Novel Bersiri : Indahnya Takdir Ini 3


 
NOVEL ISLAMI
NOR AISHAH BT NORRIFIN

BAB 3: Nur Kasih



Suasana di seantero teratak begitu meriah. Majlis Persandingan antara Kak Lisa dan Abang Hafiz seakan-akan memberi sinar kebahagiaan kepada seluruh ahli keluarga. Hanya senyuman yang terlihat pada wajah mereka yang tidak sabar menanti kehadiran pasanga mempelai tiba. Pasukan tilawah sudah bersiap sekali lagi di dalam rumah dengan uniform dan al-Quran masing-masing. Hanya menunggu saat ketibaan raja dan ratu sehari tiba dalam beberapa detik sahaja lagi.
            Amira tidak sangka saat ini akan tiba dalam hidupnya. Rasanya bagai baru semalam dia dan Abang Hafiz bermain lari-lari di halaman rumah. Rasanya bagai baru kelmarin Abang Hafiz mendampinginya tatkala dia bersedih. Rasanya bagai baru tadi Abang Hafiz mencuit manja hidungnya. Hari ini pastinya akan menjadi suatu titik sejarah dalam hidupnya. Amira turut bergembira atas ikatan yang diikat dengan permaisuri hatinya yang sungguh bertuah.
            Paluan kompang kedengaran menandakan ketibaan pengantin. Abang Hafiz sungguh kacak dengan baju bersanding yang serba hijau emerald bak pahlawan pada zaman moden ini. Kak Lisa pula sungguh anggun dengan baju kurung moden berwarna emerald dan putih bersulam bunga yang comel berwarna keemasan. Abang Hafiz dan Kak Lisa memang pasangan sejoli.
            Apabila pengantin tiba di atas pelamin, paluan kompang dihentikan. Alunan muzik dihentikan. Semua orang berada dalam keadaan senyap apabila pasukan tilawah memberi tanda bahawa mereka akan membacakan ayatul Quran dengan berselawat.
            “Subhana-Allah, sungguh indah bacaannya...” Amira terbuai mendengarkan bacaan daripada Furqan. Tersedar dari lamuanannya, Amira menghembuskan nafas lalu memejamkan matanya seketika.
            “Astaghfirullah, Mira. Pelihara hati, telinga dan mata. Ingat itu pesan Ustazah Syiqqin. Jangan disebabkan kelalaian kau, ayat-ayat al-Quran yang sudah pun menjadi sebahagian dari hidup kau pergi begitu sahaja. Astaghfirullah... Ya Allah, ampuni kekhilafan diriku. Jauhi aku daripada perbuatan yang hanya merugikan diriku,”
           
            Sebaik matanya celik semula, baru dia sedar bahawa dirinya masih belum menunaikan Solat Zuhur. Dengan perlahan, Amira menuju ke kamarnya.
            Alunan ayat Al-Quran yang masih lagi terngiang-ngiang di telinganya mengusik sanubari Amira yang masih dibasahi air wudhuk. Nostalgia lama kembali bermain di fikirannya. Bergenang air mata gadis itu mengenangkan kasih sayang Abang Hafiz kepadanya. Di atas sejadah itu, Amira teringat akan segala pengorbanan Abang Hafiz selama ini. Amira tahu bahawa dirinya telah banyak kali menyakiti hati Abang Hafiz. Namun, Abang Hafiz sentiasa bersabar dengan telatah adik perempuannya itu.

            Ketika itu, Amira baru berusia 14 tahun.
            “ Adik...Tengok apa tu?” sapa Abang Hafiz dari belakang. Amira yang duduk di meja belajarnya terkejut dek sapaan Abang Hafiz secara tiba-tiba.
            “ Ermm.. Tak ada apa-apalah abang...” balas Amira. Perlahan-lahan dia menyorokkan sekeping kertas ke dalam laci mejanya. Abang Hafiz dapat menangkap perbuatan adiknya yang cuba untuk menyorokkan sesuatu daripadanya.
            “ Ye ke? Betul ke tak ada apa-apa? Abang tak percaya....Habis tu, ini apa?” dengan sepantas kilat Abang Hafiz merampas surat yang cuba disembunyikan oleh Amira. Niatnya bukan untuk membaca, sekadar bergurau dengan Amira. Maklumlah, esok hari Amira akan pulang ke asrama.
            Amira tersentak dengan perbuatan Abang Hafiz itu.
            “ Abang... Pulangkan balik. Itu Mira punya...Abang!!!” Amira merayu-rayu kepada Abang Hafiz. Baginya, kertas itu mengandungi isi yang sangat penting.
            Abang Hafiz tidak terus membacanya. Dia meminta Amira supaya menjelaskan motif Amira menyembunyikan kertas ini daripadanya.
            “ Tidak. Abang tak akan pulangkan..Sekarang, abang nak tahu. Ada apa surat ini dengan Amira?” ujar Abang Hafiz.
            Amira terkial-kial untuk menjawab. Dia tahu, Abang Hafiz pasti akan memarahinya. Abang Hafiz ternanti-nanti jawapan daripada adiknya itu.
            “ Ah...Abang tak perlu tahu. Sekarang, pulangkan balik kertas tu. Tak ada kena mengena dengan abang lah...Abang!!!” kali ini Amira lebih bertegas. Sebelum Abang Hafiz membaca surat tersebut, Amira perlu mendapatkan kertas tesebut.
            “ Tidak!!!”
            “ Abang!!!.. Sudahlah... Abang ambil lah kertas tu. Abang suka ganggu Mira...” Amira sudah mula malas melayani telatah Abang Hafiz. Dia berputus asa. Hatinya juga sedikit kecewa terhadap abangnya kerana tidak memahami kehendaknya. Lalu, terus duduk di tempat belajarnya tanpa mempedulikan Abang Hafiz.
            Abang Hafiz yang melihat situasi tersebut, perlahan-lahan mendekati Amira. Dia tahu bahawa Amira sedang dikuasai emosi yang tidak baik.
            “ Amira... Nah, ambillah. Abang tahu abang tak pernah faham apa yang Mira hendak, kan? Abang minta maaf...” ujar Abang Hafiz dengan lembut lalu memulangkan semula kertas tersebut. Dia langsung tidak membaca walau sepatah perkataan yang terkandung pada kertas tersebut kerana dia tahu bahawa dirinya langsung tidak mempunyai hak untuk membaca surat orang lain.
            Amira masih tidak mempedulikan Abang Hafiz. Kertas yang diletakkan di atas mejanya itu pun tidak dipedulikannya.
            Abang Hafiz mengorak langkah keluar daripada bilik Amira. Dia tidak sangka bahawa gurauannya sebentar tadi telah menggores hati adiknya.
            “ Abang...” Amira memanggil Abang Hafiz yang hampir keluar dari bilik itu.
            Langkah Abang Hafiz terhenti. Dia mula menoleh dengan harapan Amira memaafkannya.
            “ Sebenarnya...Mira ada masalah sikit,” kata Amira dengan nada perlahan. Amira lantas bangun dengan memegang kertas tadi.
            Abang Hafiz masih tercegat di situ menanti adiknya.
            “ Nah, abang bacalah ni,” Amira menghulurkan kertas itu tadi.
            Abang Hafiz mendapatkan kertas tersebut lalu ditelitinya isi kandungan kertas tersebut. Tergamam Abang Hafiz seketika setelah selesai menghayati setiap patah perkataan yang tertulis pada kertas tersebut.
            “ Abang...Percayalah, Mira tak pernah buat perkara tu. Mira kena fitnah,” Amira menjelaskan sebelum Abang Hafiz menuduhnya secara membabi buta.
            Abang Hafiz mengangkat wajahnya dengan perlahan. Wajah Amira ditatapnya.
            “ Betul ke, Mira tak buat kerja ni?”
            “ Abang, betul. Sumpah!!! Mira kena fitnah. Kawan-kawan Mira perangkap Mira waktu tu. Dia orang minta tolong Mira ambilkan buku dalam bilik. Mira tolonglah dia orang. Tapi, rupa-rupanya buku yang Mira pegang tu ialah buku yang hilang di perpustakaan. Ya Allah, Mira tak tergamak lah nak curi buku dekat perpustakaan tu, abang,” jelas Amira.
            Abang Hafiz menarik nafas sedalam-dalamnya. Dia begitu mengenali adiknya itu. Kepercayaannya terhadap Amira sangat tinggi.
            Dalam surat tersebut, Amira telah didapati mencuri buku di perpustakaan. Oleh demikian, waris kepada Amira perlu untuk hadir ke maktab sebagai amaran pertama kepadanya.
            “ Abang percayakan adik abang. Sekarang, Mira nak abang tolong apa?”
            Dengan rasa serba salah, Amira berkata, “ Abang, kalau boleh Mira tak nak mama dengan papa tahu fasal ni. Boleh tak, kalau abang yang datang sekolah. Abang jumpa dengan mudir. Tolonglah abang...”
            Abang Hafiz membeliakkan matanya. Pada masa yang sama, otaknya ligat memikirkan tindakan yang patut diambil olehnya.
            “ Apa aku nak buat ni? Aku ada seminar esok. Hmm, ya Allah, berikanlah aku cara terbaik agar aku dapat membantu adikku yang teraniaya ni,” bisik hati Abang Hafiz.
            “ Erm, tak apa. Sekarang, Mira jangan risau. Kemaskan barang-barang. Esok dah nak balik asrama kan? Abang fikirkan lepas ni, ye,” kata Abang Hafiz. Hati Amira sedikit sebanyak berasa lega.
            Semalaman Abang Hafiz memikirkan langkah agar dapat membantu adiknya itu.

            Keesokan paginya...
            “ Hafiz, kamu nak ikut adik kamu ke maktab? Tapi, kenapa? Bukan kamu ada seminar ke?” soal mama yang mulai kehairanan melihat Abang Hafiz menyatakan pendiriannya untuk mengikuti Amira ke maktab.
            “ Hmm...Bukannya apa, mama. Hafiz nak jumpa dengan kawan dekat sana. Alang-alang nak ke sana, lebih baik Hafiz temankan Mira ke maktab. Lagipun, seminar tu...Hmm, ditangguh. ,” jelas Abang Hafiz.
            “ Baguslah, tu. Pergilah. Papa izinkan...” kata papa melegakan Abang Hafiz dan Amira.
            Abang Hafiz sanggup meninggalkan seminar yang patut dihadiri olehnya semata-mata untuk menolong Amira. Walaupun, kos pergi balik ke Kedah bukannya murah. Itulah pengorbanan Abang Hafiz kepada adiknya. Kalau boleh, Abang Hafiz sendiri tidak mahu mama dan papa tahu fasal tuduhan ke atas adiknya itu. Dikhuatirkannya, perkara kecil begini akan diperbesar-besarkan oleh mama dan papa. Dia yakin, langkahnya untuk mengikuti adiknya ke maktab adalah tindakan yang betul.
            Di maktab, Abang Hafiz memberanikan dirinya untuk berhadapan dengan mudir maktab tersebut. Bukan mudah untuk menggantikan posisi mama dan papa dalam situasi tersebut. Apabila ditanyakan sebab mama dan papa tidak hadir, Abang Hafiz akan menyatakan bahawa papa dan mama ke luar negara atas urusan yang sangat penting.  Sukar bagi Abang Hafiz untuk mengucapkan kebohongan. Namun, dalam situasi tersebut, Abang Hafiz sudah bersedia menerima sebarang risiko yang menanti.
            “ Alhamdulillah...Selesai pun,” gumam Abang Hafiz sebaik keluar dari pejabat Mudir.
            Amira yang melihat kelibat Abang Hafiz keluar dari pejabat lantas menerpa abangnya itu.
            “ Abang....”
            Tersenyum Abang Hafiz melihat wajah adiknya itu. Sungguh, Abang Hafiz tidak mahu pelajaran adiknya di situ merosot disebabkan perkara yang kecil sedemikian. Dia tidak mahu emosi adiknya terganggu disebabkan masalah-masalah yang tidak sepatutnya. Dia akan berusaha selagi mampu untuk membantu satu-satunya adiknya itu.
            “ Macam mana abang?” sapa Amira.
            “ Alhamdulillah...Atas budi bicara pihak maktab, kes adik berjaya ditarik. Tapi, janji dengan abang. Jangan buat perkara-perkara yang dapat menjatuhkan adik. Jaga diri baik-baik. Jangan mudah ditipu oleh orang lain,” pesan Abang Hafiz.
            “ Baik, abang. Hmm, abang nak ke mana selepas ni?”
            “ Balik.”
            “ Seorang diri je,”
            “ Sudahlah. Jangan risaukan abang. Ingat pesan abang. Jaga diri. Jangan bagi peluang dekat orang lain untuk menipu Mira,”
            “ Yes, boss!!!”
            “ Abang balik dululah, belajar rajin-rajin,”
            “ Abang pun jaga diri,”
            Abang Hafiz mengangguk.
            “ Abang...”
            “ Terima kasih. Abang sanggup datang sini semata-mata untuk tolong Mira selesaikan kes yang kecil ni. Walhal, Mira tinggikan suara dekat abang semalam. Jahatlah, Mira ni...Abang, maafkan Mira,”
            “ Bukan salah Mira. Sama-sama...Assalamualaikum” ringkas jawapan Abang Hafiz. Senyumannya sudah cukup untuk menunjukkan bahawa dia sudah memaafkan Amira. Tangan Abang Hafiz digapai oleh Amira. Tangan itu dikucupnya dengan penuh rasa terima kasih.
            “ Waalaikumsalam...”
            Sebak Amira melihat kelibat abangnya yang mulai menuju ke pintu pagar utama seorang diri.  Dia sedar bahawa dirinya sangat salah sebelum ini. Abang Hafiz yang dikatanya, tidap pernah memahami kehendaknya sebenarnya adalah seorang yang sangat memahami kehendaknya. Sangat memahami. Sehinggakan sanggup mengikutinya meredah sempadan 2 negeri untuk tiba di maktab pengajiannya.


Aku tahu, kekadang abang melarang aku melakukan sesuatu itu pasti bersebab. Dan, sebabnya hanya satu, abang masih sayangkan  aku...” bisik hati Amira. Menitis air matanya tatkala mengenangkan senario yang menggamit kalbu itu. Dirinya masih diselimuti kain telekung dan terduduk rapi di atas kain sejadah. Menoleh ke arah jam dinding, baru Amira tersedar bahawa dirinya sudah terlalu lama menyendiri dalam kamar. Dengan segera dia bersiap untuk meraikan Abang Hafiz di bawah.


**********

            “Mira, mari sini sayang. Salam abang dengan Kak Lisa,” panggil mama sebaik sahaja Amira turun anak tangga.
            Amira mengangguk lantas mempercepat langkahnya. Saki baki air mata di matanya segera disapu.
Air mawar yang tersedia, daun pandan yang dihiris halus yang tersedia, direnjiskan. Tangan Abang Hafiz digapainya lalu disalam.
            “Pandai Mira meneka kelmarin. Memang Furqan yang masak.” Sempat Abang Hafiz membisikkan kata-kata di telinga Amira saat dia bersalam dengannya.
            Amira terdiam sejenak…
            “Abang!!!” kata Amira dengan nada yang keras. Cubitan kecil hinggap di lengannya dek geram yang melampau kepada Abang Hafiz. Amira cuba mengukir wajah yang manis walaupun jauh di sudut hatinya menaruh rasa geram kepada abangnya.
            “Tahniah, abang. Jadi suami yang baik, ya,”
            Abang Hafiz hanya tersenyum nakal. Senyuman itu diabaikannya. Tangan Kak Lisa pula digapai oleh Amira.
            “Tahniah, kak. Untung betul Kak Lisa dapat suami macam Abang Hafiz cuma satu saja masalah dia. Keras tangan di dapur. Hihi,” kata Amira. Sempat Amira menjerling sekilas ke arah Abang Hafiz.
            “Terima kasih Mira. Oh ya, Akak dah agak dah,” jawab Kak Lisa sambil tersenyum ke arah Amira. Abang Hafiz di sebelah hanya memerhati. Melalui pandangannya, dia seperti begitu ingin tahu apa yang Amira kata kepada isterinya. Amira mengabaikan Abang Hafiz di sisi Kak Lisa. Dia segera memeluk Kak Lisa. Sempat Amira berbisik di telinga Kak Lisa.
            “Akak, jaga abang baik-baik ye. Dia memang baik dan sangat baik untuk akak. Mira doakan kebahagiaan akak dengan abang.”
            Kak Lisa mengangguk sambil tersenyum tanda memahami kata-kata Amira. Amira tahu bahawa Kak Lisa pasti akan menghargai kehadiran Abang Hafiz dalam hidupnya. In Sya Allah.
            Majlis perkahwinan Abang Hafiz dan Kak Lisa berlangsung dengan baik sekali. Sebaik sahaja selesai majlis, Kak Lisa hanya berkepit dengan Abang Hafiz. Mungkin masih segan kerana hanya wajah-wajah baru yang berada di sekelilingnya
            Amira termenung sendiri di laman rumah yang dikelilingi pokok bunga. Hinggap cubitan misteri dari belakang.
            “Allahuakbar!” terkejut Amira dibuatnya.
            Siapa itu? Wujud persoalan jauh di sudut hati Amira. Sedang dia sibuk mencari-cari dari mana datangnya cuitan itu, tiba-tiba Abang Hafiz muncul di sebelahnya. Amira terus dapat mengagak bahawa cuitan itu daripada Abang Hafiz.
            “Abang, tak baiklah macam tu. Kalau dibuatnya Mira pengsan macam mana?” kata Amira kepada Abang Hafiz.
            “Furqan kan ada...” kata Abang Hafiz selamba. Mendengarkan kata-katanya tadi, wajah Amira terus berubah. Abang Hafiz yang perasan wajah adiknya berubah serta-merta memujuk adik kesayangannya itu.
            “Alala Mira. Tak comel dah adik abang. Abang gurau sajalah. Hey, Mira kena bersyukur tahu, walaupun abang dah kahwin, abang masih sempat layan Mira,” kata Abang Hafiz sambil mengusap-usap kepala Amira.
            “Yelah, orang itu dah sibuk. Mira dah bersedialah abang. Bersedia untuk dahaga kasih sayang abang,” kata Amira yang sudah mula reda.
            " Ingatkan bersedia apa tadi. Mira, abang takkan mengenepikan Mira sampaikan Mira kehausan kasih sayang abang. Abang akan tetap ada sebagai abang kepada adik abang ni tetapi, masa mungkin membataskan," ujar Abang Hafiz dengan nada yang matang.
            Amira senyum bersahaja.
            “Cepat betul abang tukar baju. Smart kot abang pakai baju tadi. Kak Lisa mana?”.
            “Abang tahu. Abang tahu yang abang ni handsome. Hehe. Kak Lisa tengah mandi,” kata Abang Hafiz.
            “Abang. Nah, ambil ini,” kata Amira sambil menghulurkan minyak atar perisa epal.
            “Apa ni? Minyak wangi?” soal Abang Hafiz sambil membelek-belek minyak atar tersebut.
            “Bukan minyak wangilah tapi lebih kuranglah juga. Minyak atar perisa epal,” kata Amira. Abang Hafiz mula membuka penutup minyak atar tersebut.
            “Hmm,  wangi,” kata Abang Hafiz sebaik sahaja menghidu minyak atar berperisa epal itu. “Apa abang nak buat dengan minyak atar ni?” tanya Abang Hafiz yang masih kehairanan tentang sebab adiknya memberikan minyak atar itu.
            Amira menepuk dahi dek melayan sikap Abang Hafiz yang masih belum menangkap apa yang dia cuba sampaikan.
            “ Minyak atar ni, abang buka penutup tu. Kemudian tuang minyak atar dalam mulut. Faham?” jawap Amira dengan nada sinis.
            Abang Hafiz memandang Amira. Dirinya seakan-akan tidak berpuas hati dengan adiknya.
            “ Ada yang nak kena belasah dengan abang ni...” ujar Abang hafiz selamba.
            Amira tertawa kecil lalu berkata,
            “Abang... Minyak atar ini pakailah apabila abang dengan Kak Lisa bersama. Janganlah, bau hapak je. Kalau Mira boleh lagi tahan. Takut Kak Lisa lah, pengsan pula dalam bilik nanti,”
            “Amboi, kecil lagi dah pandai. Abang ni bukannya busuk pun. Abang tahulah, apa yang abang perlu buat. Mira…Mira,” kata Abang Hafiz yang sudah mula memahami maksud pemberian minyak atar tersebut.
            Abang Hafiz segera mencuit hidung Amira. Hisshh.
            “Adik. Terima kasih, ya. Abang hargai minyak atar ni. Abang takkan buang,"  kata Abang Hafiz.
            Amira seronok mendengar kata-kata itu kerana pemberiannya itu dihargai oleh Abang Hafiz.

**********

Apabila matahari mula menghilangkan diri, semua orang seperti menyiapkan diri untuk pulang.
            “Furqan!!!.” Amira memanggilnya apabila melihat dia sudah pun berjalan menuju ke pintu pagar bersama-sama ahli pasukan tilawah yang lain.
            Furqan memalingkan wajahnya ke belakang. Amira  berlari-lari anak supaya Furqan tidak menunggu terlalu lama.
            Huuuh..Haaaah….Huuhhh. Amira tercungap-cungap sebaik sahaja tiba di hadapan Furqan.
            " Ya, ada apa Amira? " tanya Furqan.
            " Oh, maaf. Ini ada 3 set bungkusan lauk-pauk dan nasi. Sebungkus ini Furqan dan kawan-kawan boleh makan apabila tiba di mana-mana persinggahan. Rumah pun jauh kan. Satu bungkus, kirimkan kepada Ustazah Syiqqin. Satu lagi, tolong kirimkan kepada Raihanah di maktab. Furqan kenal kan?" kata Amira sambil menghulurkan satu persatu bungkusan lauk-pauk kepadanya.
            " In Sya Allah kenal. Yang selalu berjalan dengan Amira tu kan?" ujar Furqan.
            Amira mengangguk. Seketika hadir di mindanya… “ Bagaimana dia tahu, Hana selalu berjalan denganku?” . Namun, Amira letakkan persoalan tersebut ke tepi dan berfikiran positif.
            " Baiklah. In Sha Allah, nanti saya tolong kirimkan," kata Furqan.
            " Terima kasih," kata Amira lalu berundur selangkah ke belakang.
            "Sekejap. Saya ni lagi patut ucap terima kasih sebab sudi bungkuskan lauk pauk untuk kami makan di pertengahan jalan nanti," kata Furqan lalu mengukir senyuman tanda penghargaan. Sekilas Amira terpandang senyuman pada wajah Furqan lantas dia menundukkan kepalanya.
            Papa dan mama yang berada di situ hanya memerhati. Setelah selesai perbualan antara Amira dan Furqan, barulah mama papa berbicara.
            “Terima kasih banyak-banyak atas kesudian mengumandangkan ayat al-Quran di sini. Nanti kenduri kahwin anak saya seorang lagi ini, datang lagi ya, kamu semua memang berbakat mengalunkan ayat al-Quran dengan merdu” kata papa.
            “Itu memang kerja kami. Apabila kami dipanggil, In Sha Allah kami datang dan lakukan yang terbaik,” kata Faiz.
            “Ini dia bayarannya. Terima kasih banyak-banyak,” kata papa sambil menghulurkan sejumlah wang.
            “Terima kasih, Datuk. Semoga rezeki Datuk dimurahkan. In Sha Allah,” kata Faiz. Anggota yang lain hanya membisu dengan senyuman.

            “Sama-sama. Hati-hati dalam perjalanan ya,” kata papa sambil bersalam dengan mereka. Aku pula terus menuju ke dalam bilik untuk mengemas barang. Lusa aku pula balik maktab.


BERSAMBUNG...
* Maafkan salah dan silap yang terdapat dalam karya ini. 
Buang yang keruh, ambil yang jernih. In Shaa Allah.

Assalamualaikum


Thanks For Reading شكران.

0 400 is kind-heart: