Coretan Tentang Hati

Assalamualaikum

Bingkisan kali ini berkisarkan cinta. 


Definisi cinta sejati terus dicari dan digali. Manusia dari zaman ke zaman seakan-akan tidak pernah bosan membicarakannya. Sebenarnya apa itu cinta sejati dan bagaimana pandangan Islam terhadapnya? Cinta sebenarnya merupakan satu fitrah yang ada di dalam hati setiap manusia dan wujud hasil daripada satu perasaan yang halus. Masihkah kita ingat siapa itu Rasulullah ataupun nama itu tidak pernah terngiang-ngiang di telinga kita?  Masya-Allah. Hakikatnya, itulah insan di mana cintanya kepada kita tidak pernah lupus dan hilang. Nabi pernah bersabda, ketika itu baginda menitiskan air mata semasa berkata kepada para sahabat,

 "Wahai sahabatku, hamba Allah yang mulia ialah manusia-manusia yang lahir jauh setelah wafatnya aku, mereka terlalu mencintai Allah dan tahukah kalian, mereka tak pernah melihatku, mereka hidup tidak dekat denganku seperti kalian tetapi mereka sangat rindu kepadaku dan saksikanlah wahai sahabatku, bahawa aku sangat rindu pada mereka, merekalah umatku !”

 Secara komprehensif, perasaan cinta kepada Rasulullah dapat disemai melalui pelbagai aspek sama ada, perbuatan, kata-kata dan hati. Andainya benar dan sungguh-sungguh cinta kita kepada Rasulullah, amat wajarlah bagi kita untuk mengikis cinta-cinta yang lain iaitu cinta yang dapat merenggangkan hubungan kita dengan Rasulullah. Meskipun jejak tidak dapat melangkah ke Bumi Makkatul Mukarramah, cukuplah sekadar ayat-ayat cinta yang meniti di bibir kita sebagai tanda kecintaan kita sebagai umat Rasulullah SAW. Marilah bersama kita mengorak langkah, maju selangkah demi selangkah ke hadapan untuk menjayakan proses transformasi cinta kita kepada Rasulullah supaya lebih mantap dan bersungguh-sungguh. Sesungguhnya tiada masalah yang tiada penyelesaiannya. Namun, langkah-langkah yang pragmatik dan sistematik perlu bergerak seiring semasa proses transformasi. InsyaAllah satu hasil yang efektif dan drastik bakal menjelma. Akhir kalam, semoga kita tergolong di kalangan kelompok manusia yang memperoleh syafaat daripada baginda Nabi Muhammad SAW.


Sajak Cinta Sampai Syurga ( iluvislam )

Ya Allah,
Damaikan hati yang gundah ini,
Sungguh, aku tak dapat menahan rasa cinta ini dari terus berputik,
Kau Maha Tahu akan isi hatiku,
Sampaikanlah rasa cinta ini pada dirinya,
Aku takut apakah cinta ini akan diterima,
Kerna aku hanya orang biasa...

Ya Allah,
Hidupkan hatiku dengan kehidupan hati kekasihMu,
Hidupkan rohku dengan kehidupan roh kekasihMu,
Hidupkan akalku dengan kehidupan akal kekasihMu,
Hidupkan keperibadianku dengan keperibadian kekasihMu,
Hidupkan jasadku dengan adab, sunnah dan hukum hakam kekasihMu,
Hidupkan seluruh kehidupanku dengan kehidupan seluruh diri kekasihMu

Ya Allah,
Aku akan menziarahi masjid tempat kekasihMu bersemadi,
Datang kerana rindu dan cinta pada kekasihMu,
Datang kerana ingin beribadah di masjid mulia itu,
Terimalah aku sebagai tetamu bumi barokah itu,
Sampaikan rasa cinta ini pada kekasihMu Ya Allah,
Moga cinta ini mampu membawaku ke syurga.



Sajak yang sungguh memukau itu sengaja diselitkan di sini sebagai penghias bicara akhir. Jadi, semoga entri kali ini sedikit sebanyak menambah ilmu di dada. Perbetulkan hati kita yang tercalar sedikit.
Insyaallah. 

Sekian. Assalamualaikum



Thanks For Reading شكران.

0 400 is kind-heart: