Novel Bersiri : Indahnya Takdir Ini 11

 
NOVEL ISLAMI
NOR AISHAH BT NORRIFIN


BAB 11: Seiring Sehaluan




Terasa begitu pantas masa berlalu. Kini sudah hampir empat tahun mereka berada di bumi Mesir menjalani kehidupan sebagai pelajar di bumi Ardu Kinanah ini. Sepanjang tempoh itu, belum pernah sekalipun mereka pulang ke tanah air. Kedua-duanya sepakat untuk fokus pada pengajian di Mesir sebelum pulang ke Malaysia. Tambahan lagi, kedudukan kewangan mereka belum cukup kukuh. Sekadar pekerjaan sampingan yang dilakukan oleh Furqan iaitu menjaga toko buku di kawasan pekan Kaherah.
            Setiap kali kerinduan mencengkam jiwa, hanya telefon sebagai penghubung. Kadang kala, utusan emel sebagai perantara menyatakan kerinduan yang bertandang. Namun demi sebuah impian dan harapan, Amira reda akan ketentuan itu. In Sya Allah andai nyawa masih dikandung badan, pertemuan itu pasti berlaku.
            Namun ada kalanya, emosinya terganggu apabila mama mula menyuarakan hasratnya untuk menimang cucu. Amira sendiri tidak tahu, jawapan apakah yang harus dia berikan kepada mama. Amira dan Furqan bukannya merancang, namun rezeki belum berpihak kepada mereka. Mereka hanya mampu untuk ikhtiar dan berdoa. Selebihnya, mereka serahkan kepada yang Maha Kuasa.
            Kadang kala, Amira diulit kebimbangan andainya ditakdirkan tidak memiliki cahaya mata untuk selamanya. Dia takut jika Furqan tidak boleh menerima keadaan ini. Dia tahu, Furqan reda dengan keadaan ini. Tapi, Amira tetap bimbang sekiranya Furqan akan mempersoalkan hal ini di kemudian hari. Namun sehingga kini, Furqan tidak pernah menyuarakan tentang masalah itu.
            “Abang... Tadi mama call. Diorang kirim salam pada abang.” Kata Amira
            Furqan yang dari tadi tekun menelaah buku, kemudian memandang ke arah Amira. Furqan begitu ingin tahu khabar dan cerita daripada keluarga di tanah air.
            “ Waalaikumsalam…Mama dengan keluarga sihat? Apa cerita diorang dekat sana? Lama tak dengar khabar…” ujar Furqan.
            “ Alhamdulillah..Mama dengan papa sihat. Lagipun, tak lama lagi diorang nak buat umrah. In Sya Allah, bulan depan…” seronok Amira menceritakan khabar mama dan papa kepada Furqan. Terubat rindunya yang kian membengkak dalam hatinya selama ini. Furqan turut bahagia apabila dapat melihat isterinya terubat rindu.
            “ Tapi abang…Mama ada tanya tentang kita…” nada suara Amira berubah secara tiba-tiba. Furqan aneh dengan perubahan tersebut lantas, bertanya.
            “ Kita? Tanya apa?”
            Amira mula serba salah. Malah dia juga berasa malu untuk mengutarakan persoalan tentang anak. Namun Amira juga mahu tahu tentang isi hati Furqan.          
            “ Ermm…Tentang cucu. Mama kata, kita dah lama kahwin. Tapi, sampai sekarang belum ada anak. Mama risau kalau Mira ada penyakit. Tapi, Mira tahu sebenarnya mama bukannya risau tentang tu. Mama sebenarnya begitu inginkan cucu daripada kita…”jelas Amira.
            Furqan fokus pada perbicaraan isterinya itu. Dia kemudiannya bangun daripada tempat duduk. Langkahnya diatur menuju kepada Amira.Dia begitu memahami perasaan Amira. Perasaan seorang isteri yang begitu inginkan cahaya mata…
            Furqan pun duduk di samping Amira. Tangan Amira dibelai lembut.
            “ Sayang…kita dah bincang perkara ini lama dah kan. Ini kerja Tuhan..” Furqan cuba untuk menyentuh hati Amira.
            “ Abang. Mira nak tanya boleh?”
            “Mira nak tanya apa?” soal Furqan.
            “Abang tak kisah ke fasal anak? Kalau ditakdirkan kita tak ada anak, macam mana?”       
            “Tidak boleh ditolak qadar Allah Taala melainkan doa. Dan tiada yang boleh memanjangkan umur melainkan membuat baik kepada ibu bapa.” (Hadis riwayat Hakim, Ibnu Hibban dan Tirmidzi)
Mira, semuanya adalah ketentuan daripada Allah SWT. Setelah kita berusaha, kita serahkan kepada-Nya. Jangan runsing dengan memikirkan hal sebegini. Sesungguhnya Allah lebih tahu apa yang terbaik buat hamba-hamba-Nya. Kita harus yakin kepada Allah SWT. Siapa yang tidak mahukan anak... Semua orang yang mendirikan rumah tangga pasti memiliki hasrat untuk memiliki zuriat. Tapi rezeki tidak berpihak kepada kita kali ini. Kita harus ingat, mungkin ada hikmahnya kenapa sehingga kini, kita masih belum dikurniakan anak…Jangan berputus asa. Sesungguhnya orang beriman itu tidak berputus asa,” balas Furqan dengan tenang. Sedikit pun tiada riak kecewa atau bersedih yang tergambar di wajahnya.
            ‘Ya Allah... Kenapalah aku berfikiran seperti ini. Kenapa aku tidak bersyukur dengan nikmat yang Kau kurniakan sehingga mempersoalkan tentang qada dan qadar -Mu. Ya Allah, aku reda dengan apa yang Kau tentukan buatku,’ detik hati kecil Mira.
            Hati Amira kembali tenang mendengarkan kata-kata Furqan. Sekurang-kurangnya, Furqan tidak menyalahkan dia dalam hal ini. Ada benarnya apa yang dikatakannya, semua ini adalah qada dan qadar Allah. Amira begitu bersyukur kerana sepanjang tempoh empat tahun di sini, dia dan Furqan dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran. Malahan boleh dikatakan keputusan peperiksaan mereka amat membanggakan.

**********
           
" Abang, bangun bang. Subuh. Nanti terlewat. …" sebaik Amira terjaga dari lena, dia terus menggerakkan Furqan. Kelihatan Furqan sungguh penat kerana dia sibuk mengulang kaji Phrarmacology semalam.. Amira dapat melihat bagaimana dia begitu tekun mempelajari subjek perubatan itu. Semua ini terbukti apabila dia berjaya melepasi tahun pertama sehingga tahun ketiga dengan pangkat mumtaz dan ada kalanya jayyid jiddan.
            Amira sendiri berpendapat kesukaran subjek pada tahun pertama, kedua dan ketiga tidak kurang hebatnya. Namun, itulah yang dikatakan kegigihan dan semangat. Amira tahu bagaimana Furqan menaruh cita-cita setinggi langit untuk menjadi seorang pegawai perubatan. Amira sendiri sebagai pelajar Syariah sentiasa bangga dengan suaminya yang sanggup menggalas cabaran sebagai pelajar perubatan di sini.
            Dalam kesibukan menuntut ilmu, Furqan dan Amira tetap bangun untuk Tahajjud. Sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Mereka tidak mahu ketinggalan saat-saat indah berdua-duaan dengan Pencipta
            " Abang… Bangun, sayang. Kita subuh sama-sama," sekali lagi Amira menggerak si suami.
            Badannya mula bergerak tanda dia sudah terjaga. Amira yang melihat riak lemah pada tingkah Furqan mulai menghampiri Furqan. Perlahan-lahan dia mengurut belakang Furqan. Harapannya agar Furqan lebih bertenaga untuk meneruskan hari itu.
            "Eeemm. Terima kasih, sayang. Abang bangun dah.” Ungkap Furqan bertemankan senyuman.
            “ Sama-sama, sayang. Mira dah mandi. Sekarang, abang pula. Mira tunggu kita Jemaah sama-sama, ya…” balas Amira lantas meninggalkan katil. Furqan begitu bahagia apabila paginya dimulakan dengan senyuman daripada isterinya. Segala keletihan terasa seperti hilang serta-merta.

' Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah ar-Razzaq. Engkau permudahkanlah rezekiku serta keluargaku. Ya Allah, Kau tunjukkanlan aku jalan yg terbaik untuk aku harungi segala dugaan-Mu. Sekiranya isteri ku tergoda dengan keindahan dunia-Mu. Limpahkanlah aku kesabaran untuk terus membimbingnya. Ya Allah, Engkau yang Maha Mengetahui, Engkau kurniakanlah kami zuriat dalam kalangan yang soleh dan solehah. Ya Allah ya Alim, kami berada dalam jalan menuntut ilmu. Engkau kuatkan kami agar dapat menempuh cabaran di bumi Mesir ini. Engkau berikan kami kefahaman dan lapangkan dada kami agar Ilmu yang kami peroleh mudah meresap ke dalam dada kami. …' Sayup sahaja doa yang dipanjatkan oleh Furqan.
 Air mata mengalir tanpa sedar menitis ke atas telekung yang suci berwarna putih. Amira tahu, bukan dirinya sahaja yang merindukan kehadiran insan bergelar cahaya mata. Malah, Furqan turut merasainya. Namun, Furqan tidak pernah merungut. Itu yang membuatkan Amira begitu kagum terhadap suaminya yang tabah menerima keadaan ini.
            “ Kalau dia kuat. Aku mesti kuat…” bisik hati Amira.
            Sebaik selesai bacaan doa, Furqan terus memalingkan wajahnya ke belakang. Wajah Amira ditenung dengan senyuman. Tangan digapai, Amira lantas mengucup tangan suaminya itu.
            " Abang, Mira minta maaf atas kesilapan Mira,"
            " Abang sudah maafkan isteri abang," jawabnya sambil mengusap kepala Amira
. "Sekiranya abang lalai dalam tanggungjawab sebagai suami, tegurlah abang.Kalau ada hak yang belum abang tunaikan, ingatkan abang..Maaf, kalau abang bukan suami yang terbaik untuk Mira," ujar Furqan kepada Amira
            " In Sya Allah, abang suami yang amanah. Abang sentiasa perfect di mata Mira. Abang, suami yang sangat Mira banggakan," kata Amira sambil menatap bebola mata Furqan yang berwarna biru kehitaman.. Furqan mendekati Amira lalu dikucupnya dahi Amira. Sungguh bahagia dia rasakan saat kucupan daripada sang suami hinggap di dahinya yang bergelar isteri

**********

Hidup tidak selalunya indah. Langit tak selalu cerah. Suram malam tak berbintang. Itulah lukisan alam. Begitu aturan Tuhan. Amira menyedari akan hakikat demikian. Tidak dapat dinafikan apabila terkadang rasa menyesal mengulit kalbunya. Namun, wajah mama dan papa sentiasa mengingatkannya agar terus tabah mengharungi kehidupan di situ. Lagipun, minatnya begitu mendalam untuk menjejakkan kaki ke Bumi Anbiya’ untuk meneroka ilmu yang terkandung dalamnya.
            Asyik Amira merenung sekeping gambar. Gambar yang memaparkan dua wajah kesayangannya. Mama dan papa. Empat tahun berpisah daripada mereka. Sukar bagi dirinya untuk memendam rasa rindu yang kian membengkak di sanubarinya.
            “ Sayang... tengok apa tu?” tegur Furqan. Dia mula menghampiri Amira yang duduk di meja belajarnya.
            Amira yang terdengar sapaan Furqan lantas menyapu air mata yang bergenang di kelopak matanya.
            “ Hmm...Tengok gambar mama dan papa,”
            “ Oh, ingatkan apa tadi!”
            Amira terdiam. Furqan melihat isterinya yang membisu. Kebiasaanya, Amira seorang yang gemar bercerita. Harapan Furqan ingin mendengar cerita daripada isterinya. Namun, sebaliknya yang terjadi. Furqan yakin, pasti ada sesuatu yang bermain jauh di sudut hati Amira.
            “ Sayang...” Furqan memanggil.
            Amira memandang Furqan tanpa bicara.
            “ Are you okay?”
            Amira mula mengukir senyuman. “ Yeah. Alhamdulillah. Nothing’s wrong,”
            “ Abang tahu Mira rindukan mama dan papa... Tabahlah, Amira,” ujar Furqan.
            “ Abang... Betul Mira rindukan dia orang. Tapi, kehadiran abang di sini sedikit sebanyak meredakan kerinduan Mira dekat mama dengan papa,” balas Amira.
            “ Baguslah. Mira sepatutnya bersyukur masih ada mama dan papa. Abang? Abang dah tak ada sesiapa dah...”
            Amira meletakkan gambar tersebut di dalam laci. Dia kembali melihat wajah Furqan.
            “ Abang, selama 4 tahun kita bersama. Abang tak pernah cerita tentang keluarga abang. Kalau tak keberatan, boleh Mira tahu? Kisah keluarga abang...”
            Furqan terdiam. Fikirannya mula mengimbas memori silam. Wajah insan-insan yang telah banyak berkorban untuknya kembali menggamit rindu di kalbu. Amira memerhati suaminya yang terdiam.
            “ Abang...Kalau tak nak cerita, tak apa. Mira tak kisah. Itu hal peribadi abang, kan? Minta maaf, bang,”
            “ Eh, Mira tak buat salah pun! Abang akan ceritakan. Hal peribadi abang, hal peribadi isteri abang juga,” ujar Furqan.
            Furqan pun menceritakan kisah keluarganya yang tidak pernah diketahui oleh Amira.

            Furqan dilahirkan dalam keadaan yatim piatu tidak berayah. Dia dan ibunyalah yang menjadi penghuni pondok kecil di sebuah kampung yang terpencil. Untuk membesarkan satu-satunya anak, mak sanggup bekerja siang dan malam. Pada paginya, mak akan bekerja di sawah padi. Pada petang hari pula, bermulalah perniagaan mak di pasar malam. Kuih-muih yang dimasak oleh mak sungguh enak sehinggakan, hampir setiap hari jualan mak di pasar malam licin.
            Dengan berbekalkan hasil perah keringat mak, Furqan disekolahkannya di Sekolah Tahfiz Sains Al- Ikhwan. Di sanalah, Furqan terjun ke dunia tahfiz. Mak sentiasa menitipkan pesan kepada Furqan setiap kali selepas solat,
            “ Ahmad... Mak hidup tak lama. Bila-bila saja mak boleh pergi. Tapi, mak harap mak dapat tengok Ahmad berjaya. Tuntutlah ilmu dengan ikhlas, kerana itu akan menjadi bekalanmu di alam barzakh. Nanti, bila Ahmad berjaya hafaz Al-Quran, jangan lupa bawa mak bersama Ahmad masuk syurga...”
            Furqan sentiasa semat pesan keramat mak yang tersayang. Membesar dalam keadaan yang susah dan yatim menjadikan Furqan seorang yang cepat matang. Semasa umurnya menjangkau 10 tahun, Furqan mendapat tahu bahawa mak menderita penyakit darah tinggi. Mak meniti usia senja dengan cukup kuat untuk memastikan Furqan dapat terus mengaji.
            Sebaik Furqan meniti usia 11 tahun, mak menyuruhnya agar tinggal di asrama. Itu tidak menjadi masalah untuk anak lelaki itu. Memikirkan kos untuk pelajar asrama menjadikan Furqan begitu berat hati untuk menuruti kata maknya itu. Lagipun, Furqan turut gundah akan keadaan mak yang sakit dan keseorang sekiranya dia melangkah ke dunia asrama.
            “ Mak, kalau mak tak cukup duit, tak apa. Ahmad berhenti sekolah ya?” ujar Furqan kepada mak di ruang tamu.
            “ Jangan Ahmad!!! Mak tak nak Ahmad berhenti sekolah. Pergi sahaja. Esok siapkan barang-barang kelengkapan untuk ke asrama. Jangan risaukan mak!!!” tegas mak.
            “ Tapi mak...Mak tak cukup duit kan?”
            Mak terdiam seketika.
            “ Tidak!!! Ahmad mesti pergi esok. Mak ada duit untuk sekolahkan Ahmad...” balas mak.
            Furqan menurut. Jauh di sudut hatinya, dia tahu mak mengalami kesulitan. Sesungguhnya, Allah jualah yang memudahkan urusan mereka. Hari demi hari, Furqan mendapatkan telefon awam untuk menanyakan khabar mak.
            “ Assalamualaikum, mak...”
            “ Waalaikumsalam...”
            “ Ahmad...Esok mak datang. Mak melawat Ahmad, ye.”
            Betapa gembiranya hati Furqan sebaik mendapat tahu berita tersebut. Furqan begitu tidak sabar menanti kedatangan mak. Dia tahu, mak pasti datang bersama makanan kegemarannya.
            Furqan menanti pengumuman daripada pejabat pengurusan tentang kedatangan maknya untuk melawat.
            “ Ahmad Firdaus bin Saad sila ke pondok pengawal, anda ada pelawat...”
            “ Zakaria Attar bin Fauzan sila ke pondok pengawal, anda ada pelawat...”
Dari jam 10.30 pagi, Furqan menanti kedatangan ibunya. Tiada pengumuman yang menyebut namanya. Dalam hati Furqan, terbit perasaan risau. Dalam doa, Furqan memohon agar perjalanan mak dimudahkan oleh Allah SWT.
            “  Ahmad Furqan bin Tirmizi sila ke pondok pengawal, anda ada pelawat...”
            Begitu lega hati Furqan sebaik mendapat tahu kedatangan ibunya. Dengan hati yang berbunga-bunga Furqan menuju ke pondok pengawal dan mendapatkan mak. Tangan mak disambut oleh Furqan dengan kucupan. Menitis air mata mak dapat melihat keadaan puteranya yang sangat gembira. Mak rasakan bahawa sungguh lama dia tidak berbual, makan bersama dan menatap wajah anak lelakinya itu.
            Dengan segera mak mengesat air mata yang bebaki di wajahnya. Dia tidak mahu Furqan melihat wajahnya yang bersedih. Seperti yang dijangkakan oleh Furqan, mak membawa masakan pucuk paku masak lemak. Bahagia mak dapat melihat anaknya itu menikmati air tangannya.
            Furqan memerhati wajah maknya. Dilihatnya, kedutan pada wajah mak semakin bertambah. Bibir mak semakin pucat. Mata mak sembap. Malah, wajah mak semakin mencengkung.
            “ Mak... mak sihat tak?” tanya Furqan.
            “ Mak sihat, Ahmad...Sedap ke?”
            Furqan tersenyum. Dia mengangguk menyatakan keenakan masakan maknya itu.
            Jam menunjukkan pukul 6.00 petang. Mak bergegas untuk pulang. Dikhuatiri, dirinya akan dihalau oleh pengawal keselamatan. Furqan jenuh memikirkan keadaan mak yang bakal pulang ke rumah sendirian. Suasana sudah mula senja dan gelap tidak lama lagi. Mak  merenung mata Furqan sebelum keluar melalui pintu pagar utama. Lain rasanya saat itu. Dalam hati mak, sukar untuk dia lepaskan anaknya. Perit rasanya untuk dia berjauhan daripada satu-satunya anaknya itu. Namun, mak tahu asrama adalah tempat terbaik untuk Furqan menimba ilmu. Kerana di situ Furqan tidak akan melihat keadaan susahnya dalam mencari rezeki.
            “ Sayang, mak...Belajar elok-elok ye. Ingat semua pesan mak dekat Ahmad sebelum ni. Ahmad. Ahmad adalah satu-satunya warisan mak. Mak dah tak ada sesiapa dah. Ingat, kalau nakkan dunia, mesti ada ilmu. Kalau nakkan akhirat juga mesti ada ilmu. Kalau nakkan kedua-duanya jua dengan ilmu. Jangan jemu menuntut ilmu, nak. Kita ni orang susah, Ahmad. Ilmu itu yang akan menjadikan Ahmad kaya...Jangan bongkak dengan ilmu...Ikut resmi padi. Makin berisi makin tunduk,” pesan mak. Jenuh mak menahan sebak dalam hatinya. Air mata mula bergenang.           
            “ Ya, mak. Ahmad ingat semua pesan mak...Mak jaga diri tau. Janji dengan Ahmad!!!”
            Mak tersenyum mendengar ungkapan anaknya itu.
            “ In Sya Allah. Allah ada untuk jaga mak. Ahmad, jangan lupa bawa mak masuk syurga bersama dengan Ahmad nanti...”
            Sebak menyelubungi kalbu Furqan ketika itu. Lantas, tubuh si tua itu didakapnya dengan penuh rasa kasih dan sayang. Dia tahu, tubuh itulah yang selama membesarkan dirinya. Walaupun, dirinya bergelar wanita namun dia kuat untuk membesarkan Furqan tanpa suami di sisi.
            “ Ya mak...Ahmad akan bawa mak masuk syurga Allah. Ahmad akan pimpin tangan mak ke sana, mak...”balas Furqan.
            “ Assalamualaikum,”
            “ Waalaikumsalam,”

Saban hari, Furqan pasti menuju ke pondok telefon untuk menanyakan khabar mak seperti biasa. Dia akan pastikan walau sesibuk mana pun urusannya, dia akan mencari satu ruang untuk mendengar suara insan yang memberinya peluang untuk melihat dunia.
           
            “ Lamanya... Kenapa mak tak angkat ni?”
            Tutttt...
            Panggilan terputus. Furqan memasukkan duit syiling bernilai 10 sen sekali lagi.
            Tuttt...
            Sekali lagi, panggilan terputus.
            “ Mak masih di pasar agaknya. Ya Allah, jagalah mak walau di mana dia berada...” monolog Furqan. Dia meninggalkan pondok telefon itu dengan rasa hampa. Belum pernah panggilannya tidak dijawab oleh mak. Perasaan risau mula menjalar di ruang hati Furqan. Setiap sujudnya, pasti didoakannya kesejahteraan mak.
            Keesokan harinya, Furqan mendapat khabar yang mengusik kalbunya. Ternyata, panggilannya tidak dijawab tempoh hari kerana mak menjawab panggilan Allah. Saat itu, Furqan diselubungi rasa sedih. Dia sungguh kesal kerana tiada bersama dengan mak saat mak menghembuskan nafas terakhir. Penyakit mak sudah semakin teruk sehinggakan diri mak sendiri tidak mampu menangkis penyakit tersebut.
            Furqan sentiasa mengingati pesan maknya. Dia begitu tidak sabar untuk memimpin tangan mak menuju syurga Allah seperti yang mak selalu pesankan kepadanya.
            Sejak hari itu, Furqan tetap bersekolah di sana tetapi di bawah jagaan Mak Ngah Diba iaitu kakak kepada arwah abah. Mak menitipkan amanah tersebut kepada Mak Ngah Diba kerana mak tahu, keadaan ekonomi Mak Ngah Diba pasti mampu untuk memberikan kehidupan yang jauh lebih baik kepada anaknya itu. Lagipun, Mak Ngah Diba tiada cahaya mata sepanjang perkahwinannya.
            Mak Ngah Diba menjaga Furqan dengan begitu baik. Wajah Furqan yang mirip dengan wajah arwah abangnya itu membuatkan Mak Ngah Diba senang untuk membesarkan Furqan. Mak Ngah Diba tidak pernah menyekat kebebasan Furqan dan kemahuan Furqan.
            Namun, Allah lebih sayangkan Mak Ngah Diba. Ketika Furqan mengambil STAM, Mak Ngah Diba meninggal dunia. Ketika itu, Furqan benar-benar hilang tempat bergantung. Namun, umurnya yang sudah matang menjadikan dirinya mampu untuk mengurus hidupnya sendiri. Berbekalkan harta yang ditinggalkan oleh Mak Ngah Diba, Furqan meneruskan kehidupan. Dari situ, Furqan mula mengenali kumpulan Pasukan Tilawah dan hidup dengan Faiz.

            Panjang lebar Furqan bercerita kepada Amira. Tanpa sedar, wajah isterinya itu sudah dibasahi air mata. Teresak-esak Amira menangis mengenangkan kisah kehidupan Furqan yang cukup hebat ranjaunya.
            “ Allahuakbar...Teruknya Mira nangis. Sini...” ujar Furqan. Dia mengesat air mata yang membasahi pipi isterinya itu.
            “ Ya Allah... Hebatkan, arwah mak. Mira tak tahulah, Mira mampu atau tidak berhadapan dengan situasi yang dihadapi oleh arwah mak,” ujar Amira.
            “ Betul. Arwah mak semangnya insan yang paling hebat dalam hidup abang. Abang akan sentiasa rindukan dia...”
            “ Abang... Mira akan menyayangi abang dengan setulus hati Mira. Mira tak nak abang sedih,”
            “ Eh, sekarang ni siapa yang sedih...” balas Furqan.
            Amira tersentap. Dia mula sedar bahawa Furqan sedang bercanda.
            “ Abang!!! Orang serius. Dia main-main pula,” balas Amira sambil mencubi lengan suaminya itu.
            Furqan tertawa kecil. Akhirnya, niat Furqan untuk menceritakan kisah keluarganya terlaksana. Dia tahu bahawa Amira berhak untuk mengetahui masa silamnya.
            Baru Amira faham kenapa kebanyakan ahli rombongan merisik dan meminangnya lalu ialah ahli pasukan tilawah. Ternyata, ahli pasukan tilawah merupakan sebahagian daripada keluarga Furqan.
            Amira dakap potret gambar mama dan papa. Tidak terkira lafaz syukur dalam kalbunya kerana masih diberi kesempatan untuk merasai kasih sayang seorang ibu dan ayah. Malam itu, Amira menelefon mama dan papanya. Dengan penuh rasa rindu, diluahkannya betapa sayangnya dia kepada kedua-dua insan itu. Saat itu, ego dalam diri Amira tidak lagi bermaharaja lela.
            Teringat antara lirik dalam lagu Lafaz yang Tersimpan daripada kumpulan UNIC

Tiada lagi ertinya pengucapan
Andai akhir nafas di hujung helaan
Sebelum mata rapat terpejam
Usah biar kehilangan
Menggantikan lafaz yang tersimpan



BERSAMBUNG...
* Maafkan salah dan silap yang terdapat dalam karya ini. 
Buang yang keruh, ambil yang jernih. In Shaa Allah.

Assalamualaikum


Thanks For Reading شكران.

0 400 is kind-heart: