Novel Bersiri : Indahnya Takdir Ini 5

  
NOVEL ISLAMI
NOR AISHAH BT NORRIFIN

BAB 5: Titipan Amanah



Beberapa bulan berbaki sebelum Amira menduduki peperiksaan STAM. Pada waktu pagi hingga petang dia dan rakan-rakannya sibuk menghadiri kelas ulangkaji. Manakala waktu maghrib dan Isya’ pula dimanfaatkan untuk menguatkan hafazan ayat Quran. Kadang kala, mereka akan menghadiri usrah di surau untuk melapangkan masa dengan majlis-majlis ilmu yang dapat memantapkan iman.
            Sebagai kakak yang paling sulung di maktab itu, Amira sedar bahawa amanah untuk menjaga adik-adik itu harus dia pikul. Walaupun amanatnya sebagai Ketua Aspuri telah diserahkan kepada Nur Aliah, pelajar tingkatan 4, adik-adik gemar meluahkan masalah kepada Amira . Bagi Amira, mungkin mereka sudah terbiasa dengannya selama hampir 2 tahun memegang tampuk kepimpinan Aspuri. Amira yakin, kewibawaan Aliah sebagai Ketua Aspuri yang baru dapat mengaut hati-hati adik-adik pada tahun hadapan.
           
            Khusyuk Amira menelaah kitab Nahu di meja belajarnya. Tiba-tiba, pandangannya tertumpu ke arah Hana dek kepalanya terhangguk-hangguk daripada tadi. Amira tahu pasti rakannya itu keletihan kerana seharian menolong Ustazah Suhailah menguruskan fail-fail di Bilik Mesyuarat.  Dengan perlahan Amira bangun dari tempat duduk. Amira mengatur langkah ke meja belajar Hana.
            “ Hana…Hana…Bangun. Hana…” Amira mengejutkan Hana dari tidurnya.
            Hana menyahut panggilan Amira dengan lemah. Kemudian, dia kembali membaringkan kepalanya di atas meja.
            Amira menggelengkan kepala dek melihat telatah rakannya yang kepenatan itu. Amira tidak mahu rakannya itu kelenguhan pada leher sekiranya tidur di atas meja belajar terlalu lama. Dia tekad untuk menggerakkan rakannya itu.
            “ Hana…Bangun. Sudahlah, tidur atas katil. Nanti lenguh leher. Bangun, Hana…”
            Hana langsung tidak memberi respons melainkan terus membaringkan kepalanya di atas meja belajar itu beralaskan lengan. Melihat kepada tiada tindakan daripada Hana, Amira pun mengangkatnya dengan kudrat yang dia miliki. Perlahan-lahan Amira memangku Hana sehinggalah ke katilnya lalu, membaringkannya. Rasa lenguh menyengat pinggang Amira sebaik melabuhkan Hana di atas katilnya.
            “ Huh…”
            Kemudian, Amira kembali ke tempat duduknya.

**********

“ Mira…Kau tahu tak pukul berapa aku tidur semalam?” soal Hana sebaik usai solat subuh berjemaah di Surau Al- Aqif.
            Amira tersenyum mendengarkan soalan itu. Fikirannya kembali terimbau apa yang terjadi malam tadi.
            “ Kenapa kau senyum sorang-sorang ni? Apa yang lucu sangat?” soal Hana aneh.
            “ Tak..Tak ada yang lucu pun. Hmm..Aku rasa kau tidur dalam pukul 9.20 malam…” Amira masih dalam keadaan tersenyum. Kejadian semalam .
            Hana memandang Amira dengan pandangan yang pelik bertemankan beribu persoalan yang tidak terjawab.  Hal itu demikian kerana tingkah Amira yang dari tadi tertawa kecil.
            “ Kau ni kenapa? Apa yang lawak sangat ni?”
            “ Bukannya apa…Aku teringat apa yang berlaku semalam. Penat betul kau semalam sampaikan aku kejutkan kau daripada tidur pun tak sedar. Sampaikan aku angkat kau sampai atas katil…” jelas Amira kepada Hana.
            Tergamam Hana mendengarkan penjelasan daripada Amira. Amira pula  masih tertawa kecil mengenangkannya.
            “ Apa!!! Kau angkat aku! Eh, kau tahu tak yang aku ni berat yang amat! Macam mana kau boleh angkat aku?” ujar Hana dengan cemas.
            “Bukannya berat sangat pun. Tapi, lenguh jugalah pinggang aku ni dibuatnya…”
            Hana berasa bersalah terhadap Amira. Bersungguh-sungguh dia meminta maaf kepada rakannya itu.
            “ Sudahlah. Lupakannya. Bukannya salah kau pun. Aku kawan kau kan? Jadi, aku angkatlah kau ke atas katil. Nanti, lenguh pula leher kau. Dah tak boleh nak geleng kepala. Ok. Tak perlu nak minta maaflah, Hana,” ujar Amira kepada Hana supaya dia tenang.
            Setelah keadaan mula reda,  mereka meneruskan perjalanan ke asrama. Tidak lama lagi, Kelas Fiqh akan bermula.

**********

“ Assalamualaikum warahmatullah…”
            Amira yang dari tadi sibuk mengemas tempat tidurnya terkejut dek sapaan seseorang dari belakang. Dia pun menoleh ke belakang untuk melihat gerangan tetamu yang bertandang ke biliknya.
            “ Waalaikumsalam warahmatullah…”
            Rupa-rupanya, Sakinah Busyra,  Naib Ketua Pelajar Tingkatan 5.
            “ Kak Amira, ada perkara yang Kinah nak beritahu kak,” ujar Sakinah yang masih berada di luar bilik.
            “ Ya Allah, kalau nak beritahu apapun, masuklah dulu…” senang hati Sakinah apabila dijemput oleh Amira.
            Sakinah Busyra sememangnya seseorang yang Amira percaya mampu memimpin adik-adik di maktab ini. Sepanjang perlantikannya sebagai Naib Ketua Pelajar Tingkatan 5, dia seringkali menasihati rakan-rakannya supaya menghormati yang lebih tua dan menyayangi yang muda. Jadi, tidak boleh dinafikan apabila Ustaz Jamal sentiasa memuji pelajar Tingkatan 5 tahun ini. Semangat kesukuan dalam kalangan pelajar Tingkatan 5 begitu kuat. Disebabkan oleh hal demikian, pelbagai kejayaan yang berjaya dirangkul oleh pelajar-pelajar tersebut walaupun bakal menghadapi peperiksaan SPM.
            “ Ada apa Kinah ke bilik akak pagi-pagi ini? Bukannya petang ini Kinah dengan kawan-kawan ada Majlis Tautan Kasih di Hotel Grand Villa?”
            “Mm…Betul tu, akak. Kinah akan gerak ke sana sebaik Solat Zuhur nanti. Pelajar Tingkatan 5 yang lain akan bertolak sebaik Solat Asar. Jadi, pada malam ini kesemua mualim dan warden mungkin tiada di maktab. Cuma Ustazah Syiqqin dengan Ustaz Kamarul sahaja yang tinggal di maktab…” ujar Sakinah.
            “ Oh, begitu! Jadi, apa yang Kinah nak kak buat?”
            “ Ustazah Syiqqin suruh beritahu dekat akak untuk kawal adik-adik pada malam ini. Saya dah khabarkan perkara ini kepada Aliah, Ketua Aspuri yang baru dilantik. Lagipun, tiada sebarang kelas tambahan mahupun pengajian agama malam ini. Jadi, semua pelajar akan berada di asrama sebaik Solat Isyak malam ni,”
            “ In Sya Allah. Akak dan kawan-kawan akak yang lain akan cuba untuk jaga adik-adik. Kinah pun jaga diri dengan kawan-kawan dekat sana. Jaga mata, jaga hati, jaga iman…”
            Tersenyum Sakinah mendengar nasihat daripada Amira.
            “ In Sya Allah. Terima kasih, kak. Maaf mengganggu. Assalamualaikum Warahmatullah…”
            “ Waalaikumsalam warahmatullah,”
            Amira kembali mengemas katil , seterusnya almari pakaian dan meja belajar. Memang itu tradisi kehidupan seharian Amira. Setelah usai Solat Zuhur dia mula menziarahi rakan-rakannya dari bilik ke bilik yang lain. Pada masa yang sama, dia khabarkan amanah yang perlu digalas pada malam ini. Dia bersyukur kerana rakan-rakannya yang lain suka untuk memberikan kerjasama.

**********

“ Mira…Ok tak ni?” Hana menyapa Amira yang dari tadi termenung sendiri.
            “ Mm… Tak. Tak ada apa-apalah. Tapi, aku rasa macam tak sedap hatilah. Entahlah, mainan perasaan kot,” balas Amira.
            Sejak dari Solat Zuhur lagi, Amira disapa oleh suatu perasaan aneh. Dia sendiri tidak tahu untuk mengungkapkan perasaan tersebut dengan kata-kata. Galau, gundah…Entahlah. Amira cuba memendamnya dan berfikiran positif.
            “ Sudahlah, jangan teremenung lagi. Jom ke surau. Tak lama lagi, azan Maghrib berkumandang.  Lagipun, kita kena pastikan aspuri kosongkan asrama sepanjang waktu Maghrib dan Isyak kan?”
            “ Oh, tugas tu aku dah serahkan kepada Exco asrama yang baru dilantik. Tugas kita cuma kawal aspuri dalam surau dan asrama,”
            Amira mula menyarungkan telekung dan sarung kaki. Kami pun bergerak ke surau bersama. Namun, perasaan yang menggundahkan hatinya itu seringkali mengganggu dirinya. Amira tidak mampu menghapuskan perasaan tersebut melainkan dengan zikrullah. Dia percaya dengan dalil Allah SWT dalam Surah ar-Rad ayat 28 :
            Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi tenang’.

            “ Alhamdulillah, setakat ini situasi pelajar terkawal. Ya Allah, permudahkanlah urusanku,” bisik hati Amira tatkala melihat masing-masing tilawah al-Quran, baca al-Mat’tsurat dan berzikir sebaik usai Solat Maghrib.
            Sekurang-kurangnya Amira mampu tersenyum walaupun masih diganggu oleh perasaan yang tidak enak itu.
            “ Aliah… semua pelajar aspuri sudah kosongkan asrama?” soal Amira.
            “ Alhamdulillah, kak. Lajnah Kerohanian sudah melakukan rondaan di setiap bilik. Alhamdulillah, menurut mereka kesemua bilik sudah kosong,” jawab Aliah.
            Amira menghembuskan nafas lega lalu mendapatkan al-Quran di rak dan duduk di sisi kiri surau. Baru sahaja menyelak helaian demi helaian Kalamullah itu, perasaan tersebut menjelma kembali.
            “ Astaghfirullah… Perasaan apakah ini, Ya Allah? Kau tenangkanlah aku. Sekiranya, ini adalah petanda kepada sesuatu yang bakal berlaku, Engkau berikanlah aku petunjuk. Ya Rabbee,” Amira bermonolog.
            Dia meneruskan bacaan suci ayat Al-Quran. Surah Al-Waqiah itu didalaminya makna ayat demi ayat. Dia sedar akan hikmah membaca surah ini sehinggakan baginda SAW pernah bersabda :
             ‘Siapa membaca surah Al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kesusahan atau kemiskinan selama-lamanya.’ Diriwayatkan oleh Baihaqi dari Ibnu Mas’ud r.a.
            Bacaannya tiba-tiba terhenti. Dia bagaikan terdengar jeritan yang samar-samar kedengaran. Jeritan  itu bukan sekali malah, lebih daripada 3 kali. Perasaan khuwatir dalam dirinya memaksanya untuk bingkas bangun daripada tempat duduk dan mendapatkan Hana.
            “ Hana… Kau dengar tak?”
            Dahinya berkerut. “ Dengar? Dengar apa?” Hana kehairanan.
            “ Kau tak dengar? Suara perempuan menjerit…” Amira bertambah aneh apabila mendapati bahawa Hana tidak mendengar suara itu. Amira tahu suara itu seperti samar-samar kedengaran tetapi jeritan itu bukan sekali kedengaran.
            Amira mengesyaki suara itu datang daripada aspuri. Lagipun, sisi kiri surau memang berdekatan dengan asrama perempuan. Perasaan yang mengganggu Amira sejak Zuhur tadi semakin kuat. Amira terus mendapatkan Aliah.
            “ Aliah, akak nak semua pelajar perempuan buat kiraan. Sekarang!!!”
            Tanpa banyak tanya, Aliah mengangguk. Arahan mula dikeluarkan supaya setiap pelajar beratur mengikut bilik masing-masing. Kiraan pun bermula. Amira dapat melihat komitmen yang baik antara setiap Lajnah Aspuri yang baru dilantik. Hana pula bertanggungjawab mengira pelajar Tingkatan 6.
Sedang keadaan surau di bahagian wanita sibuk, tiba-tiba jeritan itu kedengaran lagi sekali. Kali ini, jeritan itu bertambah kuat. Hal ini menyebabkan, seluruh ahli dalam surau mendengar jeritan itu. Amira yakin itulah jeritan yang didengar olehnya tadi.
           Suasana surau heboh apabila dikejutkan dengan jeritan itu. Amira tahu suaranya tidak mampu untuk menenangkan seluruh warga surau. Amira mengharapkan bantuan pembesar suara agar masing-masing dapat berada dalam keadaan yang terkawal.
           “ Assalamualaikum. Perhatian kepada semua pelajar. Diharap semua pelajar bertenang. Ingat, kita berada di rumah Allah sekarang. Jangan lakukan apa-apa yang dapat mencemar ketenteraman dalam rumah Allah ini. Ingat Allah, dan bertenang semua. In Sya Allah, Allah ada bersama kita…” kedengaran arahan dari pembesar suara di bahagian jemaah lelaki.                             Alhamdulillah, pengumuman daripada mikrofon surau sedikit-sebanyak membantu meredakan ketegangan dalam surau sebentar tadi. 


“ Kak, kami mendapati Suraya pelajar Tingkatan 3, Bilik 16 masih belum ada dalam surau dan Wardah juga pelajar Tingkatan 3 dari bilik yang sama turut tidak hadir ke surau. Kesemua ahli jawatankuasa Lajnah Aspuri sudah bergerak untuk mencari mereka…” Aliah melaporkan kepada Amira tentang kehadiran pelajar aspuri dalam surau.
            Amira mengangguk. Dia begitu risau terhadap Wardah dan Suraya yang menghilangkan diri. Oleh itu, Amira pun menelefon Ustaz Kamarul dan Ustazah Syiqqin untuk mengkhabarkan keadaan yang berlaku sekarang. Amira tidak mahu mengganggu guru-guru yang lain di Majlis Tautan Kasih pelajar Tingkatan 5. Amira yakin Ustazah Syiqqin dan Ustaz Kamarul pasti mampu untuk menguruskan hal ini. Jeritan itu sekali lagi kedengaran dan mengganggu ketenteraman seluruh ahli surau.

            Sudah 10 minit berlalu. Suraya dan Wardah masih belum ditemukan. Ustaz Kamarul bersama pelajar lelaki yang lain turut memasuki asrama perempuan untuk menyiasat. Manakala, Ustazah Syiqqin pula berada di surau untuk mengawal pelajar. Amira cuba untuk menenangkan dirinya. Dengan berhati-hati, dia mengatur langkah menuju ke kamar wudhu’.
            “Eh, sepinya. Selalunya bilik wudhuk mesti sesak dengan pelajar. Mereka masih ketakutan agaknya,” bisik hati Amira. Lalu, Amira meneruskan perjalanan ke paip air. Tatkala air mutlak itu membasahi pipinya, sungguh segar rasanya. Air wudhuk itu seakan-akan menjadi penawar kepada gundahnya yang sekian lama bertandang di benaknya.
            Setelah membacakan doa selepas wudhuk Amira pun menoleh ke belakang.
            “ Astaghfirullah hal Azim…”
            “ Wardah!!! Suraya!!! …”
            Jantung Amira serta merta berdegup dengan kencang sebaik melihat Wardah dan Suraya sedang terduduk dalam keadaan lemah di penjuru bilik wudhuk itu. Mereka seperti tidak sedarkan diri. Amira cuba untuk kuatkan dirinya untuk menghampiri mereka. Dengan kalimah yang dia pegang iaitu, ‘ Allah sentiasa ada bersama kita’ , dia kuat untuk mendekati dua insan yang terduduk itu.
            Perlahan-lahan langkah Amira atur menuju ke arah mereka. Takut. Tetapi, takut kepada Sang Pencipta mengatasi segalanya. Tapak tangan yang masih basah dengan wudhuk ini didekatkan ke bahu mereka.
            “ Wardah…Suraya…Antunna baik-baik saja kan?” perlahan-lahan Amira mengusap bahu mereka.
            Mata mereka yang tadinya tertutup terus terbuka. Kepala mereka bangun dengan serentak. Jantung Amira berdegup bertambah kencang. Tangannya yang tadinya menyapa bahu mereka serta-merta diangkat. Amira yakin, ada sesuatu yang mencurigakan sedang berlaku. Dengan segera dia keluar dari kamar wudhu meninggalkan Wardah dan Suraya sendirian. Seketika selepas itu, jeritan itu kedengaran lagi. Kini, dia bertambah yakin bahawa jeritan itu datangnya daripada mereka berdua di kamar wudhu’ itu. Amira terus memanggil Ustazah Syiqqin dan mendapatkan Ustaz Kamarul.
            Tidak lama kemudian, keadaan Bilik Wudhu tersebut menjadi tegang apabila Ustaz Kamarul mula mendekati mereka. Ustaz Kamarul yang mahir ilmu perubatan Islam ini pasti cukup tahu cara untuk menguruskan situasi begini.
            “ Adik-adik yang lain semua duduk dalam saf. Tidak lama lagi, azan Isya’ akan berkumandang. Biar Ustaz Kamarul, Ustazah Syiqqin , Kak Amira dan Kak Aliah saja dalam ni. Bergerak sekarang!!!” arahan itu dikeluarkan oleh Hana.
            Pada mulanya, Amira menolak untuk berada dalam kamar itu. Namun, setelah diarahkan oleh Ustaz Kamarul, akhirnya Amira pun menguatkan dirinya untuk berada di situ.
            “ Mereka juga makhluk Allah. Tiada bezanya…” bisik hatinya.
            Amira menyaksikan bagaimana Ustaz Kamarul membacakan ayat-ayat Ruqyah. Amira sempat mempelajari tentangnya namun, masih belum mampu untuk mempraktikkannya lagi. Ustazah Syiqqin ada berbisik kepada Amira dan Aliah bahawa ini hanyalah gangguan makhluk halus skala kecil kerana mangsa tidak bertindak ganas dan masih mampu untuk berkomunikasi dengan baik. Tambahan lagi, tidak ramai yang terkena gangguan ini.
            Tidak lama kemudian, Ustaz Kamarul menepuk-nepuk belakang belikat Wardah.
            “Bismillahi Masya Allah  Allahu Akbar..” itulah bacaannya sebelum ustaz menepuk belakang Wardah. Seterusnya perkara yang sama dilakukan kepada Suraya. Sekurang-kurangnya Amira belajar untuk memberanikan diri apabila berhadapan dengan situasi begini. Sepanjang enam tahun di sini, jarang sekali kes sebegini berlaku. Sudah memang takdir Allah, perkara begini terjadi di saat ketiadaan warden melainkan warden bertugas.

            Amira yakin ada hikmahnya yang Allah cuba untuk sampaikan kepada dia dan seluruh warga maktab ini. Yang pasti, amanah yang dititipkan kepadanya untuk mengawal pelajar digalas setakat kudrat yang dimilikinya. Selebihnya, dia serahkan kepada Allah yang Maha Kuasa atas segalanya.    


BERSAMBUNG...
* Maafkan salah dan silap yang terdapat dalam karya ini. 
Buang yang keruh, ambil yang jernih. In Shaa Allah.

Assalamualaikum


Thanks For Reading شكران.

0 400 is kind-heart: