Kisah Seseorang Yang Bergelar Insan

Hampir dua dekad saya dilahirkan, saya tidak pernah melihat kakinya jauh dari masjid. Masjid jugalah menjadi rumah kedua beliau yang sering dikunjungi hampir setiap waktu. Subuh, Zohor, Asar, Maghrib mahupun Isyak. Ini menjadikan beliau sentiasa berada di barisan saf yang pertama. Tidak pernah melihat beliau menjadi imam, sekadar kudrat menjadi makmum sudah cukup membuatkan saya berasa bangga dengannya. Kini umurnya sudah menjangkau hampir 70 tahun. Kelihatan kedut di muka menjadi tanda usianya yang semakin senja.
Bahawasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat- sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk(Surah at-Taubah : 18)
Saya memanggilnya dengan panggilan abah merangkap pakcik saya sendiri. Rumah kami hanya bersebelahan sahaja. Perhubungan kami juga sangat akrab. Sejak saya kecil sehinggalah dewasa, panggilan abah sudah cukup sebati. Beliau juga pernah menjadi guru Al-Quran ketika saya berumur 9 tahun.
Cerita itu sudah lama. Kini usia saya yang sudah menginjak ke 21 tahun. Namun, apa yang pasti hatinya masih melekat di masjid. Subhanallah. Saya benar-benar terkesan.
Kerjanya bukan di pejabat. Tetapi di bawah panas terik, membanting tulang mencari rezeki. Berkhidmat membina rumah. Itu kerjanya. Kerja orang kampung. Sebelum memulakan kerja, di awal pagi sudah terpacak di kebun getah untuk mencari hasil. Itulah rutin seharian beliau dalam mencari punca rezeki. Namun kini beliau tidak mempunyai kekuatan untuk membina rumah lagi. Kudratnya kini  hanyalah menoreh getah sehingga ke hari ini. Semakin uzur.Namun, hatinya masih melekat di masjid.
ALLAH MENGUJI IMANNYA
Beliau menggunakan motosikalnya setiap kali mahu ke masjid. Tetapi suatu ketika motosikalnya pernah rosak dan tidak boleh digunakan semula. Siapa sangka, beliau sanggup mengeluarkan duit poket sendiri untuk membeli motosikal. Siapa kata motosikal tersebut untuk ke bandar? Tidak pernah sesekali. Hanya untuk ke masjid!
Jika saya berada di rumah, saya hanya berkesempatan bersolat di masjid ketika waktu Maghrib dan Isyak. Sepanjang saya hidup, saya tidak pernah melihat beliau di barisan belakang kecuali di saf pertama. Bagaimana insan ini mampu bertahan sehingga hari ini. Kasihnya pada Allah.
Pada tahun 1995, suatu kejadian yang tidak diduga berlaku di depan mata saya. Rumahnya hangus terbakar dijilat api. Ketika itu usia saya baru sahaja berumur 7 tahun dan ketika itu saya sedang bermain 'masak-masak' bersama sepupu. Kedengaran letupan kecil di atas rumah. Saya bingkas bangun dan melihat api sudah marak di bahagian atas. Apa yang saya mampu hanyalah menjerit ketika itu. Apabila mengingatkan kembali peristiwa itu, secara logik akalnya rumah beliau dapat diselamatkan. Namun akibat cemas, mata hanya mampu melihat, hati hanya mampu merintih. Allah sedang mengujinya ketika itu.
Tangisan kedengaran. Saya hanya mampu memandang dari jauh. Kelihatan orang kampung sedang menenangkan beliau. Walau bagaimanapu peristiwa itu sudah hampir 15 tahun berlalu. Ujian menjadikan beliau sentiasa tabah mengharungi kehidupan.
MENGHADAPI HARI-HARI TERAKHIR
Saya tidak mahu masjid di kampung sepi tanpa kehadirannya. Bimbang andai beliau pergi  dahulu sebelum saya. Apa yang boleh saya simpulkan, sifat rendah diri, hidup dalam keadaan serba sederhana menjadikan dunia ini benar-benar sementara buatnya.
"Abah dah tak larat, kau bawaklah (pimpin) tahlil untuk saudara" katanya sewaktu menyerahkan majlis tahlil sempena perhimpunan keluarga besar sebelah ayah saya.
Kata-kata itu menunjukkan isyarat bahawa waktunya hampir tiba. Saya seolah-olah tidak mahu kehilangannya. Siapa mampu menolak suratan takdir. Semoga Allah mempermudahkan segala urusannya. Amin.
http://www.iluvislam.com/undefined/


Thanks For Reading شكران.