Novel Bersiri : Indahnya Takdir Ini 12

 
NOVEL ISLAMI
NOR AISHAH BT NORRIFIN


BAB 12: Jelajah Bumi Anbiya'




Cuti semester kali ini, sungguh membosankan Amira. Walaupun, ada tugasan yang perlu dilaksanakan namun, hakikat hati ingin meneroka alam luar sambil menyegarkan mata dengan pandangan di sekitar bandar Kaherah ini.
Amira merenung ke luar jendela. Sungguh sibuk jalan raya di sini. Bas, teksi serta kenderaan lain tidak pernah menjadikan suasana jalan raya di sini lengang. Sedang Amira merenung ke luar, dia didatangi Mariam yang merupakan rakan yang turut menuntut di kampus yang sama dengannya. Mereka menetap serumah. Mariam bersama suaminya di tingkat atas, sementara Amira dan  Furqan di tingkat bawah. Mariam yang berasal dari Jakarta, Indonesia sentiasa menjadi teman bual  yang kedua kepada Amira selepas suaminya sendiri.
" Amira, apa yang direnungkan itu?" sapa Mariam.
" Hmm… Sengaja mengambil udara di luar. Menenangkan hati yang dihambat jutaan perasaan. Entahlah, ana rasa seperti ada yang kosong dalam hati ini. Astaghfirullah hal Azim… Ana sendiri susah nak ungkapkan perasaan ini," luah Amira kepada Mariam.
" Oh, jadi sekarang ini masalahnya, anti tengah berasa bosanlah ya? Mungkin anti patut bersiar-siar di luar. Lupakan seketika hal pembelajaran. Berikan ruang kepada otak untuk berehat. Lagipun, cuti semester baru saja bermula. Ambil peluang ini dengan baik," kata Mariam dengan dialek Indonesianya. Amira memikirkan kata-kata Mariam kepadanya. Dia berasa bahawa ada baiknya kalau dia dapat keluar berjalan-jalan di Bumi Anbiya’ ini bersama Furqan.
Tapi…Furqan mesti sibuk. Tak perlulah…” bisik hati Amira.
" Entahlah Mariam. Semoga Allah berikan ana kekuatan dan ketenangan," kata Amira.
Setelah selesai perbualan dengan Mariam, Amira segera menuju ke arah suaminya yang masih menghadap komputer ribanya. Berbaki dua langkah sebelum menghampiri Furqan, Amira menghentikan langkahnya. Dia merenung suaminya dari belakang. Bunyi papan kekunci deras kedengaran menandakan Furqan dalam keadaan yang sibuk. Amira memahami tugasan Furqan yang lebih berat berbanding dirinya. Akhirnya, Amira membatalkan hasratnya untuk berbual dengan Furqan. Lantas, Amira mengambil tempat di meja belajarnya. Dipaksanya untuk menelaah buku.
Mira…Rajinlah sikit. Kau ni, baru mula cuti dah nak bermalas-malasan…” tegas Amira membisikkan kata-kata semangat. Dengan harapan dia dapat mengatasi rasa bosannya itu. Bunyi papan kekunci milik komputer riba Furqan masih deras kedengaran.
Huh…” Amira merungut sendiri.
Tiba-tiba, suasana bilik seakan-akan sunyi. Amira aneh dengan situasi tersebut. Baru dia perasan, bunyi papan kekunci yang tadinya deras kedengaran kini tidak kedengaran.
Amira menoleh ke arah suaminya. Furqan yang tadinya sibuk kini mendiamkan diri. Amira terus merenung Furqan. Tiba-tiba, Furqan turut menoleh ke arahnya. Amira tersentak kerana matanya dan Furqan bertentangan secara tiba-tiba.
Furqan tertawa kecil melihat riak wajah Amira yang tersentak. Dia pun bangun dari tempat duduknya dan menghampiri Amira.
 " Sayang, abang nak keluar ni. Bersiaplah ya. Kita pergi bersama-sama. Mira tak sibukkan".
" Ha!!" Amira bertambah terkejut apabila Furqan menyatakan hasratnya untuk keluar bersama dengannya. Amira menjadi aneh dengan tindakan suaminya.
Aik. Tadi macam sibuk sangat. Sekarang, nak keluar pula. Pelik ni…” monolog Amira.
" Kenapa? Mira tak suka ke?" ujar Furqan dek melihat Amira yang masih termenung di tempat duduknya.
" Eh, Mira suka!  Mira pelik je. Tadi abang bukannya sibuk. Tiba-tiba, ajak Mira keluar. Abang betul ke ni?" ungkap Amira yang masih tidak percaya kepada kata-kata Furqan tadi.
" Nampak muka abang macam tengah bergurau ke. Ada macam badut? Takkan?" kata Furqan dengan memek muka badut yang melucukan.
" Hehe. Yelah. Mira bersiap ye." Amira tertawa melihat Furqan yang masih sempat berjenaka.
Sebaik menyarung niqab berwarna cream, mereka berdua terus keluar menaiki teksi yang dihubungi. Papan tanda yang menunjukkan arah ke Giza dituruti oleh teksi yang membawa mereka berdua. Amira asyik memerhati suasana di luar. Dia cuba mendalami jiwa Nabi Musa yang tabah menghadapi keangkuhan Firaun. Seketika perjalanan, Amira terfikir sendiri…
" Ke mana, dia nak bawa aku  ni?" bisik hatinya.
" Sayang, kita dah sampai. Ayuh, turun," Furqan bersuara tatkala teksi berhenti di hadapan Piramid yang megah berdiri di sisi kami.
Amira menurut. Dia cuba untuk mencari-cari insan yang mungkin kenalan Furqan. Amira berfikiran bahawa Furqan mengajaknya untuk menemaninya atas urusannya.
“ Apa yang Mira cari?” soal Furqan.
" Abang… kenapa kita ke sini?" rasa tertanya-tanya yang berbeku di hati Amira sejak dalam teksi tadi tadi terus diluahkannya kepada Furqan.
Furqan mendapatkan tangan Amira. Tajam Amira renung mata Furqan yang cuba untuk sampaikan sesuatu.
" Sayang, tadi abang tak sengaja terdengar keluhan Mira dengan Mariam. Abang tahu, Mira kebosanan kan? Memang, pelajar akan sentiasa berhadapan dengan tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Tapi, itu hakikat seorang penuntut ilmu. Cuba Mira tanya diri Mira. Patutkah Mira bosan dengan perkara yang Mira harapkan setelah sekian lama? Mira yang membuat keputusan untuk ke sini. Takkan sudah berputus asa?" Furqan cuba bermadah dengan Amira. Tangannya erat menggenggam tangan Amira.
" Abang, Mira belum berputus asa. Mira masih berpegang pada matlamat utama kita berada di sini. Cuma, entah kenapa hari ini bosan sangat nak siapkan tugasan. Mungkin kerana bisikan syaitan yang menyuruh Mira menjadi malas," kata Amira kepada Furqan.
" Betul tu, Mira. Syaitan adalah punca sebenarnya…Syaitan melatih nafsu manusia agar malas beribadat kepada Allah atau malas menunaikan tanggungjawab dan amanah yang dipikul. Dalam Surah al-Hijr ayat 39, ‘Iblis berkata: " Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya...”

Ingat, menuntut ilmu itu fardhu ain. Jangan kita pandang sebelah mata. Laksanakan amanah itu dengan baik. Apabila kira rasa berat untuk itu, jangan pernah lupa untuk menyebut nama Allah. Syaitan itu lemah dengan nama-nama Allah.  Antara doa Nabi , ' Ya Allah, aku memohon dariMu ketetapan dalam urusan kerja dan keazaman atas hidayat'," sempat Furqan memberi bimbingan kepada Amira .
" Terima kasih abang. In Sya Allah, Mira ingat nasihat abang dalam hati Mira," katanya . Amira berasa bahagia kerana mendapat satu suntikan motivasi yang baru daripada Furqan. Senang hatinya mendengarkan nasihat daripada kekasihnya itu.
" Sebenarnya, abang dah tempah Hotel Le Meridien Pyramid. Kita akan menginap di sana untuk 2 hari satu malam. Kita tenangkan minda kita untuk dua hari ini. Alhamdulillah, abang ada duit lebih kali ini. Papa pun ada kirim sedikit wang untuk kita di sini. Apa salahnya kita luangkan sedikit masa untuk berjalan-jalan. Rugi kalau kita sudah jejakkan kaki di sini, tetapi tidak meneroka bumi Mesir ini," ujar Furqan.
Amira tergamam mendengar penjelasan daripada Furqan. Hotel? Dia bagaikan tidak sangka bahawa Furqan merancang semua ini. Amira terdiam seribu bahasa. Dia terkedu, tidak tahu untuk berkata apa-apa.
“ Assalamualaikum…” sapa Furqan dek melihat Amira yang terkaku.
 " Waalaikumsalam…” jawabnya ringkas.
Furqan menarik tangan Amira untuk berjalan-jalan di sekitar kawasan tersebut. Amira hanya menurut. Dia tersenyum sendiri mengenangkan suaminya yang sangat memahami dirinya. Kemudian, Amira menjengket sedikit lalu berbisik di telinga Furqan yang berada di sampingnya.
“Abang, terima kasih,"
Tersenyum Furqan mendengarkan kata-kata penghargaan daripada Amira. Furqan bersyukur. Sekurang-kurangnya dia dapat melihat isterinya kembali gembira. Inilah yang sudah lama terpendam di hati Furqan iaitu ingin membawa Amira berjalan-jalan. Disebabkan oleh kesuntukan masa, mereka hanya mampu untuk berada di rumah sewa dan berjalan di sekitar pekan Kaherah. Itupun sekadar perjalanan ke kampus dan masjid. Akhirnya, doa Furqan termakbul.
" Puas ke ambil gambar di sini. Nanti boleh tunjukkan dekat mama papa. Mesti diaorang teruja," kata Furqan yang datang menyapa Amira. Memang sudah menjadi hobi Amira sejak kecil iaitu menangkap gambar. Sifatnya yang menghargai pengalaman mendorongnya untuk mengambil gambar setiap kenangan yang manis baginya.
" Alhamdulillah. Sayang, jom masuk dalam? Mira teringin nak tengok keadaan dalam piramid ni." Pinta Amira.
Furqan menarik tangan Amira.
“ Kenapa abang?” soal Amira
" Mira, di sini ada tiga piramid besar, Khufu , Khafre dan Menkaure  dan tiga lagi piramid kecil. Piramid dibina atas arahan firaun. Kita tahu, firaun memang seorang pemerintah yang zalim malah ingkar pada perintah Allah. Mana taknya, dia sendiri gelarkan dirinya Tuhan. Semasa dia hidup, dia inginkan semua manusia tunduk kepadanya. Jadi, signifikannya pembinaan piramid ini adalah bertujuan agar manusia masih tunduk kepada firaun walaupun dia sudah mati. Nampak tak, permainan firaun." jelas Furqan. Amira memahami kata-kata Furqan. Begitu hebat fikrah Furqan terhadap pembinaan piramid ini.
" Oh, begitu rupanya. Tak sangka student medic pun tahu tentang perkara ini,"
" Jangan main-main. Student medic bukannya 24 jam pegang mayat je. Ilmu Allah itukan luas. Jadi, semuanya terletak pada hati kita sama ada nak atau tidak. Mira kena ingat itu," kata Furqan.


Selesai, check in  hotel, mereka terus membawa barang masuk ke dalam bilik.
“ Abang…mujur Mira kemas baju lebih…Kalau nak ikutkan, Mira nak bawa dua pasang saja…” ujar Amira.
“ Tak apa. Kalau bawa dua pasang saja, boleh kita membeli-belah. Beli baju baru…” balas Furqan.
“Amboi, banyaknya duit cik abang. Jangan boros. Nanti tengah bulan, kebulur pula suami Mira ni…” usik Amira.
Furqan tersenyum mendengar celoteh Amira. Dia tahu apa yang dia lakukan. Malah, dia telah menyimpan wang di bank sebagai simpanan di masa akan datang. Wang yang ditinggalkan oleh Mak Ngah Diba juga masih dalam simpanannya.

**********

Selesai solat Zuhur berjemaah di bilik, mereka berdua keluar lalu menaiki teksi. Kali ini, sekali lagi Amira dibelenggu persoalan.
" Ke manalah pula, abang nak bawa Mira ni?" Amira berdialog secara sendiri sambil merenung ke luar tingkap.
" Hmm… Sabarlah, sayang…" kata Furqan sambil tersenyum nipis.  Amira tidak menjangka suaranya tadi didengari oleh Furqan.  Sepanjang hampir 4 tahun melayari bahtera perkahwinan, Amira berusaha untuk mengenal Furqan sedikit demi sedikit. Sikap Furqan yang gemar memberi kejutan itu memang Amira cukup kenal. Malah, perkahwinannya dengan Furqan juga adalah satu kejutan baginya.

Pengembaraan mereka bermula di Maqam Imam Syafie. Tidak sah jika tidak menjejakkan kaki di sini sekiranya sudah berada di bumi Mesir ini. Imam Syafie…Itulah imam yang besar maknanya dalam kehidupan kita kerana mazhabnya menjadi ikutan.  Maqam tersebut terletak dalam sebuah masjid. Pada menara masjid tersebut, terdapat replika kapal layar.
“ Apa yang Mira renung tu?” sapa Furqan.
“ Hmm… Tak adalah. Abang perasan tak? Di puncak menara masjid tadi ada macam bentuk mangkuk kan?” ujar Amira.
Furqan cuba untuk mengimbas saat di luar masjid tadi. Puas dia mencuba untuk membayangkan menara masjid sebelum masuk dalam masjid tadi.
“Erm..Yang mana…Hmm…” jenuh Furqan berfikir.
Ting!!!
Setelah lama berfikir, Furqan akhirnya ingat keadaan menara masjid. Furqan terus tertawa kecil apabila mengenangkan kata-kata Amira sebentar tadi.
“ Apa Mira cakap tadi? Mangkuk? Ya Allah. Itu bukan mangkuklah…” kata Furqan yang masih tertawa.
Dahi Amira berkerut melihatkan Furqan yang tertawakan dirinya.
“ Habis? Kenapa abang gelak ni? Mira tak buat kelakarlah…”
“ Sayang…Di puncak menara masjid itu sebenarnya adalah replika kapal layar. Replika itu nak menggambarkan kepada kita bahawa Imam Syafie’ ni seorang yang kuat mengembara dan tabah bermusafir semata-mata untuk menuntut ilmu…” jelas Furqan kepada Amira.
Mendengarkan penjelasan daripada Furqan, Amira pula yang turut tertawa kecil. Hakikatnya, tawanya itu bertujuan untuk menyembunyikan rasa malu dalam diri. Amira sedar dirinya begitu cetek ilmu pengetahuan. Dia lebih bermotivasi untuk menuntut ilmu selepas ini.

Pengembaraan mereka diteruskan walaupun waktu Asar hampir kepada waktunya. Perjalanan mereka yang seterusnya adalah Kubu Salehuddin al-Ayubi. Kubu ini dibina hasil cetusan idea Sultan Nasir Salahuddin al-Ayubi sendiri . Melihatkan Kota Keherah yang besar, luas dan terdedah memberi iham kepada beliau kepada bahaya yang bakal menimpa. Jadi, kubu pertahanan ini dibina sebagai benteng pertahanan daripada serangan luar semasa Perang Salib. Kubu ini terletak di atas bukit. Jadi, pembinaanya memerlukan asas pembinaan yang kukuh dan utuh agar dapat bertahan untuk tempoh yang lama sekaligus peranannya sebagai benteng pertahanan dapat dijayakan. Di dalamnya, didirikan sebuah masjid. Itulah, Masjid Mohamad Ali Pasha yang dibuat dari granit dan batu marmar.
Tedetik di benak fikiran Furqan akan kata-kata Salahuddin al-Ayubi…
Saya meminta kekuatan dan Allah memberi saya kesulitan untuk membuatkan saya kuat.
Saya bertanya tentang kebijaksanaan dan Allah memberikan saya masalah untuk diselesaikan.
Saya meminta untuk kemakmuran dan Allah memberikan saya fakulti dan tenaga untuk bekerja.
Saya meminta keberanian dan Dia memberi saya bahaya untuk diatasi.
Saya meminta cinta dan Dia memberi saya orang-orang yang bermasalah untuk dibantu.
Saya meminta nikmat dan Dia memberikan saya peluang.
Furqan berkongsi kata-kata tersebut kepada Amira. Amira merenung dan berfikir. Kata-kata itu cukup halus dan dalam maknanya…
“ Lamanya berfikir… Jom berjalan ke sana…” Furqan mencuit bahu Amira yang masih ligat memikirkan kata-kata daripada seorang pejuang Islam, al-Ayubi. Mereka terus berjalan, melihat keadaan sekeliling kubu yang cukup luas. Tetiba, Amira bersuara.
“ Abang… kadang-kadang apa yang kita minta belum tentu itu yang Allah bagi kan? Tapi, yang pasti apa yang Allah bagi, itu adalah yang terbaik untuk kita…” ujar Amira.
“ Betul. Kita ni cuma manusia yang pada hakikatnya seorang hamba. Allah, itulah Pencipta kita. Sesungguhnya, dia tahu setiap perkara di hati kita. Sebab tu, kita tak boleh merungut pada setiap yang Allah bagi walaupun pemberian Allah itu bukan permintaan kita. Tapi, kita kena ingat yang setiap pemberiaan Allah itu ada hikmahnya itu diri kita sendiri…” jawab Furqan.
Amira mengangguk sambil tersenyum.
Setelah itu, mereka menunaikan Solat Asar di Masjid Mohamad Ali Pasha yang dibina di dalam kawasan kubu tersebut. Walaupun baru kembara di dua tempat bersejarah, mereka sudah berasa keletihan. Tambahan pula, cuaca di sana yang agak panas.


Sebaik selesai Solat Maghrib dan Isyak berjemaah, Amira terus terlelap. Kepenatan. Keletihan. Itulah yang menyelubungi dirinya sebaik tiba di bilik penginapannya. Furqan membiarkan isterinya beradu. Dalam diam, dia mempunyai satu rancangan yang perlu dilaksanakan olehnya pada malam itu. Furqan ingin jadikan malam tersebut sebagai malam yang tidak akan dilupakan oleh Amira.
           
            “ Sayang…Bangun, Mira…” Furqan menggerakkan isterinya.
            “ Erm… Abang, kenapa?”
            “ Jom kita makan? Mira belum makan malamkan?”
            Amira aneh dengan ajakan suaminya.
            “ Makan? Makan apa malam-malam ni? Aku tak memasak pun? Beli apa pun tidak.” monolog hati Amira. Perasaan tertanya-tanya yang membelenggu dirinya menjadikan rasa mengantuknya hilang. Dia bingkas bangun dan menuju ke bilik air. Wajahnya dibersihkan. Mulut dikumur. Furqan setia menanti di luar bilik mandi.
            “ Abang, sihat tak ni? Tak pernah-pernah tunggu depan bilik air…” soal Amira kehairanan.
            Furqan hanya senyum dan tidak berkata apa-apa. Dia setia mengiringi Amira ke ruang makan.
            “ Masya Allah…” ungkapan indah itu keluar daripada mulut Amira sebaik keluar dari bilik tidur. Suasana ruang makan begitu indah. Dua lilin didirikan di tengah-tengah meja makan. Makanan tersedia dihidang di atas meja dengan susunan yang cukup rapi.
            “ Abang… Apa semua ni?” kata Amira dalam keadaan terpaku.
            “ Sayang… This is for you. Shh..Ikut abang,” Furqan terus membawa Amira ke tempat duduknya di meja makan. Amira hanya menurut. Mereka duduk dalam posisi saling berhadapan. Amira masih terpaku dan tidak mampu untuk berkata-kata.
Furqan terus memerhati Amira dan Amira juga begitu. Mata mereka saling bertentangan.
            “ Abang???” ungkap Amira ringkas.
            Dengan penuh rasa bahagia, Furqan menyatakan kepada Amira.
            “ Ini adalah hadiah daripada abang untuk Taqiyyah Amira, isteri abang. Hadiah daripada seorang suami yang ingin mengucapkan terima kasih kepada isterinya yang sudi menjadi zaujah kepadanya untuk seumur hidup. Hadiah seorang suami kepada isterinya kerana menerima segala kelemahan suaminya. Hadiah daripada abang kepada Mira kerana sanggup hidup dengan abang, susah dan senang. Selama ini, Mira memasak untuk abang. Kali ini, biar abang memasak untuk Mira…” ungkap Furqan.
            “ Abang… abang tak perlu semua ini. Mira ikhlas buat semuanya untuk abang. Mira tahu tanggungjawab Mira. Abang, kelemahan abang adalah kekuatan Mira dan kekuatan abang adalah kelemahan Mira. Allah satukan kita untuk saling melengkapi…” ujar Amira dek terpesona dengan hadiah yang terbentang di hadapannya.
            Mereka saling mengukir senyuman.
           “ Sudahlah…sekarang Mira kena makan masakan abang…” kata Furqan. Belum sempat Furqan menadah tangan untuk membacakan doa, Amira bersuara.
            “ Eh, sekejap! Abang masak? Tapi, macam mana? Dilarang masak dalam bilik penginapankan?” soal Amira.
            “ Panjang ceritanya, Mira. Yang pasti, abang tak masak dalam bilik. Abang memasak di dapur kafe. Itupun setelah mendapat keizinan pihak hotel. Lepas tu, abang upah beberapa pekerja untuk hantar ke bilik dan hias semua ni…” jelas Furqan.
            Sekali lagi Amira terpaku. Dia tidak sangka bahawa Furqan sanggup untuk bersusah-payah semata-mata untuk sediakan hidangan begini untuknya. Sedangkan dirinya terbaring dengan senang hati di atas katil. Segala usaha Furqan itu mengujakan Amira.
            “ Abang…”
            “ Terima kasih…”
          Furqan tersenyum kerana dapat melihat senyuman bahagia pada wajah Amira. Kebahagiaanya itu juga kerana isterinya menghargai usahanya. Dia berasa sungguh puas untuk menyediakan hadiah sedemikian.
            Furqan mengetuai bacaan doa makan dan mereka pun menikmati makan malam yang cukup indah walaupun sudah terlewat.
            “ Mm..sedapnya. Pandai abang masak…” puji Amira.
            “ Heh… Baru tahu. Bukan senang nak cari jejaka macam abang ni dekat Malaysia…” kata Furqan.
" Mira tahu lama dah yang abang pandai memasak. Sejak kenduri Abang Hafiz lagi, Mira dapat tahu yang abang pandai masak. Tapi, waktu tu Mira tak sempat nak rasa masakan abang sebab Mira keluar dengan Kak Lisa. Hari ini, Mira rasa bertuah sangat sebab menjadi satu-satunya wanita yang rasa masakan abang yang terhidang di atas meja ni…” ungkap Amira.
            Malam itu, mereka perlu mendapatkan rehat yang secukupnya kerana seawal pagi lagi mereka akan memulakan satu lagi pengembaraan yang cukup mencabar.


Seawal jam 1.30 pagi mereka sudah tiba di St. Catherine. Amira sememangnya keletihan begitu juga Furqan. Namun, apabila Furqan menyatakan hasratnya untuk membawa Amira mendaki Gunung Sinai atau terkenal dalam Al-Quran sebagai Thursina. Tempat tersebut jauh panggang dari api berbanding Kota Kaherah. Keadaan yang damai daripada kesesakan jalan raya sungguh mendamaikan hati bagi sesiapa yang menjengah ke kawasan tersebut.  
“ Mira…Abang nak Mira tekad untuk sampai di puncak. Jangan mengalah. Lawan semua kelemahan dalam diri. Abang nak Mira lepaskan segala kemalasan Mira di sepanjang pendakian kita…” pesan Furqan kepada Amira.
Amira tersenyum. Dia cuba untuk memasang niat sedemikian. Harapannya begitu tinggi untuk tiba di puncak Thursina. Allah berfirman dalam Al-Quran dalam Surah Ali-Imran ayat 191:
Iaitu orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, Maka peliharalah kami dari siksa neraka.’      

Tatkala kaki jenuh mengatur langkah. Mengharapkan di setiap langkah itu adalah langkah terakhir sebelum sampai ke puncak. Amira sempat menyelami jiwa  Nabi Musa as menjejaki Puncak Thursina bagi menunaikan perintah Allah, menerima Taurat buat pedoman umatnya.
" Huuuhh..Haahhh. Penatnya.." keluh hati kecilnya. Jalan yang berbatu-batu ditambah dengan keadaan gelap menyukarkan langkahnya.  Furqan menggenggam erat tangan isterinya di setiap jejak pendakian tersebut.
            Pendakian selama hampir empat jam itu akhirnya berakhir. Tepat jam 4.50 pagi, mereka tiba ke puncak. Keadaan yang gelap menjadikan pendakian tersebut terasa pendek. Mengapa? Sebab pendaki tidak akan dapat melihat puncak yang masih jauh menanti. Itu psikologi semata-mata.
            Tersenyum Amira dan Furqan sebaik tiba di puncak. Mereka menghembus nafas lega kerana pendakian mereka berjaya. Lafaz syukur mereka panjatkan kepadaNya yang memudahkan perjalanan mereka.
Furqan melabuhkan punggungnya di atas sebuah batu besar di situ. Terduduk kerana keletihan. Keletihan yang cukup bermakna. Amira mengikuti suaminya. Amira pula menemani di sisi Furqan. Mereka kagum melihat kuasa Allah yang terbentang di hadapan mereka.
Pendaki yang lain tidak sabar menanti saat fajar mula menyinari alam. Begitu juga Amira dan Furqan. Amira memecah kesunyian antara mereka berdua.
" Abang, Allah pernah merakamkan dalam Quran, surah al-Baqarah ayat 64 , ' Dan ingatlah ketika kami mengambil perjanjian setia kamu semasa kami angkatkan gunung Thursina di atas kamu sambil kami berfirman:”Terimalah Taurat yang telah kami kurniakan kepada kamu serta amalkanlah dengan bersungguh-sungguh,dan ingatlah apa yang tersebut di dalamnya, supaya kamu bertakwa,' " Itu adalah antara kisah yang dirakamkan oleh Allah dalam Al-Quran tentang Jabal Musa itu.
" Nabi Musa adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan Allah S.W.T. Setiap kali dia hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke Bukit Tursina. Di atas bukit inilah Nabi Musa akan bercakap dengan Allah. Nabi Musa sering bertanya dan Allah akan menjawab pada waktu itu juga. Inilah mukjizat yang tidak ada pada nabi-nabi lain. Subhanallah," jelas Furqan.
" Kalau Mira perhatikan, betapa tabahnya para rasul dan nabi menggalas perintah daripada Allah untuk menyebarkan Islam. Bukan senang amanah yang mereka galas tu. Pasti ada yang menentang. Tapi, para anbiya' tabah dan sentiasa sabar kerana mereka yakin dengan Allah Azza Wa Jalla. Sedangkan kita, tanggungjawab di sini cuma mencari ilmu dan menyebarkan ilmu. Tak sesukar tanggungjawab para anbiya'. Jadi, Mira kena sentiasa muhasabah diri selepas ni. Ingat, diri yang sentiasa ada motivasi tidak mudah putus asa apatah lagi berundur. Kita dah berjaya sampai ke Egypt, takkan nak berpatah balik. Rugi.."
Amira menghayati pesan Furqan. Dia tahu, Furqan ingin dirinya kuat dan tabah menghadapi pancaroba di bumi Egypt ini.
“ Subhanallah… Indahnya…”
Di ufuk timur, fajar beranjak mula memperlihat diri. Warna langit yang kuning kemerahan menjadi latar belakang yang cukup mempesonakan. Suasana menjadi lebih terang ketika itu.
Amira mula melihat sekeliling. Dia dapat melihat, setiap insan di situ menyatakan rasa syukur. Begitu juga dirinya. Tatkala dia memerhati sekeliling, Amira mulai perasan. Di situ terdapat dua tempat ibadat. Ada gereja, ada juga musolla. Baru dia sedar di situ, bukan sahaja pendaki dalam kalangan orang Islam, malah turut juga mendaki mereka yang beragama Kristian.
Dia juga mendapati keadaan di puncak tidak teratur. Batu-batu berselerakan. Bagaikan baru tertimpa gempa bumi. Melihatkan keadaan tersebut Amira teringat kisah Nabi Musa ketika diminta olehnya untuk melihat Zat Allah SWT. Nabi Musa a.s bermohon “Ya Allah! berilah kesempatan kepadaku melihatmu”.  Allah menjawab: “Engkau tidak dapat melihat-Ku wahai Musa, tetapi cubalah engkau lihat ke gunung itu. Sekiranya gunung itu kukuh di tempatnya itu, engkau tentu dapat melihat Aku.”
Kemudian Allah memperlihatkan diri-Nya terhadap gunung itu. Apabila Allah memperlihatkan diri-Nya kepada gunung itu, maka gunung itu menjadi hancur. Melihat peristiwa kehancuran gunung itu, maka Nabi Musa pengsan. Sesudah Nabi Musa sedar, maka terus Nabi Musa sujud dan bertaubat kepada Allah SWT :
"Maha Suci Engkau, aku bertaubat kepada Engkau dan aku orang yang pertama-tama beriman".
Allah merakamkan kisah tersebut dalam Al-Quran dalam Surah Al-A’araf, ayat 143.
Seusai Solat Subuh di puncak Thursina itu, Amira dan Furqan lalu mengatur langkah untuk menuruni bukit tersebut. Kepuasan menyelubungi kalbu apabila berjaya mendaki hingga ke puncak.


Tidak banyak tempat yang mereka lawati tetapi, yang pasti Furqan bijak memilih kawasan untuk diziarahi. Setiap lokasi pasti meninggalkan sesuatu yang membina dalam diri Amira. Gunung Thursina itu menjadi lokasi terakhir sebelum mereka berangkat ke Kota Kaherah. Lokasi terakhir itu betul-betul terkesan pada hati Amira. Dia sedar akan erti mujahadah yang pahit dan berduri. Amira semat kata-kata ‘ teguh mujahadah, tetap istiqamah’ dalam dirinya. Dia yakin kebahagiaan menanti bagi mereka yang tabah dalam perjuangan.
            Selepas ini, akan bermulalah kembali pahit dan manis perjalanan menuntut ilmu. Demi tuntutan Fardhu Ain, teguh berdiri melaksanakannya.



BERSAMBUNG...
* Maafkan salah dan silap yang terdapat dalam karya ini. 
Buang yang keruh, ambil yang jernih. In Shaa Allah.

Assalamualaikum


Thanks For Reading شكران.

0 400 is kind-heart: