Berbaju Jarang Fesyen Terkini

Zaman sudah berubah, cara berpakain juga sudah berubah. Berpakaian jarang sering dipakai oleh segelintir daripada kita. Kita digalakkan berpakaian tetapi mengikut ajaran dan tuntutan yang telah ditetapkan oleh Islam.
Allah menyuruh manusia, khususnya umat Islam supaya memakai pakaian, seperti firman-Nya bermaksud: "Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian yang indah apabila pergi ke tempat ibadah, seperti mengerjakan sembahyang atau pun memasuki masjid, makan dan minumlah, jangan melampau-lampau, sesungguhnya Allah tidak suka orang yang melampaui batas."(Surah al-A'raaf, ayat 31).

Oleh kerana masa atau zaman berubah begitu pantas, maka rekaan dan corak pakaian pun sentiasa bertukar dan semakin canggih. Islam sebenarnya tidak menetapkan bentuk atau warna pakaian tertentu untuk dipakai, baik ketika beribadah atau luar ibadah. Islam menetapkan pakaian itu mesti menutup aurat, sopan dan sesuai dengan akhlak seorang Muslim.

Pakaian itu tidak menimbulkan kesan negatif terhadap pemakai dan yang melihatnya.

Antara adab berpakaian yang diatur oleh Islam ialah:-
1.  Hendaklah menutup aurat.
2. Aurat lelaki menurut ahli hukum Islam ialah daripada pusat hingga ke lutut. Aurat wanita pula ialah seluruh         anggota badannya, kecuali wajah, tapak tangan dan tapak kakinya.
3. Nabi Muhammad saw bersabda bermaksud: "Paha itu adalah aurat." (Hadis riwayat Imam Bukhari).
4. Pakaian tidak jarang supaya tidak menampakkan tubuh.

Pakaian yang jarang menampakkan aurat dan tidak memenuhi syarat menutup aurat. Pakaian jarang bukan saja menampakkan warna kulit, malah boleh merangsang nafsu orang yang melihatnya.
Nabi bersabda bermaksud: "Dua golongan ahli neraka yang belum pernah aku lihat ialah, satu golongan memegang cemeti seperti ekor lembu yang digunakan bagi memukul manusia, dan satu golongan lagi wanita yang memakai pakaian tetapi telanjang dan meliuk-liuk badan juga kepalanya seperti bonggol unta yang tunduk. Mereka tidak masuk syurga dan tidak dapat mencium baunya walaupun bau syurga itu dapat dicium daripada jarak yang jauh." (Hadis riwayat Muslim)

Pakailah pakaian yang tidak ketat supaya tidak kelihatan bentuk tubuh. Lagi pun pakaian yang ketat menyusahkan pergerakan pemakainya.
Memakai pakaian yang tidak menimbulkan rasa sombong di hati pemakainya. Nabi bersabda bermaksud: "Sesiapa yang melabuhkan pakaiannya kerana perasaan sombong, Allah tidak akan memandangnya pada hari kiamat."
Dalam hadis yang lain, Rasulullah bersabda bermaksud: "Barang siapa memakai
pakaian yang berlebih-lebihan, maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan pada hari akhirat nanti."
(Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, An-Nasa'iy dan Ibnu Majah)

Tidak menyerupai pakaian golongan bukan Islam kerana dibimbangi orang Islam akan meninggalkan keperibadian Muslim sendiri.
Nabi bersabda bermaksud: "Sesiapa meniru atau menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam golongan mereka." (Hadis riwayat Abu Daud)

Pakaian wanita mesti berbeza daripada pakaian lelaki. Maksudnya, pakaian yang khusus untuk kaum wanita tidak boleh dipakai oleh kaum lelaki, begitu juga sebaliknya.
Rasulullah mengingatkan hal ini dengan keras menerusi sabdanya bermaksud: "Allah mengutuk wanita yang meniru pakaian dan sikap lelaki, dan lelaki yang meniru pakaian dan sikap perempuan." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Muslimah perlu melabuhkan pakaian hingga menutupi kaki. Pakailah tudung/mini telekung yang sesuai bagi menutupi kepala/rambut, tengkuk, leher dan dada.
Allah berfirman bermaksud: "Wahai Nabi, katakanlah (suruhlah) isteri-isteri dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan beriman, supaya mereka menghulurkan jilbab mereka ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu.Dan Allah adalah Maha Pengampun dan Maha Penyayang." (Surah al-Ahzab, ayat 59)

Memilih pakaian berwarna putih kerana ia adalah yang terbaik untuk dipakai. Putih adalah warna yang sangat disenangi dan sering menjadi pilihan Rasulullah. Ia juga melambangkan kesucian.
Baginda bersabda bermaksud: "Pakailah pakaian putih kerana ia lebih suci dan lebih baik, dan kafankan mayat-mayat kamu dengannya." (Hadis riwayat An-Nasa'iy dan Al-Hakim).
Berdasarkan berita yang sahih, baginda memakai baju hijau dan serban hitam.
Hijau adalah warna kesukaan Nabi
.


Apabila memakai pakaian yang baru dibeli, ucapkanlah seperti yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan At-Tarmizi (bermaksud): "Ya Allah, segala puji bagi-Mu, Engkau yang memakaikannya kepadaku, aku memohon kebaikannya dan kebaikan apa-apa yang dibuat baginya, aku mohon perlindungan kepada-Mu daripada kejahatannya dan kejahatan apa-apa yang diperbuat untuknya, Demikian itu telah datang daripada Rasulullah."



Ini adalah contoh pakaian jarang yang sering menjadi fesyen terkini. Ingatlah walaupun kita berpakaian namun, sekiranya pakaian kita tidak menepati tuntutan Islam sama sahaja kita ini sedang berbogel.

Manakala, ini merupakan pakaian yang sesuai, tidak semestinya jubah tetapi mestilah tidak menampakkan warna kulit kita ( jarang).
Kita bukannya tidak digalakkan berfesyen tetapi, jangan berlebih-lebihan.

Akhir sekali, sebagai seorang Islam, sewajarnya seseorang itu memakai pakaian yang sesuai menurut tuntutan agamanya. Sesungguhnya pakaian yang sopan dan menutup aurat adalah imej seorang Muslim.


Thanks For Reading شكران.

0 400 is kind-heart: