Jawapan Nik Nur Madihah

Assalamualaikum


Sungguh bersemangat nak membuat entri tentang Kak Nik Nur Madihah, yang dahulunya pernah memberi kejutan buat Malaysia dengan kejayaan 19A1 1A2 yang beliau capai. Gadis yang pernah menuntut di Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan), Kota Bharu, Kelantan ini bukanlah berasal dari keluarga yang senang mahupun berada. Malah, pondok kecil sahajalah yang setia menjadi tempat berteduh buat beliau dan keluarga.

Nak tahu apakah rahsia beliau? Jom kita bongkarkan perbualan Kak Nik Nur Madihah bersama dengan seorang wartawan.

WARTAWAN: Bagaimana timbulnya idea untuk mengambil 20 mata pelajaran dalam peperiksaan SPM tahun lepas?
NIK NUR MADIHAH: Sebelum ini jika dilihat kebanyakan pelajar cemerlang datang dari keluarga yang senang seperti anak guru, pegawai bank, oleh itu, timbul idea saya mahu buktikan kepada masyarakat bahawa anak nelayan juga mampu mencatatkan kejayaan yang cemerlang seperti orang lain. Jadi, saya mencabar diri sendiri supaya mencatat sejarah dengan 20A.

WARTAWAN: Apakah resipi kejayaan dan bagaimana saudari belajar sehingga mencatatkan keputusan cemerlang ini?
NIK NUR MADIHAH: Keputusan ini adalah di luar jangkaan, saya sasarkan hanya 18A. Paling penting ialah banyak berusaha dan belajar secara strategik, sekiranya timbul masalah cepat bertanya kepada guru dan selebihnya bertawakal. Strategi yang saya maksudkan ialah memberi tumpuan sepenuhnya ketika belajar kerana saya tidak mempunyai jadual belajar yang khusus seperti orang lain. Saya belajar ketika terasa mahu belajar sahaja tetapi ia berterusan.

WARTAWAN: Siapakah di sebalik kejayaan ini dan bagaimana mereka membantu untuk kejayaan ini?
NIK NUR MADIHAH: Ibu bapa dan guru-guru banyak memberi dorongan, tanpa mereka saya mungkin tidak mencapai kejayaan ini. Saya sebenarnya merahsiakan kepada ibu bapa bahawa saya mengambil 20 mata pelajaran dalam SPM sehinggalah keputusan peperiksaan percubaan keluar baru saya beritahu kedudukan sebenar dan mereka memberikan sokongan malah ayah memberi cabaran tambahan. Saya rahsiakan sebab saya mahu membuat kejutan. Jadi keputusan ini adalah sumbangan kecil saya kepada ibu bapa yang banyak berjasa untuk membesarkan saya.

WARTAWAN: Dorongan guru-guru di Sekolah Menengah Arab Maahad Muhammadi (Perempuan) bagaimana?
NIK NUR MADIHAH: Amat baik, malah guru yang menyelia saya, Mohd. Razali Konok mencadangkan supaya saya berhubung dengan bekas pelajar terbaik SPM 2006, Siti Fatimah Mukhtar, selepas itu saya sentiasa berhubung dengannya untuk mendapatkan nasihat.

WARTAWAN: Sebagai anak nelayan, bagaimana kehidupan saudari?
NIK NUR MADIHAH: Kehidupan kami sekeluarga amat sukar, kadang-kadang tidak ada makanan. Oleh itu, sejak tahun enam saya mengamalkan puasa sunat pada setiap hari Isnin dan Khamis. Secara purata saya akan membawa wang poket tidak sampai RM1 malah kadang-kadang tiada wang untuk makan di sekolah kerana wang yang diberikan oleh ayah hanya cukup untuk tambang bas ke sekolah kira-kira RM4 untuk pergi dan balik. Di sekolah saya hanya makan roti atau bawa bekal nasi goreng. Saya menerima semua ini dengan reda kerana faham ayah tidak mempunyai pendapatan tetap secara purata sekitar RM500 – RM700 sebulan.

WARTAWAN: Bagaimana saudari belajar dengan keadaan rumah yang sempit dan kurang selesa ini?
NIK NUR MADIHAH: Saya belajar di ruang tamu, Alhamdulillah tiada gangguan kerana tiga adik saya sudah besar dan dua daripadanya tinggal di asrama.

WARTAWAN: Adakah saudari merasa rendah diri berbanding rakan-rakan lain yang lebih selesa dan mewah di sekolah?
NIK NUR MADIHAH: Tidak, malah saya menjadikan ia satu cabaran untuk mengubah kehidupan keluarga kami. Kehidupan yang sukar terutama ketika musim tengkujuh atau bot ayah rosak menjadikan saya lebih insaf untuk berusaha bersungguh-sungguh. Pada ketika ayah tidak dapat ke laut, kami hanya makan nasi berlauk telur goreng.

WARTAWAN: Kenapa tidak tinggal di asrama dan adakah saudari mendapat kemudahan biasiswa?
NIK NUR MADIHAH: Kalau tinggal di asrama kos lebih tinggi, lagi pun saya lebih selesa dan tenang belajar di rumah kerana tiada gangguan walaupun rumah tidak sebesar mana. Saya tidak pernah mendapat biasiswa dari mana-mana agensi cuma sumbangan yang diberikan oleh guru-guru melalui Cikgu Razali sebanyak RM200 sebulan.

WARTAWAN: Adakah saudari mendapat tuisyen daripada pusat tuisyen di luar sekolah bagi mata pelajaran yang tidak diajar di sekolah?
NIK NUR MADIHAH: Tidak, ayah tidak mampu. Saya beruntung kerana sekolah menyediakan guru lain untuk lapan mata pelajaran yang tidak diajar di sekolah, saya bersama rakan-rakan akan belajar subjek tersebut pada kelas tambahan ketika cuti hujung minggu tetapi bagi mata pelajaran sastera saya belajar sendiri dan tidak pernah mengikuti kelas secara formal. Lapan subjek ini, Pendidikan Agama Islam, Prinsip Akaun, Perdagangan, Ekonomi, Tasawur Islam, Geografi, Sains dan Sastera saya belajar ketika tingkatan lima.

WARTAWAN: Bagaimana dalam tempoh setahun saudari mempelajari semua subjek-subjek ini?
NIK NUR MADIHAH: Seperti saya jelaskan tadi, banyak berusaha dan bertanya. Idea untuk menambah lagi mata pelajaran hanya timbul ketika tingkatan lima kerana pada tingkatan empat saya terpaksa menumpukan pada 24 mata pelajaran termasuk 12 subjek agama untuk peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU).

WARTAWAN: Adakah saudari menjawab semua soalan mata pelajaran Sains dan Matematik seperti Fizik dan Kimia dalam bahasa Inggeris?
NIK NUR MADIHAH: Ya, sebab lagi mudah dan ditekan oleh guru sejak awal lagi.

WARTAWAN: Apakah hobi dan cita-cita saudari?
NIK NUR MADIHAH: Hobi saya ialah membaca, kalau ada masa lapang saya akan membaca terutama novel tulisan Faisal Tehrani. Saya bercita-cita untuk menjadi seorang ahli fizik, disebabkan tidak ramai orang Melayu menjadi ahli fizik.

WARTAWAN: Di mana mahu melanjutkan pelajaran?
NIK NUR MADIHAH: Di luar negara tetapi tempat khusus atau universiti mana saya tidak kisah. Saya akan melakukan sembahyang istikharah untuk mendapat petunjuk daripada Allah SWT bagi membuat pilihan terbaik tempat melanjutkan pelajaran.

Naik bulu roma dibuatnya apabila menghayati kisah Kak Nik Nur Madihah. Jom kita tengok tips kecemerlangan yang diberikan oleh beliau sendiri.

|| Tips-tips Kecemerlangan Daripada Nik Nur Madihah ||
Hargai masa. Masa lebih berharga dari emas, kerana emas yang hilang masih boleh diganti tetapi yang terbuang tidak akan dapat digantikan lagi dan akan hilang buat selama-lamanya. Sikap suka bertangguh adalah sebenarnya pencuri masa.
Suka bertanyaSikap suka bertanya adalah penting bagi mendapatkan penjelasan bagi mana-mana perkara yang tidak difahami. Beliau mengamalkan sikap suka bertanya terutama dalam matapelajaran mathematik dan sains.
Fokus dan beri sepenuh tumpuan semasa di dalam kelas. Para pelajar diingatkan supaya memberikan tumpuan dan tidak mudah dipesongkan dengan perkara-perkara lain semasa proses pembelajaran di dalam kelas. Sebahagian murid mungkin suka berkhayal, bersembang dan bermain-main di dalam kelas.

Bukan itu sahaja, malah seperti yang saya sering katakan kita perlu mempunyai slogan diri atau quotes supaya dapat membangkitkan semangat dan motivasi diri. Kak Nik Nur Madihah juga telah berpegang kepada beberapa slogan.
  • 99% dari kegagalan adalah dari mereka yang mencari-cari alasan.
  • Belajar dari kesilapan.
  • Usaha yang terbaik dan bertawakkal – Usaha tanpa tawakkal adalah kesombongan. Tawakal tanpa usaha adalah angan-angan kosong.
  • Tiada yang mustahil, Allah swt maha berkuasa.
  • Belajar atau mencari ilmu adalah tuntutan agama – jalan menuntut ilmu adalah jalan menuju syurga.
Kepada sahabat-sahabat saya yang akan menduduki tigkatan 4 pada tahun hadapan, janganlah gentar dengan kata-kata yang menakutkan daripada senior berkenaan kesusahan sesuatu subjek pada tahun hadapan terutama Matematik Tambahan, Bio, Fizik dan Kimia. Sentiasa berfikiran positif dan ingat bahawa Allah bersama dengan orang yang berusaha. Jadi, tunjukkan effort kita, Insyaallah, segalanya dipermudahkan olehNya.

Ingat kita menuntut ilmu kerana Allah, jadi tetapkanlah niat kita supaya tidak tersasar dari jalan yang benar :D

Kepada kakak-kakak yang akan menduduki Peperiksaan SPM, be positve. Gunakan ilmu yang telah dipelajari semasa tingkatan 4 dengan sebaik mungkin. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Ganbatte !!

Itu sahaja.
Assalamualaikum


Thanks For Reading شكران.

8 400 is kind-heart:

Anum said...

Salam Jumaat
dan selamat pagi
semoga hari-hari yang dilalui akan ceria

Miss Xyz said...

SubhanaAllah ;) bila baca ni teringat akak Amalina Che Bakri.


Tips yang bagus. Tahu2 jer saya nak masuk form 4 tahun depan :p

nor aishah Norrifin said...
This comment has been removed by the author.
nor aishah Norrifin said...

@Miss Xyz
btul2..mestilah. kita kan batch 97'

Farah Shahirah said...

jom join ! http://belogfarr.blogspot.com/2012/12/giveaway-18th-fs-for-you.html

♥WanieyZuki♥ said...

masa mula-mula masuk kelas aliran sains mak ngan abang tak bagi sebab susah, tapi bila dah lama-lama rasa macam jatuh cinta pulak dengan addmath dan kimia.. hehhehe :P

nor aishah Norrifin said...

@♥WanieyZuki♥
Sains tulen memang susah sikit. Tapi susah tu yg akan membawa kesenangan di hari kemudian. Kan. Hehe. '
Saya harap, saya boleh jatuh cinta dgn Kimia dan Fizik. Add math boleh adapt. :)