebelum mereka pulang untuk bercuti.
Setiap sujud yang mereka rebahkan pada pagi yang hening itu ditemani sinar cahaya bintang purnama yang bertaburan di langit. Melihatnya, terasa tenang. Amira teringat dalil Allah SWT dalam Surah Yunus ayat 101 :
            Katakanlah (wahai Muhammad): Perhatikan dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi dari segala kejadian yang menakjubkan, yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya.’
            “ Masya-Allah..” itulah kata-kata yang indah yang terucap dek melihat keindahan ciptaan Allah SWT ini.
           
            Sebak hatinya  pada pagi yang syahdu itu. Amira merasakan bahawa dalam sujud itu hanya dirinya dan Sang Pencipta di pagi yang sunyi itu. Diluahkannya segala yang terpendam di sudut hatinya kepada Dia dalam sujudnya. Tahajjudnya pada malam itu dapat dirasakannya kelaianan. Sayup, sunyi dan syahdu. Sungguh tidak terungkap perasaan itu. Walau bagaimanapun, itulah perasaan yang paling indah dan saat paling tenang.
            Sungguh Qiamullail itu adalah terapi yang terbaik untuk hati. Saat manusia diulit mimpi nan indah, seorang hamba Allah itu bangun menyahut seruan Pencinta yang satu. Kerana hamba Allah  itu yakin akan nikmat bangun di sepertiga malam. Ketahuilah, saat itu seorang hamba Allah itu berada sungguh dekat dengan PenciptaNya.Rasulullah SAW bersabda:
Pada setiap malam, Allah Azzawajalla turun ke langit dunia ketika berbaki sepertiga malam yang akhir. Maka Allah berfirman: “Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, pasti akan Kukabulkan, dan siapa yang memohon kepada-Ku, pasti akan Kuberi, dan siapa yang mohon ampun kepada-Ku pasti akan Kuampuninya.
 (H.R. Malik, Bukhari, Muslim, Tirmidzi, dan yang lainnya).
           
            Usai Solat Subuh, tirai yang menjadi pemisah antara jemaah muslimah dan muslimin dibuka. Memberi ruang kepada sesi Tazkirah Pagi. Baru Amira teringat akan kata-kata Hana sebelum ini.
            “ Oh ya! Ustaz Don! Tapi, aku tak nampak pun. Lagipun, aku langsung tak sedar suara yang mengimami qiam tadi. Yang pasti, suara itu cukup tepat lagi mendamaikan...” gumam hati Amira.
            Amira ternanti-nanti untuk melihat gerangan yang bakal menyampaikan tazkirah pagi itu. Bicara hatinya kuat mengatakan bahawa gerangan itu bukanlah Ustaz Don seperti yang diuar-uarkan kepadanya.
            Seorang jejaka berjubah putih segak berserban menonjolkan diri. Langkahnya diatur menuju ke medan menyampaikan tazkirah. Amira tergamam sendiri melihat kelibat jejaka itu. Sungguh dia tidak menyangka bahawa jejaka yang mengimamkan qiamullail dengan cukup indah tadi ialah insan bernama Furqan. Jejaka itu pernah menjadi mutiara yang bertakhta di ruangan hatinya. Kerana ikhtilat, dibenamkannya mutiara itu sedalam-dalam lautan nurani.
            Melihat sekeliling, Amira mulai perasan, bukan dirinya sahaja yang memendam perasaan terhadap jejaka itu, bahkan jemaah perempuan yang lain juga begitu.
            “ Astaghfirullah hal Azim...Apa yang aku fikirkan ni?” gumam Amira. Dia berkeras dengan dirinya agar jauh daripada bisikian syaitan yang mensia-siakan. Dengan perlahan, Amira bangun. Dia menuju ke kamar wudhu untuk membasuh wajahnya dan memperbaharui wudhuknya.

           
 “ Assalamualaikum warahmatullahhi wabarakatu...
            Alhamdulillah, kita baru sahaja selesai mengerjakan qiamullail. Seperti yang kita ketahui, adik-adik tingkatan satu hingga tingkatan 4 akan pulang pada hari esok. Manakala, pelajar tingkatan 5 akan teruskan pengajian di sini sebagai persiapan menghadapi SPM hujung tahun ini, In Sya Allah. Manakala, saya berserta rakan-rakan yang bakal menduduki STAM minggu hadapan akan terus berada di sini. Semestinya, detik ini mungkin akan menjadi detik terakhir kami, calon STAM akan berjemaah dengan adik-adik sekalian. Kami hanya memohon doa daripada adik-adik agar peperiksaan yang bakal dihadapi ini dipermudahkan olehNya, Rabbul Izzati.
            Jadi, Ustaz Jamal mengamanahkan saya untuk mengimami qiamullail kita tadi dan menyampaikan tazkirah. In Sya Allah, saya akan laksanakan dengan baik. Ya ustaz,” kata Furqan sambil menoleh ke arah Ustaz Jamal di sisi surau.
            Suasana surau ketika itu sangat sunyi. Masing-masing tidak sabar mendengar tazkirah yang bakal disampaikan oleh Furqan. Bekas Ketua Pelajar itu sangat petah apabila berbicara. Lantangnya suara apabila berhujah itu yang menyingkirkan perasaan mengantuk dari diri setiap insan yang mendengar.
            Amira yang baru keluar dari kamar wudhu, terus duduk di saf belakang sekali. Niatnya diperbetul. Jaga mata, jaga hati, jaga iman. Itulah madah yang menjadi pegangan Amira.
           
            “ Di hadapan saya saat ini, adalah insan yang sudah menjangkau usia 13, 14, 15, 16, 17 dan 18 tahun. Hebat tak kita ni? Selama itu kita berjaya menghadapi kehidupan. Kenapa saya berkata demikian? Kerana hidup ini tidak dicipta untuk kesenangan tetapi hidup dicipta untuk kesusahan. Rasulullah SAW sendiri pernah kata: Dunia adalah penjara bagi orang mukmin. Sampai begitu Rasulullah nak gambarkan kehidupan di dunia ini bukannya kebahagiaan untuk kita. Tapi, antum, antunna sekalian di hadapan saya hari ini telah berjaya melalui lebih sedekad kehidupan di dunia
            Ingat, langit itu tidak selalunya cerah. Akan datang kepada kita suatu detik di mana kita rasa bagai tidak mampu untuk meneruskan perjuangan ini. Ketahuilah itu adalah bisikan syaitan.  Sampaikan bisikan itu mampu untuk menarik kita ke dalam jurang kegagalan.
            Jangan mengalah!!! Ustaz Jamal pernah berucap di perhimpunan, ‘Kita orang Islam, kita kena kuat. Kenapa hati orang Islam kena KUAT. Kerana orang Islam ada Allah. Kerana orang Islam percaya pada Allah. Kerana orang Islam hanya bergantung harap kepada  Allah. Kerana orang Islam sentiasa yakin pada Allah dan bila hati ada Allah, yakin, percaya dan bergantung kepada Dia, yang memiliki dan menentukan segala-galanya. Bagaimana mungkin, hati orang Islam begitu rapuh dan lemah?’
            Cuba kita fikir balik. Kita sudah meredah onak duri yang cukup banyak sebelum ini. Perjalanan kita sudah terlalu jauh. Takkan kita nak berpatah balik. Rugi!!! Antum, antunna sekalian. Nak dibandingkan ujian yang kita hadapi berbanding ujian para nabi dan rasul. Mereka memikul ujian yang jauh lebih berat. Sangat berat. Sedangkan, mereka juga manusia seperti kita. Yang bezanya adalah tahap iman dalam diri kita. Lihat, betapa tabahnya Nabi kita sendiri, Muhammad SAW mengajak kaum Arab Quraisy ketika itu untuk memeluk Islam. Walau, dirinya dilempar batu-batuan, darah berlumuran seluruh tubuh, tiada ibu dan ayah dalam perjuangannya, Nabi kita tetap kuat menggalas amanah Allah SWT.
            Betul. Terkadang, Rasulullah sendiri berasa lemah kerana baginda juga manusia seperti kita. Lalu, Allah turunkan ayat sebagai pengubat kepada jiwanya yang menderita.  Dalam Surah Al-Muzammil, Allah memberikan ubat yang terbaik kepada jiwa yang bersedih. Mari sama-sama renungkan ayat ini
Surah al-Muzammil- ayat 1.
          ‘Wahai orang yang berselimut
           Ayat ini turun untuk memujuk hati Rasulullah. Allah sambung lagi pada ayat kedua
          ‘Bangunlah sembahyang pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat)
          Lihatlah. Sembahyang pada waktu malam merupakan kunci kepada kekuatan dan ketenangan. Cuba kita fikirkan, kalau kita bersedih dan rasa frust, siapa yang pertama kita mengadu masalah kita? Siapa ? Pasti kita lebih gemar menceritakan kepada rakan-rakan yang sebenarnya belum pasti cerita kita selamat di tangannya.
         Antum, antunna sekalian. Sekarang masanya untuk kita ubah persepsi kita. Jadikan Allah yang utama dalam apa jua keadaan. Cari masa untuk kita berdua-duaan dengan Allah. Malam!!! Itu adalah waktu terbaik.
         Malam ini boleh dikira sebagai waktu special untuk kita bercinta dengan Allah. Sepi dan sunyi. Sedangkan percintaan antara insan juga memerlukan kesepian dan kesunyian apatahlagi bercinta dengan sang Pencipta.
       Cuba kita bayangkan di saat kita dihina, dicerca dan dijatuhkan semangat. Datang seseorang yang mengatakan...
       ‘Bertenanglah. Biar aku yang uruskan mereka’
        Pasti kita rasa seperti hilang satu beban dari diri kita. Begitulah Allah memujuk jiwa Rasulullah SAW. Allah telah berfirman :
        ‘Dan biarkanlah Aku sahaja memabalas orang-orang yang mendustakan, iaitu orang-orang yang dalam kemewahan dan berilah mereka penangguhan sebentar
         Nampak tak bagaimana Allah memujuk jiwa Rasulullah untuk kembali bersemangat. Subhanallah. Perkara yang sama Allah sampaikan kepada kita yang sedang menjalankan amanah. Sama-sama kita jadikan ayat Allah itu tadi sebagai penguat semangat untuk kita terus melaksanakan amanah sebagai anak, pelajar, hamba Allah dan khalifah di muka bumi ini,”
         Panjang lebar tazkirah yang disampaikan oleh Furqan. Suaranya yang cukup lantang ditambah  dengan dalil sebagai penguat menjadi tazkirah yang disampaikan oleh Furqan sangat mantap.

**********

            Tittt...Titt...Titt
            Telefon bimbit Amira berbunyi menandakan mesej masuk. Butang buka lalu ditekannya.
            “ Assalamualaikum WBT, Amira
            Ini Ustazah Syiqqin. Petang ni ustazah tak dapat hadir halaqoh. Ustazah minta maaf sebab tak beritahu awal-awal. Ustazah harap halaqoh tidak dibatalkan. Kalau boleh, Amira ganti ustazah sebagai naqibah, boleh? Ustazah sangat berharap agar halaqoh berjalan seperti biasa. Minta maaf sekali lagi.
            Wassalam.”
            Tergamam seketika Amira dibuatnya. Tinggal sejam sebelum halaqoh bermula. Lebih menggundahkan Amira, dia langsung tidak melakukan sebarang persediaan.
            “ Ya Allah... Apa aku nak buat ni? Topik apa yang nak dibincangkan? Hmm...” getus hati Amira.
            Tanpa membuang masa, dia segera mendapatkan majalah-majalah ilmiah yang tersusun di rak bukunya. Amira berusaha dengan sebaik mungkin agar halaqoh dapat terus berjalan seperti yang diharapkan oleh Ustazah Syiqqin.  Walaupun, kebanyakan pelajar sudah pulang, Amira tetap yakin bahawa masih ada insan yang bakal menghiasi halaqoh pada hari ini. Sememangnya, Amira tidak mahu mengecewakan insan-insan yang bertamu dalam bulatan usrah itu.


  “ Assalamualaikum warahmatullah. Alhamdulillah, buat kesekian kalinya Allah mengizinkan kita berkumpul dalam rumah-Nya ini untuk bersama-sama refresh balik iman kita yang sekejap turun sekejap naik ni. Kita mulakan dengan ummul Kitab, Al-Fatihah,” seperti yang diamanahkan, Amira mengetuai halaqoh pada petang itu.
            Bulatan halaqoh pada petang itu tidaklah sebesar seperti selalu, tetapi 9 insan yang bersimpuh di situ cukup bermakna untuk melaksanakan halaqoh.
            “ Pasti antunna sekalian tertanya-tanya tentang Ustazah Syiqqin, betul? Hmm, ustazah tak dapat hadir bersama kita hari ini. Jadi, ustazah titipkan amanah kepada ana untuk menjalankan halaqoh seperti biasa. In Sya Allah, boleh kita teruskan,” ujar Amira bersama sulaman senyuman.
            “ Boleh!!!” ahli usrah menjawab dengan serentak dengan sungguh bersemangat.
            “ Baiklah, mari sama-sama kita tadabbur ayat Al-Quran. Surah Al-Mujadilah ayat 7. Ana akan mulakan dahulu. 2 ayat seorang, ye?” ujar Amira. Buku catatan di tangannya diletakkan di lantai. Al-Quran Kareem itu mula diselak halamannya ke muka surat 543.
            Masing-masing bersedia dengan halaman 543. Menunggu giliran masing-masing untuk diperdengarkan bacaan. Konsep tadarus diamalkan di mana, ada yang membaca dan ada yang mendengar. Ini adalah antara konsep yang diterapkan dalam  bulatan halaqoh.

            “ Alhamdulillah...Selesai kita tadarus Surah Al-Mujadilah sebentar tadi. Nabilah, tolong bacakan tafseer bagi surah yang sama, ayat 11,” kata Amira.
            Nabilah mengangguk. Ditelitinya makna ayat 11 tersebut lalu dibacakannya dengan lantang.
            “ Surah Al-Mujadilah, ayat 11. Allah bersabda:
            Wahai orang yang beriman! Apabila dikatakan kepadamu: “Berilah kelapangan di majlis-majlis,” maka lapangkanlah, nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan : “ Berdirilah kamu,” maka berdirilah, nescaya Allah akan mengangkat (darjat) orang yang beriman di antara kamu dan orang yang diberi ilmu beberapa darjat. Dan Allah Maha Teliti akan apa yang kamu kerjakan.”
            Masing-masing turut meneliti tafsir tersebut pada kitab tafsir mereka.
            “ Ana yakin, kita semua dah terbiasa mendengar ayat ini kan? Tapi, kita ni manusia. Asal perkataan manusia itu sendiri daripada perkataan Arab yakni nasiya. Nasiya ni maksudnya lupa. Jadi, memang dah teranglah manusia ni memang sifatnya lupa. Kita hidup berkomuniti. Jadi, perlu ada yang saling memperingati dan menasihati.  Ada sesiapa nak nyatakan pendapatnya berdasarkan ayat Allah yang dibacakan oleh Nabilah tadi?” ujar Amira.
            Syafiqah, pelajar yang turut mengambil STAM di situ mengangkat tangan. Dia mempunyai fikrah yang ingin dilontarkan.
            “ Bismillahhirrahmanirrahim. Jadi, seperti yang antunna semua tahu. Esok akan bermula ujian bertulis bagi peperiksaan STAM. Saat ini mereka yang bakal menduduki ujian tersebut pasti sedang berusaha di aspuri. Tapi, masih ada yang hadir halaqoh walaupun tak ramai. Kerana ayat Allah itulah yang mendorong kakak-kakak ini untuk hadir ke halaqoh. Dalam ayat tadi, Allah menjanjikan kelapangan buat mereka yang hadir ke majlis ilmu. Kelapangan ini tidak semua orang boleh dapat. Mereka yang berada di asrama belum tentu dapat menelaah dengan baik. Mungkin fikiran mereka melayang entah ke mana. Tapi, mereka yang melapangkan masa dengan majlis seperti ini In Sya Allah, Allah lapangkan masanya. Bagaimana? Walaupun di saat yang genting seperti saat ini, Allah akan mudahkan kita untuk belajar,” jelas Syafiqah.
            “ Betul. Ana setuju. Tapi, ada segelintir manusia yang jauh daripada Allah. Ibadah yang wajib ke atasnya tidak dilaksanakan. Apatahlagi, menghadiri majlis ilmu sebegini. Memang tidaklah. Tapi, Allah masih lagi memberi kejayaan kepada mereka. Itu yang ana masih tak faham. Walhal, ada kelompok manusia yang sangat taat kepadaNya, tapi gagal dalam peperiksaan,” Afifah mencelah.
            “ Hmm...Itu istidraj namanya. Betul memang ada manusia yang Allah limpahkan rezeki melimpah ruah kepadanya walaupun, manusia itu jauh daripada Allah. Tapi, mereka tidak sedar yang Allah memberi rezeki itu dalam keadaan murka kepada mereka. Yang lebih menakutkan, mereka terus tenggelam dengan kenikmatan dunia tanpa langsung tidak menyedari kemurkaan Allah. Ini lagi bahaya. Kita patut berdoa agar jauh daripada istidraj ini.
            Kelompok manusia yang sentiasa beribadah kepada Allah, taat kepadaNya tapi masih gagal dalam peperiksaan. Janganlah berputus asa. Sebab, itu adalah ujian daripada Allah. Allah menguji sejauh mana keimanan mereka kepadaNya dengan kegagalan. Tapi, ingat Allah akan memeberikan sesuatu yang jauh lebih baik daripada kejayaan setelah mereka berjaya lalui ujian tersebut dengan sabar dan reda,” jelas Amira.

            Suasana usrah hari itu sangat rancak. Respon daripada ahli usrah sangat baik. Lega hati Amira melihat perbincangan dua hala yang berlaku. Sekurang-kurangnya, amanah yang diberikan oleh Ustazah Syiqqin kepadanya dilaksanakan dengan baik. 



BERSAMBUNG...
* Maafkan salah dan silap yang terdapat dalam karya ini. 
Buang yang keruh, ambil yang jernih. In Shaa Allah.


Assalamualaikum


Thanks For Reading شكران.

0 400 is kind-heart: