Novel Bersiri : Indahnya Takdir Ini 10

 
NOVEL ISLAMI
NOR AISHAH BT NORRIFIN


BAB 10: Demi Cinta Suci





Alhamdulillah... Akhirnya, mereka selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Cairo kira-kira jam 3 petang. Menaiki pesawat Egypt Air dari KLIA mengambil masa selama 8 jam. Cukup melenguhkan anggota tubuh badan.
            Terlalu asing mereka rasakan sebaik sahaja menjejakkan kaki di bumi anbiya. Tiba-tiba hati Amira dipagut pilu mengenangkan keluarga yang jauh di mata. Air matanya mula bergenang. Pasti akan gugur bila-bila masa. Melihatkan gelagat manusia yang bersama ahli keluarga mereka, membuatkan dia teringat kepada mama, papa dan Abang Hafiz. Walaupun belum sampai 24 jam dia berpisah daripada mereka namun, dia telahpun merindui lambaian terakhir daripada mereka sebelum dia menaiki pesawat.
            Setiap langkah,  fikirannya melayang memikirkan masa lalu, masa yang akan datang. Pelbagai senario yang terbayang di jendela mindanya. Air mata yang tadinya bertakung di kelopak matanya kini sudah berjuraian membasahi pipi.
            “Mira... Kenapa ni? Janganlah bersedih... Abang kan ada?  Sekarang Mira adalah tanggungjawab abang. Mira, kita ke sini bukan untuk berbulan madu tetapi lebih daripada itu. Kedatangan kita di sini adalah untuk menuntut ilmu. Ingat, Allah pernah berfirman yang bermaksud:
Allah memberikan hikmah (ilmu pengetahuan) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan bererti ia telah diberikan kebaikan yang banyak.’ (Al-Baqarah:269)”
            Mendengarkan kata-kata Furqan membuatkan terbuka mata Amira. Kata-kata Furqan tepat menusuk kalbu Amira. Ya... Benar, inilah yang Amira inginkan selama ini. Meneroka ilmu di bumi penuh berkat. Terkandung kisah-kisah yang memberi seribu pengajaran yang pernah dilalui oleh para rasul, para nabi, wali-wali  Allah dan para sufi. Di bumi ini juga, menyaksikan keangkuhan seorang manusia bernama Firaun yang mengaku dirinya sebagai Tuhan. Walau sehebat manapun kuasa dan penentangannya, dia tidak terdaya untuk menahan kehendak Allah untuk melenyapkannya dari muka bumi ini.
            Senyuman mula diukir pada wajahnya. Amira tenang bersama Furqan. Malah, dia  lebih bersemangat untuk meneruskan langkahnya di sini, Bumi Anbiya’.
            “Terima kasih abang, kerana menyedarkan Mira. In Sya Allah Mira akan tabah menghadapinya.”
            Furqan tersenyum memandang ke arah isterinya. Lalu tangan Amira diraihnya. Erat dia genggam jari-jemari Amira. Bahagia dirasakan oleh Amira saat itu. Genggaman yang erat itu membuatkan dia sedar bahawa di sampingnya ada dia…Dia yang akan setia menemaninya. Itulah dia kekasihnya setelah Allah dan Rasul, Furqan Mereka berjalan menuju ke balai ketibaan untuk mengambil bagasi. Selesai segala urusan, mereka terus bertolak ke Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah (ARMA) di mana tempat ramai pelajar Malaysia di Universiti Al-Azhar bermastautin.
            Pengalaman pertama menaiki teksi  agak menakutkan dan cukup menjenuhkan mereka. Pening kepala Amira dibuatnya. Malah darahnya berderau dengan cara pemanduan pemandu di situ. Sepanjang perjalanan riuh rendah dengan pelbagai bunyi hon kereta. Bersahut-sahutan. Cukup membingitkan telinga. Memandu bagaikan berlumba. Amira hairan, apalah yang hendak  mereka kejarkan. Tidakkah terdetik di hati mereka, andai tersilap langkah bahana pasti menanti. Doanya tidak putus-putus di dalam hati untuk keselamatan mereka bersama.
            Sepanjang perjalanan, Amira lebih selesa melelapkan mata. Sekurang-kurangnya mengurangkan tekanan yang dirasakan detik itu. Harapannya, biarlah cepat sampai ke destinasi.
            Akhirnya sampai jua mereka di ARMA. Ketika itu, sudah pun masuk waktu Asar. Mereka menunaikan solat Asar berjemaah dan kemudian berkumpul kembali di dewan. Di sinilah semua pelajar baharu dari Malaysia berkumpul bagi mendengar taklimat dan ceramah sebagai persediaan memulakan kehidupan di daerah asing. Begitu ramai para pelajar Malaysia di sini, seolah-olah mereka berada di bumi Malaysia.
            Perut semakin berkeroncong, keletihan mula menjalar di segenap urat. Syukur, mereka turut dihidangkan dengan makanan. Dapatlah mereka melepaskan lelah seketika.
                       
**********

Bermulalah dunia baru antara Amira dan Furqan sebagai pelajar di Universiti AL-Azhar yang merupakan pusat pengajian ulung di dunia. Universiti ini mempunyai banyak cawangan. Malah mahasiswa dan mahasiswi diasingkan. Di Mesir sahaja, terdapat 10 cawangan Universiti Al-Azhar dan setiap cawangan terdapat pelbagai fakulti yang berbeza. Universiti Al-Azhar menjadi pilihan pelajar dari serata dunia seperti Malaysia, Indonesia, China, Thailand, benua Afrika, benua Eropah dan lain-lain. Kuliyyah ataupun fakulti kami terletak di muhafazah (kawasan) Kaherah.
            ‘Ya Allah... Akhirnya Kau makbulkan jua doaku selama ini. Berada di bumi Ardul Kinanah (bumi panahan atau anak panah) memberi peluang buat aku menyelami erti perjuangan.’
            “Mira, kita akan mula hidup baru di sini. In Sya Allah semuanya okey. Kita harus ambil peluang menimba ilmu sebanyak mungkin,” ungkap Furqan.
            “In Sya Allah. Mira takkan sia-siakan peluang yang ada. Moga dengan ilmu yang Mira perolehi ini, akan dapat dikongsikan kepada masyarakat di negara kita nanti.”
            Furqan tersenyum senang. Cinta terhadap Amira semakin subur. Dia mengharapkan kasih sayang yang terbina akan terus bertaut.      
            Mereka tinggal di bandar Kaherah yang merupakan  kawasan tumpuan masyarakat Mesir. Kepadatan penduduk begitu tinggi ditambah pula dengan kehadiran orang luar dengan pelbagai tujuan sama ada untuk belajar, bekerja mahupun melancong. Ini menyebabkan bandar Kaherah menjadi salah sebuah bandar yang tersibuk di dunia.

*********

Menjalani kehidupan dan menyambung pengajian di luar negara merupakan peluang yang sangat baik. Tambahan pula, Mesir merupakan sebuah negara yang penuh dengan ilmu-ilmu agama. Begitu mudah untuk menimba ilmu di sini, asalkan rajin.
            Biarpun dihambat kesibukan kuliah, asal ada sahaja ruang, Amira dan Furqan akan mengikuti kelas-kelas talaqqi yang saban waktu diadakan di Masjid Al-Azhar Asy-Syarif yang terletak di Darrasah. Kelas talaqqi ini bukan sahaja diadakan di Masjid Al-Azhar tetapi turut ada di masjid-masjid yang lain. Selain kelas talaqqi percuma, ada juga yang berbayar. Jadi terpulanglah kepada individu itu sendiri untuk memilih yang mana satu.
            “Abang... Alangkah beruntungnya kita sama-sama dapat menambah ilmu di sini. Mudah kan abang... Sudahlah kelas-kelas agama ni boleh dikatakan setiap waktu diadakan, percuma pula tu,” ujar Mira selepas berakhirnya kelas talaqqi.
            “Betul tu Mira... Abang sendiri teruja dengan kelas-kelas agama yang diadakan. Jadi, inilah peluang kita untuk belajar bersungguh-sungguh. Bayangkan guru-guru yang mengajar pun bukan calang-calang orangnya. Ada di antara mereka yang bergelar Syeikh dan profesor. Ilmu yang mereka curahkan semata-mata bersandarkan kepada keikhlasan. Sebab itu, janganlah kita sekadar mendengar tetapi tidak mempraktikkan apa yang diajar oleh mereka. Ini sudah menjadi tanggungjawab kita untuk menyampaikan kepada mereka yang tidak berpeluang seperti kita,” terang Furqan panjang lebar.
            Mira tersenyum gembira. Hatinya berbunga-bunga. Terasa kedamaian dan ketenangan di dalam jiwanya. Sesungguhnya keputusan Mira untuk menerima lamaran Furqan adalah tepat sekali. Matlamat dan perjuangan mereka adalah seiring.
            Bagi Mira mahupun Furqan, belajar ilmu agama secara talaqqi sesuatu yang amat baik. Apatah lagi, dengan bertalaqqi, seseorang individu itu akan dapat mengetahui kelemahannya dalam penguasaan sesuatu ilmu mahupun kesahihannya. Setiap persoalan atau permasalahan yang dihadapi akan dapat dirungkai pada masa itu juga dengan merujuk kepada guru-guru yang mengajar. Tambahan pula, guru-guru tersebut adalah daripada kalangan mereka yang bertauliah.
            Sudah menjadi lumrah bagi mahasiswa-mahasiswi Universiti Al-Azhar turut sama mengambil kesempatan memenuhkan ilmu di dada. Bagi mereka, ilmu yang diperolehi semasa kuliah tidak mencukupi. Justeru, kewujudan kelas-kelas talaqqi sebagai satu peluang keemasan yang tidak mungkin dilepaskan begitu sahaja.
            Amira teringat pesanan seorang guru, betapa kamu rasakan dirimu bodoh apabila mempelajari sesuatu namun hijabnya akan terbuka juga apabila kamu menikmati kelazatan mempelajarinya. Sungguh dalam maknanya. Kata kunci bagi kata-kata itu adalah kelazatan yang menunjukkan keikhlasan dan kecintaan kita menuntut ilmu.
            Semuanya bergantung kepada daya usaha para pelajar itu sendiri. Sekiranya, mereka mencintai ilmu, tidak mungkin dibiarkan masa yang berlalu dengan sia-sia. Bukankah tarikan utama di bumi anbiya ini ialah khazanah ilmunya yang begitu luas. Amatlah rugi bagi mereka yang tidak mengambil kesempatan ini sebaik-baiknya. Hanya orang yang mengetahui nilai ilmu itu yang akan berusaha mengejarnya.



BERSAMBUNG...
* Maafkan salah dan silap yang terdapat dalam karya ini. 
Buang yang keruh, ambil yang jernih. In Shaa Allah.

Assalamualaikum
            


Thanks For Reading شكران.

0 400 is kind-heart: